Isnin, Oktober 18, 2021

Manqush Mawlid

Sempena 12 Rabi`ul Awwal, faqir mengucapkan Selamat Menyambut Maulud Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam kepada semua yang membaca coretan di blog ini. Mudah - mudahan kita mendapat syafaat baginda nanti di negeri yang abadi. Hari ini faqir akan menulis sedikit mengenai karya mawlid yang ada dalam khazanah Islam yang kaya. Jika di rantau alam Melayu, kitab mawlid yang paling terkenal dan dibaca merata adalah kitab Mawlid Barzanji, manakala bagi syair atau qasidah pujian biasa nya dilagukan daripada kitab mawlid Syaraful Anam. Hal ini telah menjadi amalan dan tradisi umat Islam kita zaman berzaman, terutama sekali ketika menyambut Rabi`ul Awwal, bulan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka berkumandanglah pembacaan Mawlid Barzanji dan Syaraful Anam di surau dan masjid. Bahkan di tempat faqir, biasa diadakan pertandingan bacaan rawi Barzanji, zikir / qashidah Syaraful Anam dan Marhaban. Semuanya diadakan untuk menyemarakkan cinta rasul dan membesarkan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mudah - mudahan niatnya itu diperbenarkan dan dituluskan semata-mata kerana Allah `azza wa jalla.

Di India Selatan, juga Sri Lanka, mereka juga mempunyai karya mawlid kegemaran selain Barzanji dan seumpamanya. Ada dua karya mawlid yang masyhur dan jadi pilihan mereka. Di kawasan sekitar Tamil Nadu, Nagore dan Sri Lanka, Subhana Mawlid karya Syaikh al-Khathib Muhammad al-Madani rahimahullah atau menurut segelintir dinisbahkan kepada Imam Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah, jadi pilihan. Mawlid ini cukup mereka gemari sehingga dikenali juga sebagai Mawlid Tamil. Manakala bagi kawasan pantai Malabar, Ponnani, Kerala, mereka mempunyai tradisi pembacaan Manqush Mawlid sehingga dikenali sebagai Mawlid Malabar. Faqir ingin mengketengahkan Mawlid Malabar ini kerana ia masih kurang dikenali di rantau kita berbanding Mawlid Tamil yang sudah agak tersebar dengan dibaca di masjid - masjid India dalam negara.

Manqush Mawlid adalah karangan seorang ulama besar dan wali yang tersohor, Syaikh Zainuddin bin Ali bin Ahmad al-Ma'bari al-Malibari al-Funnani atau terkenal dengan gelaran Syaikh Makhdum Kabir atau Makhdum Awwal rahimahullah. Beliau dilahirkan sekitar tahun 871H dan wafat pada tahun 928H. Antara karangan beliau yang masyhur dan tersebar di seantero dunia Islam termasuklah Dunia Melayu adalah nazam Hidayatul Adzkiya` ila Thariqil Awliya`, nazam ilmu tashawwuf yang masyhur dan banyak disyarahkan termasuklah oleh ulama Nusantara. Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullah mensyarahkan nazam ini dengan jodol Salaalimul Fudhala` 'ala Hidayatil Adzkiya` ila Thariqil Awliya` dan Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi @ Sidi Bakri al-Makki rahimahullah menulis syarahnya dengan jodol Kifaayatul Atqiya` wa Minhajul Ashfiya`. Syaikh Zainuddin Makhdum Kabir ini adalah datuk kepada pengarang Fathul Mu`in, iaitu Syaikh Zainuddin al-Malibari @ Makhdum Shaghir bin Muhammad al-Ghazali bin Zainuddin @ Makhdum Kabir rahimahumullah. Maka Syaikh Zainuddin al-Ma'bari inilah penulis Manqush Mawlid menurut keterangan kebanyakan ulama Malabar, sebagaimana ditegaskan oleh almarhum Syaikh Shadaqatullah yang digelar sebagai Tajul `Ulama dalam Nushratul Anaam. Dalam jawapan beliau atas pertanyaan nombor 697, antaranya mengenai pengarang Mawlid al-Manqush, menyatakan bahawa menurut keterangan yang beliau perolehi daripada guru - guru beliau, pengarang mawlid tersebut adalah asy-Syaikh al-`Allaamah al-Makhdum al-Kabir Zainuddin al-Ma'bari yang ditulis ketika Ponnani dan kawasan sekitarnya dilanda wabak kolera. Dikisahkan bahawa Manqush Mawlid ini dikarang atas permintaan para penduduk Ponnani untuk dibaca sebagai wasilah memohon keselamatan daripada wabak penyakit. Bahkan di zaman - zaman wabak, para ulama Malabar sering menganjurkan agar banyak membaca Manqush Mawlid. Namun bagi segelintir ulama Malabar seperti Syaikh Ibrahim Musliyar dalam syarah beliau bagi mawlid tersebut hanya menisbahkannya sebagai karangan sebahagian ulama Malabar tanpa menyebut namanya. 

Selanjutnya, mawlid ini dikenali sebagai Manqush Mawlid atau Mawlid al-Manqush yang ertinya "karya atau karangan kisah mawlid yang ringkas (ikhtishar) atau pendek (iqtishar)" kerana Makhdum Kabir telah meringkaskan atau memendekkannya daripada sumber kitab - kitab besar yang muktamad di sisi beliau. Karangan mawlid ini memang cukup mudah dibaca, ringkas dan pendek, namun padat isinya lagi nikmat dan lazat untuk didengar umpama halwa bagi telinga. Ada juga yang menyatakan bahawa "manqush" diambil dari kata "naqasha" yang bererti "kurang atau tidak sempurna (imperfect)" kerana sifat tawadhu yang ada pada Makhdum Kabir. Beliau merasakan bahawa mawlid karangannya tersebut banyak kekurangan dan jauh daripada kesempurnaan yang layak untuk memuji dan membesarkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Bagi Syaikh Ibrahim Musliyar, beliau menamakan mawlid ini sebagai Mawlid al-Mankus dari kata "nakasa" dengan huruf "kaf" dan "sin", dan bukannya dengan "qaf" dan "shad", yang bermaksud "jatuh tersembam" atau "tersungkur" kerana di dalamnya ada menyebut kisah berhala - berhala jatuh tersembam ketika kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Manqush Mawlid telah mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan masyarakat awam, para ulama pun sedemikian, malah mereka mensyarahkannya dengan lisan dan tulisan. Di antara syarah bagi mawlid ini, selain yang ditulis oleh Syaikh Ibrahim Musliyar, adalah yang ditulis oleh Syaikh Abbas bin Muhaimid al-Kananghadi (Kochangadi) dengan jodol al-Bunyaanul Marshush fi syarhil Mawlid al-Manqush. Begitulah sekelumit mengenai mawlid yang berkat ini, mari sama - sama kita hayati bacaannya dengan irama merdu India Selatan sambil membaca shalawat. Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya.

Manqush Mawlid

Tiada ulasan: