Khamis, Februari 06, 2025

Nur Muhammad - Ustaz Shomad

Satu masa dahulu, al-Fadhil Ustaz Abdus Shomad hafizahullah ketika ditanya mengenai awwaliyyah Nur Muhammad  dan Hadis Jabir berkaitan Nur Muhammad dengan tegas menolak dan tidak menerimanya. Beliau turut menceritakan bahawa beliau telah bertanya kepada Syaikh Muwaffaq yang dikatakan sebagai mursyid Thariqat Syadziliyyah tentang hadis Nur Muhammad dan syaikh tersebut menjelaskan bahawa hadis tersebut tidak shahih. Namun,sekarang pandangan dan pernyataan beliau mulai lunak. Nampaknya beliau sudah menerima hadis tersebut dan konsep awwaliyyah Nur Muhammad atau setidak - tidaknya menerima wujudnya ikhtilaf di kalangan para ulama muktabar dalam bab dan masalah ini. Beliau menyatakan sebahagian ulama berpendapat makhluk yang pertama diciptakan Allah adalah Nur Muhammad  dan sebahagian lagi berpendapat al-qalam. Beliau turut menyatakan bahawa Hadis Jabir tersebut adalah mukhtalaf fihi, yakni ulama berbeza pendapat mengenai statusnya, sebahagian ahli hadis mendhaifkan dan sebahagian yang lain menghukumnya sebagai hasan kerana banyak ditopang atau disokong oleh dalil - dalil lain. Oleh itu, dalam perkara yang telah jelas adanya perbezaan pendapat dan pandangan para ulama hendaklah kita berlapang dada dan bertasamuh, tidak perlu merasa benar sendiri dan saling mencemoh antara satu sama lain. Mudah - mudahan Allah tetapkan beliau dan kita sekalian atas jalan benar yang dibawa oleh para pewaris Nabi yang sejati.
Ustaz Abdus Shomad
(Nur Muhammad & Hadis Jabir)

Isnin, Januari 27, 2025

Allah tak bertempat

Menduduki sesuatu tempat atau mempunyai arah tempat duduk atau keberadaan adalah sifat bagi makhluk, maka Allah yang bersifat dengan mukhalafatuhu ta`ala lil hawadits sekali - kali tidak mempunyai tempat atau arah tempat. Maka tidak boleh dikatakan tempat Allah di atas atau di bawah atau di kanan atau di kiri atau di tengah atau di dalam atau di luar, kerana itu semuanya mentasybihkan atau menyerupakan Allah dengan makhluk. Penyataan bahawa Allah itu di atas atau fawq atau `uluw merujuk kepada makanah atau status atau pangkat atau darjat kedudukan Allah yang paling tinggi, paling atas, Maha Tinggi, Maha Atasan iaitu yang teratas daripada segala atasan. Sekali - kali tidak bererti Allah bertempat di pihak atas. Mereka yang berkeyakinan Allah itu berpihak di sebelah atas sebenarnya keliru kerana pihak atas kita adalah bawahnya orang dan bawahnya kita itu adalah atasnya orang, kerana bumi ini bulat. Maka tidak hairan jika pihak yang menyatakan Allah itu bertempat di atas, ada yang mati - mati mempertahankan bahawa bumi kita ini datar dan bukannya bulat. Bahkan ada yang mengkafirkan sesiapa yang percaya bumi ini bulat. Perkara Allah tidak bertempat merupakan asas bagi akidah yang benar, ianya tertera dalam kitab - kitab akidah termasuklah matan - matan asas seperti Akidah ath-Thahawiyyah yang juga popular di kalangan golongan sebelah, walaupun sebahagian isinya mereka pertikaikan atau takwilkan mengikut selera pegangan mereka sendiri.

Imam Abu Ja'far Ahmad bin Muhammad ath-Thahawi al-Hanafi al-Mishri @ Imam Thahawi rahimahullah dalam matan al-`Aqidah ath-Thahawiyyah halaman 15 dengan jelas menyatakan, sebagai berikut:
Maha Tinggi Allah daripada mempunyai batasan had, mempunyai jarak, jauh dekat, berujung berpangkal, berorgan, berjuzuk, beranggota dan memerlukan peralatan. Dia tidak dicakupi atau diliputi oleh jihat (arah) yang enam ( atas, bawah, kanan, kiri, depan dan belakang) seperti makhluk ciptaan (yakni diliputi arah adalah sifatnya makhluk)."
Maka tidak boleh dinisbahkan atas sebagai arah bagi Allah, cuma dikatakan sedemikian bagi merujuk kepada makanah iaitu status kedudukan pangkat Allah yang Maha Tinggi. Menariknya lagi, pernyataan ini tertera sebelum Imam Thahawi berbicara mengenai Isra` Mi`raj

Orang yang berkeyakinan Allah bertempat atau berarah di atas langit atau di arasy, sering mendakwa bahawa peristiwa mi'raj Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam membuktikan bahawa Allah itu tempatnya atau arahnya di atas atau di arasy, dengan kata lain mereka berkeyakinan bahawa Allah itu seperti makhluk, yakni mempunyai tempat dan mempunyai arah. Para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah menjawab dengan tuntas syubhah yang didatangkan oleh puak ini dalam banyak karangan mereka. Untuk entri ini, faqir menukilkan tulisan seorang ulama besar dan imamnya para ulama tasawwuf, Imam Abul Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qusyairi (w. 465H) rahimahullah, lebih terkenal dengan gelaran Imam Qusyairi pengarang kitab Risalah Qusyairiyyah, kitab tasawwuf yang popular. Dalam Kitab al-Mi'raj, pada halaman 70 - 71, dinyatakan, antaranya, sebagai berikut:- 

Masalah: Jika ditanyai orang, adakah peristiwa mi'raj ini menunjukkan atau menjadi dalil bahawa Allah ta`ala Tuhan yang disembah berada di pihak / arah atas, sehingga Dia menaikkan Nabi ke atas? Jawabnya, peristiwa mi'raj tidak menunjukkan atau menjadi dalil bagi yang sedemikian, bahkan Allah yang Maha Qadim lagi Maha Suci, tiada bagiNya arah dan batas, Dia tidak menyatu dengan makhluk dan tidak juga terpisah daripada mereka (yakni Allah tidak berjarak samada jauh atau dekat). Adalah mustahil untuk mensifatkan Allah dengan bertempat, Allah ta`ala sedia telah wujud sejak azali tanpa tempat dan Dia sekarang wujud seperti wujud yang sebelumnya (yakni sebagaimana sebelum diciptakan makhluk, Allah tidak bertempat, maka berkekalanlah Dia tidak bertempat selepas menciptakan makhlukNya, Maha Suci Allah dari sifat berubah - ubah, bertempat dan berarah). Allah tidak terbeban oleh sesuatu dan tidak diliputi oleh jarak.

Jika ditanyai lagi: Lalu apakah yang dimaksud dengan firman Allah dalam surah an-Najm ayat 8: ..."Kemudian dia mendekatkan dirinya (kepada Muhammad) sedikit demi sedikit."...? Maka para ahli tafsir mengatakan bahawa yang mendekat kepada Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah Jibril dalam rupanya yang asli ciptaan Allah..........Ada juga yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah kedekatan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan Allah dari segi kemuliaan dan ketinggian darjat (dunuw karamatan wa manzilatan) (yakni dikatakan Nabi dekat dengan Allah bermaksud kemuliaan dan pangkat kedudukan baginda yang istimewa di sisi Allah sehingga disifatkan sebagai hampir dengan Allah ta`ala, bukannya Allah menduduki atau menempati suatu tempat yang dekat dengan baginda). Ada perbezaan antara "dekat yang berhubung dengan tempat (al-makan)" dan "dekat yang berhubung dengan pangkat kedudukan (al-makanah)..........
Maka inilah dimaksudkan bila dikatakan Allah di atas atau fawq atau `uluw, yakni merujuk kepada makanah, iaitu pangkat kedudukanNya yang Maha Tinggi. Mudah - mudahan kejap dalam hati sanubari kita bahawa Allah Maha Suci dari bertempat dan berjarak, bak kata setengah ahli sufi: "Allah itu jauh tak berantara, dekat tak bersentuh".

Sepakat Ahli Kalam & Ahli Hadis

Rabu, Januari 15, 2025

Istighfar Rejab

Sering kita mendengar ustaz - ustaz kita berkata bahawa Rejab itu adalah bulan istighfar, yakni dianjurkan kita melebihkan bacaan istighfar memohon keampunan Allah dalam bulan ini melebihi bulan - bulan lain. Maka tidak pelik, jika beberapa ulama menganjurkan bacaan - bacaan istighfar dengan berbagai shighah atau lafaz. Di antara lafaz yang sering dianjurkan untuk diamalkan adalah sebagaimana yang disebut oleh Mulla Ali al-Qari Sultan al-Harawi rahimahullah dalam risalah al-Adab fi Rajab pada halaman 38 yang menyatakan sebagai berikut:  ...Aku telah mendengar sebahagian masyaikh membanyakkan istighfar dalam bulan ini dengan istighfar yang berbunyi:
 "Aku memohon keampunan Allah, Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Mulia, dari segala dosa dan kesalahan."

Ramai guru dan ulama yang mewasiatkan agar sentiasa mengamalkan istighfar ini sekurang - kurangnya 1000 kali sepanjang bulan Rejab. Di antaranya, Syaikh al-`Arifbillah Ahmad ath-Thahir al-Hamidi (1257H - 1331H), seorang ulama Azhar bermazhab Maliki, terkenal dengan kewalian dan keilmuannya, setiap kali masuk bulan Rejab, beliau akan berpesan kepada murid - murid dan masyarakat awam agar mengamalkan istighfar sekurang - kurangnya seribu (1000) kali sepanjang bulan Rejab. Menurut kata sebahagian masyaikh, dengan mengamalkan istighfar ini, selain mendapat keampunan Allah, mudah - mudahan juga ia menjadi sebab bagi si pengamalnya untuk melintasi titian shiratul mustaqim secepat kilat menyambar. Oleh itu, janganlah kita mensia -siakan apa jua faedah yang disebut oleh para alim ulama dan awliya shalihin kita, yang mungkin menjadi sebab dan wasilah untuk kita berjaya meniti titian yang paling sukar menuju ke syurga. Ingat titian shirathul mustaqim bukanlah laluan yang mudah, laluannya teramat sempit bak rambut dibelah tujuh, jaraknya ribuan tahun, dipenuhi berbagai liku, onak duri dan seumpamanya yang sentiasa berusaha untuk mengait seseorang agar tersembam ke neraka di bawahnya. Allahu ... Allah, Rabbi sallim sallim. Hanya iman, takwa dan amal shaleh yang kita harapkan jadi sebab memperolehi rahmat Ilahi dan syafaat Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, hingga berjaya menjejak kaki ke dalam syurga yang abadi.

Khutbah Syaikh Farraj Ya'qub al-Maliki al-Azhari


Jumaat, Disember 27, 2024

Shalawat Syaikh Arsyad

Tuan Guru Haji Munawwar bin Ahmad Ghazali adalah salah seorang ulama Banjar yang disegani. Beliau dikenali sebagai Guru Kubah Kampung Melayu, Martapura. Beliau merupakan murid almarhum Guru Haji Seman Mulia, Guru Ijai dan lain - lain ulama Banjar. Kealimannya diakui masyarakat sehingga ketika berusia muda dalam 19 tahun, beliau telah dilantik untuk mengambilalih dan meneruskan kelas - kelas pengajian yang diasuh oleh ayahandanya KH Ahmad Ghazali setelah beliau kembali ke rahmatullah. Beliau juga rajin mengarang dan di antara karangannya satu risalah yang menukilkan beberapa manaqib Datu Kalampayan @ Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari rahimahullah yang berjodol Fathush Shamad.

Pada halaman 64 risalah tersebut, beliau menukilkan satu shalawat yang dinisbahkan kepada Maulana Syaikh Arsyad al-Banjari rahimahullah. Beliau menyatakan sebagai berikut:- Shalawat karangan asy-Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Hendaklah engkau baca tiap - tiap hari dengan sungguh - sungguh kerana terlalu amat bauk. Tiada jua yang membaca ia satu kali, maka sama membaca Dalailul Khairat sekhatam

Inilah shalawat yang dinisbahkan kepada al-`Alim al-Allaamah Mawlana Syaikh Arsyad bin Abdullah al-Banjari rahimahullah. Di dalam shalawat ini dinyatakan bahawa Junjungan Nabi sebagai seawal - awal makhluk Allah (Awwalu Makhluqaat), yakni makhluk yang pertama dijadikan Allah, iaitu merujuk kepada penciptaan nur baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam yang juga disebut sebagai Nur Muhammad atau Ruhul A'dzam dan beberapa gelar lagi. Jadi ini menegaskan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah makhluk Allah dan bukannya satu juzuk atau sebahagian daripada Allah atau mempunyai unsur - unsur ketuhanan. Kalimah "nuurun min nuuri Dzatika" yang secara literal diertikan sebagai "satu nur daripada nur Zat Engkau" adalah seerti dengan kalimah "an-Nuridz Dzati" yang ada pada lafaz Shalawat Nuridz Dzati bagi Imam Abul Hasan `Ali asy-Syadzili radhiyaAllahu `anhu. Di mana kalimah tersebut hanyalah semata - mata idhafah tasyrifyyah (nisbah atau sandaran pemuliaan) dan bukannya atas makna hakiki bahawa ianya adalah sebahagian daripada Zat Allah yang Maha Esa pada zat, sifat dan af`al, lagi Maha Suci daripada menerima bahagi dan berjuzuk - juzuk.

Shalawat Imam Abul Hasan Ali asy-Syadzili, pendiri Thariqah asy-Syadziliyyah, yang masyhur disebut sebagai Shalawat Nuridz Dzati ini telah banyak diamalkan dan disyarahkan akan isi kandungannya oleh para ulama. Di antaranya oleh Imam ash-Shawi rahimahullah, dalam syarah beliau atas Shalawat Imam ad-Dardir rahimahullah yang berjodol al-Asrar ar-Rabbaniyyah wal Fuyudhat ar-Rahmaniyyah. Pada halaman 40, beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan "an-Nuuridz Dzaati" yang disebut dalam lafaz Shalawat Nuridz Dzati sebagai berikut:- ...(Allahumma shalli wa sallim wa baarik `ala Sayyidina Muhammad, an-Nuridz Dzati)...iaitu nur (yang disandarkan kepada) Zat Allah, yang diciptakan dia oleh Allah terus secara langsung tanpa sebarang maadah (unsur asas / bahan baku) kerana dia adalah kunci / pembuka (miftah) bagi kewujudan / penciptaan segala makhluk lain dan juga menjadi maadah bagi kewujudan / penciptaan mereka, sebagaimana yang telah diterangkan dahulu bagimu dalam penjelasan Hadis Jabir (iaitu Hadis Nur Muhammad).....  [ Yakni, nur tersebut yang disandarkan kepada Zat Allah adalah sebagai idhafah tasyrifiyyah atau ta'dzimiyyah semata-mata, untuk menyatakan pemuliaan dan pengagungan serta keistimewaan Nur Muhammad ciptaan Allah tersebut berbanding dengan nur atau makhluk selainnya dan ianya disandarkan terus dengan Zat Allah kerana Allah menciptakannya daripada ketiadaan / ketidakwujudan kepada wujud tanpa sebarang wasithah (perantara seperti kita diciptakan Allah dengan perantara ibubapa kita) maupun maadah (unsur asas / bahan baku seperti jasad kita diciptakan daripada `alaq segumpal darah, manakala jasad Nabi Adam diciptakan daripada tanah sebagai maadah) kerana dialah seawal - awal makhluk yang diciptakan Allah, ketika itu belum ada lagi makhluk selainnya diciptakan Allah.]

Jadi bukanlah maksudnya Nabi Muhammad dan rohnya yang disebut sebagai Nur Muhammad itu sebahagian daripada Zat Allah atau memiliki unsur - unsur ketuhanan sebagaimana pemahaman orang - orang sesat yang mengaku - ngaku sudah mencapai makrifat atau tohmahan pihak yang allergik dengan konsep Nur Muhammad. Baginda dinisbahkan sebagai an-Nur adz-Dzat adalah semata-mata menunjukkan keagungan dan kemuliaan penciptaannya sebagaimana masjid dan Ka'bah disebut sebagai Baitullah (rumah Allah), unta Nabi Saleh sebagai naaqatullah (unta Allah) dan Sayyidina Isa al-Masih `alaihis salam digelar sebagai Ruuhullah (roh Allah atau the spirit of God)yang semuanya itu merupakan sandaran atau nisbah pemuliaan dan pengagungan (idhafah tasyrifiyyah atau ta'dzimiyyah), juga sebagai penegasan semuanya itu adalah makhluk istimewa yang dicipta dan dimiliki oleh Allah jalla wa `azza. Shalawat yang digubah oleh para awliya itu ada kalimah -kalimahnya yang tidak boleh difahami secara literal menurut bahasa semata - mata, kerana mereka bukan sekadar mengubah mengikut kefasihan bahasa sahaja, namun bertunjangkan juga kepada segala ilmu agama terutama ilmu akidah dan selainnya. Jika difahami secara literal, ianya akan membawa kepada kesesatan, namun dengan pemahaman yang shahih, kalimah - kalimah tersebut akan memberikan kesan positif untuk lebih memuliakan dan mengagungkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang merupakan an-Nurudz Dzat yakni makhluk istimewa ciptaan Allah yang diciptakan terus, tanpa sebarang wasithah dan tanpa maadah. Allahumma shalli wa sallim wa baarik `alaihi wa aalih.

Shalawat Mawlana Syaikh Arsyad

Sabtu, Disember 14, 2024

Karamah Imam Nawawi

Imam Muhyiddin an-Nawawi (631H - 676H) 
radhiyaAllahu `anhu adalah seorang ulama besar lagi wali, bahkan quthubnya para wali yang telah dizahirkan Allah atasnya berbagai karamah, samada hissi atau maknawi. Antara karamah beliau adalah karya - karyanya yang banyak sehingga berjilid - jilid kitab besar yang amat bernilai yang beliau tulis dalam umur beliau yang relatif singkat. Beliau wafat ketika berusia hanya lebih kurang 45 tahun sahaja, dalam usia singkat tersebut beliau dianugerahkan Allah ilmu dan kebijaksanaan serta kemampuan untuk mengarang dan segala karangan tersebut amat bermanfaat dan menjadi  rujukan serta panduan umat sehingga ke hari ini. 

Di antara karamah hissi yang sempat dirakam dalam kitab - kitab para ulama pula adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Jalaluddin as-Sayuthi rahimahullah dalam karya beliau berupa manakib Imam an-Nawawi dengan jodol al-Minhajus Sawi. Pada halaman 48 dinyatakan sebagai berikut:- ....Telah aku (yakni Imam Taqiyuddin as-Subki dan mungkin juga diri Imam Sayuthi sendiri) melihat dalam "Majmuk" yang disalin oleh Syaikh Syamsuddin al-`Iyzari asy-Syafie (seorang ulama Syafie yang wafat tahun 808H, memiliki beberapa karangan antaranya mukhtashar bagi kitab al-Quut karya Imam al-Adzra`ie dan ta'liq atas Syarhul Kabir bagi Imam ar-Rafi`ie) menyatakan bahawa penjaga pintu gerbang Madrasah ar-Rawahiyyah (sebuah madrasah yang mengajar Mazhab Syafie di Kota Damsyik yang letaknya di timur laut Masjid al-Umawi) berkata: "Pada suatu malam Imam an-Nawawi telah berjalan keluar dan aku mengikut beliau. Ketika sampai di pintu gerbang madrasah, pintunya terbuka sendiri. Beliau pun keluar dan aku berjalan bersamanya beberapa langkah, tiba - tiba kami sudah berada di Kota Mekah. Imam Nawawi pun berihram umrah dan melaksanakan tawaf dan saie. Setelah selesai, beliau melanjutkan dengan bertawaf sunat sepanjang malam sebelum pulang. Ketika hendak pulang, aku berjalan di belakangnya, tiba - tiba sahaja kami telah berada semula di Madrasah ar-Rawahiyyah.

Inilah antara karamah yang pernah berlaku atas Imam an-Nawawi dan dirakam oleh para ulama kita. Karamah ini yang berupa thayyul ardh, di mana Allah melipatkan bumi bagi beliau, sehingga jarak yang jauh dari Damsyik ke Mekah dapat ditempoh dengan hanya beberapa langkah. Mudah - mudahan kita mendapat berkat dan syafaat daripada al-Imam al-Faqih al-Muhaddits Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi asy-Syafie ad-Dimasyqi radhiyaAllahu `anhu.

Rabu, Disember 04, 2024

Awalnya Darul Arqam ......

Pada awal, dakwah yang dimulakan oleh Allahyarham Ustaz Haji Ashaari dengan Yayasan Darul Arqamnya tidaklah melenceng dari jalan kebenaran. Amalan Aurad Muhammadiah yang beliau amalkan sejak remaja, masih tidak menyimpang dari landasan yang diletak oleh pengasasnya. Ketika itu, tidak timbul dakwa - dakwi yang berbagai, hatta sekitar penghujung 90an, Ustaz Haji Ashaari, dalam majlis - majlis pengijazahan amalan Aurad Muhammadiah, masih dengan jelas menyatakan bahawa Syaikh Muhammad as-Suhaimi @ Kiyai Agung telah pun meninggal dunia. Isu - isu berkaitan Imam al-Mahdi, Fata at-Tamimi dan sebagainya tidak pernah ditimbulkan. Di awal polemik, pihak Darul Arqam sempat mendapatkan pandangan daripada pihak Nahdlatul Ulama, ormas muslim yang terbesar di Indonesia. Pihak Nahdlatul Ulama dalam keputusan mereka yang dikeluarkan pada 12 Ogos 1994 memutuskan, antaranya: " Sampai saat ini, Pengurus Besar Nahdlatul Ulama tidak melihat adanya hal - hal yang dianggap sesat dari aqidah Darul Arqam ....."

Namun, sayangnya setelah jemaah tersebut berkembang sehingga ke tahap yang membanggakan, maka timbul perasaan ujub, merasa kagum dan takjub dengan kehebatan jemaah dan pemimpinnya, sehingga memandang rendah dan memperlekehkan orang dan jemaah lain. Maka bermulalah indoktrinasi bahawa inilah jemaah pilihan, jemaah terpilih jemaah akhir zaman, jemaah pendokong Imam al-Mahdi dan dan dan sebagainya. Ketika itulah, penyimpangan demi penyimpangan mula berlaku sehingga difatwakan sesat dan diharamkan oleh kerajaan. Benarlah kata sebahagian ulama: "Ra'sul mal al-`ulama`, ath-tawadhu` (modalnya para ulama itu bersikap tawadhu` merendah diri), justru ulama yang tidak tawadhu seumpama pedagang yang tidak balik modal atau kehilangan modal yakni mengalami kerugian. Semoga kita semua ditetapkan Allah atas jalan kebenaran sehingga ke akhir hayat.

Penjelasan Allahyarham Ustaz Ashaari 
(Majlis Pengijazahan sekitar 90an)

Selasa, November 12, 2024

Nazam Ubat Hati

Untaian nazam yang dikenali sebagai Nazam Silsilah atau Nazam Munajah / Munajat atau Ubat Hati, gubahan asal berbahasa Arab dalam 33 bait karangan Syaikh Ismail bin Abdullah al-Minangkabawi al-Khalidi. Beliau rahimahullah adalah ulama besar asal Minangkabau dan wafat di Mekah. Beliau dikatakan sebagai penyebar pertama sekaligus mursyid Thariqat Naqsyabandiah Khalidiyyah di belahan bumi Melayu ini. Tidak dapat dipungkiri bahawa beliau adalah "min kibari ulama al-Jawi" (salah seorang daripada ulama besar Nusantara Tanah Jawi). Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id Linggi, rahimahullah, mufti pertama Negeri Sembilan dan syaikh mursyid Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah, dalam Kanzul Mu`id halaman 14 mencatat sebagai berikut:- ".....al-`Alim al-Fadhil al-Hummam al-Kamil, Shahibul Wilayah wal Karamah, asy-Syaikh Ismail al-Khalidi, yang mempunya kitab Kifayatul Ghulam dan murid mereka yang sangat alim lagi mempunyai beberapa karangan memanfaat akan manusia iaitu asy-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani rahimahumullahu ta`ala aamiin."

Syaikh Ismail mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam dakwah dan penyebaran agama, juga suluk perjalanan Thariqah Naqsyabandiyyah di Nusantara. Syaikh Ismail berguru dengan ramai ulama antaranya dengan Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah. Beliau mewariskan beberapa karya tulis, sebahagian telah dicetak dan masih berada di pasaran. Karyanya juga masih ada yang dijadikan teks rujukan dan pengajian. Antara yang termasyhur daripada karangan beliau adalah kitab fiqh dasar, Kifayatul Ghulam dan kitab tawhid pengajian Sifat 20 pegangan `Asyaairah Maturidiyyah yang berjodol al-Muqaddimatul Kubra.

Berbalik kepada  Nazam Munajat @ Ubat Hati, sebagai penutup, faqir nukilkan terjemahan Bahasa Melayu nazam tersebut. Nazam yang dinamakan sebagai "Ubat Hati" berisikan tawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para awliya` dalam silsilah Thariqat Naqsyabandiyyah al-Khaalidiyyah. Ianya dikarang oleh Syaikh Ismail al-Khalidi dalam tahun 1270H dalam Bahasa Arab, kemudian diterjemah dalam Bahasa Aceh oleh Syaikh Teungku Muda Muhammad Waly al-Khalidi pada tahun 1370H dan akhirnya diterjemah dengan sedikit penambahan oleh KH Teungku Muhibbuddin Waly al-Khalidi pada hari Khamis tanggal 23 Rabi`ul Akhir 1415H. Mudah-mudahan ada keberkatan yang diperolehi darinya buat kita dan sekalian umat Islam. 

Terjemahan Munajat "Ubat Hati"

بسم الله الرحمن الرحيم

Mohon kami kepadaMu, wahai Allah
Dengan berkat rahsia Dzat, wahai Ghautsah

Dengan Jibril lagi berkat Nabi yang benar
Penghulu `alam sekalian Abu Bakar

Dengan berkat Salman Farisi yang mulia
Berkat Qasim berkat Ja'far yang arif raya

Berkat Abu Yazid raja para awliya`
Thaifur nama Abul Hasan masyhur raya

Berkat Abu `Ali wali di Farmadi
Berkat Yusuf Hamdan bangsa tolong madadi

Abdul Khaliq bangsa Ghajduwan baik benar
Arif bangsa Riyukiri masyhur tenar

Berkat Mahmud sudah itu berkat `Ali
Berkat Muhammad Samasi bangsa lagi wali

Berkat Kulal murid beliau Bahauddin
Imam dalam thariqat ini dengan yakin

Ala-iddin menantunya bagi puterinya
Berkat Ya'kub indah sangat pribadinya

`Ubaidillah syaikh yang banyak rahsia Tuhan
Ahrar masyhur di thariqat laqab gelaran

Syaikh yang zahid nama Muhammad wahai ikhwan
Dunia akhirat lantas Darwisy kemudian

Khawajakiy sesudah itu Syaikh Muhammad
Pemimpin kita mujaddid raya Syaikh Ahmad

Berkat Ma'sum kemudian Saifuddin
Sesudah itu Nur Muhammad syaikh yang yakin

Jani Janaan matahari terang sekali
Berkat qutub Syaikh `Abdullah megah tinggi

Maulana Khalid imam kita megah tenar
Berkat khalifah lagi saleh mulia benar

Syaikh `Abdullah turunan sayyid yang mulia
Quthubul Wujud jarang banding di dunia

Berkat mursyid lagi kamil di negeri Makkah
Cara rahsia irsyadnya itu lalu megah

Habis umur waktu duduk muraqabah
Sedang menunggu pemberian dari Allah

Beliau sedang menghadap Ka'bah yang mulia
Hampir Subuh hari `Arafah masyhur raya

Subuh Jum`at haji akbar beliau pindah
Dari dunia fana ini ke rahmatullah

Habis umur di rumahnya Jabal Qubais
Dimuliakan oleh Tuhan serta taqdis

Roh beliau sucikanlah wahai Rabbi
Terangkanlah kuburnya bernilai tinggi

Dengan berkat Syaikh Ismail guru kami
Yang menuntun thariqat ini kepada kami

Saudaranya yang mulia lapang dada
Sulaiman Qarimy mursyid megah dengan nyata

Dua khalifah dari dua mursyid tadi
Abu Bakar dengan `Umar mengikuti

Kemudian jadi khalifah `Utsman dan `Ali
Setiap mursyid mendapat izin megah jali

Dengan berkat Syaikh mulia yang terpuji
Itulah mursyid Sulaiman Zuhdi sabar tinggi

Quthubul Irsyad yang masyhur wahai rakan
Utsman Fauzi `alim `abid kepada Tuhan

Syaikh yang `arif dibangsakan kepada Shamad
Yusuf Zahid terkenal fana dalam Ahad

Mursyid kami yang terkenal wahai akhi
Beliau masyhur di negeri Kampar Abdul Ghani

Syaikh yang kamil lagi halim `inayah Rabbi
Faham yang halus mursyid kami Muhammad Wali

Angkatkanlah martabat beliau wahai Rahman
Tetapkanlah syurga tinggi kediaman

Dua khalifah yang diangkat dua maulana
Muhibbuddin Waly Idrus dua purnama

Sesudah itu `Adnan dengan Qamaruddin
Abuya wafat setelah diangkat jadi mursyidin

Syaikh Jailani Abdul Hamid kemudian
Tidak lama sudah itu Teungku Hasan

Wasiat isyarah dilakukan buah hati
Mursyid kami Kiyai Muhibbuddin Waly

Sesudah itu Teungku Jamaluddin Waly
Jadi mursyid serta Teuku Usman Fauzy

Telah sepakat atas ini semua mursyid
Doktor Muhibbuddin Waly hanya tanfidz

Gunung hakikat begitu tinggi naikkan kami
Laksana Kau tuntun kami ke thariqat ini

Minuman cinta begitu bersih minumkan kami
Agar hampir yang sempurna berikan kami

Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Matikan kami dalam iman semuanya

Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Khususkan kami mendapat sukses dalam syurga

Berikan rahmat serta salam selama-lama
Atas Nabi turunan Hasyim Ahmad nama

Atas sahabat dan pengikut keluarga
Shalawat salam tiada putus selamanya

Ismail Khalidy nama nazhim munajah ini
Hitungilah tarikh nazham huruf ini

Penterjemah Bahasa Aceh nazham ini
Syaikh murabbi harap ikhlas Tuhan beri

Nama beliau Syaikh Haji Muhammad Waly
Mohon penuh dari Allah rahsia tinggi

Penterjemah ke Bahasa Melayu tinggi
Professor kami Doktor Muhibbuddin Waly

Kedua beliau husnul khitam hai saudara
Disampaikan oleh Allah cita-cita

و صلى الله على سيدنا محمد و على آله و صحبه اجمعين
و الحمد لله رب العالمين
آمين

Bacaan Nazam Ubat Hati oleh Buya Muhibbuddin