Jumaat, Januari 04, 2008

Nur Muhammad - Fatwa Negeri Sarawak

Lama beno dah teman dak letak posting berhubung Nur Muhammad. Biorlah kali ni, teman bubuh fatwa negeri teman berhubung masalah ini. Kalau tak silap teman, fatwa ini telah dibincang dan difatwakan dalam mesyuarat fatwa zaman mufti Shohibus Samahah Datuk Haji Murtadza Haji Daud, tarikhnya idaklah teman ingat. Dibentangkan oleh Ketua Penolong Mufti waktu itu yang sekarang, menjadi mufti negeri teman Shohibus Samahah Datu Haji Loling Othman bin Haji 'Alwi keluaran al-Azhar asy-Syarif (lihat gambar sebelah). Kesimpulan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Negeri adalah sebagai berikut:-

Ahli mesyuarat membuat kesimpulan dan cadangan bahawa :

i) Tidak semua fahaman dan pegangan kepada "Nur Muhammad" itu sesat, kerana sebahagian ulama mu'tabar seperti Imam Ibnu Hajar Al-Haitami, Syaikh Ibrahim Al-Baijuri, Sayyidis-Syaikh Ja'far Al-Barzanji, Sulthanul Awliya' Syaikh Abdul Qadir Al-Jilani dan ramai lagi, menerima konsep ini dengan penafsiran yang sewajarnya tanpa melampaui batas 'aqidah dan syariah Islam. Dalam penafsiran mereka "Nur Muhammad" adalah seawal-awal makhluk ciptaan Allah swt, bersifat dengan sifat baharu (bukannya qadim) dan sekali-kali tidak mempunyai unsur-unsur ketuhanan.

ii) Kesalahfahaman dan penyelewengan banyak berlaku kerana sebahagian kelompok telah tersalah atau dengan sengaja memberikan tafsiran yang salah kepada hadith-hadith yang menyebut bahawa 'Nur Muhammad' ini diciptakan daripada "nur Allah" atau dengan tafsiran yang seolah-olah "Nur Muhammad" itu adalah satu juzuk daripada zat Allah s.w.t. yang mana tafsiran ini adalah nyata bercanggah dengan aqidah Islam dan tidak ada seorang pun ulama mu'tabar yang berpegang dengan penafsiran sedemikian. Tafsiran sebeginilah yang sesat lagi menyesatkan dan semestinya dibendung.

iii) Konsep "Nur Muhammad" sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama mu'tabar, sewajarnya diletakkan dalam perkara khilafiyyah yang sepatutnya ditanggapi diterima dengan fikiran terbuka dan rasa tasamuh yang tinggi. Percaya atau tidak kepada hal yang demikian tidaklah merosakkan aqidah

iv) Oleh kerana tidak semua pegangan terhadap konsep "Nur Muhammad" itu sesat, maka sewajarnya kita janganlah bermudah-mudah untuk menyesatkannya tanpa usul periksa terlebih dahulu. Menyesatkan konsep "Nur Muhammad" secara keseluruhan akan mengakibatkan hukuman sesat kepada ramai ulama mu'tabar yang menjadi sandaran ummat

Menurut Pengerusi salah faham mengenai "Nur Muhammad" hendaklah ditangani dengan memberikan penjelasan yang sewajarnya berpandukan para ulama terdahulu disamping menjaga adabul-ikhtilaf.
********************************
Meh layan Mawi baca rawi Barzanji. Fasal pertama dan petikan terjemahannya oleh Tuan Haji Jamaluddin Hasyim. Ingat ini mawlid, mufti Madinah yang tulis.



  1. Kumulakan karangan ini dengan nama Allah Tuhan Ilahi
  2. Kumohon limpah berkat, atas segala ni'mat yang telah diberi
  3. kuucapkan pujian kepada Allah, sebenar-benar puji
  4. Kuiringkan pujian dengan kesyukuran, yang amat tinggi
  1. Kupohonkan semoga Allah cucurkan rahmat dan selamat kepada Junjungan, yang nurnya mula-mula dijadikan Allah di alam nyata
  2. Nur yang berpindah dari keturunan, demi keturunan, yang kesemuanya keturunan mulia
  3. Kupohonkan semoga Allah, kurniakan keredhaan, khasnya kepada seluruh keluarga baginda
  4. Amnya, kepada sekalian sahabat, pengikut-pengikut sahabat, dan orang-orang terkemudian dari masa ke masa
  1. Kupohonkan kurniaan hidayah, menuju jalan yang terang nyata
  2. Juga menuntut elakkan dari langkah-langkah yang sesat melata
  3. Kusiarkan sesedut kisah Junjungan dalam gubahan yang indah cipta
  4. Gubahan dari nasab yang mulia yang menyedapka pendengaran sesiapa juga
  1. Kupohonkan pertolongan Allah, Tuhan yang Gagah Perkasa
  2. Sesungguhnya tiada daya, dan tiada upaya, melainkan dengan pertolongan Allah yang Maha Kuasa
Harumkan ya Allah, maqam Junjungan yang mulia
Dengan kata-kata ucapan sholawat dan selamat sejahtera

اللهم صل و سلم و بارك عليه و على آله

1 ulasan:

poyo berkata...

Terjemahan Rawi yang simple & mudah untuk semua yang ingin memannfaatkannya. Jutaan terimakasih kepada tuan punya blog. Wassallam!