Selasa, Disember 21, 2021

Jangan Tinggalkan Barzanji

Siapa yang tidak kenal akan kitab Mawlid al-Barzanji? Kitab Mawlid yang paling masyhur di dunia Melayu. Mawlid ini sangat dekat dengan bangsa kita, rata pondok - pondok di Tanah Melayu dan Nusantara menjadikan kitab ini sebagai bacaan "mesti" dalam majlis - majlis memperingati mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Masyarakat awam kita juga tidak jauh dengan kitab mawlid ini, dahulu dalam setiap kenduri - kendara seumpama nikah kahwin dan kesyukuran, pasti dibacakan sedikit sebanyak fashal daripada kitab yang mulia ini lalu diikuti dengan bacaan shalawat dan marhaban dan ditutup dengan doa. Sekarang pun masih tetap berlaku sedemikian, melainkan di tempat - tempat yang sudah termakan dakyah ahli bid`ah membid`ah. Maka boleh kita katakan bahawa Mawlid Barzanji ini telah kita warisi daripada para ulama kita zaman berzaman dari mula tok nenek kita menerima Islam sehinggalah ke hari ini. Seharusnyalah kita tetap pelihara warisan tok nenek kita ini dengan melestari dan terus membaca kitab yang berkat ini.

Ulama kharismatik Tanah Seberang, KH Maimoen Zubair rahimahullah amat mengambil berat terhadap Mawlid Barzanji. Dalam pengajian, beliau pernah menyatakan, sebagaimana dirakam dalam buku KH. Maimoen Zubair: Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam pada halaman 65, sebagai berikut: Tahun 1100H ke atas. Perkembangan ilmu pengetahuan Islam maju lagi. Yaitu munculnya Kitab al-Barjanji yang mensyiarkan tentang rasa cinta kepada Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jangan kalian melupakan kitab asal ini meskipun sudah ada kitab - kitab yang memuji terhadap Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dikarang oleh ulama selain Imam al-Barjanji.


Sesungguhnya Mawlid al-Barzanji tidak cukup dengan pengenalan, cuma yang perlu berkenalan yang lebih akrab, dengan banyak membaca dan mengambil faedah daripadanya. Tersangat banyak manfaat, faedah dan pelajaran daripada pribadi dan sirah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang dapat dipetik daripada kitab yang kecil tersebut. Bermawlid bukan sahaja ertinya bershalawat tapi juga mengambil faedah dan pengajaran daripada apa yang dibaca atau didengar atau dilantun. Mudah - mudahan kitab Mawlid al-Barzanji karya Mufti Madinah ini tetap terus dibaca demi membesar dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Klip Ceramah Gus Baha
(murid KH Maimoen)

Tiada ulasan: