Munjiyaat, Muhlikaat & Munqidzaat
Setelah meninggalkan bulan yang digelar sebagai Syahrul Quran yakni bulannya al-Quran, hendaknya jangan kita turut meninggalkan al-Quran daripada mmenjadi wirid bacaan harian kita. Istiqamahlah membaca walau satu hizib atau setengah atau seperempat atau sekurang - kurangnya satu `ain atau satu ruku`. Selain itu, janganlah ditinggal surah - surah yang dianjurkan untuk dibaca setiap hari oleh sebahagian ulama berdasarkan kepada sunnah, jika tidak dapat dibaca setiap hari setidak -tidaknya sekali seminggu. Sebahagian ulama menamakan dan menyenaraikan surah - surah tersebut sebagai al-Munjiyaat, al-Muhlikaat dan al-Munqidzaat, yakni surah - surah yang diharapkan menjadi wasilah untuk memperolehi kejayaan, keselamatan dan perlindungan di dunia dan akhirat.
Faqir kongsikan senarai surah - surah tersebut menurut apa yang dicatat oleh Habib Ali Bungur rahimahullah dalam karangan beliau. Habib Ali bin Husein al-`Aththas atau lebih dikenali sebagai Habib Ali Bungur @ Habib Ali Cikini adalah seorang ulama keturunan Ba `Alawi kelahiran Hadhramaut, yang berdakwah dan tinggal lalu wafat di Pulau Jawa. Biografi beliau sudah banyak ditulis, maka faqir tidak berhajat untuk mengulanginya. Di antara karangan beliau adalah kitab yang berjodol Taajul A'raas fi manaqib al-Habib al-Quthb Shalih bin `Abdillah al-`Aththas. Dalam kitab tersebut beliau menyatakan bahawa paman beliau al-Habib Ahmad bin Muhammad al-`Aththas telah menyuruhnya membaca surah - surah al-Munjiyaat yang tujuh ketika ada ketakutan atau kekhuatiran dan kesulitan.
Seterusnya pada halaman 426, juz 2 kitab tersebut, beliau mendatangkan bait - bait syair yang dikarang oleh seorang ulama terkemuka yang ahli hadis, pengarang kitab Mawlid ad-Diba`ie yang masyhur, iaitu al-Imam al-Hafiz al-Muhaddits Abdul Rahman ad-Diba`i rahimahullah berkaitan dengan surah - surah yang disebut sebagai al-Munjiyaat, al-Muhlikaat dan al-Munqidzaat tadi. Di mana dalam bait - bait tersebut dikhabarkan oleh si penyair bahawa antara kelebihan al-Munjiyaat adalah untuk keselamatan ketika menghadapi huru - hara kiamat, alam barzakh, padang Mahsyar dan alam akhirat. Manakala al-Muhlikaat adalah untuk memperolehi keselamatan daripada segala musuh dan membinasakan mereka. Bait - bait syair tersebut menyatakan surah - surah tersebut sebagai berikut:
Surah - Surah al-Munjiyaat
1. Surah Juruz (Surah as-Sajadah)
2. Surah Yaasin
3. Surah Fushshilat
4. Surah ad-Dukhaan
5. Surah al-Waaqi`ah
6. Surah al-Hasyr
7. Surah al-Mulk
Surah - Surah al-Muhlikaat
1. Surah al-Muzzammil
2. Surah al-Buruuj
3. Surah ath-Thaariq
4. Surah adh-Dhuha
5. Surah asy-Syarh (al-Insyirah)
6. Surah al-Qadr
7. Surah al-Quraisy
Surah - Surah al-Munqidzaat
1. Surah al-Kautsar
2. Surah al-Kaafiruun
3. Surah an-Nashr
4. Surah al-Masad
5. Surah al-Ikhlash
6. Surah al-Falaq
7. Surah an-Naas
Inilah 21 surah yang amat digalakkan untuk dibaca setiap hari, jika mampu. Jika tidak mampu, buatlah semampunya dengan dibahagikan bacaan surah - surah tersebut kepada beberapa hari dalam seminggu, sementara surah - surah yang pendek seperti yang tersenarai pada al-Muhlikaat dan al-Munqidzaat amalkanlah setiap hari, samada siang atau malam atau siang malam. Sebagai penutup, untuk pengetahuan bersama, surah as-Sajadah / as-Sajdah yang biasa dibaca sebagai sunat yang sunnah pada shalat fardhu Subuh pagi Jumaat juga disebut oleh sebahagian ulama sebagai Surah al-Juruz kerana kalimah tersebut terkandung dalam ayat 27 surah tersebut.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan