Khamis, Julai 21, 2022

Menghargai Hadiah Si Hidup

Shahibus Samahah Syaikh Yusuf bin Shahabuddin rahimahullah adalah seorang ulama yang alim lagi `allaamah, dilantik menjadi mufti pertama bagi Negeri Selangor. Beliau dilahirkan di Kampung Teluk Menegon, Kelang, Selangor, sekitar tahun 1889M / 1306H. Beliau memulakan pendidikan formal di Sekolah Melayu Teluk Menegon sehingga tamat darjah 5, yang melayakkan beliau menjadi guru sekolah. Walaupun diberi tawaran untuk menjadi guru, beliau menolaknya kerana ingin mendalami ilmu agama. Diceritakan minat beliau untuk mendalami ilmu - ilmu agama tumbuh setelah beliau terjumpa dan membaca kitab Siyarus Salikin karangan Syaikh Abdus Shamad al-Falimbani rahimahullah.

Maka berangkatlah Shahibus Samahah ke Bukit Mertajam untuk memondok di Pondok Padang Lalang, menimba ilmu dengan pengasasnya, Tuan Guru Haji Ahmad. Beliau mengaji di bawah asuhan Tuan Guru tersebut lebih kurang 13 tahun sehingga betul - betul alim di dalam bidang fiqh, tauhid, tashawwuf, tafsir, hadis dan ilmu - ilmu alat yang lain. Kemudian, beliau berangkat ke Mekah al-Mahmiyyah untuk menyambung pengajian sekitar tahun 1911. Beliau kembali semula ke tanahair sekitar tahun 1917 dan mula mengasaskan pondok pengajian di Selekoh, Perak. Sekitar tahun 1937, Shahibus Samahah berangkat lagi ke Mekah untuk menambah lagi ilmu beliau dan bermukim di sana. Pada tahun 1952, Sultan Hishamuddin, Sultan Selangor ketika itu, telah pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Di sana baginda telah bertemu dengan Syaikh Yusuf Shahabuddin dan kagum dengan ilmu dan pribadinya. Lalu baginda memujuk Syaikh Yusuf Shahabuddin untuk kembali ke Selangor agar dapat mendampingi baginda dan menjadi mufti kerajaan menggantikan Syaikhul Islam Selangor, Syaikh Mahmud Zuhdi, yang telah bersara. Pada awalnya, Syaikh Yusuf Shahabuddin keberatan dengan pelawaan tersebut, namun akhirnya beliau akur dengan pujukan baginda sultan dan kembalilah beliau serta keluarga ke tanahair. Beliau dilantik oleh baginda sebagai mufti pertama bagi Negeri Selangor dan berkhidmat selama lebih kurang 14 tahun (1953 - 1967).

Shahibus Samahah Haji Yusuf Shahabuddin rahimahullah meninggalkan dunia yang fana ini ketika di Mekah, pada tahun 1967 dan dimakamkan di sana. Beliau meninggalkan murid - murid yang ramai dan karya - karya tulis yang bernilai. Antara karya tulis beliau adalah seperti berikut:- Mukhtashar min anwaril Quran fi raddi mutanabbi` al-Qadiyan (karangan beliau untuk menjawab dan menolak ajaran Qadiyani yang sesat menyesatkan), Irsyadul Ummah ila Madzahibil Arba`ah (karangan tentang usul dan kaedah fiqh mengenai taqlid kepada mazhab yang empat), Sekitar Hukum Memungut Zakat, Kifayatus Salik wa Bulghatul `Abidin Nasik (karya tashawwuf) dan Risalah Pembantu kepada Orang - Orang Islam Laki - Laki dan Perempuan Yang Telah Mati Di Dalam Kubur Dengan Percintaan.

Untuk berkat dan meratakan manfaat, sukacitalah faqir nukilkan di sini sebahagian tulisan almarhum Shahibus Samahah, beliau muatkan dalam karangan beliau yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam Selangor, iaitu Risalah Pembantu tersebut. Syaikh Yusuf Shahabuddin menegaskan bahawa sampai pahala - pahala amalan termasuklah bacaan - bacaan al-Quran, zikir dan tahlil kepada arwah kaum muslimin yang telah wafat. Beliau menyebut betapa gembiranya para arwah tersebut jika memperolehi hadiah - hadiah pahala daripada orang hidup. Pada halaman 9, dinyatakan, antaranya, sebagai berikut:- "....Ketahui olehmu bahawasanya mayyit, apabila berhadiah oleh orang yang hidup akan dia apa - apa jua yang dihadiahkannya kepadanya adalah mayyit membilangkan banyak pemberian si hidup kepadanya. Bersalahan orang hidup, terkadang kita beri kepadanya, tiada ia menghargainya. Tetapi orang mati tiada ia menghinakan pemberian orang hidup walaupun sekadar 'sebanyak nyamuk' (nota: mungkin tersilap cetak, sebenarnya yang dimaksudkan adalah 'sayap nyamuk') atau kadar zarrah sekalipun kerana ia mengetahui akan harganya......."

Sebenarnya, apa yang dinyatakan beliau ini, beliau nukil dari karya guru beliau Syaikh Muhammad al-`Arabi at-Tabbaani al-Husain rahimahullah yang menukilnya dalam karangan beliau yang berjodol Is`aaful Muslimin wal Muslimaat yang beliau pungut dari kitab tafsir al-Jawaahirul Hisaan karangan al-`Allaamah al-Hafiz Syaikh `Abdur Rahman ats-Tsa'labi daripada kalam al-Hafiz al-`Allaamah Abdul Haq al-Asybili dalam kitabnya al-`Aqibah yang menyatakan, antaranya sebagai berikut:- ".....Ketahuilah bahawa orang mati itu seperti orang hidup dari segi memberi dan menghadiahkan sesuatu kepadanya. Bahkan, si mati itu berlebih - lebihlah (kesukaan dan penghargaannya), kerana orang yang hidup boleh jadi memandang rendah atau kecil akan sesuatu yang dihadiahkan kepadanya atau dia meremehkan apa yang diberikan kepadanya. Orang yang telah mati pula tidak akan memandang rendah sesuatu pun daripada yang sedemikian itu, walaupun ianya sekadar sebesar sayap nyamuk atau hanya seberat timbangan satu zarah, kerana dia tahu akan nilainya.........."

Allahu ... Allah, begitulah tuan - tuan, orang mati yang sudah putus amalan dirinya selain tiga yang masyhur - sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan doa anak yang shalih -, amatlah menghargai, bahkan menanti - nanti orang hidup untuk menghadiahkan pahala amalan kepada mereka. Tak kiralah samada amalan tersebut berupa sedekah atau waqaf harta benda, doa, istighfar, bacaan Quran, zikir, shalawat dan seumpamanya. Setiap yang dihadiahkan itu akan mendapat penghargaan yang setinggi - tingginya daripada mereka. Diharap apabila kita berpulang nanti, dalam keadaan sudah putus amalan diri, ada hendaknya mereka - mereka yang sudi menghadiahkan sesuatu kepada kita, samada atas jalan umum muslimin muslimat, lebih - lebih lagi atas jalan khusus kepada diri pribadi kita. Marilah kita hadiahkan bacaan surah al-Fatihah kepada para ulama yang disebutkan tadi dan juga kepada sekalian umat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Nak hadiahkan sedekah duit, kena pegi banklah pulak, kena cari faqir miskinlah pulak, nak mujahadah lawan sifat kedekutlah pulak, dan dan dan ..... kita buat yang mudah dulu .....al-Fatihah....Allahummagh fir lahum warhamhum.

Tiada ulasan: