Rabu, Oktober 17, 2018

Syaikh Abdul Rasyid Fathani

Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir pernah menulis mengenai Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani dan tulisan beliau tersebut telah diterbitkan dalam siri Penyebaran Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu, jilid ke-11 dan juga pernah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia satu ketika dahulu. Syaikh Ahmad al-Linggi rahimahullah ada menyebut sedikit tentang Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani yang merupakan moyang ayahanda beliau, Syaikh Muhammad Sa`id daripada pihak ibunya. Hal ini disebut dalam manakib Syaikh Muhammad Sa`id tulisan Mufti Syaikh Ahmad yang berjodol Kanzul Mu`id fi Manaqib al-'Arifbillah asy-Syaikh Muhammad Sa`id radhiya Allahu `anhu

Mufti Syaikh Ahmad rahimahullah dalam karya tersebut menulis bahawa Syaikh Abdur Rasyid adalah seorang ulama waliyullah yang dimuliakan dengan beberapa karamah. Di antara karamah-karamah beliau adalah:- (i) kitab-kitab yang beliau tinggalkan terdedah di luar tidak binasa oleh cuaca walaupun untuk tempoh masa yang lama; (ii) sesiapa yang istiqamah menuntut ilmu dengan beliau, diberikan kealiman dan dipanjangkan umur; (iii) air laut menjadi tawar; dan (iv) kapal tidak belayar ketika jenazahnya hendak dikubur di laut. Kata Syaikh Ahmad pada halaman 16 - 17 : Dan ada pun datuknya yang kedua daripada jihat ibunya iaitu al-'Allaamah al-Kabir, al-Fahhamah asy-Syahir, Shahibun li Wilayatil Baahirah, wal Karaamaatil Masyhurah, asy-Syaikh 'Abdur Rasyid al-Fathani yang dikubur akan dia pada Pulau Bidan, dan kuburnya di sana dikenal akan dia lagi masyhur. Menziarahi kepadanya oleh manusia daripada tepi-tepi dan jihat-jihat dan bertawassul mereka itu dengannya kepada Allah ta'ala pada sisi kesempitan dan kesukaran. Baginya beberapa karamah yang adalah yang terlebih besar daripadanya bahawa menghimpun ia akan sekalian kitabnya pada setengah peperangan yang terjadi di dalam negerinya dan meletak ia akan dia pada tepi satu sungai pada satu tempat yang tiadalah antaranya dan antara langit dinding dan pergilah ia kepada satu negeri dan berhenti ia di sana satu masa kemudian kembali ia kepada negerinya. Maka mendapat ia akan sekalian kitabnya seperti barang yang ada ia tiada berubah dan tiada binasa ia serta barang yang didapat di dalam negerinya pada demikian itu masa daripada banyak hujan dan angin. Dan setengah daripadanya bahawa tiada mulazamah akan dia oleh seorang pada menuntut ilmu akan sebagai mulazamah melainkan dibuka atasnya pada ilmu dan direzeki akan dia akan panjang umur. Dan setengah daripadanya bahawa berkendara ia akan laut pada sebuah kapal dan putuslah daripada ahlinya oleh air tawar dan payahlah atas mereka itu oleh keadaan maka turunlah radhiyaAllahu`anhu kepada laut dan menjuntai ia akan dua kakinya ke dalam laut dan menyuruh ia akan mereka itu bahawa mengambil mereka itu akan air-air yang di keliling kedua kakinya akan barang yang memada ia akan mereka itu pada perjalanan mereka itu maka mengambil mereka itu akannya dan mendapat oleh mereka itu akannya tawar. Dan setengah daripada bahawa diwafat akan dia di dalam satu kapal dan ianya musafir ke negeri Mekah pada satu tempat yang jauh daripada daratan, maka menghendaki mereka itu mengkuburkannya pada laut seumpama adat mereka itu. Maka tiada mengizin Allah ta`ala pada yang demikian kerana memuliakan bagi waliNya, daripada sekira-kira bahawa mereka itu apabila menghendaki mereka itu mencampak akannya kepada laut tiadalah mengkeras oleh Allah ta`ala dengan belayar kapal di atas laut. Maka mengetahui mereka itu akan yang demikian dan mengqasad mereka itu akan mengkubur akan dia pada daratannya, maka mengizin Allah ta`ala pada yang demikian dengan belayar kapal. Maka belayarlah ia kepada satu tempat yang telah meninggal ia akannya pada pelayaran satu hari dan satu malam dan iaitu Pulau Bidan, satu pulau yang diketahui akan dia dengan berhampiran Pulau Pinang dan dikuburkan radhiyaAllahu `anhu di sana, waAllahu `alam.


Malangnya, makam Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani di Pulau Bidan yang terkenal sebagai Keramat Pulau Bidan telah dijadikan tempat pemujaan dan perlakuan khurafat oleh orang - orang yang jahil. Maka para waris beliau, katanya setelah mendapat alamat mimpi, telah memindahkan jasad Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani ke tanah besar dan dimakamkan semula di satu lokasi yang dirahsiakan untuk mengelak berulangnya perbuatan pemujaan dan khurafat. Diceritakan bahawa ketika mereka menggali makam tersebut, keluar bau harum semerbak dan didapati jasad almarhum Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani masih  utuh dan berkeadaan baik seolah-olah baru sahaja meninggal.

Begitulah kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, walaupun kita membenarkan ziarah, tawassul, istighatsah dan seumpamanya. Namun tidaklah bererti kita kompromi dengan amalan-amalan yang bersifat pemujaan, takhayyul dan khurafat yang nyata bercanggah dengan Islam. Mudah-mudahan Allah merahmati Syaikh Abdul Rasyid al-Fathani sentiasa dan mengalirkan keberkatannya kepada kita semua.

Tiada ulasan: