Rabu, Julai 29, 2020

Doa Arafah Seorang Shalih

Alhamdulillah
, sampai umur kita menemui hari Tarwiyah, mudah-mudahan sampai pula ke hari - hari 'Arafah, 'Aidul Adha dan Tasyrik. Hari - hari yang mempunyai kelebihan untuk menambah bekalan kita menuju hari - hari yang panjang tiada berkesudahan nanti. Sekadar berkongsi bagi sesiapa yang sudi, sepotong doa yang pendek yang pernah diamalkan oleh para shalihin. Doa yang intinya permohonan agar Allah ar-Rahman menganugerahkan kita ganjaran, fadhilat dan kelebihan amalan dan hari 'Arafah. Yakni agar kita disyarikatkan atau disekutui atau mendapat bahagian dan saham dalam ganjaran dan kelebihan yang dilimpahkan Allah `azza wa jalla dalam hari yang mulia tersebut.

Doa ini faqir nukil dari kitab Nuzhatul Majaalis karangan Syaikh 'Abdur Rahman ash-Shafuri rahimahullah. Faqir sedar bahawa kitab ini mengandungi hadis - hadis yang bermasalah sehingga ada ulama yang menolaknya. Namun, tidak sedikit ulama yang menjadikan karangan ini sebagai panduan, terutama sekali dalam perkara fadhilat, zikir dan doa. Syaikh 'Abdur Rahman bin `Abdus Salam ash-Shafuri rahimahullah adalah seorang ulama Mekah yang dikenali sebagai seorang sejarawan (mu`arrikh) dan seorang sastrawan (adib). Beliau bermazhab Syafie dan wafat dalam tahun 894H / 1489M). Antara karya - karya lain beliau adalah al-Mahaasinul Mujtama`ah fil Khulafaa-il Arba`ah, ash-Shiyam, dan Shalaahul Arwaah wath Thariiqi ila Daaril Falaah. Namun, karya beliau yang paling masyhur dan banyak beredar adalah kitab Nuzhatul Majaalis. Berbalik kepada doa yang akan perhamba nukilkan di sini adalah doa yang berasal dari seorang shalih, tiada dinisbahkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka tidaklah timbul isu hadis palsu, dhaif atau seumpamanya. 

Di halaman 209 Nuzhatul Majaalis, Syaikh `Abdur Rahman mendatangkan satu hikayat seperti berikut:- Hikayat: Telah berkata sebahagian orang shalih bahawa beliau telah melihat seorang lelaki di Mekah yang berdoa: "Allahumma bi haqqi shaa-imii 'Arafah, laa tahrimni tsawaaba 'Arafah (Wahai Allah, dengan kemuliaan orang - orang yang berpuasa pada hari 'Arafah, janganlah hendaknya Engkau tegahkan aku daripada memperolehi ganjaran pahala pada hari 'Arafah)." Lalu aku bertanya kepadanya mengenai doa tersebut. Dia menjawab: "Adalah ayahku berdoa dengan doa tersebut. Ketika mana beliau wafat, aku telah bermimpi bertemu dengannya, lalu aku bertanya: "Apa yang dilakukan Allah terhadap dirimu?" Dia menjawab: "Aku telah diampunkan dengan berkat doa ini, tatkala aku dibaringkan dalam kuburku telah datang kepadaku nur, lalu dikatakan kepadaku: "Inilah pahala 'Arafah yang telah Kami muliakan engkau dengannya." 

Kisah ini turut dinukilkan oleh para ulama Nusantara dalam karya - karya mereka. Misalnya, Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani rahimahullah menukilkannya dalam al-Bahjatul Mardhiyyah dan Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam Bada-i`uz Zuhuur. Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik menulis dalam al-Bahjatul Mardhiyyah pada halaman 141 - 142 sebagai berikut:- ... Dan hikayat setengah daripada shalihin katanya: "Aku lihat seorang laki - laki di Mekah berkata ia: "Allahumma bi haqqi shaa-imii 'Arafah, laa tahrimni tsawaaba 'Arafah",yakni "Hai Tuhanku, dengan sebenar segala orang yang puasanya 'Arafah, jangan Engkau haramkan daku pahala 'Arafah". Maka bertanya aku baginya pada sebut yang demikian itu. Maka katanya: "Adalah bapaku mendoa ia dengan doa ini, maka tatkala matinya, aku lihat akan dia di dalam tidur, maka kataku baginya: "Apa yang diperbuat Allah dengan dikau?" Katanya: "Diampuni bagiku dengan doa ini dan tatkala dihantarkan daku pada kuburku, mendatang akan daku nur, maka dikatakan bagiku: "Ini pahala 'Arafah, sungguhnya telah Kami muliakan dikau dengan dia."

Mudah - mudahan kisah yang diceritakan oleh para ulama ini bermanfaat buat kita. Marilah mempertingkatkan amalan dalam hari 'Arafah yang mulia. Jangan diabaikan saham akhirat kita, mari tambah pelaburan.

Tiada ulasan: