Selasa, Mac 03, 2026

Sunnatal Witri Rak`ataini

Melakukan Shalat Witir secara fashal (bercerai / berpisah) adalah lebih afdhal dalam Mazhab Syafie daripada secara washal (bersambung). Telah menjadi amalan kita, Shalat Witir dimulai dengan melaksanakan 2 rakaat dengan satu salam, kemudian dilanjutkan dengan mendatangkan 1 rakaat lagi dengan salam yang lain untuk menyempurnakan 3 rakaat Shalat Witir yang merupakan sekurang - kurang sempurnanya Shalat Witir. Pada kebiasaannya, ketika mendirikan 2 rakaat permulaan tersebut, ianya diniatkan sebagai Sunnatal Witri dengan niat dan lafaznya seumpama: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini Lillahi ta`ala". Begitulah rupa niat dan lafaz yang diajar oleh kebanyakan guru - guru kita dan tercatat dalam berbagai karangan para ulama dan ustaz kita. Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah turut memasyhurkan niat sedemikian dalam Munyatul Mushalli, di mana dengan terang pada halaman 26, beliau menulis sebagai berikut:-......Demikian lafaz niatnya: "Ushalli Sunnatal Witri rak`aataini Lillahi ta'ala.".... Bukan hanya Mawlana Syaikh Daud yang mengajar niat sedemikian, tetapi ramai lagi ulama tanahair, antaranya Datu Surgi Mukti @ Mufti Syaikh Jamaluddin al-Banjari dalam Perukunan Jamaluddin, KH Fathullah Harun dalam Pedoman Ibadah Fardhu `Ain, Tuan Guru Haji Hasyim as-Sa`idi al-Malayuwi dalam Ma'khadzush Shibyan, Tuan Guru Haji Muhammad bin Utsman (Madrasah Faqiyyatud Daaimiyyah, Permatang Pauh) dalam Risalah al-Ma`unah, Syaikh Ali Balidram dalam Perhimpunan Ibadah, Pehin Ustaz Haji Zain bin Serudin dalam Zainuth Thalib dan ramai lagi.
Niat dan lafaz sedemikian pernah dipermasalahkan suatu ketika dahulu kerana dikatakan tiada kesesuaian antara kalimah witir yang ertinya ganjil, sedangkan rakaat yang didirikan genap, 2 rakaat. Sekarang, nampaknya isu ini ditimbulkan lagi, sehingga dinyatakan niat sedemikian tidak betul dan perlu diperbetulkan. Lebih parah lagi dalam zaman viral memviral ini, hal tersebut telah diviralkan dengan tagline yang digunakan adalah: "Betulkan yang biasa, biasakan yang betul". Sedangkan yang nak diperbetulkan itu memang dah betul. Kalaupun dikatakan silap, maka itu mungkin pada terjemahannya sahaja yang kurang memperhatikan kaedah dan uslub ilmu nahwu sharaf Bahasa Arab.

Faqir tidak menafikan adanya qawl mukhtar Imam an-Nawawi dalam persoalan ini sebagaimana tersebut dalam kitab Majmuk, di mana pilihan niat yang afdhal dan awla menurut Imam Nawawi adalah niat "rak`ataini minal Witri.". Pandangan Imam Nawawi dalam Majmuk ini disebut dalam dua tempat dengan istilah ash-shahih, manakala di temoat lain beliau mengatakan ianya sebagai al-mukhtar ( fa huwal mukhtar). Jika berkesempatan, faqir akan nukilkan pernyataan Imam Nawawi nanti dalam posting yang lain, kerana fokus posting ini adalah untuk berkaitan niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini" sahaja. In sya Allah, nanti faqir cuba datangkan rupa bentuk niat yang dipilih oleh Imam Nawawi tersebut.

Tidak dinafikan pandangan Imam Nawawi juga banyak disebut dan dianjurkan dalam kitab - kitab fiqh kita, faqir sendiri pun biasanya menggunakan: "Ushalli rak`ataini minal Witri". Namun, faqir nyatakan bahawa ini tidak bermakna niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini", itu salah atau kurang tepat. Juga faqir nyatakan bahawa pendapat Imam Nawawi itu adalah salah satu daripada dua pendapat yang menjadi pilihan ulama kita. Faqir menyatakan bahawa ash-shahih yang dikatakan oleh Imam Nawawi sebenarnya adalah al-mukhtar sebagaimana penjelasannya sendiri, menjadikan ianya salah satu daripada ikhtiyarat Imam Nawawi. Jadi tidaklah tepat jika ianya dikatakan qawl muktamad dalam mazhab, kerana qawl mukhtar Imam Nawawi tidak semestinya dianggap sebagai qawl muktamad dalam mazhab, melainkan qawl mukhtar yang beliau sebut dalam kitab Raudhatuth Thalibin. Maka, tidak pelik jika ada ulama belakangan yang tidak sependapat dengan Imam Nawawi dalam perkara ini dan memilih niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini" sebagai yang awla.

Sebahagian ulama mempunyai pandangan bahawa niat "Ushalli sunnatal Witri" untuk rakaat - rakaat genap yang dipisahkan dengan rakaat ganjil Shalat Witir, adalah lebih utama (awla). Imam asy-Syarqawi dalam Hasyiah asy-Syarqawi `ala Syarhit Tahrir. Pada halaman 298, juz 1, menyatakan seperti berikut:- Dan jika dipisahkan rakaat - rakaat sebelum diakhiri dengan rakaat ganjil, seumpama dilakukannya dengan satu salam setiap dua rakaat, di mana setiap takbiratul ihramnya memisahkan rakaat - rakaat sebelum rakaat terakhir yang ganjil, maka itulah yang dinamakan perlaksanaan Shalat Witir secara fashal (berpisah - pisah yang afdhal menurut Mazhab Syafie berbandingkan melakukannya secara washal bersambung terus bilangan yang genap dengan yang ganjil seperti dilakukan 3 rakaat sekaligus). Niat yang diucapkan untuk rakaat terakhir yang ganjil (rakaat witir seperti 1 rakaat) adalah niat minal Witri (seperti diucapkan: "Ushalli minal Witri rak`atan" - Aku sembahyang daripada Shalat Witir satu rakaat) kerana rakaat tersebut adalah secara hakikatnya sebahagian daripada rakaat Shalat Witir (kerana bilangannya memang ganjil) atau diniatkan al-Witr (seperti : "Ushalliyal Witra rak`atan" - Aku sembahyang Witir satu rakaat). Dan diberi pilihan untuk memilih niat bagi rakaat - rakaat genap sebelum yang terakhir (yakni sebelum rakaat ganjil) di antara yang berikut: (1) niat shalatul lail (seumpama: "Ushalli Shalatal Lail rak`ataini" - Aku sembahyang malam dua rakaat); (2) niat muqaddimatul witri (seumpama: "Ushalli Muqaddimatal Witri rak`ataini" (Aku sembahyang pembukaan witir dua rakaat); (3) niat sunnatnya (yakni sunnatul witir) (seumpama: "ushalli Sunnatal Witri rak`ataini" - Aku sembahyang sunnat yang disandarkan kepada Witir dua rakaat) atas kaedah al-idhafah al-bayaniyyah dan inilah yang awla; (4) diniatkan dua rakaat daripada witir (seumpama: "Ushalli rak`ataini minal Witri" - Aku sembahyang dua rakaat daripada Witir) (yang menjadi pilihan Imam an-Nawawi). Tidak sah jika dinuatkan dengan al-Witr semata - mata (seumpama: "Ushalliyal Witra rak`ataini" - Aku sembahyang Witir dua rakaat) kerana dua rakaat itu genap manakala al-Witr itu ertinya ganjil....... Maka, yang jadi masalah adalah niat: "aku sembahyang witir dua rakaat" tanpa dimasukkan kalimah sunnat sehingga untuk menjadikan dua kalimah tersebut sebagai mudhaf - mudhaf ilaih. Niat ini yang dihukumkan oleh kebanyakan ulama kita sebagai salah dan membawa kepada tidak sah.

Penjelasan yang serupa dapat kita lihat dalam Hasyiah Tohfah bagi Syaikh Abdul Hamid asy-Syarwani, jilid 2, halaman 11. Maka lafaz niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini Lillahi ta`ala", yang biasa diamal orang kita tidaklah salah atau kurang tepat, ianya betul, benar dan tepat, bahkan di sisi sebahagian ulama adalah niat yang paling awla ( afdhal / utama). Cuma yang tersilap apabila terjemahannya dilakukan secara harfiah (literal),difahami secara harfiah, tanpa mengambilkira kaedah dan uslub nahwu sharaf yang benar. Misalnya, kerap kali ianya diterjemah sebagai: Sahaja aku sembahyang Sunnat Witir dua rakaat yang walaupun tidak salah tetapi membawa kepada kekeliruan sehingga menimbulkan kesalahfahaman seperti yang diviralkan. Sebenarnya untuk lebih jelas, lafaz tersebut boleh dimaknai sebagai berikut: Aku sembahyang sunnat yang disandarkan / dihubungkan/ dikaitkan dengan Shalat Witir, dua rakaatdengan mengambilkira idhafah bayaniyyah, di mana kalimah sunnatan sebagai mudhaf dan kalimah al-Witr sebagai mudhaf ilaih, yang memberikan penjelasan (bayan) bahawa dua rakaat tersebut adalah rakaat genap yang berkait atau berhubung atau bergantung dengan Shalat Witir, yakni sebahagian daripada Shalat Witir yang ganjil dan bukannya dua rakaat itulah Witir atau Shalat Witir.

Jadi kesimpulannya, di sini ada dua pandangan ulama kita mengenai cara niat yang utama dan afdhal. Yang pertama, diniatkan rak`ataini minal Witri yang dipilih oleh Imam Nawawi dan diikuti oleh ramai ulama. Yang kedua, diniatkan Sunnatul Witri yang menjadi pilihan sebahagian ulama lain dan masyhur di rantau kita. Semoga bermanfaat dan faqir akhiri dengan mendatangkan contoh niat Sunnatul Witri yang tersebut dalam karya - karya ulama kita di Nusantara. 

1.    Perukunan Jamaluddin (Mufti Jamaluddin Banjar)


2.    Panduan Ibadah Fardhu `Ain (KH Fathullah Harun)

3.    Ushul `Ibadah ( Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Aziz)

4.    Risalah al-Ma`unah (Ustaz Haji Muhammad)

5.    Perhimpunan `Ibadah (Syaikh Ali Balidram)

6.    Ma'khadzush Shibyan (TG Haji Hasyim as-Sa`idi)

7.    Zainuth Thalib (Pehin Hj Muhammad Zain)

8.    Kifayatul Mubtadi (Haji Ismail bin al-Marhum Mahmud)

9.    Idaman Penuntut (Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya)

10.    Amal Bekalan Ke Negeri Berkekalan 
(Ustaz Haji Daud bin Haji Junaid)