Isnin, Januari 21, 2008

Cintailah Ahli Bait & Sahabat

10 Muharram 61H menyaksikan syahidnya Imam Husain r.a. Sungguh ianya musibah yang besar bagi umat ini, walau bagaimanapun kita dilarang meratapi pemergiannya sebagai syuhada` dengan ratapan-ratapan jahiliyyah, dengan merobek-robek pakaian, dengan memukul-mukul dada dan sebagainya seumpama perlakuan puak Syiah. Jikalaulah segala amalan jahiliyyah itu dibenarkan Islam, maka sewajarnya kita melalak melolong meratap pemergian Imam Ali r.a. yang juga dibunuh, tentunya baginda lebih utama daripada anakandanya Imam Husain. Atau kita meratapkan pemergian semulia-mulia kejadian, Junjungan Nabi s.a.w. Allahu ... Allah, pelik sungguh perbuatan puak-puak ni.

Seperkara lagi yang kita perlu ketahui ialah keberaniannya Imam Husain dalam menegakkan kebenaran sehingga sanggup menghadapi maut. Tidaklah baginda mengamalkan taqiyyah kepura-puraan yang jadi dasar ajaran Syiah. Juga perlu diingat bahawa para sahabat Junjungan Nabi bersih dari darahnya Imam Husain r.a. Maka kenapa pula mereka dijadikan sasaran kebencian dan cemohan. Sungguh kecintaan kepada ahli bait tidak dapat bersama dengan kebencian kepada para sahabat. Cintakan ahli bait bererti kita kena turut mencintai para sahabat. Inilah pesanan Imam Ali r.a.:

لا يجتمع حبي و بغض ابي بكر و عمر
Tidak akan berhimpun kecintaan kepadaku dan kebencian kepada Abu Bakar dan 'Umar.
Maka orang yang mengakui cintakan ahli bait, cintakan Imam Husain, cintakan Imam 'Ali, sedangkan dalam masa yang sama membenci Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina 'Umar dan sahabat yang lain, kecintaannya itu adalah palsu. Justru kecintaan kepada ahli bait Junjungan dan para sahabat baginda adalah daripada keimanan, bahkan menjadi perkara pokok dan asas dalam Islam sebagaimana dinyatakan dalam satu hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu an-Najjar dalam tarikhnya di mana Imam Hasan r.a. menyatakan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

لكل شيء اساس و اساس الإسلام حب اصحاب رسول الله صلى الله عليه و سلم و حب اهل بيته

"Setiap sesuatu itu ada asasnya, dan asas Islam adalah kecintaan kepada sahabat-sahabat Rasululah s.a.w. dan kecintaan kepada ahli bait baginda."

Allahu ... Allah, maka di manakah dasar dan asas bagi Islamnya seseorang yang hatinya membenci para sahabat dan ahli keluarga Junjungan.

Cintakan sahabat dan ahlul baitnya Junjungan
Itulah asas bagi keshohihan iman
Moga dengannya tetap teguh pendirian
Di dunia menjalani titah agama pilihan
Tabah sabar menghadapi segala ujian
Di akhirat tatkala meniti titian
Beroleh kejayaan menuju jinaan
Meraih redhanya Tuhan
Sebagaimana dinyatakan dalam hadits Junjungan
Dailami muhaddits meriwayatkan
Imam 'Ali mengkhabarkan
Paling teguh perdirian antara kamu atas titian
Yang kasihnya kepada ahli bait dan sahabat bersangatan
Maka selamatlah dia dari tergelincir ke niiraan.

اثبتكم على الصراط اشدكم حبا لأهل بيتي و اصحابي

2 ulasan:

Ku Keng berkata...

Yang terkorban di Karbala juga:
Umar ibn Ali ibn Abi Talib
Abu Bakr ibn Ali ibn Abi Talib
Uthman ibn Ali ibn Abi Talib
Abu Bakr ibn Hassan ibn Ali
Umar ibn Hassan ibn Ali
Abu Bakr ibn Hussein ibn Ali
Umar ibn Hussein ibn Ali
Uthman ibn Hussein ibn Ali;

Tapi taksubnya mereka dengan Sayyidina Hussein kerana beliau berkahwin dengan Sahr Banu anak kepada Yazgard, pemerintah terakhir Parsi.

Dan amat taksub juga mereka kepada Abu Lu' Lu' al Majusi.

Saladin Convoy berkata...

Assalamu`alaikum.

Hmm... apakah Tuan Ku Keng menggambarkan bahawa fahaman/ketaksuban Syiah ini berkait rapat dengan negara/bangsa Iran/Parsi?

Benar juga, kenapa agaknya Imam `Ali, Imam Hassan dan Imam Hussin R.Anhum memberikan anak² mereka nama² sahabat yang dibenci oleh Syiah kan?

Namun ada pula sesetengah golongan manusia, yang saya jumpalah, dalam dunia siber ni (dalam blognya), dia mungkinlah tak menyeksa diri dengan "memukul diri", tapi sebaliknya menyeksa diri dengan mencela diri sendiri, dengan mengatakan ayat lebih kurang begini; "Ya Rasulullah, kami umatmu yang celaka kerana membiarkan cucumu dibunuh". Hoho, bolehkah begini?

Sekian, wassalam...