Rabu, September 12, 2018

Haji Sulaiman Rasjid

Satu masa dahulu, ketika mana buku - buku agama Bahasa Melayu bertulisan rumi dalam bidang fiqh agak terhad, maka salah satu karya masyhur mengenai bidang tersebut adalah tulisan Ustaz H. Sulaiman Rasjid yang berjodol Fiqh Islam. Inilah antara buku fiqh bertulisan rumi yang sering dibaca dan dipelajari orang awam yang tidak mahir tulisan jawi ketika itu. Buku yang mula diterbit pada tahun 1954 ini sudah banyak terpakai oleh masyarakat, baik di kalangan umum maupun di kalangan para pelajar dan mahasiswa. Departemen Agama Republik Indonesia pernah menjadikan buku Fiqh Islam ini sebagai buku teks wajib di Madrasah Tsanawiyyah/Aliyyah dan Perguruan Tinggi di Indonesia. Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Buya Hamka) rahimahullah telah sempat menulis kata pengantar bagi buku ini. Kiyai Haji Fathullah Harun rahimahullah pernah menjadikan buku ini sebagai teks untuk mengajar kelas dewasa bagi kaum ibu. Walaupun kandungan buku ini ringkas, agak bebas dalam mengutarakan hukum - hakam di mana ia tidak terlalu terikat dengan qawl muktamad mazhab Syafie, memiliki beberapa kesilapan dalam nukilan qawl-qawl mazhab Syafie dan sedikit sebanyak terpengaruh dengan fahaman Kaum Muda, namun tidak dapat dinafikan bahawa ianya bermanfaat bagi orang hendak mengenali dan mempelajari bab-bab hukum fiqh yang luas. Ini adalah kerana ia tidak hanya menghadkan perbahasan mengenai persoalan amal ibadah pokok semata-mata tetapi turut menjangkau bab-bab lain seperti mu`amalah, jinayah, jihad bahkan persoalan berhubung dengan khilafah. Maka ketika membaca buku ini, perlulah juga merujuk kepada guru-guru yang benar dan kitab-kitab turats yang muktabar dalam Mazhab Syafie, samada yang berbahasa 'Arab maupun berbahasa Melayu karangan ulama Jawi terdahulu agar tidak terkeliru dan pegangan hukumnya sesuai dengan pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie.

Siapakah penulis Fiqh Islam ini ? Beliau adalah Ustaz Haji Sulaiman Rasjid (Rasyid) bin Lasa rahimahullah yang dilahirkan sekitar tahun 1896/1898/1901 di Pekon Tengah, Liwa Krui, Lampung Utara, Pulau Sumatera. Setelah tamat sekolah dasar, pendidikan agama secara formalnya beliau kecapi di Perguruan Thawalib Padang Panjang, Sumatera Barat mulai 1919-1926. Beliau juga pernah berguru selama 5 tahun dengan Kiyai Haji Abas, Padang Japang, Payakumbuh, Sumatera Barat. Pada tahun 1926, beliau melanjutkan pelajarannya ke sekolah Mu`allim (sekolah perguruan) di Mesir lalu kemudiannya ke Universiti al-Azhar dalam jurusan takhassus fiqh. Beliau tamat pengajian di Mesir sekitar tahun 1935 dan pulang ke Indonesia.

Sepulangnya ke Indonesia yang ketika itu masih dijajah Belanda, beliau berkhidmat sebagai Ketua Penyelidik Hukum Agama di Lampung. Apabila Jepun menjajah Indonesia, Ustaz Sulaiman Rasjid dilantik menjadi Pegawai Tinggi Agama di Kantor Syambu. Ustaz Sulaiman Rasjid juga terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia bahkan beliau sempat turut serta mengangkat senjata melawan penjajah Belanda di Kalianda, Lampung Selatan, setahun menjelang kemerdekaan.

Setelah Indonesia merdeka, Presiden Sukarno menugaskan beliau di Departemen Agama Republik Indonesia sebagai kepala Jawatan Agama Republik Indonesia, Jakarta sepanjang tempoh 1947-1955 serta merangkap kepala Perjalanan Haji Indonesia. Beliau mempunyai sumbangan besar ke arah berdirinya Kantor Agama setelah kemerdekaan Indonesia sebagaimana disebut oleh M. Fuad Nasar dalam bukunya H.S.M. Nasaruddin Latif : Biografi & Pemikiran, pada halaman 5 menyatakan sebagai berikut:- Di tahun 1946 bersama rekan-rekan seperjuangan seperti H. Sulaiman Rasjid dan Zainal Abidin Datuk memerintis berdirinya Kantor Agama di Jakarta, untuk menampung dan membantu memecahkan masalah agama yang timbul di kalangan masyarakat yang baru lepas dari penjajahan dengan Proklamasi Kemerdekaan 17 Augustus 1945.

Ustaz Sulaiman Rasjid juga pernah dilantik menjadi staf ahli Kementerian Agama Republik Indonesia sekaligus menjadi asisten dosen Perguruan Tinggi Agama Islam Jakarta sambil mengajar juga di PTAIN Yogyakarta. Pada tahun 1960, beliau diangkat menjadi guru besar Ilmu Fiqh. Jawatan terakhir yang disandang beliau adalah sebagai Rektor Institut Agama Islam Negeri Lampung, Sumatera. Ustaz Sulaiman Rasjid (Rasyid) tutup usia pada 26 Januari 1976 dan dimakamkan di Lampung. Mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat dan keampunan ke atasnya serta menempatkannya bersama para shalihin.

3 ulasan:

BFL_competitor berkata...

Ahsanta....

Sebab itu apabila saya membaca buku ini ketika remaja, ada sedikit janggal dan timbul tanda tanya di dalam kepala saya, kerana pada masa yang sama, saya juga bertalaqqi kitab Sabilal Muhtadin dengan al-marhum guru saya.

Saya tinggalkan buku ini dan fokus kepada kitab talaqqi tersebut.

Unknown berkata...

Tuan macamana nak dapat Kan kitab ni
Mohon tuan bantu

Abu Muhammad berkata...

Biasanya ada dijual kat kedai - kedai di KL, cuba cari kat Wisma Yakin, setelah PKP nanti.