Selasa, Jun 30, 2009

Rajab Bulan Allah ??

Telah masyhur di lidah umat Islam seantero dunia, menisbahkan Rajab sebagai bulan Allah. Umum telah mengetahui dan mendengar hadits yang kerap diucapkan teristimewa apabila menjelang bulan Rajab, hadits yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda yang bererti: "Rajab itu bulan Allah, Sya`baan itu bulan aku dan Ramadhan itu bulan umatku." Maka hampir setiap tahun ada sahaja yang bertanya mengenai status dan kedudukan hadits tersebut yang berbunyi:-

"Rajab bulan Allah, Sya`baan bulanku,
Ramadhan bulan umatku"


Sebelum pergi kepada status hadits tersebut, wajar sekiranya kita mengetahui apa yang dimaksudkan dengan maudhu` dan apa pula yang dimaksudkan dengan dho`if. Ini adalah kerana kedua-duanya mempunyai perbezaan yang besar. Hadits maudhu adalah hadits palsu yang sama sekali tidak mempunyai sanad yang berkemungkinan bersambung atau berkemungkinan untuk dinisbahkan kepada Shodiqul Mashduq Junjungan Nabi SAW. Senang cakap, ianya sama sekali bukan sabdaan Junjungan, confirm 100% cakapan orang yang tidak maksum. Sebaliknya, hadits yang dhoif pula adalah yang mempunyai sanad yang mursal atau muttasil kepada Junjungan Nabi SAW. Hanyasanya, dalam sanadnya mempunyai kecacatan sehingga tidak dapat dihukumkan sebagai shohih atau hasan. Jadi maudhu` dan dho`if itu mempunyai perbezaan yang besar yang perlu kita beri perhatian sewajarnya.

Berbalik kepada hadits di atas, untuk menghukumkan hadits tersebut sebagai mesti maudhu` bukanlah sesuatu yang mudah seperti makan nasik. Ini adalah kerana para muhadditsin yang kenamaan telah berselisih pendapat mengenai status dan kedudukan hadits tersebut. Para muhadditsin tidak sekata dan tidak sepakat menghukumkannya sebagai maudhu`. Jika ada yang menyatakannya sebagai maudhu`, maka ada pula yang akan menyatakan bahawa ianya bukan maudhu` tetapi dho`if dan sebagainya. Imam as-Sayuthi rahimahUllah telah memasukkan hadits ini sebagai hadits yang ke 4411 dalam karya beliau "al-Jaami`ush Shoghir fi Ahaaditsil Basyiirin Nadziir". Jika sahaja hadits tersebut disepakati atas maudhu`nya, maka sudah pasti Imam as-Sayuthi yang terkenal dengan ilmu dan waraknya tidak akan bermudah-mudah meletakkannya dalam karya himpunan haditsnya tersebut. Sudah pasti Imam as-Sayuthi mengetahui akan hukum meriwayatkan hadits maudhu tanpa memperjelaskan kepalsuannya. Sebaliknya, Imam as-Sayuthi menjelaskan bahawa hadits tersebut ada mempunyai sanad yang mursal kepada seorang tabi`in yang agung iaitu Imam Hasan al-Bashri rahimahUllah sebagaimana diriwayatkan oleh Abul Fath bin Abil Fawaaris dalam kitabnya "'Amaali" dan darjatnya adalah DHO`IF (baca: dho`if bukan maudhu`).

Selanjutnya, Imam al-Munawi rahimahUllah, pengarang "Faidhul Qadiir" yang merupakan syarah bagi "Jami`ush Shoghir" pada halaman 24, juzuk ke-4, setelah menukil pendapat al-Hafiz al-'Iraqi rahimahUllah yang menghukumkan hadits tersebut sebagai dho`if jiddan (terlalu dhoif) [lagi sekali bacanya "dho`if jiddan", bukan "maudhu` jiddan"], kerana hadits-hadist mursal yang dinisbahkan kepada Imam Hasan al-Bashri tidak mempunyai nilai di sisi para ahli hadits, menyatakan bahawa adalah pelik jika sanad hadits tersebut dihukumkan sebagai mursal sahaja. Ini adalah kerana Imam ad-Dailami dalam "Musnad al-Firdaus" telah meriwayatkan petikan - petikan hadits yang seumpamanya pada lafaz daripada tiga jalan yang bersambung kepada sahabat Junjungan, Sayyidina Anas r.a. Ibnu Nashr dan lain-lain muhaddits juga telah meriwayat petikan-petikan hadits yang seumpamanya dengan sanad yang sama. Maka ini menunjukkan bahawa hadits tersebut bukanlah semata-mata hadits mursal, tetapi hadits yang musnad yang bersambung sanad segala periwayatnya kepada Junjungan Nabi SAW.

Kita tidak menafikan bahawa terdapat banyak hadits-hadits maudhu` yang diriwayatkan berhubung keistimewaan bulan Rajab dan sebagainya. Akan tetapi tidaklah boleh dipukulrata bahawa segala hadits tentang Rajab adalah maudhu`. Hendaklah kita beri sungguh-sungguh perhatian bila nak ambil kerja muhadditsin, janganlah bermudah-mudah dalam menghukumkan palsu akan sesuatu hadits, apatah lagi jika hadits tersebut telah masyhur di lidah umat Islam, yang awam maupun yang khawas. Seperkara lagi, jikapun hadits tersebut dhoif, maka ianya bukanlah hadits hukum, hanya khabar semata-mata mengenai keistimewaan tiga bulan yang sememangnya bulan-bulan yang mulia. Oleh itu, bersikap sederhanalah dalam hal ini.

Tiada ulasan: