Jumaat, April 22, 2022

Shalawat Syaikh Khalil


Syaikh Khalil Bangkalan terkenal bukan sahaja sebagai ulama besar, bahkan yang berdarjat wali yang keramat. Beliau mempunyai beberapa karangan berupa doa dan shighah atau lafaz shalawat. Adakalanya hal ini beliau tulis di pinggir - pinggir kitab yang sedang beliau telaah ketika datangnya ilham tersebut. Antara shalawat beliau yang telah masyhur adalah yang dikenali sebagai Shalatul Ilmi (Shalawat Ilmu) kerana berisikan permohonan agar dijadikan ahli ilmu zahir batin serta dikumpulkan beserta para shalihin di dunia dan akhirat. Shalawat ini menjadi amalan para santri dan terbukti kemujarrabannya, dengan izin Allah. Diterangkan dalam kitab Ratib Syaikhina Khalil yang diterbitkan oleh Lujnah at-Turats al-Ilmi li Syaikhina Muhammad Khalil, antaranya, sebagai berikut:- Sebahagian masyaikh berpesan agar shalawat ini (Shalawat Ilmu) dibaca sebelum memulakan pengajian, samada sendirian atau secara berjemaah. Mereka mengatakan bahawa mudah -mudahan dengan manfaatnya terhasil ilmu yang bermanfaat dan memperolehi futuh (makrifat) serta dikumpulkan bersama hamba - hamba Allah yang shalih di dunia dan akhirat.

Juga dinyatakan dalam risalah tersebut, kaifiat untuk mewiridkan Shalawat Ilmi ini. Shalawat ini boleh diwiridkan dengan tiga (3) cara: (i) dibaca selepas shalat-shalat fardhu tanpa bilangan yang tertentu; (ii) Dibaca sebanyak tujuh (7) kali selepas shalat - shalat fardhu; dan (iii) dibaca tujuh (7) kali pada waktu malam. Maka kaifiatnya cukup mudah untuk diamalkan dan in sya Allah didawamkan. Mudah - mudahan bermanfaat dan berkat.

Selain Shalawat Ilmu di atas, berikut juga merupakan satu lagi lafaz shalawat yang dinisbahkan kepada beliau. Shalawat ini ditemukan tertulis di pinggir helaian kitab Hasyiah Khudhari milik beliau. Dalam lafaz shalawat ini dimohonkan gandaan pahalanya menurut bilangan atau sebilang - bilang orang yang mengerjakan puasa Ramadhan, orang yang menunaikan shalat di bulan Ramadhan, orang yang bersedekah di bulan Ramadhan, orang yang membaca al-Quran di bulan Ramadhan, orang yang bertasbih di bulan Ramadhan dan orang yang bertahlil dalam bulan Ramadhan. Mudah - mudahan dengan limpah kurnia belas ehsan Allah, diterimanya permohonan tersebut lalu diberikanNya gandaan yang amat besar itu.


Amalan bershalawat sudah mesra mendarah daging dalam tubuh para ulama dan awliya kita. Sekali - kali mereka tidak berpisah amalan ini, di mana sahaja dan bila-bila masa sahaja yang senggang daripada amalan atau zikir yang khusus dengan waktunya. Dan jika kita renungi, sahaja orang alim atau orang shalih, masyarakat awam kita dahulu pun tidak lekang dengan shalawat, setiap perbuatan pasti ada shalawat barang sekali dua, sehinggalah zaman - zaman kita ini, di mana ramai ahli bijak pandai berkeliaran membid`ahkan segala yang tidak dibuat oleh Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka mulalah ucapan shalawat diganti dengan bid`ah, karut, khurafat bahkan syirik. Inilah dikatakan "bijak tak boleh dipakai, bodoh tak boleh diajar". Kena suruh amal Shalawat Ilmu gamaknya. Apa - apa pun, biarlah si Luncai terjun dengan labu - labunya, teruskan bershalawat sehingga akhir hayat.
~~~~~~~~~~~~~~~~~
Klip Ustaz Habib Ahmad al-Aydrus

Tiada ulasan: