Sabtu, Oktober 16, 2021

Shalawat Anasiyah

Shalawat ini dinamakan oleh sesetengah sebagai Shalawat Anasiyah @ al-Anasiyah kerana diriwayatkan daripada Sayyidina Anas bin Malik radhiyaAllahu `anhu yang merupakan sahabat dan khadam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Menurut Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam Afdhalush Shalawat `ala Sayyidis Saadaat bahawa Syaikh Abu Bakar Muhammad Jabr telah meriwayatkan daripada Sayyidina Anas bin Malik radhiyaAllahu `anhu bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:-
Sesiapa yang mengucapkan (shalawat): "Allahumma shalli `ala Muhammad wa `ala aalihi wa sallim", sedangkan dia dalam keadaan berdiri, diampuni dosanya sebelum dia duduk; Dan jika dia dalam keadaan duduk, diampuni dosanya sebelum dia berdiri.
Syaikh Yusuf rahimahullah turut memuatkan Shalawat Anasiyah ini dalam Sa`adatud Daarain, pada halaman 239  himpunan shalawat yang ke-6 bagi Syaikh asy-Syihab Ahmad al-Malawi rahimahullah dengan menggunakan lafaz siyadah yakni Sayyidina Muhammad. Syaikh asy-Syihab Ahmad al-Malawi (1088 - 1181H) adalah seorang ulama besar al-Azhar yang juga merupakan seorang muhadits dan faqih bermazhab Syafie.

Dan perlu juga dijelaskan bahawa dalam bab shalawat atau bab doa, kalimah - kalimah seperti "aali Muhammad" (keluarga Muhammad) atau "aalihi" (keluarga baginda), seumpama dalam shalawat tadi, diperluaskan maknanya untuk mencakup semua dan setiap orang mukmin (kullu mukmin). Jadi diartikan "aalihi" itu sebagai "semua dan setiap orang yang beriman dengan baginda shallaAllahu `aalihi wa sallam atau pengikut atau umat baginda yakni ummatul ijabah (umat yang menerima kerasulan baginda)". Maka 'wa `ala aalihi" itu bukan hanya "dan ke atas keluarganya", namun diartikan sebagai "dan ke atas setiap umat baginda yang beriman".  Inilah pandangan yang dipilih oleh bukan seorang daripada kalangan ulama kita, termasuklah Imam an-Nawawi radhiyaAllahu`anhu. Dengan sedemikian, ketika bershalawat tersebut dengan disertai "aalihi", kita tidak hanya mendoakan keluarga langsung Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tapi juga mendoakan seluruh umat yang beriman dan mengakui kerasulan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka bertambah - tambahlah lagi gandaan pahalanya nanti. Ungkapan "aali Muhammad" turut mencakup akan para sahabat yang mulia ridhwanullah `alaihim. Jika ditambah dengan "ashhaabihi" atau "shahbihi", maka itu adalah untuk penegasan dan takkid sahaja, terutama sekali ketika bermaharajalelanya puak pembenci sahabat  - sahabat Nabi seperti Syiah dan seumpamanya, juga untuk membezakan kita dengan golongan - golongan yang sesat tersebut. Begitulah kedudukannya, melainkan jika ada qarinah yang menunjukkan sebaliknya atau dalam bab - bab fiqh seperti bab zakat di mana "aali Muhammad" itu, menurut pandangan mazhab kita, adalah mereka - mereka daripada Bani Hasyim dan Bani Muthallib. Manakala dalam bab - bab fadhail, kelebihan, keutamaan, pujian dan kemuliaan, maka 'aali Muhammad" itu biasanya merujuk kepada keluarga langsung atau terdekat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam terutama sekali alul aba` atau ahlul kisa` iaitu Sayyidina `Ali, Sayyidatina Fathimah, Imam Hasan dan Imam Husain `alaihimus salam.

Mudah - mudahan shalawat yang pendek ini dapat dijadikan tambahan pada amalan kita. Janganlah kita lalai menjadikan ucapan yang amat mudah ini sebagai amalan. Setidak - tidaknya, sebelum duduk baca dulu sekali dan begitulah juga sebelum berdiri. Mudah - mudahan berguguran dosa - dosa kita berkat shalawat dan jah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

12 ulasan:

Khairul muttaqin berkata...

Qobiltu ijazah

Khairul muttaqin berkata...

Qobiltu ijazah

Khairul muttaqin berkata...

Qobiltu ijazah

Alhamdulillaah berkata...

Qobiltu

Tanpa Nama berkata...

Qobiltu

Tanpa Nama berkata...

Qobiltu ijazah

Aris berkata...

Qobiltu ijazah.

Tanpa Nama berkata...

Qolbitu ijazah

Tanpa Nama berkata...

Qobiltu Ijazah

Tanpa Nama berkata...

qobiltu

Tanpa Nama berkata...

Qubiltu ijazahnya

Tanpa Nama berkata...

Qubiltu