Jumaat, Februari 17, 2006

Keberkatan berpanjangan


Buya Habib Muhammad bin Alawi al-Maliki dalam karangannya "Ma dza fi Sya'baan" menukil sebuah atsar di mana Sayyidina Hudzaifah r.a. berkata bahawa sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. (keberkatannya) mencapai/mencakupi si pembaca, anaknya dan anak kepada anaknya (yakni cucunya). Atsar yang sama juga tercatat dalam kitab "Jawahirul Ma`ani wa Bulughul Amaani" karangan Syaikh Ali Hiraazim al-Faasi dan diriwayatkan oleh Ibnu Basykawaal.

Jangan tanya aku mengenai kesahihan atsar ini kerana aku bukan muhadditsin. Tetapi, cukup bagiku jika Buya al-Maliki yang merupakan seorang ahli hadits menukil atsar ini pabila menceritakan antara kelebihan sholawat. Lagi pun yang jelas bersholawat itu sememangnya diperintahkan dan dianjurkan serta banyak kelebihan dunia dan akhirat.

Kenapa masih malas bersholawat ? Kenapa lidah kita masih banyak menyebut selain Junjungan s.a.w. ? Adakah kerana hati kita masih cenderung kepada yang selain baginda ? Semua orang cari keberkatan dalam hidup, kerana hidup yang berkat akan membawa kepada kesudahan yang cemerlang. Nah amalan bersholawat, bukan sahaja menjadikan kehidupan kita penuh keberkatan, tetapi, bi idznIllah, akan menjadikan kehidupan anak cucu kita juga diberkati Allah Rabbul Jalil. Tahun baru masih panas, tanamkan azam bahawa tahun ini kan ku pertingkatkan wirid sholawat ku.

Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'ala Sayyidina Muhammad wa aalihi wa ashhabih

Tiada ulasan: