Rabu, November 26, 2025

Bujairimi & Hasyiah Bujairimi

Syaikh Sulaiman bin Muhammad bin `Umar al-Bujairimi rahimahullah adalah salah seorang ulama kenamaan dalam Mazhab Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 1131H di Bujairim, sebuah desa di barat Mesir dan wafat pada tahun 1221H. Sejak kecil beliau telah dihantar ke Kaherah untuk menuntut ilmu di al-Azhar asy-Syarif. Beliau terkenal sebagai seorang faqih dan muhaddits dan disematkan kepadanya gelar "Khatimatul Muhaqqiqin".

Di rantau kita, mungkin karya Syaikh Sulaiman al-Bujairimi yang paling masyhur adalah hasyiah beliau atas kitab al-Iqna` karangan Syaikh Khathib asy-Syarbini rahimahullah. Hasyiah tersebut diberi jodol Bujairimi alal Khathib atau Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khathib. Kitab al-Iqna` pula adalah syarah bagi kitab at-Taqrib atau Ghayatul Ikhtishar atau lebih dikenali sebagai Matan Abi Syuja` karangan al-Imam al-Qadhi Abu Syuja` al-Ashfahani rahimahullah. Mengikut tradisi pengajian sesetengah pondok dan sebahagian ulama, bila disebut "Bujairimi" atau "Bujairimi `alal Khathib", maka yang dimaksudkan adalah kitab ini, yang merupakan hasyiah bagi Iqna`.

Selain, Bujairimi `alal Khatib, Syaikh Sulaiman al-Bujairimi juga memiliki karya lain yang menghasyiahkan kitab Fathul Wahhab karangan Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari rahimahullah. Kitab ini dinamakan Hasyiah al-Bujairimi `ala Syarhi Manhajith Thullab atau at-Tajrid Linaf`il Abid. Manhajuth Thullab itu adalah karya Syaikhul Islam Zakaria juga dan karya ini beliau syarahkan pula menjadi kitab Fathul Wahhab. Kebiasaannya, jika disebut "Hasyiah Bujairimi", maka yang dimaksudkan adalah hasyiah al-Bujairimi bagi Fathul Wahhab.

Faqir catatkan hal ini di sini sebagai kenangan ketika mengaji dahulu dan juga kerana telah berlaku kekeliruan ketika ada yang merujukkan faqir kepada Bujairimi sedangkan yang dimaksudkan adalah Hasyiah Bujairimi. Untuk mengelak berlaku kekeliruan lagi, maka kebiasaanya Bujairimi atau Bujairimi alal Khathib  itu merujuk kepada Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khathib yang merupakan hasyiah bagi kitab Iqna` karya Syaikh Khathib asy-Syarbini, manakala Hasyiah Bujairimi merujuk kepada at-Tajrid Linaf`il `Abid yang merupakan hasyiah bagi Fathul Wahhab karya Syaikhul Islam Zakaria. Begitulah sekadar untuk ingatan dan rujukan para penuntut ilmu.

Khamis, November 13, 2025

Kisah Keberkatan Yaasin

Entri kali ini faqir kongsikan satu kisah atau cerita yang dimuatkan oleh Syaikh Zainuddin al-Malibari rahimahullah, pengarang Fathul Mu`in, dalam satu lagi karya beliau yang berjodol Irsyaadul `Ibaad ila Sabiilir Rasyaad. Kitab ini telah disyarahkan oleh ulama besar Nusantara, pengarang Siraajuth Thaalibiin syarah bagi kitab Minhaajul `Aabidiin karangan Hujjatul Islam al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu, Syaikh Ihsan bin Dahlan al-Jampesi al-Kediri rahimahullah. Syaikh Ihsan dilahirkan pada tahun 1901 dan wafat pada tahun 1952. Beliau antara ulama yang tidak pernah mengenyam pengajian di Timur Tengah, namun ilmunya setanding dengan para ulama di sana. Beliau menguasai ilmu - ilmu alat, seperti nahwu dan sharaf, sehingga dapat mengarang kitab - kitab besar berbahasa Arab yang bermutu tinggi, walaupun lidahnya tidak fasih bertutur dalam bahasa tersebut, kerana jiran - jiran dan orang sekampungnya semua berbahasa Jawa. Inilah antara keistimewaan Syaikh Ihsan dari Jampes, Kediri. Syarah beliau bagi Irsyaadul `Ibaad itu berjodol Manaahiijul Imdaad dalam dua jilid tebal.

Berbalik kepada Irsyaadul `Ibaad, Syaikh Zainuddin al-Malibari pada halaman 56 menukilkan satu cerita daripada seorang ulama terkenal, Imam al-Yafi`i al-Yamani rahimahullah sebagai berikut:- Aku (yakni Imam al-Yafi`i) telah mendengar daripada seorang yang shalih di salah satu kota di negeri Yaman bahawa pernah suatu ketika dia selesai mengebumikan satu jenazah dan orang - orang yang ikut menghantar jenazah tersebut telah bersurai, dia mendengar bunyi satu pukulan atau cambukan yang kuat lagi dahsyat dari dalam kubur si mati. Lalu muncul dari kubur tersebut seekor anjing hitam. Syaikh tersebut terperanjat dan berkata: "Aduh celaka, apakah engkau?" Anjing tersebut menjawab: "Aku adalah amalan si mati (yakni amalan buruknya yang dirupakan sebagai seekor anjing ganas)." Syaikh tersebut bertanya lagi: "Apakah pukulan tadi bagi engkau atau bagi si mati?" Anjing tersebut menjawab: "Bahkan, pukulan tadi adalah bagiku, ketika aku hendak menyerang si mati, aku dapati di sisinya ada surah Yaasin dan saudara - saudaranya (yakni surah - surah yang telah disebut terdahulu seperti as-Sajadah dan al-Mulk yang seperti Yaasin berkelebihan untuk memberikan syafaat dalam kubur) yang menghalangi antara aku dan dia, lalu aku dicambuk dan diusir."

Allahu ...Allah, begitulah kisahnya. Ingat ini hanya sebuah cerita, terpulang untuk percaya atau tidak. Namun, tidaklah menjadi bid`ah qabihah untuk mengistiqamahkan bacaan surah - surah yang mempunyai kelebihan tertentu seperti Yaasin, as-Sajadah dan al-Mulk, samada setiap malam atau sekali seminggu teristimewa di malamnya Sayyidul Ayyam. Jika ada yang membid`ahkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat, usah gusar kerana kita punya Hujjatul Islam al-Ghazali yang menganjurkan kita membaca surah - surah tersebut pada malam Jumaat sebagaimana yang beliau sebut dalam Bidaayatul Hidaayah. Tentang syafaat dan pembelaan daripada amal - amal shalih seperti shalat, tilawah dan seumpamanya bagi si pelaku ketika di dalam kubur atau di alam barzakh memang ada beberapa riwayat dengan berbagai darjat. Antaranya adalah riwayat yang mafhumnya bahawa ketika malaikat azab hendak mendatangi si mati dari arah kepalanya, maka ibadah membaca al-Quran si mati akan menghalangnya; Jika dia datang dari arah sisi, maka sedekah si mati akan jadi penghalang; Dan jika dia datang dari arah kaki, maka ibadah si mati berjalan ke masjid akan menolaknya. Begitu juga telah datang riwayat bahawa amalan shalih si mati akan dimisalkan atau dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang cantik, indah rupawan, tampan lagi semerbak wangi sebagai penghibur dan temannya, manakala amalan buruknya dirupakan dengan bentuk atau rupa atau sosok yang hodoh menyeramkan lagi busuk baunya. Semoga Allah memuliakan kita ketika kita berada di alam barzakh dengan pelbagai rupa rahmat dan nikmat atau setidak - tidaknya kita ditidurkan Allah sebagaimana tidurnya pengantin, tenang, aman damai daripada fitnah dan azab kubur. Allahumma aamiin.

Kelebihan Membaca Yaasin - UAI