Taradhdhi Atas Sahabat 4
Telah menjadi amalan pelbagai daerah Nusantara di mana setiap senggang antara rakaat - rakaat Tarawih akan diisi dengan zikrullah berupa doa dan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Selain daripada itu, pada senggang antara setiap 4 rakaat sering pula dibacakan taradhdhi iaitu ucapan mendoakan keredhaan Allah ke atas empat khalifah, Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali radhiyaAllahu `anhum. Segala zikrullah tersebut selain fungsinya sebagai ibadah yang mustaqil, yang tiada kaitannya dengan keesahan dan kesempurnaan Shalat Tarawih, juga sebagai pemisah antara rakaat - rakaat Tarawih tersebut, manakala taradhdhi dijadikan sebagai pengingat bilangan rakaat yang telah disempurnakan dan yang masih berbaki. Taradhdhi juga menjadi pengukuh pegangan Ahlis Sunnah wal Jama`ah al-Asyairah wal Maturidiyyah dan menolak pegangan melampau golongan Syiah dan sesat yang membenci para sahabat yang mulia.
Menurut Habib Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (1923 - 1996) rahimahullah, salah seorang ulama terkemuka dan mufti Hadhramut, dalam fatwa beliau yang dipetik oleh Dr. Zain bin Muhammad al-`Aydrus dalam karyanya Ittihaful Anaam bi Ahkamish Shiyam pada halaman 201, amalan taradhdhi di sela - sela Shalat Tarawih ini telah ditradisikan oleh ulama Hadhramaut atas tujuan dan matlamat keagamaan. Lebih lanjut dinyatakan sebagai berikut:- Hukum at-Taradhdhi atas empat khalifah radhiyaAllahu `anhum di antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih. Ada pun at-taradhdhi ke atas empat khalifah radhiyaAllahu `anhum ketika perlaksanaan Shalat Tarawih - selepas setiap 4 rakaat - sebagaimana tradisi yang dilakukan di sebahagian negeri, maka telah dinyatakan oleh as-Sayyid al-`Allaamah Abdullah bin Mahfudz al-Haddad bahawa perbuatan tersebut telah diasaskan oleh para ulama Hadhramaut atas tujuan dan matlamat keagamaan. Ianya juga merupakan suatu siasah syar`iyyah kerana Hadhramaut pernah menempuh fasa di mana kekuasaan berada pada sebahagian golongan sesat yang merendah dan menghina sebahagian sahabat, maka disusunlah taradhdhi di sela - sela rakaat Shalat Tarawih untuk menegaskan kemuliaan dan penghormatan kepada para sahabat. Ini adalah perbuatan yang baik (fi'lun hasanun) dan bukannya bid`ah dhalalah walaupun ianya bukan sunnah. Sesiapa yang melakukannya, maka dia telah melakukan kebaikan, manakala sesiapa yang meninggalkannya tidaklah berdosa. Taradhdhi ke atas para sahabat adalah satu doa yang diberi ganjaran atas melakukannya...
Di Nusantara juga telah pernah didatangi oleh para pendakyah ajaran Syiah yang membenci para sahabat terutama sekali Abu Bakar dan Umar. Oleh itu, kebijaksanaan para ulama dan pendakwah terdahulu, terutama sekali yang berasal dari Hadhramaut, untuk menganjurkan taradhdhi agar masyarakat awam yang masih baharu Islamnya, mengenali dan menyayangi serta memuliakan para sahabat terutama sekali sahabat yang empat tersebut. Maka, ianya bukan semata - mata ibadah mendoakan sahabat dan pengingat bilangan rakaat Tarawih, ianya juga merupakan tameng penangkis ajaran puak pembenci para sahabat.
Syahadah Syiah Rafidhah



Tiada ulasan:
Catat Ulasan