Khamis, Julai 14, 2022

Nur Muhammad - TG Hj Sulum

Sebagai tambahan kepada entri Nur Muhammad, kali ini faqir nukil dari kitab karangan asy-Syahid TG Haji Muhammad Sulum bin `Abdul Qadir bin Muhammad al-Fathani @ TG Hj Sulong rahimahullah yang berjodol Cahaya Islam, Gugusan Mawlid Sayyidil Anaam. Pada risalah ini Tuan Guru rahimahullah menyatakan ianya sebagai perihal asal bagi berbuat mawlid yang karim dan menyatakan kelebihannya yang`amiim. Dan sebagaimana lazimnya karya - karya mawlid, beliau memulakannya dengan memperikan kisah penciptaan Nur Muhammad sebagai ciptaan terawal.
Dalam juz 1, pada halaman 37 - 39, beliau rahimahullah menulis, antaranya, sebagai berikut:-  ".....lalu dijadikan Nur Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada tak dak kepada ada. Maka ialah awal - awal kejadian Allah ta`ala seperti sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: ....artinya "Awal - awal barang yang menjadi oleh Allah ta`ala itu nur aku," dan pada satu riwayat: "ruhku." Maka adalah sekalian alam ini dijadikan dia oleh Allah ta`ala daripada sebab Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam kerana firman Allah ta`ala di dalam qudsi: .....artinya, " Aku jadikan segala perkara itu kerana engkau ya Muhammad dan Aku jadikan akan dikau kerana Aku," yakni Aku jadikan Nur Muhammad itu dengan tiada menengahi suatu jua pun, hanya semata-mata dengan Qudrah Iradah Allah ta`ala. Sabda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Adalah aku nur antara Qudrah dan Iradah Allah ta`ala sebelum lagi dijadikan Nabi Adam dengan 2000 tahun. Mengucap tasbih oleh Nur itu akan Allah ta`ala dan mengikut tasbih oleh malaikat dengan sebab tasbih Nur itu." Dan diriwayatkan daripada `Ali bin al-Husain daripada Sayyidina `Ali bin Abi Thalib daripada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda ia: "Adalah aku nur di antara Qudrah dan Iradah Allah ta`ala sebelum lagi dijadikan Adam dengan 14000 tahun. Maka tatkala hendak dijadikan Nabi Adam, dimasukkan nur itu ke dalam tanah yang dikemil hendak dijadikan Nabi Adam. Dan diturunkan Nabi Adam ke bumi, adalah aku pada sulbi Nabi Adam. Maka jadilah Nabi Adam khalifah (ganti Allah ta`ala) di atas muka bumi. Dan menjadikan daku di dalam sulbi Nabi Nuh pada masa ia di dalam perahu pada ketika karam dunia. Maka selamatlah mereka - mereka yang di dalam perahu itu daripada tenggelam. Dan menjadikan daku di dalam sulbi Nabi Ibrahim pada ketika dicampak akan dia oleh Namrud ke dalam api, maka jadilah api itu sejuk.........."

Begitulah sedikit peri kejadian Nur Muhammad yang dinukil oleh TG Haji Sulong rahimahullah. Oleh itu janganlah bermudah - mudah mengkhurafatkan atau menyesatkan sesiapa yang percaya bahawa Allah memulakan penciptaannya dengan makhluk terawal yang dinamakan sebagai  Nur Muhammad yang merupakan rohnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi sallam yang menjadi sebab dan pembuka bagi diwujudkan Allah segala ciptaan lain. Maka sesiapa yang tidak bersetuju atau kurang bersetuju, itu adalah hak kamu masing - masing. Tidaklah perlu dicemoh dan dihina mereka - mereka yang percaya, kerana di antara mereka itu ada ulama dan awliya`. Bertasamuhlah.

Tiada ulasan: