Jumaat, Mac 24, 2006

Syaikh Hasan al-Masyath


Nama penuhnya ialah Abu Ahmad Hasan bin Muhammad bin 'Abbas bin 'Ali bin 'Abdul Wahid al-Masyath al-Makki al-Maliki. Dilahirkan di Makkah pada 3 Syawwal 1317H. Mula belajar daripada ayahandanya sendiri, kemudian di Madrasah ash-Shaulatiyyah dan Masjidil Haram. Di antara guru-gurunya ialah Syaikh Jamaal al-Maliki, Syaikh Hamdan al-Wanisi al-Jazairi al-Madani, Syaikh Muhammad Hasyim al-Fuuti al-Fulaani, Syaikh Muhammad al-Kattani, Syaikh Muhammad al-Khidhr al-Jakni al-Mauritani, Syaikh Musytaq Ahmad, Syaikh 'Umar Hamdan al-Mahrusy, Habib 'Aydrus bin Salim al-Bar, Syaikh 'Abdur Rahman ad-Dahhan, Syaikh 'Isa Rawwas, Syaikh Muhammad Habibullah asy-Syinqithi dan ramai lagi. Beliau juga telah mengadakan rehlah ilmu dengan mengunjungi ulama dan belajar dengan mereka di merata-rata tempat, antaranya ke Sudan di mana beliau berkesempatan bertemu dengan Sayyid 'Ali al-Mirghani dan Syaikh al-Fatih QaribUllah. Di Mesir, beliau bertemu dengan Syaikh Muhammad Zahid al-Kawtsari, Syaikh Salamah al-Qudha`ie dan Syaikh Ibrahim al-Bajuri. Di Syria, beliau bertemu dengan Syaikh 'Abdul 'Aziz 'Uyun, Syaikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah dan Syaikh Salih Farfur. Selain menjadi qadhi, beliau juga mengajar di Madrasah ash-Shaulatiyyah dan di Masjidil Haram dengan mengajar hadits melalui kitab-kitab shahih, tafsir, fiqh, usul fiqh dan lughah. Di antara murid-muridnya ialah Syaikh Ibrahim al-Ahdal, Syaikh Ismail Zain, Syaikh Ismail Hariri, Syaikh Ahmad al-Badali, Syaikh Ahmad al-Halwani, Syaikh Ahmad al-Masyath, Syaikh Ahmad Damanhuri, Syaikh Ahmad Zaki Yamani, Syaikh Zaini Bawean, Syaikh Shalih Mahjub, Syaikh 'Abdullah al-Lahji, Habib Abdullah Hasan Tholib al-Jufri, Syaikh Yasin al-Fadani dan ramai lagi. Di tanah air kita, antara ulama yang pernah menjadi muridnya ialah Datuk Mufti Syaikh Muhammad Nur bin Ibrahim al-Kelantani. Syaikh Hasan al-Masyath juga telah meninggalkan berbagai karangan antaranya "al-Jawhar ats-Tsaminah", "at-Tuhfah ats-Tsaniyyah", "al-Bahjah as-Saniyyah" dan banyak lagi. Beliau wafat di Makkah pada hari Rabu, 7 Syawwal 1399H........al-Fatihah.

2 ulasan:

Aljoofre berkata...

Semoga kita mendapat manfaat dari keilmuan dan keberkatannya di dunia dan akhirat.

Antara ulamak yg berada di Malaysia yang pernah belajar dengan beliau juga adalah Al-Faqih Alhabib Omar Abdullah Assyatri.

Tanpa Nama berkata...

Salam Tuan,

Minta tolong khabarkan program Sheikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki (alumni madrasah Al-Shaulatiyyah) di Subang hujung minggu ni bermula program Maulidur Rasul di Subang Bestari Jumaat malam & mengaji kitab di Masjid Al-Falah USJ9 esoknya.