Hikmah Fitnah - 1
- Asy-Syaikh al-Jalil Qaasim al-Khashaashiy r.a. berkata:- "Jangan pedulikan orang yang membuat fitnah terhadapmu, tetapi tumpukanlah perhatian kepada ALLAH. ALLAH akan menghilangkan tukang fitnah ini daripadamu, kerana bahawasanya ALLAHlah yang menggerakkan dia membuat fitnah terhadapmu untuk menguji keikhlasanmu, tetapi ramai yang tersilap dalam masalah ini." Sekiranya engkau memberi perhatian kepada orang yang berbuat fitnah terhadapmu, fitnah itu akan berterusan, dengan dosamu (akibat terlalai daripada dzikrUllah).
Ustaz Muhammad dalam notakakinya menyatakan bahawa nasihat yang sama telah diterima oleh Imam asy-Sya'raani daripada gurunya tatkala beliau mengadu kepada gurunya tentang kesakitan yang didatangkan oleh manusia terhadap dirinya. Maka gurunya menasihati beliau:-
- Jangan sibuk dengan orang yang menyakitimu, sibuklah dengan Allah, nescaya akan dihilangkanNya tukang fitnah itu daripadamu. Sesungguhnya ramai orang yang tersilap dalam perkara ini, lalu mereka menyibukkan diri dengan orang yang menyakiti mereka. Maka berlanjutanlah kesakitan (yakni fitnah itu) beserta dosa (lalai daripada dzikrUllah). Jikalau mereka rujuk kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupi bagi mereka itu untuk menyelesaikan urusan mereka dan akan dihilangkanNya tukang-tukang fitnah itu daripada mereka.
Ikhwah, tuan-tuan guru kita mengajar agar kita sentiasa melazimi berzikir dengan hasballah dan sentiasa membaca dan menghayati ayat 44 surah al-Ghafir/al-Mu'min yang menyatakan:- ".... Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya." Agar kita sentiasa menjadikan Allah sebagai sandaran dalam kehidupan seharian. Inilah munajat penyerahan Nabi Musa a.s. setelah menjalankan usaha dakwahnya kepada kaumnya. Dan pada ayat ke-45, Allah berfirman:- "(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka Allah ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Fir`aun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya". Mudah-mudahan Allah jadikan kita orang yang ikhlas dan menjadikan kita alatNya untuk mempertahankan maruah para kekasihNya.
HasbiyAllahu wa ni'mal wakil.
2 ulasan:
Assalamualaikum,
ini terjemahan di mana boleh dapat? cetakan indonesiakah?
Wa 'alaikumus salam,
Terjemahan Bahasa Malaysia tulisan jawi cetakan Pustaka Aman Press. Cuba Cik Nony, cari kat kedai-kedai kitab di Pantai Timur.
Catat Ulasan