Jumaat, Mac 31, 2006

Kelebihan Membaca Mawlid 1

Sayyidisy-Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dalam kitabnya "I`anatuth-Tholibin" jilid 3 mukasurat 414 menyatakan antara lain:-
  1. Telah berkata Imam al-Hasan al-Bashri qaddasaAllahu sirrah: "Aku kasih jika ada bagiku seumpama gunung Uhud emas untuk kunafkahkan atas pembacaan mawlid ar-Rasul."
  2. Telah berkata Imam al-Junaidi al-Baghdadi rhm.: "Sesiapa yang hadir mawlid ar-Rasul dan membesarkan kadar baginda, maka telah berjayalah dia dengan iman."
  3. Telah berkata Syaikh Ma'ruuf al-Karkhi qds.: "Sesiapa yang menyediakan untuk pembacaan mawlid ar-Rasul akan makanan, menghimpunkan saudara-saudaranya, menyalakan lampu-lampu, berpakaian baru, berwangi-wangian, berhias-hias, demi membesarkan mawlid Junjungan s.a.w., nescaya dia akan dihimpunkan oleh Allah ta`ala pada hari kiamat bersama-sama kumpulan pertama daripada para nabi dan jadilah dia berada pada setinggi-tinggi syurga. Dan sesiapa yang telah membaca mawlid ar-Rasul s.a.w. ke atas dirham-dirham perak atau emas, dan mencampurkannya bersama dirham-dirham lain, jatuhlah padanya keberkatan dan tidaklah papa si empunyanya serta tidak akan kosong tangannya dengan berkat mawlid ar-Rasul s.a.w."

Begitulah ikhwah, buat pendahuluan perkataan 3 orang ulama dan waliyUllah besar berhubung kelebihan bermawlid dan membaca mawlid, sebagaimana dinukilkan oleh ulama besar kita yang jadi ikutan dalam mazhab (i.e. ikutan orang yang bermazhab, yang tidak bermazhab tentu tak ikut). Nak pakai,pakai, tak nak pakai ikut mu le, tapi aku pakai kerana aku Sunniyyun Syafi`iyyun. Jom mawlid.

Rabu, Mac 29, 2006

Talqin Mayyit


Ini satu lagi amalan yang sering diserang oleh kaum mudah dan ulama mereka. Hebat serangannya sehingga ada antara kita yang tergugah dalam melaksanakannya, seolah-olah ianya memang bid`ah yang ditegah. Sedangkan dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah, ianya dihukumkan mustahab (disukai/sunnat) bagi mayyit yang baligh. Silalah ikhwah rujuk kitab-kitab mu'tabar dalam mazhab kita antaranya Tohfah dan hawasyinya, jilid 3, mulai mukasurat 227.

Di sini aku nukil sikit dari "Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama SeMalaya - Di Kepala Batas", antara lain menyebut:-

  • Bahawasanya talqin mayyit itu hukumnya sunnat bukannya bid`ah dhalalah. Dalilnya:-
  • (1) Firman Allah ta`ala : ...... yang bererti "Beringat-ingat olehmu maka bahawasanya beringat-ingat itu berguna kepada orang yang mu'minin."
  • (2) Hadis yang diriwayat oleh Thobarani fil Kabir marfu`an daripada Abi Umamah sabda Nabi s.a.w.:.....yang bererti "Apabila mati seorang daripada saudara kamu maka kamu ratakan tanah di atas kuburnya maka hendaklah berkata ia "Hai Fulan anak Fulanah", maka bahawasanya ia mendengar akan dia dan tiada ia jawab ........ hingga berkata ia - maka hendaklah ia berkata - Ingat olehmu barang yang engkau keluar atasnya daripada dunia iaitu syahadatu an la ilaha illaAllah wa anna Muhammadan 'abduhu wa rasuluhu ...... hingga akhir riwayat."
  • (3) Atsar yang diriwayatkan oleh Sa`id bin Manshur daripada Rasyid bin Sa`id dan Dhamrah bin Habib dan Hakim bin 'Umair, berkata mereka itu:- ........... yang bererti "Apabila diratakan atas mayyit akan kuburnya dan berpaling manusia daripadanya adlah mensunnat mereka itu bahawa dikata bagi mayyit di sisi kuburnya - Wahai Fulan anak Fulanah - kata olehmu la ilaha illaAllah tiga kali - kata olehmu tuhanku Allah - agamaku Islam - nabiku Muhammad s.a.w. ....... hingga akhirnya.
  • (4) Aqwal al-'Ulama`:-......... yang bererti - "dan disunnat talqin orang yang baligh lagi berakal atau orang yang gila yang terdahulu oleh taklif." Telah berkata akan dia Imam Nawawi di dalam Raudhah dan Syaikhul Islam di dalam Asnal Mathalib dan Fathul Wahhab dan al-'Allamah Ibnu Hajar di dalam Tohfah dan Fathul Jawaad dan Syaikh Ramli di dalam Nihayah dan al-'Allamah al-Khathib di dalam Mughni dan beberapa ulama yang lain daripada mereka itu seperti Qadhi Husain dan Ibnu ash-Sholah.
  • Dengan segala nas yang tersebut itu nyatalah bahawa talqin mayyit kemudian daripada anam itu sunnat yang ada asalnya daripada Quran dan hadis dan atsar daripada sahabat dan perkataan ulama r.'anhum. Adapun firman Allah ta`ala ......."Beringat-ingat olehmu maka bahawasanya beringat-ingat itu berguna kepada orang yang mu'minin", maka ayat ini umum kepada sekalian orang yang beriman sama ada hidup atau mati. Dan yang terlebih sangat berhajat seseorang kepada pengingatan itu ialah di masa ia di dalam kubur. Ada pun Abi Umamah yang diriwayatkan oleh Thobarani sungguhpun dhaif akan tetapi disokong oleh beberapa syahid daripada hadis yang lain seperti hadis ...........yang bererti "Pintalah olehmu baginya akan ketetapan, maka bahawasanya ia sekarang sedang ditanya akan dia". Demikianlah tersebut di dalam Majmu' - dan hadis Ibnu 'Abbas yang diriwayat oleh Daruquthni di dalam sunannya - dan wasiat Amr bin al-'Aash yang diriwayat oleh Muslim - dan amal ahlu Syam. Lagi pula adalah talqin ini setengah daripada fadhail yang memada pada meisbat akan dia dengan hadis yang dhaif jua.

Sunniyyun Syafi`iyyun begitulah kedudukan talqin dalam mazhab kita, oleh itu mari teruskanlah bertalqin dan ditalqin nanti.

Selasa, Mac 28, 2006

Shalawat Tafrijiyyah

Shalawat Tafrijiyyah (shalawat memohon kelepasan dari kesusahan dan bencana) adalah antara shalawat yang terkenal diamalkan oleh para ulama kita. Shalawat ini juga dikenali sebagai Shalawat at-Tafrijiyyah al-Qurthubiyyah (dinisbahkan kepada Imam al-Qurthubi), ada ulama yang menisbahkannya kepada Imam 'Ali Zainal 'Abidin bin Imam al-Husain r.anhuma, dan ada juga yang menisbahkannya kepada Syaikh Ibrahim at-Tazi. Di negeri sebelah maghrib, ianya dikenali sebagai Shalawat an-Naariyah kerana menjadi amalan mereka apabila ingin melaksanakan sesuatu hajat atau menolak sesuatu bencana, mereka akan berkumpul dan membaca shalawat ini 4444 kali lalu terkabul hajat mereka dan tertolak segala malapetaka secepat api yang menyambar atau membakar. Ianya juga dikenali sebagai Miftahul Kanzil Muhiith li naili muraadil 'abiid (kunci perbendaharaan yang meliputi untuk menyampaikan harapan si hamba). Shalawat ini mempunyai keistimewaannya kerana selain sholawat ianya merupakan tawassul kepada Allah dengan Junjungan Nabi s.a.w. di mana kita menyebut nama dan dhamir Junjungan s.a.w. sebanyak 8 kali.

Menurut Imam al-Qurthubi sesiapa yang melazimi akan shalawat ini setiap hari 41 kali atau 100 kali atau lebih, nescaya Allah melepaskan kedukaan, kebimbangan dan kesusahannya, menyingkap penderitaan dan segala bahaya, memudahkan segala urusannya, menerangi sirnya, meninggikan kedudukannya, memperbaikkan keadaannya, meluaskan rezekinya, membuka baginya segala pintu kebajikan, kata-katanya dituruti, diamankan dari bencana setiap waktu dan dari kelaparan serta kefakiran, dicintai oleh segala manusia, dimakbulkan permintaannya. Akan tetapi untuk mencapai segala ini, seseorang itu hendaklah mengamalkan shalawat ini dengan mudaawamah (berkekalan).

Imam as-Sanusi berkata bahawa sesiapa yang melazimi membacanya 11 kali setiap hari, maka seakan-akan rezekinya turun langsung dari langit dan dikeluarkan oleh bumi.

Imam ad-Dainuri berkata bahawa sesiapa yang membaca shalawat ini dan menjadikannya wirid setiap selepas shalat 11 kali, nescaya tidak berkeputusan rezekinya, tercapai martabat yang tinggi dan kekuasaan yang mencukupi. Sesiapa yang mendawamkannya selepas shalat Subuh setiap hari 41 kali, tercapai maksudnya. Sesiapa yang mendawamkannya 100 kali setiap hari, terhasil kehendaknya dan memperolehi kehormatan/kemuliaan melebihi kehendaknya. Sesiapa yang mendawamkannya setiap hari menurut bilangan para rasul (313 kali) untuk menyingkap segala rahsia, maka dia akan menyaksikan segala apa yang dikehendakinya. Sesiapa yang mendawamkannya 1000 kali sehari, maka baginya segala yang tidak dapat hendak diterang dengan kata-kata, tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar dan tidak pernah terbetik di hati manusia.

Imam al-Qurthubi juga berpesan bahawa sesiapa yang berkehendak untuk menghasilkan hajatnya yang besar atau menolak bencana yang menimpa, maka bacalah shalawat ini sebagai tawassul dengan Junjungan Nabi yang empunya akhlak yang agung 4,444 kali, nescaya Allah ta`ala akan menyampaikan kemahuan dan harapan itu atas niat si pembaca. Ibnu Hajar al-'Asqalani telah menyebut akan kelebihan bilangan ini sebagai iksir fi sababit ta`siir (pati ubat sebagai penyebab berlakunya kesan).

Menurut kata ulama, shalawat ini adalah merupakan satu perbendaharaan daripada khazanah-khazanah Allah, dan bershalawat dengannya merupakan kunci-kunci pembuka segala khazanah-khazanah Allah yang dibukakan Allah bagi sesiapa yang mendawaminya serta dengannya seseorang boleh sampai kepada apa yang dikehendaki Allah s.w.t. Oleh itu silalah ikhwah semua merujuk kepada para ulama kita (ingat bukan ulama mereka kerana karang semuanya akan dibid`ahsesatkan) dan melihat akan karangan-karangan terdahulu seperti "Afdhalush Shalawat 'ala Sayyidis Saadaat" karangan Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, "Jawahirul Mawhub" dan "Lum`atul Awrad" kedua-duanya karangan Tok Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani, "Khazinatul Asrar" karangan Syaikh Muhammad Haqqi an-Naazili dan lain-lain lagi. Sesiapa yang tak ingin beramal dengannya, tak mengapa, amalkan sahaja apa yang kamu nak amal, jangan nak berbalah pulak dengan aku kerana aku sekadar menukil kata ulama. Daripada berbalah, elok kita perbanyakkan shalawat, shollu 'alan Nabiy.

Isnin, Mac 27, 2006

Hadis Thawus - Fatawa Kubra


Untuk sedara Zambili, dah jumpa ke idak. Dalam aku punya kitab ada, mu punya kitab takkan tak jumpa. Jangan-jangan kitabmu dah diedit geng-geng tu kot. Jangan marah no, kali ini aku scan, lain kali cari betul-betul ok. Muka 30, jilid 2, baris 12 dari bawah.

Sabtu, Mac 25, 2006

Mufti Haji Nor al-Kelantani (1905M - 1987M)


Dato' Hj Mohd Noor bin Ibrahim adalah seorang ulama’ Kelantan yang terkemuka dan dianggap tokoh paling masyhur selepas Tok Kenali. Dilahirkan pada 20hb. Ogos 1905 di Kota Bharu, beliau adalah anak kepada Haji Ibrahim Yusuff, Mufti Kerajaan Kelantan antara 1928-1941. Setelah menamatkan persekolahan awalnya di Madrasah Muhammadiah, Majlis Agama Islam Kelantan, beliau melanjutkan pelajaran ugamanya di Mekah pada tahun 1923. Bidang ilmu yang beliau pelajari meliputi bukan sahaja ilmu-ilmu agama tradisional seperti usuluddin, fiqh, hadith dan tafsir, tetapi juga ilmu-ilmu falak dan qiraat. Guru-guru beliau di Mekah antara lain ialah Syaikh Hasan al-Masyath, Tok Senggora, Syeikh Nuh Jamaludin Kelantan, Syeikh Mohd. Nor Patani, Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatani, Chek Pak Ya al-Ramani dan lain-lain. Jawatan beliau yang pertama selepas pulang ke Kelantan ialah menjadi Qadhi Besar Kelantan pada tahun 1937. Pernah memangku jawatan Mufti Khas antara 1hb. September 1941 hingga 28hb. Oktober 1944, iaitu sehingga jawatan berkenaan dihapuskan. Antara 1949 hingga pertengahan 1965, beliau menjadi guru di Jami’ Merbau al-Ismail (kemudiannya Maahad Muhammadi) dan sekaligus mengajar di Masjid Muhammadi. Selang waktu antara pertengahan 1965 hingga April 1968, beliau habiskan di Masjid Negara Kuala Lumpur, berkhidmat di Kelas Tahfiz al-Qur’an yang baru ditubuhkan sekarang (Dar-al-Qur’an) dan menyusun tafsir pimpinan ar-Rahman yang terkenal itu.Dilantik menjadi Mufti pada 1hb. Mei 1968 berikutan kematian sahabatnya Dato’ Haji Ahmad Maher. Jawatan ini beliau sandang sehingga ke akhir hayatnya pada 13hb. Februari 1987. Lebih dari seorang ulama’, beliau adalah seorang hafiz dan ahli falak yang terkenal, pun juga seorang penulis dan orang alim yang menguasai bahasa Inggeris. Kemasyhuran beliau lebih banyak terserlah dalam bidang-bidang qiraat, falak, tafsir dan usuluddin, ketimbang bidang fiqh sebagaimana layaknya seorang Mufti.

Jumaat, Mac 24, 2006

Syaikh Hasan al-Masyath


Nama penuhnya ialah Abu Ahmad Hasan bin Muhammad bin 'Abbas bin 'Ali bin 'Abdul Wahid al-Masyath al-Makki al-Maliki. Dilahirkan di Makkah pada 3 Syawwal 1317H. Mula belajar daripada ayahandanya sendiri, kemudian di Madrasah ash-Shaulatiyyah dan Masjidil Haram. Di antara guru-gurunya ialah Syaikh Jamaal al-Maliki, Syaikh Hamdan al-Wanisi al-Jazairi al-Madani, Syaikh Muhammad Hasyim al-Fuuti al-Fulaani, Syaikh Muhammad al-Kattani, Syaikh Muhammad al-Khidhr al-Jakni al-Mauritani, Syaikh Musytaq Ahmad, Syaikh 'Umar Hamdan al-Mahrusy, Habib 'Aydrus bin Salim al-Bar, Syaikh 'Abdur Rahman ad-Dahhan, Syaikh 'Isa Rawwas, Syaikh Muhammad Habibullah asy-Syinqithi dan ramai lagi. Beliau juga telah mengadakan rehlah ilmu dengan mengunjungi ulama dan belajar dengan mereka di merata-rata tempat, antaranya ke Sudan di mana beliau berkesempatan bertemu dengan Sayyid 'Ali al-Mirghani dan Syaikh al-Fatih QaribUllah. Di Mesir, beliau bertemu dengan Syaikh Muhammad Zahid al-Kawtsari, Syaikh Salamah al-Qudha`ie dan Syaikh Ibrahim al-Bajuri. Di Syria, beliau bertemu dengan Syaikh 'Abdul 'Aziz 'Uyun, Syaikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah dan Syaikh Salih Farfur. Selain menjadi qadhi, beliau juga mengajar di Madrasah ash-Shaulatiyyah dan di Masjidil Haram dengan mengajar hadits melalui kitab-kitab shahih, tafsir, fiqh, usul fiqh dan lughah. Di antara murid-muridnya ialah Syaikh Ibrahim al-Ahdal, Syaikh Ismail Zain, Syaikh Ismail Hariri, Syaikh Ahmad al-Badali, Syaikh Ahmad al-Halwani, Syaikh Ahmad al-Masyath, Syaikh Ahmad Damanhuri, Syaikh Ahmad Zaki Yamani, Syaikh Zaini Bawean, Syaikh Shalih Mahjub, Syaikh 'Abdullah al-Lahji, Habib Abdullah Hasan Tholib al-Jufri, Syaikh Yasin al-Fadani dan ramai lagi. Di tanah air kita, antara ulama yang pernah menjadi muridnya ialah Datuk Mufti Syaikh Muhammad Nur bin Ibrahim al-Kelantani. Syaikh Hasan al-Masyath juga telah meninggalkan berbagai karangan antaranya "al-Jawhar ats-Tsaminah", "at-Tuhfah ats-Tsaniyyah", "al-Bahjah as-Saniyyah" dan banyak lagi. Beliau wafat di Makkah pada hari Rabu, 7 Syawwal 1399H........al-Fatihah.

Khamis, Mac 23, 2006

Ulama Jawi

Ikhwah, aku sekadar nak mulakan muqaddimah agar kalian dapat berfikir dan mencari serta mengenali lebih mendalam sejarah dan perjuangan serta keilmuan dan ketaqwaan Ulama Jawi. Sewaktu aku mengaji kuliah dulu, ada kawanku dari Bangkok yang terpengaruh dengan Wahhabi yang mempunyai pandangan agak sinis terhadap Ulama Jawi i.e. Ulama Fathani kerana dia beranggapan bahawa ulama-ulama kita dahulu bila gi Makkah hanya duduk mengaji dengan ulama sebangsa mereka sahaja. Aku ingat pendapat ini hanya angin lalu sahaja i.e. angin kentut lalu busuk amat baunya.

Tiba-tiba ada mamat yang suarakan pandangan yang hampir serupa seolah-olah ulama di Tanah Arab sana (tapi dia tak bagi tahu Arab mana dan zaman bila) itu lebih hebat dan lebih dapat dipercayai daripada Ulama Jawi kita terdahulu. Aku ingat mamat ni memang tak baca sejarah, dan kalau dia Melayu, Melayu tak kenang budi.

Ulama Jawi kita terdahulu bukan sekadar belajar di Tanah Arab, tetapi belajarnya mereka itu adalah perjuangan yang menempuh berbagai rintangan dan pancaroba. Waktu mereka mengaji kat Makkah dan Madinah, tak ada pun terima biasiswa Wahhabi, Tok Kenali sewaktu mengaji di Makkah berapa punya susah. Tu yang ilmu mereka berkat, jadi obor umat, bukan macam sesetengah yang mengaji tinggi tapi bila balik bawak fitnah, jadi tukang bahagi syurga dan neraka, memecahbelahkan anak bangsa atas nama Islam.

Ulama kita dahulu amat cemerlang, gemilang dan terbilang (pinjam slogan Pak Lah) dan tak hilang-hilang. Lihat Tok Syaikh Nawawi al-Bantani yang dikenali sebagai Imam Nawawi ats-Tsani (Imam Nawawi kedua) juga dikenali sebagai Sayyidul Ulama-il-Hijaz. Adakah anak-anak didiknya hanya terdiri daripada bangsa Jawi sahaja? Lihat Syaikh Ahmad Khatib Minangkabau, Syaikh Abdul Hamid Kudus, ilmu dan lidahnya diakui ulama sezaman tak kira bangsa sehingga diangkat menjadi khatib dan imam kat Masjidil Haram. Lihat Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Tok Syaikh Daud, Syaikh Nik Mat Kecik, keilmuan mereka diakui ulama berbagai bangsa. Lihat Syaikh Ahmad Khatib Sambas yang berjaya memadu dua thariqah menjadi satu iaitu TQN (Thoriqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah).

Ulama tanah airku tercinta, Syaikh Uthman Sarawak dan anaknya Syaikh Zainuddin, ditauliah mengajar dalam Masjidil Haram depan BaitUllah. Kalau Wahhabi tak menguasai Hejaz, nescaya obor Ulama Jawi yang tetap Sunniyun Syafi`iyyun akan terus memancar dari tanah suci tersebut.

Jangan dilupa ulama Padang yang diiktiraf sebagai ahli hadis ulung bergelar Musnid Dunya, Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani. Syaikh Yasin mengaji hadis bukan setakat kat UIA sahaja (maaf bebanyak bukan nak rendahkan UIA, yang aku pelik ada Dr. yang buat Phd Hadis (thesisnya aku tak tahu pasti tajuknya) mengaji dengan muhaddits dari India kat UIA yang bermazhab Hanafi, i.e. muhaddits yang jadi tok guru ikut mazhab, tapi anak murid memandai sahaja tak nak ikut mazhab, nak ikut hadis sahaja kononnya piiiiiiirraaaaahhhhhhhhhh).

Oleh itu, harap sedara jangan terlalu buta sejarah, sehingga kaca disangka berlian dan berlian tulin dikatakan kaca. Ingat belajarlah berterima kasih, ulama-ulama inilah yang telah menerangi dunia kita rantau Jawi dengan cahaya ilmu dan taqwa. Albani, apa yang dibawaknya selain daripada fitnah dan pecah belah. Sesiapa yang anak bangsa Jawi nak ikut Albani, elok pi pindah kat Albania sana.