Shalawat Ibnu Mas`ud
Imam Ibnu Majah rahimahullah meriwayatkan dalam sunannya yang masyhur, jilid 1, hadis ke-906, halaman 290, bahawa Sayyidina 'Abdullah bin Mas`ud radhiyaAllahu 'anhu berkata:- "Apabila kamu bershalawat ke atas Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka hendaklah kamu memperbaguskan ucapan shalawat ke atas baginda tersebut (yakni memperelokkan, memperindahkan, memperbaikkan shighah shalawat), kerana sesungguhnya kamu tidak mengetahui mungkin ucapan shalawat kamu tersebut akan dibentangkan terus kepada baginda". Maka mereka bertanya: "Lalu ajarilah akan kami (akan ucapan shalawat)." Sayyidina Ibnu Mas`ud menjawab: Kamu ucapkanlah: "Ya Allah, jadikanlah shalawat, rahmat dan keberkatanMu ke atas pemimpin para rasul, imam orang - orang yang bertakwa, penutup sekalian nabi, Nabi Muhammad, hamba dan rasulMu, imam kebaikan, pemimpin kebajikan, rasul pembawa rahmat. Ya Allah, tinggikan darjat baginda mencapai makam terpuji yang menjadi dambaan orang - orang terdahulu dan kemudian. Ya Allah, limpahkanlah shalawat ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad sebagaimana Engkau melimpahkan shalawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya Allah, limpahkanlah keberkatan ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad, sebagaimana Engkau melimpahkan keberkatan ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."
Daripada riwayat Sayyidina Ibnu Mas`ud radhiyaAllahu `anhu, sahabat yang dikasihi dan dipuji Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam antaranya dengan sabdaan baginda bahawa: "dua betis Ibnu Mas`ud yang kurus kering itu lebih berat atas timbangan kebajikan berbanding bukit Uhud", dapat kita faedah bahawa perbuatan menggubah atau mengarang shighah - shighah shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah pun dilakukan sejak zaman sahabat lagi. Dari situ, berkesinambunganlah perbuatan sedemikian dilakukan oleh pencinta-pencinta Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sehinggalah ke masa kita sekarang. Maka muncul berbagai bentuk ucapan shalawat dengan kata-kata yang penuh seni dan keindahan, namun seindah mana pun ucapan tersebut pasti tidak akan mampu untuk mencapai dan memperikan hakikat kebesaran dan keagungan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan dari segala rupa bentuk keindahan susunan kata shalawat-shalawat tersebut, tetaplah pilihan para ulama bahawa ucapan shalawat yang afdhal adalah apa yang diajar sendiri oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang berupa segala shighah yang masyhur dengan panggilan Shalawat Ibrahimiyyah.
1 ulasan:
Allah.. Mohon share ya sidi
Catat Ulasan