Rabu, Julai 29, 2009

Masjidil Aqsha

Masjidil Aqsha, masjid suci yang ketiga bagi kita, terletak dalam kawasan al-Haram asy-Syarif Baitul Maqdis di bumi Palestine. Buminya tempat Junjungan Nabi SAW bermi'raj menerobos tujuh petala langit, bahkan lebih jauh dari itu lagi. Buminya para nabi, bahkan ada riwayat daripada Sayyidina Ka`ab al-Ahbar, bahawa terdapat 1,000 anbiya` yang dimakamkan di sana. Dalam al-Haram asy-Syarif tersebut terdapat juga Masjid Qubbatush Shakhra` yang menaungi batu tempat Junjungan Nabi SAW memulakan perjalanan mi'raj baginda. Rafi' bin 'Umar al-Mazni meriwayatkan bahawa beliau mendengar Junjungan Nabi SAW menyatakan bahawa batu tersebut (ash-shakhra`) berasal dari syurga.

Masjid Qubbatush Shakhra` adalah binaan berkubah emas yang dibina oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Diceritakan bahawa tatkala siapnya kubah tersebut, khalifah telah menghadiahkan kepada arkitek binaannya iaitu Abu al-Miqdam bin Haiwah dan Yazid bin Salam 100,000 dinar emas. Namun kedua mereka menolaknya dan menyatakan bahawa tidak sepatutnya bagi mereka untuk menerimanya, bahkan seharusnya perhiasan emas isteri-isteri mereka digunakan untuk perbelanjaan pembinaan tersebut. Maka atas perintah khalifah, dinar-dinar emas tersebut ditipiskan dan dilekatkan atas kubah tersebut sehingga masyhurlah ia sebagai Kubah Emas. Malangnya hingga kita, bumi suci kita ini masih dijajah oleh musuh Allah dan rasulNya. Para pemimpin Islam hanya melihat dan berbincang mengenainya yang entah bilalah kesudahannya.

Imam an-Nasa-i rahimahUllah meriwayatkan satu hadits di mana Junjungan Nabi SAW bersabda:-

“Sesungguhnya ketika Nabi Sulaiman bin Daud 'alaihimasalam membina Baitul Maqdis, baginda memohon kepada Allah `azza wa jalla untuk tiga perkara. Baginda memohon kepada Allah `azza wa jalla agar (diberi taufiq) dalam memutuskan hukum yang menepati hukumNya, lalu dikabulkan; dan memohon kepada Allah `azza wa jalla dianugerahi kerajaan yang tidak diberikan kepada seseorang setelah baginda, lalu dikabulkan; dan baginda memohon kepada Allah `azza wa jalla tatkala selesai membangun masjid, agar tidak ada seorang pun yang datang ke sana dengan tujuan untuk shalat di situ, melainkan dikeluarkan dia daripada dosa kesalahannya seperti hari dia dilahirkan ibunya”.
Selain daripada itu, telah masyhur riwayat bahawa satu sholat di Masjidil Aqsha digandakan ganjarannya sehingga 500 kali ganda. Terdapat juga riwayat yang menyatakan ianya diganda 1,000 kali ganda dan Imam ad-Dimyathi dalam "al-Matjar ar-Raabih" mendatangkan riwayat yang ianya diganda sebanyak 50,000 kali ganda. Bagi yang tidak berpeluang untuk berkunjung dan menziarahi masjid yang mulia ini serta bersholat di dalamnya, maka ada peluang lain untuk meraih pahala yang besar ini. Diriwayatkan bahawa Junjungan Nabi SAW pernah menasihati Maimunah binti Sa`ad untuk mengirim minyak bagi kegunaan Masjidil Aqsha dan baginda menyatakan bahawa sesiapa yang melakukan yang sedemikian dia akan diberi pahala seolah-olah dia bersholat di sana. Oleh itu marilah kita menghulurkan bantuan berupa sedekah dan hadiah agar kemuliaan Masjidil Aqsha tetap terpelihara. Mudah-mudahan segala bantuan kita untuk bumi suci Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsha diberi ganjaran seumpama kita melaksanakan sholat di sana.

**********************************************

Masjid al-Aqsha & Masjid Qubbatush Shakhra`

video

Ahad, Julai 26, 2009

Dalam BaitUllah

BaitUllah yang berdiri megah di tengah Masjidil Haram yang suci menjadi kiblat umat Islam. Ramai yang teringin bahkan ada yang mengidam nak masuk ke dalam rumah Allah yang mulia ini. Tapi bukan semua yang direzekikan untuk itu. Maka untuk mengubat sedikit kerinduan, jikalah dapat diubatkan, ese letakkanlah di sini keratan rentas BaitUllah yang mulia, juga rakaman video keadaan di dalamnya. Moga Allah memberikan rezeki kepada kita untuk menziarahi BaitUllah al-Haram dan memuliakannya. Itu yang paling utama memuliakannya demi kerana Allah SWT. Kalau setakat berkunjung atau melawatnya macam melawat tempat-tempat lain, apalah manfaatnya bagi peningkatan keimanan dan ketaqwaan kita kepada yang Empunyanya. Memuliakannya sebagaimana diperintahkan itulah yang utama, apalah erti ziarah kepadanya tanpa memuliakannya. Bukankah Junjungan Nabi SAW mengajar kepada kita agar mendoakan agar kemuliaan Baitullah terus bertambah dan cemerlang sebagaimana masyhur dalam doa baginda tatkala memandang kepada BaitUllah dengan doanya seumpama:-

Ya Allah tambahkan akan rumah ini kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kehebatan; Dan tambahkan bagi sesiapa yang memuliakannya dan yang mengagungkannya daripada kalangan mereka-mereka yang mengerjakan haji atau umrah akan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebajikan. Ya Allah, Engkau Pemberi Kesejahteraan, daripadaMu kesejahteraan, hidupkanlah kami wahai Tuhan kami dalam kesejahteraan.
Allahu ... Allah, juga turut didoakan dalam doa tersebut, orang-orang yang memuliakan dan membesarkan BaitUllah. Maka janganlah jadi seperti Abu Jahal atau Abu Lahab yang saban hari memasuki BaitUllah, tetapi yang dimuliakan adalah segala berhala yang menjadi sembahan mereka dan bukannya BaitUllah dan Pemiliknya, Allah yang Maha Esa. Oleh itu muliakanlah BaitUllah al-Haram demi mematuhi perintah Pemiliknya yang memerintahkan kita agar memuliakannya. Mudah-mudahan dengan itu kita pun akan turut dimuliakan oleh Allah di dunia dan di akhirat nanti.

*************************************
Rakaman Dalam BaitUllah

video

Rabu, Julai 22, 2009

Mi'raj & syubhah tempat bagi Allah

Bercerita tentang mi'raj Junjungan Nabi SAW, maka kerap-kali berlaku salahfaham pada segelintir masyarakat, di mana sesetengah "pendakwah" menggunakan peristiwa ini sebagai hujjah bahawa Allah ta'ala itu bertempat dan berarah, subhanAllah. Sedangkan mi'raj itu adalah sesuatu yang dialami oleh seorang hambaNya yang paling utama, Junjungan Nabi SAW, yang bermi'raj itu adalah baginda, Allah adalah yang memi'rajkan baginda. Maka yang bertempat dan yang mengambil tempat itu adalah hamba, dan sekali-kali bukan Allah SWT yang mengambil tempat. Di sinilah kita kena membezakan isyarat kepada makanah (darjat kedudukan) dan kepada makan (tempat).

Jika dikatakan tatkala Junjungan Nabi naik ke langit, maka kedudukan baginda menjadi lebih hampir kepada Tuhan, maka persoalannya ialah adakah dengan keberadaan baginda di bumi setelah mi'raj itu menjadikan baginda berada lebih jauh dari Tuhan? Sudah tentu tidak, kerana wujudnya Allah tidak bertempat, tidak berjarak, tidak berarah, wujudnya Allah berbeza dan menyalahi segala yang baharu. Sama juga dengan keadaannya jika dibuat perbandingan dengan peristiwa Nabi Yunus AS yang ditelan ikan dan dibawa ke dasar lautan. Jika Tuhan itu bertempat di langit, maka adakah dengan beradanya Nabi Yunus di dasar lautan itu baginda berada jauh dari Tuhan? Sungguh Allah sentiasa dekat dengan hamba-hambaNya yang sholeh dengan rahmatNya dan kasihsayangNya. Juga dekat dengan hamba-hambaNya yang derhaka dengan kemurkaan dan seksaanNya.

Prof. Dr. al-Muhaddits Habib Muhammad bin `Alawi bin `Abbas bin `Abdul `Aziz al-Maliki al-Hasani rahimahumUllah, adalah antara ulama yang memperjelaskan waham yang ditimbulkan oleh puak yang menempatkan Allah di sesuatu tempat, subhanAllah. Dalam karya beliau yang berjodol "Wa Huwa bil Ufuqil A'laa", beliau rahimahUllah menyatakan sebagai berikut:-
Tidak sepatutnya seseorang muslim yang mendengar kisah mi'raj mengenai naik dan turunnya Junjungan Nabi SAW ke langit, untuk menyangka bahawa antara hamba dan TuhanNya terdapat jarak yang tertentu yang dapat dijangkau, kerana sangkaan yang sedemikian adalah suatu kekufuran, yang mana kita berlindung dengan Allah daripadanya. Bahawasanya naik dan turun ini hanya dinisbahkan kepada hamba (yakni Junjungan Nabi SAW) dan bukannya kepada Tuhan. Meskipun Junjungan Nabi SAW pada malam isra' tersebut berkesudahan dengan mencapai jarak kedudukan seumpama dua anak panah atau lebih hampir lagi, tetap baginda tidak melepasi maqam / kedudukan seorang hamba. Dan keadaan baginda dengan Nabi Yunus bin Matta AS ketika ditelan ikan serta dibawanya ke lautan lepas sehingga ke dasar lautan adalah sama, dalam hal ketiadaan jarak bagi Allah dengan ciptaanNya, ketiadaan arah, ketiadaan mengambil tempat, ketiadaan had pembatas, dan ketiadaan dapat dijangkau (yakni bukanlah artinya bila Junjungan Nabi SAW mi'raj ke atas maka baginda lebih hampir kepada Tuhan berbanding Nabi Yunus yang dibawa ikan ke dasar lautan dari segi tempat dan jarak - satu di atas dan satu di bawah - kerana Allah tidak bertempat sehingga boleh didekati atau dihampiri dengan diputuskan jarak yang tertentu.) Dan telah dikatakan oleh segelintir ulama, bahawa ikan tersebut telah membawa Nabi Yunus sejauh perjalanan 6,000 tahun, sebagaimana disebut oleh Imam al-Baghawi dan selainnya. Apabila telah engkau ketahui yang sedemikian, maka yang dikehendaki dengan naiknya Junjungan Nabi SAW dan menempuhnya baginda jarak yang jauh tersebut adalah untuk menzahirkan / menyatakan kedudukan baginda kepada penghuni langit dan menyatakan bahawasanya bagindalah makhluk Allah yang paling utama. Pengertian ini diperkuatkan lagi dengan dijadikan buraq sebagai tunggangan baginda, lalu dihubungkan bagi baginda akan mi'raj (alat untuk naik ke langit), dijadikan baginda imam bagi para nabi dan malaikat, sedangkan Allah ta'ala berkuasa untuk mengangkat baginda tanpa buraq dan mi'raj.
Maka diisra` dan dimi`rajkan Junjungan Nabi SAW dengan menggunakan makhluk seperti buraq dan mi'raj adalah untuk menzahirkan kemuliaan dan ketinggian baginda di antara sekalian makhluk. Inilah hakikat sebenar mi'raj Junjungan SAW ke langit, agar dipersaksikan kepada segala penghuni langit akan darjat ketinggiannya penghulu sekalian makhluk. Tidaklah ia menunjukkan Allah berada di sesuatu tempat, Maha Suci Allah daripada mengambil faedah dari makhlukNya dan Maha Suci Ia daripada mengambil bagi lapang. ِ

**********************************************
الله موجود بلا مكان

video

Isnin, Julai 20, 2009

Forum Isra` & Mi'raj

Hari ini adalah hari di mana umat biasanya memperingati peristiwa Isra` dan Mi'raj Junjungan Nabi SAW yang merupakan satu mukjizat bagi Junjungan Nabi SAW. Dalam peristiwa itu, Junjungan Nabi SAW dan umat baginda telah dihadiahkan Allah dengan sholat fardhu 5 waktu yang menjadi tali penghubung maha penting bagi hamba dengan Penciptanya. Mari kita dengan Forum Isra` dan Mi'raj Junjungan Nabi SAW bersama Dr. Said Ramadhan al-Buthi dan Habib `Ali al-Jufri. Dan perhatikanlah penjelasan Habib 'Ali bahawa Allah wujud tidak bertempat, tidaklah Allah mengambil tempat di Mustawa atau di langit, tatkala Junjungan Nabi SAW bermi'raj ke sana, sebagaimana Allah tidak mengambil tempat di celah pokok di lembah suci Thuwa tatkala berfirman kepada Sayyidina Musa AS. Dengarlah dengan penuh perhatian, moga ada manfaatnya.

************************************
Forum Isra` wal Mi'raj

video

Sabtu, Julai 18, 2009

Belasungkawa

Jumaat, 24 Rajab 1430 bersamaan 17 Julai 2009, telah kembali ke rahmatUllah, hambaNya Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon rahimahUllah. Beliau anak Sarawak yang pertama memperolehi ijazah dari Universiti al-Azhar pada tahun 1972. Sebelum ke Azhar, beliau menuntut di Madrasah al-Junaid, Singapura dan antara guru beliau adalah Habib Abdullah bin Hasan asy-Syathiri rahimahUllah. Beliau mempunyai jasa yang cukup banyak dalam memartabatkan perundangan Mahkamah Syariah di negeri ini dan merupakan Ketua Hakim Syarie yang pertama bagi Mahkamah Syariah Negeri Sarawak. Dalam arena dakwah, beliau aktif dalam ABIM, bahkan antara pengasas ABIM Sarawak. Kini padamlah satu obor yang satu ketika pernah menyinari umat Islam di Sarawak. Moga segala kebajikan beliau dilipatgandakan ganjarannya oleh Allah, segala dosa kesilapan kekhilafan beliau diampuni, dan ditempatkan beliau dalam kelompok orang-orang yang berjaya daripada kalangan para nabi dan shiddiqin, syuhada` dan sholihin. Allahumma aamiin ... al-Fatihah.

Pertemuan Ustaz Awang Pon dengan Buya al-Maliki,
Mudah-mudahan mereka dipertemukan semula
Dalam syurga Jannatun Na`im
Bi jiwari Sayyidil Mursalin, Allahumma aamiin.


**************************************

اللهم اغفر له و ارحمه ...بحرمة الفاتحة

video

Jumaat, Julai 17, 2009

Khatam Bukhari 1427H

Dalam bulan Rajab ini, di sesetengah tempat telah menjadi amalan dikhatamkan kitab hadits himpunan Imam al-Bukhari, atau setidak-tidaknya karya Imam az-Zubaidi yang merupakan mukhtashar bagi Shohih al-Bukhari dengan nama "Tajridush Shorih". Sidi Abu Zahrah telah menulis sedikit berhubung tradisi Khatam Bukhari yang diamalkan oleh para habaib kita dalam blognya al-fanshuri.blogspot .com dan boleh juga rujuk tulisan ambo terdahulu berhubung Tradisi Khatam Bukhari. Di sini ambo letakkan video Khatam Bukhari yang diadakan di Masjid ar-Riyadh, Solo, pada 27 Rajab 1427 bersamaan 21 Ogos 2006. Istimewanya khatam ini adalah ianya merupakan khatam yang terakhir bagi almaghfurlah Habib Anis al-Habsyi rahimahUllah. Moga dapat dihayati, teristimewanya pada wasiatnya al-Habib Ali al-Habsyi r.a. yang akan dibacakan oleh Habib Anis serta diterjemahkan sedikit oleh Ustaz Najib as-Segaf hafizahUllah - "..... Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak mengikut jalannya `Alawiyyin; Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak beramal dengan amalan `Alawiyyin; Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak menjalani thoriqahnya para `Alawiyyin; Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak berakhlak dengan akhlaknya para 'Alawiyyin; Bukanlah `Alawi, seorang yang tidak beradab dengan adabnya para `Alawiyyin ....." Mari hadiahkan bacaan al-Fatihah buat Junjungan Nabi SAW serta anak cucu baginda teristimewa sekali para saadah Bani `Alawi yang mulia, juga bagi Habibna Anis al-Habsyi.

*********************************************************
Khatam Bukhari terakhir bersama Habib Anis

video


video

Rabu, Julai 15, 2009

Ziarah Baitu Lahm

Dalam perjalanan isra` Junjungan Nabi SAW menuju Masjidil Aqsha, maka baginda telah dibawa oleh malaikat Jibril AS untuk singgah di beberapa tempat yang bersejarah. Di mana baginda telah disuruh turun untuk menunaikan sholat di tempat-tempat tersebut. Maka antara tempat yang dikunjungi Junjungan SAW pada malam tersebut ialah Baitu Lahm. Malaikat Jibril AS telah memaklumkan kepada baginda bahawa tempat yang baginda lawati itu adalah Baitu Lahm, tempat di mana Sayyidina `Isa AS dilahirkan. Lihat sahaja wahai ikhwah, bagaimana Baginda Nabi SAW dibawa menziarahi tempat kelahiran Nabi `Isa AS, jadi kenapa pula kita ditegah dan/atau dilarang dan/atau dihalang dan/atau tidak digalakkan untuk melawat tempat kelahiran manusia yang paling mulia, yang kemuliaannya mengatasi Sayyidina Isa AS. Kenapa tempat kelahiran baginda, tempat terbitnya sinar hidayah Ilahi dibinasakan dan tidak dipelihara. Sedangkan pasti tempat kelahiran Junjungan Nabi SAW itu adalah satu tempat yang penuh keberkatan kerana ianya telah jadi pilihan Allah sebagai tempat kelahiran kekasihNya Junjungan Nabi SAW.

Sejarawan Makkah, Syaikh Abul Walid al-Azraqi (wafat tahun 250H) dalam karyanya "Akhbar Makkah wa ma ja-a fiiha min atsaar", pada halaman 158 menyatakan bahawa antara tempat-tempat di Makkah di mana kita dimustahabkan solat padanya adalah tempat Mawlid Nabi SAW iaitu tempat kelahiran Junjungan SAW. Menurutnya lagi, rumah tersebut telah dijadikan masjid oleh al-Khaizuran, bonda Khalifah Musa al-Hadi dan Khalifah Harun ar-Rasyid daripada Khilafah Abbasiyyah. Maka berdirilah masjid tersebut di tempat kelahiran Junjungan Nabi SAW serta menjadi tempat ziarah terutama sekali pada bulan mawlid sehinggalah ianya dimusnahkan oleh puak Wahabi dan ziarahnya menjadi satu tegahan. Dari gambar lama di atas kita masih boleh melihat kubah masjid yang menaungi Mawlid Nabi SAW.

Bayangkan kalau dahulu tersergam sebuah masjid yang indah menaungi tempat kelahiran Baginda Muhammad SAW, maka kini ianya sudah dimusnahkan. Bahkan tempat yang penuh keberkatan ini pernah dinodai dengan dijadikan pasar haiwan seperti unta dan sapi. Akhirnya atas usaha dan inisiatif Syaikh Abbas bin Yusuf al-Qaththan (gambar di sebelah) yang wafat pada 16 Rejab 1370H, setelah berjaya memperolehi perkenan Raja Abdul `Aziz al-Saud, maka dibinalah atasnya perpustakaan "Maktabah Makkah al-Mukarramah". Pembinaan perpustakaan tersebut berlangsung selama 2 bulan sebelum Syaikh Abbas meninggal lalu disempurnakan pembinaannya oleh anaknya Syaikh Amin al-Qaththan. Walaupun telah ditukar menjadi perpustakaan (menurut sebahagian penziarah, kini ianya adalah bangunan yang hodoh dan tidak terurus), para penziarah tetap tidak leluasa dan sewenang-sewenangnya menziarahi tempat mawlidnya Junjungan Nabi SAW. Perlakuan yang tidak wajar ini oleh puak Wahabi telah ditegur oleh para ulama kita, antaranya oleh Syaikh Sayyid Yusuf bin Hashim ar-Rifa`i sebagaimana yang diterjemah oleh Syaikh Dr. Gibril Fouad Haddad dalam karyanya "Advice To Our Brothers The Scholars of Najd", di mana tercatat pada halaman 38 - 39 antara lain:-

34. Eradicating the House of his Mawlid

You tried and continue to try - as if it were your goal in life - to destroy the last remnant of the historical vestiges of the Messenger of Allag, peace and blessings be upon him, namely the noble place where he was born. This house was razed then changed into a cattle market, then some pious people used ruse to transform it into a library which became "Maktabat Makka al-Mukarrama." You began to pry at that place with evil stares and vengeful threats, trying to entrap it with the official departments. You openly requested that it be destroyed and have shown hostility to the authorities, pressing them hard to effect such destruction after the decision taken to that effect by the organization of your major scholars a few years ago. I have an explicit taped recording of this decision. But the Custodian of the Two Sanctuaries, King Fahd -- the prudent and wise man who is a aware of next-worldly consequences-- ignored your request and froze it indefinitely. Alas, for shame! Such disrespect and disloyalty against this noble Prophet, peace and greetings be upon him, by whom Allah Most High brought us out and yourselves and your ancestors into light! What a shamelessness in his presence the Day we come to drink from his blessed Basin! Alas, woe and misery for a Sect that hates its Prophet whether in word or in deed, holding him in contempt and trying its best to eradicate his traces! Yet Allah Most High says to us: "Take as your place of worship the place where Ibrahim stood (to pray)" [2:125]. And He said, bestowing on the Israelites the gifts of Talut, Musa, and Harun: "And their Prophet said unto them: Lo! The token of his kingdom is that there shall come to you the ark wherein is peace of reassurance from your Lord, and a remnant of that which the house of Musa and the house of Harun left behind, the angels bearing it. Lo! Herein shall be a token for you if (in truth) you are believers" [2:248].

The Ulema of Quranic commentary said that these vestiges consisted in the staff of Musa peace be upon him, his sandals, etc. Read also, if you like, the sound and authentic hadiths that pertain to the physical and personal relics of the Prophet, peace and greetings be upon him, and the true concern of the Companions, may Allah be well pleased with them, over them as mentioned in the pages of sahih al-Bukhari. There is enough evidence "for him who has a heart or gives ear with full intelligence" [50:37] and ample provision for those who think and reflect.

Maka, sewajarnya kita selaku umat yang mengaku kasih dan cinta kepada Junjungan Rasulullah SAW datang menziarahi tempat yang telah menjadi saksi kelahiran agung, kelahiran Kekasih Allah yang terutama, kelahiran nur hidayah yang cahayanya bersinar gilang gemilang menerangi seluruh penjuru alam. Jika ada yang menegah kita menziarahinya, maka katakan sahaja bahawa sedangkan Jibril AS membawa Junjungan SAW menziarahi tempat kelahiran Sayyidina `Isa AS, maka kenapa kami ditegah menziarahi tempat kelahiran Junjungan Nabi SAW? Allahu ... Allah, peristiwa Isra` dan Mi`raj Junjungan Nabi SAW mengajar kita bahawa menziarahi tempat-tempat yang punya hubungan dengan para anbiya` dan sholihin adalah sesuatu yang dituntut dan bukannya bid`ah yang ditegah.

*************************************
Tapak Rumah Kelahiran Junjungan SAW

video

Selasa, Julai 14, 2009

Diliputi Nur `Arasy

Tatkala Junjungan Nabi SAW dimi'rajkan ke Mustawa lalu baginda mendengar goresan - goresan kalam, maka di situ baginda telah melihat seseorang lelaki yang diliputi oleh nur 'arasy. Junjungan SAW merasa takjub kerana lelaki tersebut yang bukannya malaikat dan bukan juga seorang nabi, berada di Mustawa sedangkan malaikat agung Jibril AS tertahan di Sidratul Muntaha kerana tidak boleh melewati sempadan alam malakut. Maka Junjungan Nabi SAW telah dimaklumkan bahawa itulah perumpamaan ketinggian maqam dan kedudukan umat baginda yang sewaktu hayatnya di dunia mempunyai 3 sifat/amalan yang utama iaitu:- (i) lidahnya sentiasa basah dengan dzikrullah; (ii) hatinya sentiasa terpaut dengan masjid; dan (iii) dia tidak pernah sekali-kali melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menyakiti kedua ibubapanya (yakni menyebabkan ibubapanya dicacimaki).

Allahu .. Allah, sungguh istimewa maqam dan kedudukan umat baginda ini. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita lidah yang sentiasa basah dengan dzikrUllah, dengan sholawat, dengan al-Quran, dengan ilmu dan hikmah. Moga hati kita menjadi hati yang sentiasa terpaut dengan masjid, sehingga di mana pun kita berada, baik di rumah, baik di pejabat, maka suasana masjid, suasana ibadah, wujud di tempat tersebut. Bukan sebaliknya, iaitu masjid jadi macam rumah atau masjid jadi macam pasar. Semoga kita dijadikan Allah sebagai anak yang sholeh yang sentiasa berbakti dan menjaga nama baik ibubapa kita.

Maka sungguh telah masyhur kisah ini diriwayatkan dalam karya-karya isra` dan mi'raj Junjungan Nabi SAW seperti "al-Ibtihaj fil kalam `alal Isra` wal mi'raj" karya al-Muhaddits al-`Allaamah Najmuddin Abul Mawahib Muhammad bin Ahmad bin `Ali bin Abu Bakar al-Ghaythi as-Sekandari al-Masri asy-Syafi`i rahimahUllah dan juga dalam "al-Anwaar al-Bahiyyah min Isra` wa Mi'raji Khairil Bariyyah" karya Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi bin `Abbas al-Maliki al-Hasani rahimahUllah.

Sekarang kita dengar sedikit ceramah Habib Taufiq as-Segaf mengenai Isra` dan Mi'rajnya Junjungan Nabi SAW. Moga ada manfaatnya. Perjalanan yang paling menakjubkan yang ditempoh Junjungan Nabi SAW dalam waktu yang amat singkat.

**********************************
Ceramah Habib Taufiq - Isra` wa Mi'raj
Align Centre
video

Jumaat, Julai 10, 2009

Kaffarah Mencela

Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Bab sabdaan Junjungan Nabi SAW : "Sesiapa yang telah aku sakiti, maka jadikanlah ia sebagai penyucian dan rahmat baginya", dengan sanadnya daripada Ahmad bin Sholeh daripada Ibnu Wahb daripada Yunus daripada Ibnu Syihaab daripada Sa`id bin al-Musayyib daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. di mana beliau telah mendengar Junjungan Nabi SAW berdoa dengan ucapan baginda yang mulia :

"Ya Allah, mana-mana orang mukmin yang telah aku cela akan dia, maka jadikanlah celaan itu sebagai sesuatu yang mendekatkan dia kepadaMu (yakni kepada rahmatMu) pada hari kiamat."
Allahu ... Allah, besar sungguh kasih-sayang Junjungan Nabi SAW kepada umat baginda. Tidak tergambar dalam benak kita yang Junjungan Nabi SAW itu seorang pencela atau pencaci. Baginda adalah manusia yang maksum yang suci bersih daripada segala madzmumah. Sabdaan baginda ini adalah bukti kasih - sayang baginda kepada umatnya, di mana baginda mengajar agar tidak seharusnya sifat suka mencaci menjadi pakaian orang-orang mukmin. Maka sewajarnya mereka menghentikan mencaci dan bertaubat dan sebagai kaffarahnya memohon kebajikan bagi orang yang dicacinya tanpa hak tersebut. Tapi jangan plak doa ini dijadikan lesen untuk terus mencaci. Ingat kita cuma berdoa, kabulnya hanya atas Allah SWT. Akhirul kalam mari kita renungi sabdaan Junjungan Nabi SAW ini:-

"Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada, ikutkanlah kesalahanmu dengan kebaikan agar ia menghapuskannya (yakni agar kebajikan yang engkau lakukan dapat menghapuskan dosa kesalahanmu), pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik."

Selasa, Julai 07, 2009

Imam asy-Syafi`i - Hb. Naufal

Mazhab Imam asy-Syafi`i r.a. adalah mazhab yang dominan di rantau alam Melayu. Ini adalah kerana masuknya Islam sehingga bertapak kukuh di rantau kita ini adalah dengan dakwah para daie yang bermazhab Syafi`i, terutama sekali yang datang dari wilayah Hadhramaut daripada anak cucu Junjungan Nabi SAW, keturunan Imam al-Muhajir Ahmad bin `Isa r.a. Mereka-mereka inilah yang telah berjasa mengIslamkan datuk-nenek bangsa Melayu di Nusantara. Maka tersebarlah Islam berteraskan ajaran Ahlus Sunnah wal Jama`ah al-Asy`ariyyah dan mazhab fiqh Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i al-Muthalibi r.a. Ini fakta sejarah yang terbukti dengan apa yang zahir nampak sehingga ke hari kita ini.

Kepada anak cucu keturunan mulia para Saadah Bani `Alawi yang banyak berjasa mengIslamkan bangsa Melayu, jangan lupa bahawa leluhur kamu sejak zaman Imam al-Muhajir r.a. berpegang kepada fahaman Ahlus Sunnah wal Jama`ah al-Asy`ariyyah dan bermazhab dengan mazhab Imam al-Muthalibi Muhammad bin Idris asy-Syafi`i r.a. Hendaklah kamu sekali-kali jangan lupa akan perkara ini. Maka jika datang kepada kamu, orang yang ilmunya, amalnya, takwanya sekali-kali tidak setara dengan para leluhur kamu terdahulu, lalu dia mengajak kamu untuk menyimpang dari jalan leluhur kamu tersebut, maka hendaklah kamu lari daripadanya lebih dari lari kamu dari singa yang garang. Sungguh dia hendak membinasakan kamu dengan penyelewengannya tersebut. Pegangi sungguh-sungguh kata-kata Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Hasan al-Aththas rahimahUllah dalam "al-'Ilmun Nibraas fit tanbih `ala manhajil akyaas" halaman 14 yang ketika menulis tentang pegangan dan jalannya para Saadah Bani `Alawi dengan tegas menyatakan bahawa:-

"Semua mereka adalah Sunniyyun Syafi`iyyun Asy`ariyyun"

Siapa dari kalangan anak cucu mereka yang berani menyimpang dari jalan leluhurnya, keturunan mulia dari titihan emas murni yang termurni ini ? Allahu ... Allah. Sempena bulan berpulangnya ke rahmatUllah Imam asy-Syafi`i, marilah kita mengenal pribadi Sulthanul A-immah ini, pengasas mazhabnya para Saadah Bani `Alawi dan mazhabnya Bangsa Melayu, disampaikan oleh Habib Naufal bin Muhammad al-`Aydrus hafizahUllah.

*****************************************************
Mengenal Imam Syafi`i - Ustaz Naufal

اللهم اغفر لي و لوالدي و لمحمد بن ادريس الشافعي

video

الله اكبر ... نحن مسلمون و لله الحمد
الله اكبر ... نحن محمديون و لله الحمد
الله اكبر ... نحن سنيون و لله الحمد
الله اكبر ... نحن شافعيون و لله الحمد
الله اكبر ... نحن اشعريون و لله الحمد

Ahad, Julai 05, 2009

Rahmat Allah - Ustaz `Alwi al-Habsyi

Manusia tidak pernah sunyi dari melakukan dosa dan maksiat. Hanya para anbiya` yang maksum sahaja terpelihara dari semua itu. Maka adalah penting, bagi kita sebagai manusia pembuat dosa agar jangan sekali-kali berputus asa dari rahmat dan kasih sayang Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang. Setiap kali berbuat dosa, harus segera kembali kepadaNya dengan taubat dan sesalan yang sebenar serta mohon bantuanNya agar boleh menghindari segala dosa dan maksiat tersebut. Selagi jantung kita masih berdenyut dan nafas masih turun naik menghirup kehidupan duniawi, maka selagi itulah kita masih punya waktu untuk kembali kepadaNya. Tapi janganlah kita berbangga-bangga dengan dosa, atau berbuat dosa tapi tak merasa berdosa. Ini amat berbahaya dan boleh menjuruskan kepada suul khatimah `indal mamat. Setiap kali ingatkan dosa dan maksiat, hendaklah pecah hati kita kerana telah mendurhakai Allah SWT. Jika ini berlaku maka di situlah rahmat dan kasih sayang Allah SWT sebagaimana diisyaratkan dalam hadits qudsi yang masyhur, berbunyi:-

"Aku sentiasa bersama orang yang pecah hatinya kerana Aku"

Mari kita manfaatkan ceramah yang boleh menambahkan harap dan raja` kita kepada Allah SWT. Disampaikan oleh Ustaz 'Alwi bin 'Ali bin 'Alwi bin 'Ali al-Habsyi, cicit Shohibul Mawlid Habib `Ali bin Muhammad bin Husain al-Habsyi rahimahumUllah. Lahir di Kota Surakarta pada 31 Mac 1970. Menempuh pengajian formalnya di Madrasah 'Aliyah al-Islam I, Honggowongso, Solo, kemudian memasuki Fakulti Adab di IAIN Sunan Kalijaga, Yogyakarta dan lulus dalam tahun 1997. Selain itu beliau pengajian formal, beliau turut mendalami ilmunya dengan pamannya almarhum Habib Anis al-Habsyi, Habib Muhammad bin Abu Bakar as-Saqqaf, Habib Ahmad bin `Ali al-`Aththas, Habib Husain bin Abu Bakar as-Saqqaf, Ustaz Abu Bakar al-Habsyi, Habib `Ali bin Idrus al-Habsyi, Syaikh Ahmad Salmin Daoman dan lain-lain lagi. Beliau juga berkesempatan belajar di Darul Mustafa, Tarim, Hadhramaut di bawah bimbingan Habib `Umar bin Muhammad BinHafiz hafizahUllah. Kini beliau giat menyebarkan dakwah dan ilmu di berbagai majlis ta`lim, bahkan sering ke berbagai pulau di Indonesia. Moga Allah menetapkan beliau atas jalan ilmu dan dakwahnya para salafush sholih.

******************************************
Ustaz `Alwi bin `Ali al-Habsyi

video