Rabu, Ogos 31, 2005

Ni`al al-Musthofa s.a.w. 3


Malam ini 27 Rajab, umat sibuk memperingati Isra` dan Mi'raj Junjungan. Kemuliaan Junjungan terlalu amat sehingga apa sahaja bersama Junjungan turut menjadi mulia, seperti diisyaratkan oleh ayat "al-ladzi baarakNaa haulahu" (yang Kami, yakni Allah, berkati sekitarnya"), jika ayat tersebut menceritakan keberkatan Masjidil Aqsa, maka Junjungan s.a.w. ini kemuliaannya keberkatannya keagungannya melebihi segala selain Allah s.w.t., fikirkanlah wahai saudara lalu jadikanlah dirimu berada dalam daairah sekitar Junjungan s.a.w. dan sekitar pewaris dan khalifah Junjungan. Kemuliaan Junjungan tertumpah sehingga ke ni`alnya yang dibawa bersama menghadap Rabbul Jalil sehingga lakaran ni`al tersebut yang dilakar demi kecintaan kepada tuan empunyanya mengandungi keberkatan dan rahsia yang sukar diungkapkan. Lakaran ni`al Junjungan Nabi s.a.w. mempunyai rahsia dan keistimewaan di kalangan sebahagian ulama sehingga ianya dijadikan simbol bagi Usrah Dandarawi (iaitu pengamal Thoriqat Ahmadiyyah Rasyidiyyah Dandarawiyyah) di Mesir. Antara kelebihannya ialah seperti diceritakan oleh Imam al-Qasthaalani dalam kitabnya "al-Mawaahibul Laduniyyah" juz ke-2 mukasurat 174:-

Dan di antara kelebihannya yang telah dicuba manfaat dan keberkatannya ialah apa yang dikisahkan oleh seorang syaikh yang sholeh, Abu Ja'far Ahmad bin Abdul Majid:- "Aku telah membuat mitsal ni`al ini untuk seorang muridku, maka dia telah berjumpa denganku pada suatu hari dan berkata:- "Kelmarin aku telah melihat keberkatan ni`al ini yang ajaib. Isteriku telah ditimpa sakit yang berat sehingga hampir-hampir binasa, maka aku letakkan mitsal ni`al tersebut pada tempat sakitnya dan berdoa "ALLAHUMMA ARINIY BARAKATA SHOHIBI HADZAN-NA'LI" ( Ya Allah, tunjukkanlah aku keberkatan tuan empunya ni`al ini, yakni Junjungan Nabi s.a.w.), lalu dia disembuhkan Allah pada waktu itu juga.

Telah berkata Abu Ishaq:-"Telah berkata Abul Qaasim bin Muhammad:-"Di antara yang telah mujarrab keberkatannya ialah sesiapa yang membawanya bersama dengan niat untuk mengambil berkat, jadilah dia selamat daripada kejahatan penjahat, memperolehi kemenangan ke atas musuh dan mendapat penjagaan daripada syaitan yang jahat serta dipelihara daripada kedengkian orang-orang yang hasad. Dan jika dibawa oleh orang perempuan hamil yang sedang sakit hendak bersalin pada sebelah kanannya, nescaya dipermudahkan urusannya tersebut dengan pertolongan dan kekuatan Allah."

Saudara, inilah antara penyaksian ulama kita berhubung lakaran ni`al al-Musthofa s.a.w. Percaya atau tidak terpulanglah, "al-madad fil masyhad fil I'tiqaad nailul murad" ("Bantuan/ Sokongan sekadar penyaksian dan dalam pegangan teguh tercapainya tujuan"). Untuk pengetahuan, Imam al-Qasthaalani adalah seorang ulama terbilang, pemuka ilmu hadits dan fiqh mazhab Syafi`i. Antara gurunya ialah Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari dan as-Sakhawi. Banyak mengarang kitab antara yang masyhur ialah "Irsyadus Sari fi syarhi Shohihil Bukhari" merupakan syarah Shohih Bukhari dalam 10 jilid besar dan "al-Is`aad fi talkhis al-Irsyad" merupakan furu' feqah Syafi`i. Maka terpulanglah. Alfu Alfi Sholaatin Wa Alfu Alfi Salaamin 'Alaika, Ya Shohibal-Mi'raaj. Alfu Alfi Sholaatin Wa Alfu Alfi Salaamin 'Alaika, Ya Shohiban-Na'lain. (Jutaan sholawat dan salam untukmu Wahai Tuan Empunya Mi'raaj; Jutaan sholawat dan salam untukmu Wahai Tuan Empunya Dua Ni`al).