Mawlid - Fatwa Abu Syaamah
Ternyata Imam Abu Syaamah seorang 'alim 'allamah, faqih, muhaddits, muarrikh dan ahli lughah yang handal sehingga Imam as-Subki rahimahullah menyatakan bahawa Imam Abu Syaamah al-Maqdisi telah mencapai darjat mujtahid mutlak. Sungguhpun begitu, beliau bersetuju dengan ijtihad Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu dan tetap berpegang dengan mazhabnya yang agung. Cukuplah satu kebanggaan bagi Imam yang agung ini apabila Imam an-Nawawi rahimahullah adalah salah seorang murid beliau. Imam Abu Syaamah meninggalkan beberapa karangan yang bernilai tinggi, antaranya:-
- Mukhtashar Tarikh Dimasyq (20 jilid);
- Syarah bagi kitab hadits al-Muqtafa fi bahtsil Mushtofa;
- Dhiya-ul Qamar as-Sari ila Ma'rifatil Baari;
- Al-Ba`its 'ala Inkaril Bida` wal Hawadits.
- ar-Raudhatain fi Akhbarid Daulatain
- Ibraazul Ma`ani
- al-Mursyid al-Wajiz
- al-Wushul fil Ushul
- Mufradat al-Qurra`
"Maka bid`ah al-hasanah:- Telah disepakati (yakni para ulama telah sepakat) tentang harus (boleh) untuk dilakukan dan disukai baginya (yakni dihukumkan mustahab untuk diamalkan) serta diharapkan pahala bagi sesiapa yang melakukannya dengan niat yang baik ............. Dan daripada sebaik-baik perkara bid`ah yang diada-adakan pada zaman kita dari sisi ini (yakni dari sisi ianya sebagai suatu bid`ah hasanah) adalah apa yang telah dilakukan di Kota Irbil, moga-moga Allah memeliharanya, pada setiap tahun pada hari yang bertepatan dengan hari kelahiran (mawlid) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan perlaksanaan berbagai sedekah dan perkara makruf serta menzahirkan perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya yang sedemikian itu beserta dengan berbuat ihsan kepada segala fakir padanya adalah tanda adanya kecintaan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan membesarkan serta memuliakan baginda dalam hati si pelakunya, juga tanda kesyukuran kepada Allah ta`ala atas anugerahNya dengan mewujudkan rasulNya shallaAllahu `alaihi wa sallam wa 'ala jami`il mursalin yang diutuskan sebagai rahmat bagi sekalian alam. Dan adalah orang yang mula-mula melakukan yang sedemikian itu di Maushul (Mosul) adalah Syaikh Umar bin Muhammad al-Malla, salah seorang daripada kalangan orang - orang salih yang masyhur yang dijadikan ikutan dengannya pada yang sedemikian oleh Raja Irbil dan yang lain-lain rahimahumullahu ta`ala."Allahu .... Allah, cukuplah bagi kita yang punya akal untuk mengambil pelajaran daripada apa yang dinyatakan oleh Imam Abu Syaamah ini. Dan jika pun kita berpendapat sebaliknya, maka setidak-tidaknya akal kita hendaklah bijak untuk meraiekan pendapat ini walaupun kita tidak bersetuju dengannya. Maka janganlah dihujjat umat yang ramai daripada merayakan sambutan Mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika dah tak setuju, maka tak dapek den nak nolongnya. Duduklah diam-diam sambil membaca shalawat Ibrahimiyyah lagi elok daripada membid`ahsesatkan orang lain.








