Khamis, Disember 07, 2006

Hadits Jariah - Imam Muslim

Antara dalil yang biasa dikemukakan oleh puak hasywiyah bagi menetapkan Allah bertempat di langit ialah Hadits Jariah. Maka dijajalah hadits ini ke sana ke mari untuk menegakkan pegangan mereka bahawa Allah itu mengambil tempat di langit, subhanAllah. Maka ramai, kalangan awam terpengaruh dengan kalam fahisy mereka ini, serta beri'tiqad bahawa Allah itu di langit, subhanAllah. Tidaklah mereka mengetahui bahasan dan penjelasan dan keterangan daripada para ulama kita berhubung dan mengenai hadits tersebut, sama ada kerana memang mereka tidak mengetahuinya atau sengaja buat-buat tak tahu. Ulama-ulama kita sebenarnya telah membahaskan dengan panjang lebar akan hadits ini dari segala aspeknya, baik sudut riwayat dan thuruqnya, sehinggalah kepada perbezaan lafaznya antara satu riwayat dengan riwayat yang lain kerana Hadits Jariah ini mempunyai riwayat yang berbilang-bilang.

Untuk posting ini aku nukil yang diriwayatkan Imam Muslim dalam "al-Jami` ash-Shohih" jilid 1, juzuk 2, halaman 70 - 71, kitab al-masaajid wa mawaadhi` ash-sholaah, bab tahriim al-kalaam fi ash-sholaah wa nasakha maa kaana min ibaahatih. Ianya adalah sebahagian daripada hadits yang panjang yang menceritakan kisah Sayyidina Mu`aawiyah bin al-Hakam as-Sulamiy r.a. mentasymit seseorang yang bersin ketika bersholat di belakang Junjungan Nabi s.a.w., lalu selesai sholat dia ditegur oleh Junjungan Nabi s.a.w. dengan menyatakan bahawa dalam sholat tidak boleh berbicara selain daripada tasbih, takbir dan pembacaan al-Quran. Setelah itu Sayyidina Mu`aawiyah telah bertanya beberapa persoalan kepada Junjungan Nabi s.a.w. dan di antaranya ialah mengenai permerdekaan seorang hambanya (jariahnya) yang telah ditempelengnya. Untuk ringkas aku tidak nukilkan keseluruhan hadits tersebut, cuma aku letakkan di sini bahagian akhirnya berhubung dengan kisah jariah tersebut.

Pada halaman 71, jilid 1, juzuk 2 kitab tersebut, Imam Muslim rhm. meriwayatkan, antara lain, sebagai berikut:

" (Telah berkata Mu`aawiyah bin al-Hakam as-Sulamiy) Aku mempunyai seorang jariah yang menggembala kambingku di sebelah bukit Uhud dan al-Jawwaniyyah. Suatu hari ketika aku menjengoknya, tiba-tiba seekor serigala telah melarikan seekor kambing dari gembalaannya. Dan aku sebagai seorang manusia menjadi marah sebagaimana manusia lainnya, lalu aku menampar mukanya sekali. Kemudian aku mendatangi Junjungan Nabi s.a.w. dan baginda memandang serius perbuatanku yang sedemikian (yakni menampar muka si jariah tersebut). Aku berkata kepada Junjungan Nabi s.a.w.: "Wahai Rasulallah, adakah kumerdekakan dia", (yakni sebagai menebus kesilapan menampar tadi, dia hendak memerdekakan si jariah tersebut) ? Junjungan Nabi s.a.w. menyuruh agar si jariah didatangkan kepada baginda. (Apabila si jariah berada di hadapan Junjungan Nabi s.a.w.), Junjungan Nabi s.a.w. bertanya kepadanya: "Di manakah Allah ?" Jariah tersebut menjawab: " Di langit." Junjungan s.a.w. bertanya lagi: "Siapakah aku?", jariah tersebut menjawab: "Engkau Rasulullah." Junjungan bersabda: "Merdekakanlah dia, bahawasanya dia seorang wanita yang beriman."

Itulah matan hadits mengenai jariah tersebut, manakala di pinggir atau tepi halaman yang sama tercatat nota tepi seperti berikut:
Perkataannya (yakni perkataan dalam matan hadits) - "Dia (si jariah) berkata: "Di langit," - yakni (sebagai membuktikan) bahawasanya dia bukan termasuk dalam golongan yang menuhankan selain Allah yang Maha Gagah yang kegagahan dan keperkasaanNya mengatasi segala hamba dan tidak ada sesuatu pun yang menyerupaiNya. Dan dikatakan bahawasanya tafsir bagi firman Allah : "Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu ..." (al-Mulk: 16 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman), tafsir "Dia yang di langit" itu ialah Allah ta`ala dengan takwil kekuasaanNya (yakni ditafsirkan dengan takwil seperti dikatakan "Allah yang (kekuasaanNya) di langit" atau "Allah yang (pusat kekuasaanNya atau pemerintahanNya) di langit", bukan hanya ditafsirkan dengan semata-mata makna "Allah yang di langit")
Sekarang, mari ikhwah lihat apa perkataan Imam an-Nawawi rhm. berhubung hadits ini. Komentar Imamuna an-Nawawi ini terdapat dalam syarahnya yang masyhur atas Shohih Muslim iaitu "Shohih Muslim bi syarhi al-Imam an-Nawawi", jilid 3, juzuk 5, halaman 24, di mana Imam an-Nawawi menyatakan, antara lain:-
Sabda Junjungan Nabi s.a.w. ("Di manakah Allah ?" Jariah tersebut menjawab: " Di langit." Junjungan s.a.w. bertanya lagi: "Siapakah aku?", jariah tersebut menjawab: "Engkau rasulullah." Junjungan bersabda: "Merdekakanlah dia, bahawasanya dia seorang wanita yang beriman."). Hadits ini adalah daripada hadits-hadits sifat yang dalam memahaminya ada 2 mazhab (jalan atau cara) yang mana kedua-duanya telah dinyatakan terdahulu dalam kitab al-iman (yakni pada awal atau permulaan kitab).

Jalan yang pertama ialah beriman dengannya (yakni dengan hadits tersebut) tanpa mendalami apa yang dimaksudkannya disertai dengan i'tiqad bahawasanya Allah ta`ala itu tidak menyerupai sesuatu apa pun dan mensucikanNya daripada segala tanda-tanda atau sifat-sifat makhluk.

Jalan yang kedua pula ialah mentakwilkan hadits tersebut dengan apa yang layak bagi Allah. Maka sesiapa yang berpegang dengan jalan yang kedua ini, berpeganglah dia dengan bahawasanya yang dimaksudkan dengan hadits tersebut ialah Junjungan Nabi s.a.w. menguji jariah tersebut untuk mengetahui sama ada dia seorang ahli tawhid yang mengakui Maha Pencipta, Maha Pentadbir dan Maha Pembuat adalah Allah semata-mata, yang mana Dialah Tuhan yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap kaabah, dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (yakni menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap kaabah ketika bersholat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada jihat (arah) kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah). Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang sholat. Atau si jariah tadi ialah seorang penyembah segala berhala yang menyembah berhala-berhala tersebut di hadapan mereka (yakni di sisi atau bersama mereka di bumi), maka tatkala dia menjawab: "Di langit," diketahuilah bahawasanya dia seorang ahli tawhid dan bukannya seorang penyembah berhala (yakni jika jariah tersebut seorang penyembah berhala, nescaya dia tidak akan menjawab bahawa Allah Tuhannya di langit, tetapi dia akan menunjukkan berhala yang disembahnya yang berada bersamanya di bumi ini).

Telah berkata al-Qaadhi 'Iyaadh: "Tidak ada khilaf di kalangan umat Islam sekaliannya (qaathibatan), ahli-ahli fiqh mereka, ahli-ahli hadits mereka, ahli-ahli kalam mereka, para pemuka dan pengikut mereka bahawasanya segala nas yang pada zahirnya menyebut Allah di langit seperti firman Allah ta`ala: "Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu, menunggang-balikkan bumi menimbus kamu,.....( al-Mulk: 16 - Tafsir Pimpinan ar-Rahman) dan ayat-ayat yang seumpamanya tidaklah diertikan atau dimaknakan secara zahir bahkan ditakwilkan di sisi mereka semua (yakni semua umat Islam, salaf dan khalaf semuanya mentakwilkan nash-nash ayat dan hadits tersebut, cuma kebanyakan ulama salaf mentakwilkannya secara ijmal sahaja dan mentafwidhkan makna hakikinya kepada Allah semata-mata, sekali-kali tidak mereka berpegang dengan makna zahir ayat dan hadits tersebut, bahkan mereka takwilkan maknanya dengan mengakui kelemahan fikiran mereka untuk memahami makna hakikinya lalu mereka mensucikan Allah dari menyerupai makhlukNya serta menyerahkan bulat-bulat makna dan pengertian ayat atau hadits tersebut kepada Allah s.w.t. sahaja, manakala kebanyakan ulama khalaf mentakwilkannya dengan tafshil).
Diharap ikhwah yang budiman boleh memahami akan perkara ini dengan sebenar-benar faham. Jelas sudah mengikut Imam an-Nawawi yang menukilkan kalam Qadhi 'Iyaadh yang menyatakan bahawa dengan ayat-ayat atau hadits-hadits sifat yang mutasyabbihat, maka ianya ditanggapi dengan 2 cara atau kaedah, iaitu ditakwilkan secara ijmal dengan mentanzihkan Allah daripada menyerupai makhlukNya yang baharu dan ditafwidhkan maknanya terus kepada Allah semata-mata, tanpa sebarang komentar. Ini yang diisyaratkan oleh Imam Ibnu Hajar al-'Asqalaani yang menyebut dalam "Fathul Bari" bahawa Imam al-Baihaqi telah meriwayatkan dengan sanad yang shohih daripada Imam Ahmad bin Abi al-Hawaari bahawasanya Imam Sufyan bin 'Uyainah rhm berkata: "Segala sifat yang difirmankan Allah bagi diriNya dalam al-Quran, maka tafsirannya ialah pembacaan ayat tersebut dan diam daripada membicarakannya." Hal ini jugalah dinyatakan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam "Fatawa Haditsiyyah" yang menyatakan bahawa sesungguhnya khilaf ulama salaf dengan ulama khalaf hanyalah pada penggunaan takwil tafshil sahaja, di mana ulama salaf lebih mengutamakan takwil secara ijmal dan mendiamkan diri daripada berbicara lebih lanjut mengenainya kerana keelokan zaman mereka itu menyebabkan perbahasan panjang lebar mengenai hal ini tidak diperlukan. Tetapi para khalaf mengutamakan takwil secara tafshil kerana zaman mereka telah banyak manusia-manusia yang rosak, ahli-ahli bid`ah dan sebagainya.

Untuk memperjelaskan lagi, yang dimaksudkan dengan takwil ijmal itu ialah lencongan makna kalimah dengan ringkas tanpa memberi erti alternatifnya. Contoh, kalimah al-yad yakni tangan, jika dikatakan "Tangan Allah atas segala tangan mereka", maka takwil ijmalnya ialah kalimah tangan di sini dilencongkan maknanya dari pengertian biasa sebagai satu anggota atau satu juzuk tubuh badan kepada makna selain pengertian biasa tersebut, iaitu ianya bukan membawa erti satu anggota atau satu juzuk daripada Dzat Allah yang Maha Mulia, tetapi ianya adalah satu sifat yang tidak kita ketahui akan hakikatnya dan Allah sahaja yang mengetahui hakikatnya. Maka tangan yang asal maknanya satu juzuk anggota dilencongkan maknanya kepada satu sifat yang lemah akal kita untuk memahami hakikatnya. Inilah takwil ijmal perlakuan kebanyakan salaf. Tidaklah mereka beri'tiqad bahawa Allah itu bertangan dengan tangan yang layak bagi Dzatnya. Ini bukan i'tiqad para salaf, tetapi i'tiqad orang-orang yang mengaku salaf zaman ini. Bila salaf kata tangan Allah, ia merujuk kepada satu sifat dan bukan satu juzuk atau satu anggota daripada Dzat yang Maha Mulia, subhanAllah, Maha Suci Allah daripada berjuzuk-juzuk dan beranggota-anggota. Kaedah ini memang lebih selamat (aslam), kerana hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui, tetapi bagi kalangan awam yang hanya duduk mendengar - dengar sahaja mungkin dikhuathiri membawa fitnah kerana awam akan memahami kalimah tangan itu dengan makna lazim iaitu satu anggota, lalu beri'tiqadlah si awam bahawa Allah juga beranggota kerana mempunyai tangan, cuma tanganNya tidaklah seperti tangan makhluk, iaitu tangan yang layak bagi DzatNya, subhanAllah, ini tidak lain melainkan i'tiqad hasywiyah dan mujasimah yang mentasybih serta mentajsimkan Allah, subhanAllah. Oleh itu, apabila sampai zaman khalaf, di mana manusia-manusia terutama golongan awam sudah mengutamakan dunia daripada akhirat, di mana banyak juhala` berbanding 'ulama, maka para Khalaf yang merupakan pewaris para salaf mentakwilkan ayat-ayat dan hadits-hadits mutasyabbihaat ini dengan takwil tafshil demi menutup jalan bagi awam untuk berfikir yang bukan-bukan terhadap Dzat Allah yang Maha Mulia. Maka ditakwilkan tangan itu kepada kekuasaan dan sebagainya, maka bila dikatakan "Tangan Allah di atas segala tangan mereka", ditakwilkanlah secara tafshil sebagai "Tangan yakni kekuasaan Allah mengatasi segala kekuasaan mereka". Maka terhindarlah orang awam daripada berfikir yang bukan-bukan, oleh itu dikatakan bahawa jalan khalaf ini lebih ahkam yakni lebih mantap kerana ianya memantap dan menetapkan pegangan awam serta mencegah mereka daripada mengkhayal-khayalkan sifat yang tidak layak bagi Allah, seperti menyerupai akan segala makhluk yang baharu.

Harap segala ikhwan, baik lelaki maupun perempuan, khuntsa pun jika ada, faham betul-betul akan bahasan ini. Jika masih belum faham, maka diam itu keselamatan sebagaimana sabdaan Junjungan Nabi s.a.w. : man shomata najaa (yakni "Sesiapa yang mendiamkan diri, selamat"), dan duduklah tuan dan puan, sidi dan siti di hadapan para ulama tuan-tuan guru dengan mengaji menadah segala kitab peninggalan para ulama salaf dan khalaf. Sesungguhnya ilmu itu cahaya, bertambah ilmu nescaya bertambah cahaya, insya-Allah, tapi syaratnya hendaklah ilmu yang naafi` yang bermanfaat, bukan ilmu semata-mata ilmu untuk berjidal dan bermegah-megah.

Berbalik kepada hadits jariah tadi, maka selain penjelasan di atas, ada lagi penjelasan dan keterangan lain daripada para ulama kita dari berbagai aspek bahasannya. Dari semua penjelasan tersebut, maka mereka menyimpulkan bahawa apa yang dimaksudkan oleh hadits tersebut bukanlah menetapkan tempat bagi Allah. Oleh itu, sesiapa yang mengatakan bahawa Allah itu bertempat di sesuatu tempat seumpama langit, maka menyalahilah dia akan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah, jadi janganlah dok perasan bahawa dirinya pembela Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dan tidaklah tepat baginya untuk menjadikan hadits jariah ini sebagai hujjah untuk mensabitkan bahawa Allah bertempat di langit. Apatah lagi hadits ini walaupun shohih tidaklah mencapai darjat mutawatir. Maka apa caranya dia hendak menjadikan hadits ini sebagai hujjahnya untuk menyesatkan orang yang tidak sependapat dengan i'tiqad hasywiyahnya itu. Perkara ini adalah antara kesimpulan yang telah ditekan dan diperjelaskan oleh mantan Mufti Tunisia, Syaikh Muhammad Mukhtar as-Salaami (hafizahUllah).

Bahkan, jika dilihat "Shohih Muslim", kita dapati bahawa Imam Muslim rhm sendiri tidak meletakkan hadits ini dalam kitab al-iman atau bab-bab yang berhubung dengan keimanan dan pegangan aqidah tetapi beliau meletakkannya dalam bab fiqh berhubung hukum hakam sembahyang iaitu kitab al-masaajid wa mawaadhi` ash-sholaah, bab tahriim al-kalaam fi ash-sholaah wa nasakha maa kaana min ibaahatih (kitab mengenai masjid-masjid dan tempat-tempat sembahyang, bab haram berkata-kata dalam sembahyang serta menasakhkan riwayat yang mengharuskan berkata-kata dalamnya). Maka isyaratnya ialah hadits ini hanyalah untuk dijadikan hujjah dalam bab-bab fiqh semata-mata. Menjadikannya sebagai hujjah dalam mensabitkan secara qathi`e akan usul aqidah menunjukkan lemahnya si penghujjah itu daripada memahami uslub dan kaedah dalam menetapkan 'aqidah pegangan umat ini. Oleh itu, jika datang kepada ikhwah akan orang yang hendak berhujjah untuk menetapkan Allah bertempat di langit dengan hadits ini, maka katakanlah kepadanya dengan lemah-lembut dan elok perkataan "keribang rebus, pegi belajar lagik....." dengan nada yang lemah lembut....hehehe....jangan marah noooo.... melawak jee.

Allahu a'lam


25 ulasan:

ruzaimi berkata...

assamualaikum... keribang rebus tu apa.. peribasa ke. baru pertama kali dengar.

Abu Muhammad berkata...

wa alaikumus salam wa rahmatullah,

keribang tu ubi, omputeh kata sweet potato.

rebus takkan tak tahu kot.

keribang rebus = boiled sweet potato

muhammad fakhrul razi berkata...

(tok guru saya ni memang kelakar sikit orangnya.hehe.)

Abu Muhammad berkata...

wajah syibihnye "mangkuk ayun".

al-faqir berkata...

wah, nak jadi anak murid tok guru abumuhd jugaklaa..=)

Abu Muhammad berkata...

oik, mano ado ambo amik murid. ambo bawak diri pun tak larat ni.

nailofar berkata...

kami semua nak jd anak murid Abu Muhd. Tak kisahlah apa istilahnya. Biar boleh tadah ilmu. Sekarang kekurangan pelapis. Makin belajar rasa makin banyak tak tahu pula.

muhammad fakhrul razi berkata...

ok lah faqir,ambiklah abumuhd... aku cari tok guru lain la :p

Abu Muhammad berkata...

memandangkan si fakhrul dah banyak berguru, elok kita pakat-pakat jadi murid dia plak.

muhammad fakhrul razi berkata...

astaghfirullah al adzim...

Tawel Sensei berkata...

Bro Abumuhammad, ana nak tanya. Bagaimana dengan tuduhan puak Wahhabi yang mengatakan bahawa Imam Shafi'i membenci ilmu kalam? Ana tanya kawan ana, kata-kata Imam Shafi'i itu sebenarnya merujuk kepada Mu'tazilah.

Minta komen sikit naa..

Abu Muhammad berkata...

Akhina Sensei, lihat sahajalah kalam Allah yang Maha Suci lagi disalahfahami. Begitu juga kalam ash-Shodiqul Masdhoq s.a.w. yang dianugerahkan dengan jawami`ul kalim, juga banyak disalahertikan atau disalahfahami.

Inikan pulak perkataan selainnya. Perkataan Imamuna asy-Syafi`i dan sebagainya spt Imamuna al-Ghazali yang mencela ilmu kalam itu adalah merujuk kepada puak ahli filsafat yang terlalu mengagung-agungkan kaedah logika dan falsafah Yunani spt puak Muktazilah dan juga ilmu jidal.

Seperti juga kalam Imamuna asy-Syafi`i, man-istahsana fa qad syara`, sesiapa yang beristihsan maka dia telah membuat syariah, telah disalah ertikan sebagai menolak penggunaan istihsan, sedangkan yang dimaksudkan oleh Imam asy-Syafi`i ialah penggunaan istihsan atau istishhab yang menyalahi dalil dan kaedah syarak yang jelas. Ini yang dikondem oleh beliau.

Oleh itu, kita kena melihat bagaimana kalam tersebut dipergunakan dan kepada siapa ianya ditujukan.

Syiaq kalam itu jugak penting, sama cam bahso Melayu.

Jika kita terkojut, sebab lembu kejo kite, kite pun teriak "Allah !!! Lembu", adakah kita menghina Allah ? Sudah tentu tidak. Ini sekadar contoh untuk menunjukkan intonasi atau syiaq kalam itu penting untuk diketahui.

al-faqir berkata...

hurmm.. Banyak benda lagi rasanya tak faham. Makin nak belajar, makin banyak rasanya benda yang tak faham. moga sensei di sini sudi beri tunjuk ajar. :)

alqasam berkata...

Akhina Tawel.

Imam Baihaqi telah meriwayatkan di antara faktor uatama yang menyebabkan Imam Syafie mengambil keputusan untuk keluar dari Baghdad ialah kerana pemerintah Bani Abbas yang dipimpin oleh Khalifah Ma'munn dan masyarakat kota Baghdad pada masa itu telah terpengaruh dengan beberapa aliran pemikiran ilmu kalan yg tidak sihat seperti fahaman Mu'tazilah.

Bidaah wujud di sana sini, sehingga ada sesetengah golongan dlm masyarakat mula membelakangi sunnah. Suasana ini sangat tidak digemari oleh Imam Syafie yang berkebetulan beliau pula merupakan seorang yang berpegang kuat dgn Sunnah dan pakar dgn selok belok ilmu kalam.

Jesteru, benarlah kata sahabat Tawel dan Abu Muhd yg mana ilmu kalam yg dimaksdkan itu adalah Mu'tazilah

eazle berkata...

Jalan yang pertama ialah beriman dengannya (yakni dengan hadits tersebut) tanpa mendalami apa yang dimaksudkannya disertai dengan i'tiqad bahawasanya Allah ta`ala itu tidak menyerupai sesuatu apa pun dan mensucikanNya daripada segala tanda-tanda atau sifat-sifat makhluk.

---------------------------------
assalamualaikum..
dari dua bahasan tadi, tak salahlah jika sy memilih jalan pertama dlm memahami nas sifat ini bahwa Allah swt dilangit, dengan penyucian dr menyerupai makluknya yg bertempat. sy menerima dan beriman Allah dilangit tanpa bertanya kaifiatnya dan mendalami maknanya..

macam mana?

Abu Muhammad berkata...

akhie eazle, di sinilah banyak kekeliruan berlaku.

sebenarnya jika kamu kata:-
***************************
bahwa Allah swt dilangit, dengan penyucian dr menyerupai makluknya yg bertempat. sy menerima dan beriman Allah dilangit tanpa bertanya kaifiatnya dan mendalami maknanya..
*********************************

Apa yang kamu kata ialah: Aku beriman dengan Allah yang bertempat di langit yang tiada aku ketahui kaifiyyatnya.

Atau bahasa lain yg selalu dipakai

Allah itu di langit dengan keadaan yang layak baginya.

Maka ini adalah fahaman mujassimah dan hasywiyyah. Kamu sebenarnya telah menetapkan BAHAWA ALLAH ITU BERTEMPAT dan cuma kamu kelirukan dengan kalimah tanpa kaifiyyat, yang layak denganNya dan sebagainya. Ini cuma untuk memaniskan perbicaraan yang hakikatnya adalah mujasimah dan mutasyabbih. Kerana kamu telah mensabitkan bahawa Allah itu bertempat dan berarah.

Sedangkan para salaf tidak beriktidad sedemikian, bagi mereka jika nash "fi sama`", "ala arsy" - maka kalimah-kalimah "pada langit", dan "atas arasy" yang menunjukkan kepada jihat atau arah, maka mereka beriman dengan firmanNya itu tetapi mentakwilkan secara ijmal bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah-kalimah tersebut bukanlah menetapkan jihat bagi Allah, maka apa maksudnya, serahlah sahaja kepada Allah. Jadi mereka mentakwilkan kalimah-kalimah yang membawa erti arah dan jihat itu kepada sesuatu makna yang tidak diperincikan tetapi bukanlah memberi erti arah dan jihat atau tempat.

Yang kamu fahami itu lain, kerana kamu telah memahami kalimah-kalimah tersebut sebagai membawa makna jihat, arah dan tempat. Maka kamu telah menisbahkan Allah itu bertempat.

Abu Muhammad berkata...

Jika itu yang diiktiqadkan, maka kamu seolah-olah menyatakan bahawa ALLAH BERTEMPAT TETAPI BERTEMPATNYA ALLAH ITU TIDAK SEPERTI BERTEMPATNYA MAKHLUK.

Maka bukankah ini adalah iktiqad hasywiah yang nyata.

Abu Muhammad berkata...

MAHA SUCI ALLAH DARI MENGAMBIL TEMPAT.

Abu Muhammad berkata...

untuk mudah faham, ambo letak contoh lagi:

"pada langit" / "atas arasy" -

Salaf : pada dan atas itu makna zahirnya menunjukkan arah / tempat, tetapi dlm ayat-ayat ini bukanlah itu yang dimaksudkan (dilencongkan maknanya), apa yang dimaksudkannya, itu tidaklah kita tahu, maka kita serahkanlah kepada Allah, Maha suci Allah daripada menyerupai makhluknya.

Khalaf : pada dan atas langit itu adalah kekuasaanNya, keagunganNya, ketinggianNya dan sebagainya (dilencongkan makna zahir kepada pengertian lain yang layak bagi Zatnya yang Maha Mulia).

Salafi Gadungan : Allah itu memang berada di langit atau atas arasy sebagaimana difirmankanNya, tetapi tidaklah kita tahu bagaimana kaifiyyatnya.

faqirdehilir berkata...

maksudnya "ghoiru ma wadhoa' al-lafzu lahu"

misalnya lafaz "atas langit", sebut saja atas, makna zohirnya bahagian yg atas kepala kita, tapi lafaz ni perlu dilencongkan kerana mustahil bg allah tu berjihat dgn satu dr jihat yg enam, lalu salaf serah makna sebenar kepada Allah tanpa beriktiqad bahawa "atas langit" tu maksudnya bahagian yg atas kepala, sbb kalau dimaknakan lafaz tersebut dengan bahagian yg atas, itu mustahil bg hak allah, makna sebenarnya camna, serah pd Allah. begitu lah iqtikaq para salaf.

maksudnya salaf melencongkan makna asalnya, lalu menyerahkan makna lencongan itu kpd allah
kalau khalaf pulak dilencongkan maknanya dan diterangkan lencongannya,

betul ke camtu fahamnya abumuhd? :)
kalau salah tlg tunjukkan

sblm nak faham ni kena pulak faham a'radh dan jauhar, sbb mustahil Allah tersusuh dari a'radh dan jauhar, tiap2 yg mustahil a'radh dan jauhar, mustahil bertempat

Abu Muhammad berkata...

betul wahai akhienal karim, atas tidak diberikan makna jihat, apa maknanya Allah sahaja yang tahu sebab mustahil Allah tertentu dengan sesuatu jihat.

Abu Muhammad berkata...

Akhie Tawel, ambo tanya guru ambo dan beliau maklumkan bahawa kalam Imam asy-Syafi`i yang mencela ilmu kalam memang ditujukan kepada puak muktazilah. Bahkan kalam beliau : "Seorg hamba menemui Allah dengan membawa dosa selain syirik lebih baik daripada membawa ilmu kalam" adalah ditujukan kepada seorang pemuka muktazilah bernama Hafash al-Fard. Inilah yang telah diceritakan oleh Ibnu Abd al-A'la dan al-Karabisi sebagaimana dinukil dalam kitab-kitab ulama kita antaranya Imamuna al-Ghazali dalam sebahagian karangan beliau.

al_ghumari berkata...

Assalamlu'alaykum...ya tuan sidi. sebut pasal Ibnu Abd al-A'la. adakah orang yg sama di sbut kan oleh imam abu zahrah dlm kitab tarikh mazahib? Abu Ya'la

Abu Muhammad berkata...

Wa 'alaikumus salam,

Dak sama orgnye. Abu Ya'la tu ulama Hanbali dan dikatakan sebagai seorang yang berfaham mujasimah.

Mohd Hafiz berkata...

Salamunalaik,boleh saya join korang