Khamis, Mac 19, 2026

ShadaqaAllah - Ruhul Bayan

Di penghujung bulan Ramadhan, mengkhatam al-Quran telah menjadi tradisi yang amat terpuji dalam masyarakat Islam di seantero dunia.Telah menjadi kelaziman umat Islam di serata dunia, ketika menyudahi bacaan al-Quran, mereka menutupnya dengan ucapan "ShadaqaAllahu `Adzim" sebagai pujian dan penegasan keimanan bahawa al-Quran adalah firman Allah yang Maha Benar tanpa sebarang keraguan dan pendustaan. Para ulama kita tidak mempunyai secuil pun masalah dengan ungkapan tersebut, bahkan memandangnya sebagai bagus dan baik dan merupakan iqtibas daripada pangkal ayat 95 surah Ali `Imran yang kira - kira bererti: "Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): "Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah."....... Maka, dua kalimah tersebut merupakan sebahagian daripada kalimah suci yang terkandung di dalam al-Quran yang mulia, jika diqasadkan membaca al-Quran diberi ganjaran pahala membaca al-Quran yang sekurang - kurangnya 7 huruf tersebut (yakni shad, dal, qaf, alif, lam, lam dan ha) menghasilkan 70 pahala, manakala al-Adzim pula adalah nama Allah yang juga disebut dalam al-Quran. Jika diniatkan zikir terhasil ganjaran zikir memuji dan membenarkan Allah yang merupakan kebenaran mutlak.

Sebagai tambahan pengetahuan dan khazanah keilmuan kita, tercatat dalam Ruhul Bayan, juz 10, karya tafsir yang asalnya karangan ulama sufi Turki yang ternama, Syaikh Ismail Haqqi Bursevi @ Bursawi rahimahullah, sebagai berikut:- 
    Dalam beberapa pertanyaan yang diajukan oleh Abdullah bin Salam (seorang pendita Yahudi yang akhirnya masuk Islam dan menjadi seorang sahabat), antaranya sebagai berikut: "Khabarkan kepadaku wahai Muhammad, apakah permulaan (bacaan) al-Quran dan penutupnya?" Jawab baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Permilaannya { Bismillahir Rahmanir Rahim } dan penutupnya { ShadaqaAllahul `Azhim }". Disambut oleh Abdullah bin Salam dengan katanya: " Benarlah engkau." 
    Tersebut (keterangan) dalam kitab Kharidatul `Ajaaib, iaitu: Sewajarnya seseorang pembaca al-Quran mengucapkannya (yakni ShadaqaAllahul `Azhim) ketika menutup bacaan al-Qurannya........

Syaikh al-`Allaamah al-Ushuli al-Muhaddits al-Mufassir al-Faqih an-Nahwi Muhammad al-Amin bin Abdullah a-Uramiy al-`Alawi al-Harari asy-Syafie (1929-2019) rahimahullah, seorang ulama kontemporer yang bermukim Mekah dan mengajar di Darul Hadits al-Khairiyyah, Mekah. Beliau dikenali alim dan memiliki pelbagai karya tulis yang bernilai. Syaikh al-Amin telah menukil bulat - bulat tulisan Imam Bursevi tersebut dalam tafsir beliau yang berjodol Hadaiqur Rawhi war Raihan, jilid ke-32 pada halaman 480. Sebagai tambahan, beliau turut menukilkan perkataan Syaikh Abu Thalib al-Makki rahimahullah dalam Quutul Qulub yang menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- 
......Dan hendaklah si pembaca al-Quran, ketika selesai membaca setiap surah, mengucapkan: ShadaqaAllahu ta`ala, wa ballagha rasuluHu shallaAllahu `alaihi wa sallam. Allahumman fa'naa wa baarik lana fihi. Alhamdulillahi Rabbil `alamiin wa astaghfiruLlahal Hayyal Qayyum.

Oleh kerana itu, janganlah bermudah - mudah membid`ahsesatkan orang lain. Apatah lagi, jika yang dilakukan telah menjadi amalan kaum musliman, samada yang khawas maupun yang awam. Mana - mana yang bermasalah dengan hal ini, simpan sahaja masalah itu di sisi mu sahaja dan biarkan mereka - mereka yang tidak bermasalah dengannya melakukannya. Semoga Allah menerima ibadah puasa yang telah kita jalani dan segala amal ibadah yang lain. Mudah - mudahan kita diberi sihat wal afiat sehingga bertemu lagi dengan bulan suci Ramadhan di tahun - tahun ke hadapan. Allahumma aamiin.

Tiada ulasan: