Rabu, Ogos 01, 2018

Cungkil Gigi Punya Pasal

Pernah dimuatkan dalam pelbagai media sosial, bahkan disampaikan dalam ceramah-ceramah, akan kisah yang dikaitkan dengan peristiwa Nabi Isa 'alaihis salam menghidupkan orang mati yang menceritakan bahawa dia dihisab atau disoal atau diazab sejak 70 tahun yang lalu dari tarikh kematiannya hanya kerana secebis kayu yang diambilnya tanpa hak atau izin si pemilik untuk mencungkil gigi. Begitulah kira-kira ringkasan ceritanya, faqir pun ingat-ingat lupa. Bukanlah hasrat faqir untuk memanjangkan kisah ini kerana faqir pun tidak mengetahui dengan jelas tentang kesahihan kisah yang dikatakan ada disebut dalam kitab 'Araa-isul Majalis karya Imam Abu Ishak Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim an-Naisaburi atau lebih dikenali sebagai Imam ats-Tsa'labi rahimahullah. Jika pun benar kisah tersebut ada dimuatkan dalam kitab tersebut, maka menurut kajian ulama, riwayat-riwayat yang terkandung dalam kitab tersebut adalah bercampur-campur, ada yang sahih, ada yang samar, yang dhaif, yang mawdhu` dan dipenuhi juga dengan kisah-kisah Israiliyyah yang tidak diketahui kedudukannya. Ini antara sebab kenapa sebahagian ulama mengatakan bahawa Imam ats-Tsa'labi dalam menghimpun riwayat-riwayat dalam kitab tersebut adalah seumpama haathib lail (yakni seorang yang memungut kayu api dalam kegelapan malam, maka dia tidak mengetahui samada yang dipungutnya itu kayu api atau ular yang berbisa). Imam ats-Tsa'labi rahimahullah dalam karyanya tersebut hanya mengutip dan menghimpun sahaja segala riwayat dan kisah tanpa mengambilkira atau mempastikan darjat dan kesahihan kisah-kisah tersebut. Jadi tidaklah faqir mengetahui kesahihan kisah tersebut tadi, kerana ianya perlu kepada kajian lanjut.

Dalam entri ini, faqir berhasrat berkongsi kisah mimpi sahaja. Mimpi seorang ulama tentang ulama lain yang dinukil oleh Imam an-Nawawi rahimahullah. Sebelum itu haraplah dimaklumi bahawa kisah-kisah sebegini bukanlah bertujuan untuk melemahkan semangat kita terhadap keluasan rahmat Allah yang maha luas. Yang perlu kita fahami adalah hidupnya kita atas muka bumi ini hendaklah bertunjangkan kepada dua sifat, sifat khauf (takut) dan sifat raja` (harap), jangan semata-mata khauf sehingga kepala kita pusing dan dada kita sesak, dan jangan pula semata-mata raja` yang akhirnya menjadikan kita meremehkan segala titah dan tegah. Hendaknya kita dalam khauf ada raja` dan dalam raja` ada khauf, sebagaimana yang digambarkan oleh Sayyidina Tsabit al-Bunani rahimahullah, diriwayatkan oleh Abdullah bin Imam Ahmad bin Hanbal dalam zawaidnya bagi kitab az-Zuhd, bahawa: Jika ditimbang khauf seorang mukmin dengan raja`nya nescaya sama timbangannya. Harap dapat difahami, jika tak faham, harap pergilah mengaji bab khauf dan raja` dengan para guru yang dimuliai.

Imam an-Nawawi dalam karya beliau Bustanul 'Arifin pada halaman 138 menukilkan satu kisah yang dikhabarkan oleh asy-Syaikh al-Amin al-Musnid Abul Fadhal Muhammad bin Muhammad bin Muhammad at-Taimi al-Bakri, daripada Syaikh Abu Hafsh 'Umar bin Muhammad bin Mu`ammar bin Thabarzad, daripada al-Hafiz Abul Qasim Ismail bin Ahmad bin 'Umar as-Samarqandi, daripada Abdud Daim bin al-Hasan al-Hilali, daripada 'Abdul Wahhab bin al-Hasan al-Kilabi, daripada Muhammad bin Khuraim al-'Uqaili yang berkata bahawa beliau mendengar Imam Ahmad bin Abil Hawari (wafat tahun 230H) berkata: "Aku berharap-harap untuk mimpi bertemu dengan Imam Abu Sulaiman ad-Darani (yang telah wafat). Setelah setahun kewafatannya, barulah aku bermimpi bertemu dengannya dan aku bertanya kepadanya: "Wahai Mu`allim, apa yang dilakukan Allah terhadap dirimu?" Beliau menjawab: "Wahai Ahmad, satu hari aku telah melalui Bab ash-Shaghir lalu berjumpa dengan muatan unta berupa tumbuhan dan pepohon untuk makanan haiwan. Maka aku telah mengambil daripada muatan tersebut secebis atau sepotong ranting / jerami kering. Aku tidak ingat apa yang aku lakukan dengannya, samada aku mencungkil gigi dengannya atau kulemparkan sahaja. Maka aku menghadapi hisabnya (yakni dipersoalkan mengenainya) sejak kematianku setahun yang lalu sehingga ke saat ini (yakni dia masih dihisab kerana secebis atau sepotong ranting / jerami yang telah diambilnya tanpa izin atau hak walaupun telah setahun dia meninggal dunia.)"

Kata Imam an-Nawawi bahawa ini merupakan cerita yang amat dahsyat sebagai pendorong kita untuk bersikap warak serta mengancam agar jangan mengambil sikap mudah terhadap perbuatan-perbuatan aniaya atau zalim yang kecil atau remeh. Untuk pengetahuan, kisah ini juga disebut oleh Imam adz-Dzahabi dalam Siyar A'laam an-Nubala`, juz ke-10, halaman 185-186, dengan sanad daripada al-Muslim bin Muhammad, daripada al-Qasim bin 'Ali, daripada ayahandanya, daripada Thahir bin Sahl, daripada Abdud Daim al-Hilali, daripada Abdul Wahhab al-Kilabi, daripada Muhammad bin Khuraim, daripada Imam Ahmad bin Abil Hawari. Mudah-mudahan dapat dijadikan renungan dan panduan agar tidak bermudah-mudah melakukan kezaliman dan menganiayai orang lain dengan mengambil hak mereka, apatah lagi hak rakyat marhaen. Banyakkanlah membaca doa yang diajar oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Allahumma haasibni hisaaban yasiira" (Ya Allah, ringan dan mudahkanlah hisabku). Mudah-mudahan Allah menghisab kita dengan hisab yang ringan lagi mudah..... Allahumma aamiin. 

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Allah Allah...