Jumaat, Disember 03, 2021

Madad Ya RasulAllah - Sidi Bajuri

Bagi umat Islam di tempat kita, bahkan di rantau Nusantara ini, amalan beristighatsah (yakni tawassul dalam bentuk seruan) dengan kata atau kalimah "madad" seperti ungkapan - ungkapan istighatsah seumpama: "Madad Ya RasulAllah" atau "Madad Ya Husain", bukanlah sesuatu yang biasa atau lazim dilakukan, berbanding di negara - negara Timur Tengah seperti Mesir dan sekitarnya. Masyarakat awam di negara kita, mungkin baru kenal dengan istilah "madad"  tersebut, setelah tersebarnya qasidah "al-Madad" yang dilantunkan oleh Habib Syaikh bin Abdul Qadir hafizahullah. Sebagaimana istighatsah, perkara ini tidak lepas daripada pertikaian ulama, ada yang mengharuskannya dan sebahagian pula menegahnya. Jadi, ianya adalah perkara yang menjadi ikhtilaf di kalangan ulama. Maka berlapang dadalah, janganlah menjadikan ia satu alasan untuk menyerang, menghukum atau lebih dahsyat lagi, mensyirikkan sesama umat yang mentawhidkan Allah `azza wa jalla. Mereka - mereka yang beristighatsah dengan kalimah "madad" (tolong / bantu / sokong) sebenarnya hanya memohon bantuan yang boleh atau dapat dihulurkan oleh seseorang dengan izin Alah serta berkeyakinan bahawa yang Maha Berkuasa atas segala - galanya hanya Allah ta`ala semata.

Syaikh Shalih al-Ja'fari rahimahullah, ulama yang menjadi Imam Masjid al-Azhar asy-Syarif yang terkenal dengan kewaliannya, pernah ditanya mengenai hal  istighatsah dengan seruan madad ini dan beliau menjelaskannya sebagai berikut:- "Orang yang berakal ketikamana mengucapkan sesuatu kalimah, pasti dia mengetahui maksudnya. Maka aku bertanya kepadamu: "Ketika engkau lapar dan berkata kepada ibumu: "Madad (Tolong)", lalu apa yang engkau maksudkan?" Maksudnya pasti: "(Tolong) Berikan aku makanan." Oleh itu, kalimah "al-madad" bererti: "Tolonglah aku dengan apa yang ada padamu atau bersamamu." Seorang lelaki yang sedang makan kurma, jika engkau berkata kepadanya: "Madad", maksudnya adalah: "Tolong berikan kepadaku sebiji." Seorang lelaki yang sedang minum air, apabila engkau berkata kepadanya: "Madad", ertinya adalah: "Tolong berikan aku secawan." ........ Dan wali Allah itu sentiasa dalam keadaan berzikir dan berdoa kepada Allah, lalu jika engkau berkata kepadanya: "Madad", ertinya adalah: "Tolonglah aku dengan doa." Sidi Ibrahim ad-Dusuqi radhiyaAllahu `anhu berzikir ingatkan Tuhannya di raudhahnya (yakni di makamnya) siang dan malam, maka apabila engkau berkata kepadanya: "Madad Ya Sayyidi Ibrahim", ertinya : "Tolonglah aku dengan doa." Sidi Ibrahim (yang telah wafat) tidak mempunyai makanan dan minuman di sisinya, yang ada di sisi beliau adalah doa yang mustajab sahaja. Adakah engkau yang bertanya (mengenai persoalan madad ini) telah faham ???

Justru itu, di Mesir, bumi al-Azhar, bumi ilmu yang dipenuhi ulama - ulama besar, orang - orang yang beristighatsah dengan kalimah "madad" seperti "Madad Ya Husain", tidaklah dipersoalkan sangat, apatah lagi sehingga dihukumkan sebagai syirik dan seumpamanya. Jangankan orang darat, bahkan para ulamanya pun bermadad dengan anbiya` dan awliya`. Kita tidak menafikan ada segelintir ulama yang tidak suka dengan istighatsah seumpama ini, namun ini tidak menjadikan hukum beristighatsah dengannya sebagai haram mutlak. Makanya pihak berwenang di sana telah mengeluarkan fatwa agar jangan bermudah - mudah untuk mensyirikkan mereka - mereka yang beristighatsah dengan menyebut: "Madad Ya Husain" atau seumpamanya.

Syaikhul Azhar yang ke-19, ulama dan wali terbilang, pengarang kitab - kitab yang menjadi sandaran dan rujukan sehingga ke hari ini, al-Imam al-`Alim al-'Allaamah Sidi Ibrahim al-Bajuri rahimahullah ketika menulis khatimah (penutup) bagi karangan beliau yang masyhur dalam fiqh Syafie, "Hasyiah al-Bajuri `ala Ibni Qasim al-Ghazi", menyatakan bahawa beliau telah melakukan tawassul dan istighatsah dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan ahli bait radhiyaAllahu `anhum, memohon bantuan dan sokongan (boleh sahaja bantuan dan sokongan tersebut berupa doa restu atau syafaat atau keredhaan atau sebagainya menurut kehendak dan izin Allah ta`ala, Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa) dengan menggunakan seruan "madad".  Beliau menulis pada halaman 396, juz 2 (hujung kitab tersebut), antara lain, sebagai berikut:-
.....Dan demikian pula, sebahagian ibarat kitab hasyiah ini telah aku tulis di al-Haram al-Madani (Masjid Nabawi) di sisi mimbar Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan semoga Allah merezekikan kami untuk kembali menziarahinya. Dan aku berkata di sisi baginda dan di hadapan baginda: "Madad-ka Ya RasulAllah, shallaAllahu `alaika wa sallam, Madad-ka Ya RasulAllah, shallaAllahu `alaika wa sallam, Madad-ka Ya RasulAllah, shallaAllahu `alaika wa sallam." Dan aku juga berkata: "Madad-kum, Ya Ahlal Bait, radhiyaAllahu ta`ala `ankum ajma`in, Madad-kum, Ya Ahlal Bait, radhiyaAllahu ta`ala `ankum ajma`in, Madad-kum, Ya Ahlal Bait, radhiyaAllahu ta`ala `ankum ajma`in, ........
Allahu .... Allah, adakah Sidi Ibrahim Bajuri telah jadi syirik dengan ucapan tersebut????? 

Selanjutnya, tidak kurang menarik, catatan Sidi Ibrahim yang menyatakan bahawa beliau telah sempurna menulis karyanya bertepatan dengan hari peringatan mawlid bagi Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu ta`ala `anhu, lalu beliau telah membacakan Surah al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada Sidi Badawi (laaaaaa faqir ingatkan orang bodoh seperti kita sahaja yang hadiahkan al-Fatihah kepada arwah, rupanya ulama besar faqih Syafie pun melakukannya). Bukan itu sahaja, Sidi Ibrahim al-Bajuri juga berpesan kepada sesiapa yang menamatkan pembacaan kitab beliau tersebut untuk menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Sidi Ahmad al-Badawi . Allahu ....Allah, cinta sungguh Sidi Bajuri dengan Sidi Badawi. Dalam juz pertama Hasyiah tersebut pada halaman 245, Sidi Ibrahim al-Bajuri menyatakan bahawa jika seseorang yang mati diberikan keramat sehingga boleh memandikan jenazah dirinya sendiri setelah matinya itu, maka memadailah mandinya itu untuk menggugurkan kewajipan atas orang lain memandikan jenazahnya, lalu beliau mencontohkan bahawa keramat seperti ini telah berlaku ke atas Sidi Ahmad al-Badawi radhiyaAllahu `anhuma wa `an jami`il awliya` wal ashfiya` wal `ulama wash shalihin.......Lahumul Fatihah. Mudah - mudahan bermanfaat dan Allah limpahkan keberkatan yang dianugerahkanNya kepada beliau - beliau tersebut kepada kita dan anak keturunan kita sekaliannya.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tiada kesalahan dalam meminta pertolongan (madad) daripada para nabi, wali dan orang - orang shalih. Meminta pertolongan daripada para nabi, wali dan shalihin, samada yang masih hidup maupun yang sudah wafat adalah sebahagian perkara yang disyariatkan, yang telah menjadi amalan kaum Muslimin. - Dr. Shauqi 'Allam, Mufti Mesir.

Qasidah Masyhur 
(Madad Ya Maulana Ya Husain)

Tiada ulasan: