Menunjukkan catatan yang diisih mengikut tarikh pertanyaan abdul hamid qudus. Isih mengikut kaitan Tunjukkan semua catatan
Menunjukkan catatan yang diisih mengikut tarikh pertanyaan abdul hamid qudus. Isih mengikut kaitan Tunjukkan semua catatan

Isnin, Mei 18, 2026

Tahlil 10 Pertama DzulHijjah

Syaikh Abdul Hamid Qudus / Kudus, ulama Nusantara yang menjadi imam mazhab Syafie, khatib dan guru di Masjidil Haram, menukilkan dalam karangannya, Kanzun Najah was Surur, beberapa amalan zikir dan doa yang berkaitan dengan bulan DzulHijjah terutama 10 hari pertamanya. Di antara zikir - zikir tersebut, beliau mendatangkan dua shighah rangkaian tahlil, satu yang panjang dengan 20 untaian kerana dihimpunkan daripada beberapa riwayat, manakala satu lagi pendek dengan hanya 7 untaian berdasarkan kepada hadis Imam ath-Thabrani. Menurut Syaikh Abdul Hamid Qudus / Kudus, terbaik adalah diamalkan kedua-duanya sebanyak 10 kali setiap satu, namun bagi yang kurang mampu atau hendak mengamalkan salah satu daripadanya sahaja, maka hendaklah dia mengamalkan untaian - untaian kalimah tahlil yang kedua mengikut riwayat Imam ath-Thabrani tadi kerana riwayatnya lebih diyakini dan lebih kuat.

Maka di sini faqir kongsikan riwayat Imam ath-Thabrani tersebut yang tertera pada halaman 281 - 282 kitab Kanzun Najah was Surur sebagai berikut:- Aku (yakni Syaikh Abdul Hamid Kudus) telah melihat al-`Allamaah al-Wanaa-i rahimahullahu ta`ala berkata dalam Risalahnya bahawa Imam ath-Thabrani rahimahullahu ta`ala telah meriwayatkan dalam al-Muj`am al-Kabir bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang membaca pada 10 hari pertama bulan DzulHijjah, setiap harinya 10 kali akan zikir:- 
  1. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak hitungan tahun dan masa;
  2. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak buih - buih segala lautan;
  3. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak tumbuh - tumbuhan dan pepohonan;
  4. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak tetesan dan air hujan;
  5. (Ucapan) La ilaha illa Allah, sebanyak kerdipan segala mata;
  6. (Ucapan) La ilaha illa Allah, lebih baik daripada apa yang mereka (yakni orang - orang kafir) himpunkan dari segala matabenda dan perkara duniawi yang tidak kekal;
  7. (Ucapan) La ilaha illa Allah (ku ucapkan) mulai dari hari ini (berkekalan) sehingga ke hari ditiupnya Sangkakala.
diampuni baginya dosanya yang terdahulu dan kemudian".

Begitulah untaian kalimah Tawhid yang dianjurkan untuk dibaca setiap hari di permulaan bulan DzulHijjah yang mulia. Sebagai penutup, faqir kongsikan klip KH Sholeh Muhammad Basalamah hafizahullah, murid almarhum Buya al-Maliki dan pengasuh Pondok Pesantren Darussalam, Jatibarang, Brebes, Jawa Tengah. Semoga hari - hari yang mulia dan memiliki keutamaan ini tidak dipersia-siakan. 
KH Sholeh Basalamah

Sabtu, Ogos 31, 2019

Wasiat Syaikh `Umar Maqdisi

Amalan membaca doa akhir tahun dan awal tahun hijrah telah sebati dengan masyarakat kita di Nusantara. Namun, amalan ini tidaklah terbatas di rantau kita sahaja dan bukanlah perkara yang diada-adakan masyarakat Nusantara semata-mata. Pasti ada asal - usulnya jika kita kaji. Namun, apalah guna mengetahui asalnya jika hanya untuk diketahui sahaja, apa yang lebih penting ialah diamal dan dihayati akan doa - doa tersebut sepenuh hati agar dikabulkan Allah dan diberiNya segala yang dipinta.

Syaikh Hasan al-`Idwi al-Hamzaawi (wafat tahun 1303H) rahimahullah, seorang ulama besar al-Azhar bermazhab Maliki. Beliau juga terkenal sebagai seorang ahli hadis dan memiliki karangan yang mensyarahkan Shahih al-Bukhari setebal 10 jilid dengan jodol an-Nuurus Saari min faydhi Shahih al-Imam al-Bukhari. Syaikh Hasan dalam karya beliau yang mensyarahkan hadis musalsal mengenai 'Asyura yang berjodol an-Nafahaatun Nabawiyyah fi Fadhaa-il al-`Aasyuuriyyah pada halaman 68 menukilkan wasiat Syaikh 'Umar bin Qudamah al-Maqdisi berhubung Doa Awal Tahun dan Doa Akhir Tahun, di mana Syaikh 'Umar menyatakan sebagai berikut: "Sentiasalah guru - guru kami berpesan kepada kami untuk mengamalkannya sebagaimana mereka mengamalkannya (yakni mengamalkan doa akhir dan doa awal tahun tersebut) dan aku belum pernah meninggalkannya selama umurku." 
Wasiat tersebut juga dinukilkan oleh para ulama Jawi, antaranya Syaikh Abdul Hamid Qudus rahimahullah dalam Kanzun Najaah was Suruur pada halaman 68 dan  oleh almarhum Mufti Negeri Sembilan, Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id dalam Tuhfatul Awthaan wal Ikhwaan. Syaikh Ahmad rahimahullah pada halaman 40 kitab tersebut menukil sebagai berikut: Telah menyebut oleh al-'Allaamah ad-Dairabi di dalam Fawaaidnya, ia nukil daripada al-'Allaamah Jamaaluddin cucu Ibnul Jawzi daripada Syaikh 'Umar bin Qudamah al-Maqdisi akan doa bagi awal tahun dan doa bagi akhirnya, dan berkata ia: "Sentiasalah guru - guru kami berwasiatkan dengan itu doa dan membaca mereka itu akan dia dan tiada luput akan daku selama umur aku."

Maka, terpulanglah kepada tuan - tuan untuk mengikut anjuran dan pesanan tersebut. Nak ikut, ikut. Tak nak, tak payah. Tak jatuh dalam dosa kalau tak buat. Yang jatuh dalam dosa adalah bila kita larang dan/atau caci dan/atau keji akan hamba - hamba Allah yang mahu berdoa memohon kepada Allah. Ingat berdoa  adalah satu ibadah, bahkan ia adalah intipati ibadah.

Rabu, November 06, 2013

Doa Awal & Akhir Tahun

Alhamdulillah, berkesempatan lagi kita untuk bertemu dengan tahun baru hijrah 1435H. Telah menjadi amalan dalam masyarakat kita untuk menyambut pertukaran tahun hijrah ini dengan Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun yang masyhur. Walaupun telah masyhur dan sebati dalam masyarakat, masih lagi kedengaran puak-puak yang tidak berpuashati dengan amalan ini dan membid`ahkannya. Rasanya kalaulah nak membid`ahkan segala yang tiada warid daripada Junjungan Nabi SAW, maka penanggalan tahun hijrah pun bukan Junjungan Nabi SAW yang menetapkannya, ianya adalah ketetapan Sayyidina 'Umar RA. Takkan kita nak bid`ahkan Sayyidina 'Umar RA.

Berbalik kepada doa - doa tersebut, maka jikapun dikatakan bahawa doa-doa tersebut bukanlah doa yang ma'tsur daripada Junjungan Nabi SAW. Namun di mana pula tegahan daripada baginda SAW untuk kita memanjatkan doa kita sendiri ? Adakah haram berdoa dengan doa-doa yang tiada warid daripada Junjungan Nabi SAW ? Sesungguhnya Doa Awal dan Akhir Tahun ini telah disebut oleh para ulama kita terdahulu dan mereka menganjurkan kita untuk mengamalkannya. Di antara ulama Melayu kita yang menyarankannya adalah al-'Alim al-'Allaamah az-Zaki asy-Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani rahimahullah dalam "Badaa-i`uz Zuhur", al-Khatib al-Baligh asy-Syaikh `Abdul Hamid bin Muhammad `Ali bin `Abdul Qadir Qudus al-Makki asy-Syafie rahimahullah dalam "Kanzun Najaah was Surur" dan al-Mufti asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id bin Jamaluddin al-Linggi al-Malayuwi rahimahullah dalam "Tuhfatul Awthan wal Ikhwaan". Nampaknya para ulama kita terdahulu tiada masalah dengan amalan doa - doa tersebut. Namun jika ada ustaz-ustaz sekarang yang bermasalah dengannya, maka idaklah dapat den nak nolongnya. Terpulanglah kepada ekau - ekau semua samada nak beramal atau tidak. Jangan ekau sosatkan orang lain udahle jang. Selamat Tahun Baru Hijrah.

Jumaat, Ogos 13, 2010

Lailatul Qadar 2

Di kalangan mereka yang biasa dengan tradisi pengajian pondok dan pesantren, pasti kenal dengan kitab "Hasyiah Ibnul Amir 'ala Ittihaaf al-Murid syarah Jawharah at-Tawhid". Pengarangnya seorang ulama besar bermazhab Maliki dan pengamal thoriqah asy-Syadziliyyah, nama beliau adalah al-'Allaamah asy-Syaikh Abu 'Abdillah Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin 'Abdul Qadir bin 'Abdul 'Aziz al-Azhari rahimahumUllah yang terkenal dengan gelaran al-Amir al-Kabir. Beliau menjadi mufti Maliki di Mesir dari tahun 1201 sehingga 1232H. Dilahirkan pada tahun 1154H dan wafat di Kaherah dalam bulan Dzul Qaedah tahun 1232H. Memiliki banyak karya, sama ada yang telah dicetak atau yang masih berbentuk manuskrip. Antara karya beliau adalah:-
  1. المجموع في الفقه المالكي
  2. الإكليل شرح مختصر خليل
  3. حاشية على مغني اللبيب لإبن قاسم
  4. ضوء الشموع على شرح الجموع
  5. النخبة البهية في الأحاديث المكذوبة على خير البرية
Ketokohan beliau dalam ilmu mengkagumkan para ulama sezaman. Dalam usia yang belum menjangkau 21 tahun, beliau telah menghasilkan kitab "al-Majmu'" dalam fiqh Maliki. Mari kita hirup sedikit ilmu yang beliau curahkan dalam satu risalah beliau pada mentafsirkan surah al-Qadr, moga ada manfaatnya. Dalam risalah tersebut beliau menyatakan:-

Dan tersebut dalam "Tafsir al-Khatib" {iaitu tafsir "as-Sirajul Munir" karangan Syaikh Khatib asy-Syarbini rahimahUllah} daripada Syaikh Abul Hasan asy-Syadzili yang menyatakan bahawa jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad, maka Lailatul Qadr jatuh pada 29 haribulan; jika awalnya hari Isnin, maka Lailatul Qadr jatuh pada 21 haribulan; jika hari Selasa, Lailatul Qadr jatuh pada 27 haribulan; Jika hari Rabu, Lailatul Qadr jatuh pada 29 haribulan; jika hari Khamis, Lailatul Qadr jatuh pada 25 haribulan; jika hari Jumaat, Lailatul Qadr jatuh pada 27 haribulan; dan jika hari Sabtu, Lailatul Qadr jatuh pada 23 haribulan.

Dan telah warid (hadits yang menyatakan): "
Sesiapa yang sholat Maghrib dan Isya` berjemaah, maka dia telah memperolehi bahagian yang besar / banyak daripada Lailatul Qadr". Juga telah warid bahawa: "Sesiapa yang sholat Isya` berjemaah, maka seumpama dia menghidupkan separuh malamnya untuk beribadah (yakni berqiyamullail). Apabila dia sholat Subuh berjemaah, maka seumpama dia telah menyempurnakan keseluruhan malamnya untuk berqiyamullail."

Maka sewajarnya seseorang yang sukar untuk memperbanyakkan qiyamullail, dia memilih beramal dengan bacaan-bacaan yang telah warid ianya menghasilkan pahala besar seperti Ayatul Kursi yang telah warid bahawa ianya ayat al-Quran yang afdhal, membaca 3 atau 2 ayat terakhir surah al-Baqarah yang telah warid bahawa sesiapa yang membacanya nescaya ianya akan mencukupi baginya pada malam tersebut, surah al-Zalzalah yang warid bahawa ianya menyamai separuh al-Quran, surah al-Kafirun yang warid ianya menyamai seperempat al-Quran, surah al-Ikhlash yang menyamai sepertiga al-Quran, surah Yaasin yang warid bahawa ianya hati al-Quran dan ianya dibaca untuk apa yang diniatkan; memperbanyakkan istighfar, tasbih, tahmid, tahlil, berbagai zikir dan bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW; berdoa dengan apa yang disukai bagi dirinya dan orang-orang yang dikasihnya samada yang masih hidup maupun yang telah mati; bersedekah dengan apa yang mudah baginya; dan menjaga segala anggotanya daripada melakukan maksiat. Inilah cara menghidupkan malam Lailatul Qadar yang akan menyebabkan keampunan Allah daripada dosanya dan bukannya dihidupkan malam dengan berhibur - hibur dan bermain-main.

Dan di akhir risalah tersebut, Syaikh al-Amir al-Kabir menukilkan satu lagi faedah berupa zikir yang dikatakan sebagai warid untuk dibaca pada setiap malam dengan harapan memperolehi Lailatul Qadr. Zikir ini adalah serupa dengan apa yang disebut oleh Syaikh Abdul Hamid Qudus @ Kudus dengan sedikit perbezaan. Ianya adalah seperti berikut:-

Dan telah warid (hadits) bahawa : "Sesiapa yang mengucapkan:
لا اله الا الله الحليم الكريم
سبحان الله رب السموات السبع و رب العرش العظيم

tiga (3) kali, maka seolah-olah dia memperolehi Lailatul Qadr." Maka sewajarnya diamalkan bacaan ini pada setiap malam.
Mudah-mudahan kita direzekikan Allah SWT dengan Lailatul Qadr dalam keadaan kita beramal sholeh. Rahmat Allah sentiasa atas kita dan juga atas yang empunya karangan al-Amir al-Kabir dan sekalian para ulama kita yang ikhlas....... al-Fatihah.

********************************************
Halaman terakhir Risalah Tafsir Surah al-Qadr

Jumaat, September 04, 2009

Lailatul Qadr

Lailatul Qadr antara hadiah Allah SWT kepada umat ini. Di mana segala amalan yang dilakukan dalam malam tersebut akan digandakan balasannya sehingga melebihi 1000 bulan (bukan sama dengan 1000 bulan tetapi lebih baik daripada itu .... Allahu Allah). Maka hendaklah kita bersungguh - sungguh mencari saat yang teramat berkat ini, janganlah umur kita habis tanpa memperolehi anugerah Allah SWT yang besar ini. Hendaklah kita terima hadiah Allah ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan saleh yang diredhai Allah dengan tulus ikhlas semata-mata inginkan keredhaanNya. Telah masyhur Junjungan Nabi SAW menyuruh kita mencarinya pada sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, terutama sekali pada malam-malam yang ganjil padanya. Juga sebahagian ulama telah membuat rumusan mencari Lailatul Qadr seperti yang ese pernah tulis dahulu. Sesiapa yang berhajat bolehlah klik di sini.

Jika kita tidak mampu menghabiskan malam-malam Ramadhan kita dengan banyak berqiyamullail, maka jangan pula kita sampai terlalai menghidupkannya walaupun sekadar dua rakaat. Atau setidak-tidaknya, kita menjaga dan memberi perhatian untuk sembahyang Subuh dan Isya` dengan berjemaah. Dan perbanyakkanlah berdoa dengan doa yang diajarkan Junjungan Nabi SAW kepada Sayyidina Mu`adz RA, agar dengannya Allah sudi memberikan kita inayahNya untuk berzikir kepadaNya, bersyukur atas segala ni'mat kurniaanNya serta menjalani ibadah kepadaNya dengan sebaik-baiknya. Sungguh kita hambaNya yang lemah .... Allahu ... Allah. Doa ini Junjungan pesankan kepada Sayyidina Mu`adz RA agar sentiasa diamalkan setiap lepas sholat, sebagaimana sabdaan mulia baginda SAW yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih dalam Sunan Abu Daud dan an-Nasaa-i sebagai berikut:-

Bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW telah mengambil tanganku dan bersabda: "Wahai Mu`adz, demi Allah aku mengasihimu". Kemudian baginda meneruskan sabdaan: "Aku wasiatkan kepadamu wahai Mu`adz, jangan engkau tinggalkan berdoa selepas setiap sholat dengan doa: Ya Allah, tolonglah aku untuk berzikir kepadaMu, bersyukur kepadaMu dan perbaikkanlah ibadahku kepadaMu."
Tanpa inayah Allah, pasti kebinasaan menunggu kita.... Allahu .. Allah. Sekarang ese nak kongsikan cuplikan dari apa yang tercatat dalam "Kanzun Najaah was Suruur" halaman 102 karya Syaikh 'Abdul Hamid Qudus @ Kudus rahimahUllah, ulama besar Nusantara yang menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram serta menjadi imam bagi pengikut mazhab asy-Syafi`i di Maqam Ibrahim dalam masjid yang mulia tersebut, sebagai berikut:-

Telah diriwayatkan oleh al-Khathib dalam "at-Tawaarikh" daripada hadits Sayyidina Anas RA yang menyatakan bahawa: " Sesiapa yang sembahyang pada malam Lailatul Qadr akan sholat 'Isya` dan sholat Subuh berjemaah, maka dia telah memperolehi bahagian yang banyak daripada Lailatul Qadr (yakni daripada ganjarannya)." Dan Sayyidah `Aishah RA meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya kepada Junjungan Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, jika aku bertemu dengan Lailatul Qadr, maka dengan apa aku harus bermohon?" Baginda bersabda: "Katakanlah: 'Ya Allah Engkaulah Maha Pemberi Kemaafan, Maha Dermawan, yang suka memberikan kemaafan, maka maafkanlah akan kesalahan kami."
Juga dinyatakan pada halaman 103 - 104 kitab tersebut akan satu faedah daripada al-'Allaamah al-Wanaaie seperti berikut:-

Telah berkata al-Wanaaie: "Telah meriwayatkan Ibnu 'Abbas secara marfu' bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: " Sesiapa yang mengucapkan 'Tiada tuhan selain Allah yang Maha Penyantun lagi Maha Dermawan, Maha Suci Tuhan yang empunya tujuh petala langit dan arsy yang agung,' (3 kali), maka seumpama dia mendapatkan Lailatul Qadr." Iaitu seseorang yang mengucapkan sedemikian itu pada malam yang disangkanya sebagai Lailatul Qadr dan sangkaannya itu meleset. Sungguhpun meleset, segala amalan saleh yang dikerjakannya pada malam tersebut adalah seolah-olah dikerjakan dalam Lailatul Qadr. Dan telah bersabda Junjungan Nabi SAW: "Seseorang yang membaca Ayatul Kursi pada Lailatul Qadar, lebih disukai Allah ta`ala daripada dia mengkhatamkan keseluruhan al-Quran pada malam-malam selain Lailatul Qadr", ( yakni menunjukkan galakan dan besarnya ganjaran beramal pada malam yang mulia tersebut serta kerugian besar bagi yang meninggalkan beramal dalam malam tersebut).
Idak le ese ketahui kedudukan sabdaan - sabdaan Junjungan SAW tersebut, belum sompek ese mencarinya. Apa-apa pun ese berbaik sangka dengan yang empunya karangan tersebut. Lagipun, tiadalah kesalahan apa-apa mengamalkan sesuatu zikir walaupun tiada warid daripada Junjungan Nabi SAW. Tentang fadhilatnya, terpulanglah kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemurah, bukan setakat itu berlobih-lobih lagi pun harus di sisiNya. Allahu Akbar.

********************************************************
Nazam Syaikh Abul Hasan mengenai Lailatul Qadr

Wahai yang bertanya
Tentang lailatul qadar bila ada ia
10 terakhir Ramadhan tempatnya dia
Pada yang gasal diharap adanya
Diketahui ia dengan hari Ramadhan bermula
Jika Ahad dan Rabu mula ia, malam ke-29 itulah dia
Jumaat dan Selasa, ke-27 jadi ia
Khamis mula, ke-25 pula
Jika Sabtu hari pertama, ke-23 malam utama
Jika Isnin pula, malam ke-21 jangan lupa
Inilah kaedah dinaqal ia
Dari kalangan ahli sufi zuhud tak cinta dunia

Jumaat, November 11, 2005

Syaikh Abdul Hamid Kudus


Ulama besar yang menjadi imam mazhab Syafi`i di Maqam Ibrahim ini asal-usulnya dari Kudus, Jawa Tengah, kelahiran Mekah. Syeikh Abdul Hamid Kudus lahir di Mekah, dalam "Mukhtashar Nasyrun Naur waz Zahar" dinyatakan lahir 1277 H/1860 M, dan dalam "Siyar wa Tarajim" dinyatakan lahir 1280 H/1863 M. Beliau juga wafat di Mekah tahun 1334 H/1915 M. Nama lengkap ialah Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali Qudus / Kudus bin Abdul Qadir al-Khathib bin Abdullah bin Mujir Qudus / Kudus.
Syeikh Abdul Hamid Kudus mendapat pendidikan asas pertama sekali dari lingkungan keluarganya yang ramai menjadi ulama. Sejak kecil menghafaz al-Quran dan terlatih dengan banyak matan pelbagai bidang ilmu. Matan-matan yang dihafalnya sejak kecil ialah Matn al-Ajrumiyah, Matn al-Alfiyah, Matn ar-Rahbiyah, semuanya dalam bidang ilmu nahu. Matn as-Sanusiyah tentang ilmu akidah. Matn as-Sullam dan Matn az-Zubad, kedua-duanya meliputi akidah, fikah dan tasawuf. Para ulama besar yang terkenal dan menjadi guru beliau ialah Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Sayid ``Utsman Syatha dan saudaranya Sayid Abu Bakri Syatha. Dalam bidang khusus mengenai ushul fiqh, hadis, tafsir dan tasawuf Syeikh Abdul Hamid Kudus memperdalamkannya kepada Sayid Husein al-Habsyi. Syeikh Abdul Hamid Kudus pula adalah orang kepercayaan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, mufti Makkah, dalam bidang keilmuan setelah Syeikh Ahmad al-Fathani. Hubungan antara Syeikh Abdul Hamid Kudus dengan Syeikh Ahmad al-Fathani sangat rapat. Syeikh Abdul Hamid Kudus selain dilantik sebagai salah seorang pentashih kitab beliau seringkali diutus oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ke Mesir dalam urusan cetak mencetak kitab, terutama hubungan dengan Syeikh Mushthafa al-Halaby, pemilik syarikat cetak kitab yang terbesar di Mesir pada zaman itu.
Daripada ulama-ulama tersebut, Syeikh Abdul Hamid Kudus memperoleh ijazah khusus dan umum, dan mereka pula memberikan keizinan kepada beliau mengajar di Masjidil Haram dan di rumahnya. Manakala Syeikh Ahmad al-Fathani merintis jalan mulai belajar di Masjid Jamik Al-Azhar (tahun 1290 H/1872 M) Syeikh Abdul Hamid Kudus mengikuti langkah Rais thala'ah (Ketua tela'ah atau tutor)nya itu belajar di tempat yang sama (1300 H/1882 M). Syeikh Abdul Hamid Kudus merupakan generasi kedua mahasiswa dunia Melayu yang belajar di al-Azhar sesudah Syeikh Ahmad al-Fathani, sejak itu beliau sentiasa pulang pergi antara Mekah dan Mesir dalam urusan tertentu yang ada kaitannya dengan kerja-kerja Syeikh Ahmad al-Fathani. Sebenarnya Syeikh Abdul Hamid Kudus telah mengarang pelbagai judul dalam banyak disiplin ilmu, semuanya dalam bahasa Arab. Walau bagaimana pun pada judul artikel ini saya sebut bahawa beliau adalah ``pakar ilmu arudh dan qawafi''. Kedua-duanya termasuk dalam bidang ilmu kesusasteraan Arab. Dengan ilmu ini dapat diketahui bagaimana timbangan-timbangan syair dan nazam dalam bahasa Arab. Setakat ini informasi yang ada hanya dua orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menulis dalam kedua-dua ilmu tersebut. Seorang lagi ialah Syeikh Ahmad al-Fathani `Rais Thala'ah' bagi Syeikh Abdul Hamid Kudus.
Antara karangan Syeikh Abdul Hamid Kudus adalah sebagai berikut:
  • "Irsyadul Muhtadi ila Syarh Kifayatil Mubtadi", diselesaikan sesudah Zuhur, hari Khamis, 3 Muharam 1306 H. Kandungannya membicarakan akidah dan ia merupakan syarah daripada karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus. Dicetak oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Ramadan 1309 H. Di bahagian tepinya dicetak matan karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus tersebut. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
  • "Al-Anwarus Saniyah `alad Duraril Bahiyah", diselesaikan pertengahan Rabiulakhir 1311 H. Kandungannya membicarakan akidah, fikah dan tasawuf. Merupakan syarah daripada karya gurunya Sayid Abi Bakar Syatha. Cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1313 H.
  • "Fat-hul Jalilil Kafi bi Mutammimati Matnil Kafi fi `Ilmayil `Arudh wal Qawafi", diselesaikan pada hari Isnin, 19 Rabiulawal 1313 H. Kandungannya membicarakan ilmu arudh dan qawafi atau kesusasteraan Arab. Dicetak oleh Mathba'ah al-Husainiyah al-Mashriyah, milik Muhammad Abdul Lathif Khathib, 1325 H. Kata pujian oleh Sayid Ahmad Bik al-Huseini, Muhammad Musa al-Bujiraimi as-Syafi'ie di al-Azhar, Muhammad al-Halaby as-Syafi'ie di al-Azhar dan Ahmad ad-Dalbasyani al-Hanafi di al-Azhar. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
  • "Al-Futuhatul Qudsiyah fi Syarhit Tawassulatis Sammaniyah", diselesaikan pada Zuhur, akhir Muharam 1322 H. Kandungan pada muqaddimahnya pengarang menyebut bahawa beliau adalah penganut Mazhab Syafie dalam fikah, Mazhab Abu Hasan al-Asy'ari dalam akidah, dan penganut Thariqat Khalwatiyah. Sebab-sebab beliau menulis kitab ini adalah atas permintaan Qadhi Muslimin Negeri Surakarta ibu kota Jawa, beliau ialah Al-'Allamah al-Hamam asy Syeikh Raden Tabshirul Anam, supaya menulis syarah matan Al-Qashidatur Rajziyah yang bernama Jaliyatul Kurbi wa Manilatu `Arabi. Pada awal perbicaraan pengarang menyebut tentang sanad-sanad thariqat, di antaranya beliau juga mempunyai hubungan dengan Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani. Dicetak oleh Mathba'ah al-Hamidiyah al-Mashriyah, 1323 H. Taqriz dinyatakan ramai ulama tetapi yang dapat disebut pada akhir karangan hanya dua orang ulama saja ialah Syeikh Jami' Al-Azhar, bernama Syeikh Abdur Rahman asy-Syarbaini asy-Syafi'ie dan Syeikh Muhammad Thumum al-Maliki Al-Azhari.
  • "Lathaiful Isyarat ila Syarhi Tashilit Thuruqat li Nazhamil Waraqat fil Ushulil Fiqhiyah", diselesaikan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal 1326 H. Kandungannya membicarakan ilmu ushul fiqh. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan, di antaranya Mathba'ah Dar at-Thiba'ah al-Mashriyah, 54-60 Baserah Street Singapura (tanpa tahun).
  • "Kanzun Najahi was Surur fil Ad'iyatil lati ila Tasyarruhis Shudur", diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar 1328 H. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan wirid, doa, zikir dan lain-lain. Cetakan pertama oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, Mekah, 1330 H. Kata pujian oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Muhammad Ba Bashail, Mekah, Sayid Husein bin Muhammad bin Husein al-Habsyi, Sayid Umar bin Muhammad Syatha, Sayid Muhammad ibnu Sayid Muhammad ibnu al-Faqih Sayid Idris al-Qadiri al-Maghribi al-Hasani, Syeikh Muhammad bin Syamsuddin, Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, dan Syeikh Umar Hamdan.
  • "Risalah fi al-Basmalah min Nahiyah al-Balaghah".
  • "Manzhumah fi al-Adab wa al-Akhlaq li al-Islamiyah".
  • "Thali'us Sa'di ar-Rafi' fi Syarh Ilm al-Badi'".
  • "Fiqh Rubu' `Ibadat".
  • "Nubzah fi at-Tashawwuf".
  • "Ad-Durrah ats-Tsaminah fi al-Mawadhi' allati tusannu fiha ash-Shalah `ala Shahib as-Sakinah."
  • "Tasythir al-Mudharriyah fi ash-Shalah `ala Khairil Bariyah".
  • "Majmu' Bulugh al-Maram fi Maulid an-Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam"
  • "Raja' Nail al-As'ad wa al-Qabul fi Madah Saiyidatina az-Zahra' al-Batul".
  • "Bulughus Sa'di wa al-Amniyah fi Madah Umm al-Mu'minin al-Mabra-ah ash-Shiddiqiyah".
  • "al-Jawahir al-Wadhiyah fi al-Adab wa al-Akhlaq al-Mardhiyah".
  • "az-Zakhair al-Qudsiyah fi Ziyarah Khairil Bariyah".
  • "At-Tuhfah al-Mardhiyah fi Tafsir al-Quran al-'Azhim bi al-'Ajamiyah"
  • "Dhiyausy Syamsi ah-Dhahiyah".
  • "Maulidun Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam".
  • "Kanzul `Atha fi Tarjamah al-'Allamah as-Saiyid Bakri Syatha".

Jangan mudah memandang ulama dahulu sebelah mata. Niat mereka ikhlas, biar tak dikenal di dunia, taqwa kepada Allah yang diutamakan. Mudah-mudahan patah tumbuh hilang berganti. Al-Fatihah.

Rabu, November 02, 2005

Eid Mubarak.


Eid Mubarak. Kullu 'amm wa antum wa ahlikum bi khair. TaqabbalAllahu minna wa minkum. Hiasilah malam raya ini dengan takbir, tahmid dan sholawat atas Junjungan. Hidupkanlah malam dengan beribadah dan berdoa. Dalam hadits ada dinyatakan bahawa "Sesiapa yang menghidupkan malam dua hari raya, nescaya dihidupkan Allah hatinya pada hari matinya segala hati." Ulama menyatakan bahawa maksudnya ialah kinayah bahawa orang itu akan mendapat kejayaan di akhirat nanti dan dia akan terpelihara dari suul khatimah. Dalam hadits juga dinyatakan bahawa "5 malam doa di dalamnya tidak akan ditolak: malam awal bulan Rajab; malam Nishfu Sya'baan; malam Jumaat dan malam 2 hari raya."
Di samping bergembira dan mensyukuri nikmat kehidupan, jangan lupa pada yang telah pergi. Hadiahkanlah sedekah, doa, istighfar, tasbih dan tahlil buat mereka.Syaikh Abdul Hamid Qudus dalam kitab "Kanzun-Najah was Surur" mukasurat 113 menyatakan antara hadiah yang elok diberi kepada mereka yang berada di sana antaranya:-
  • Sesiapa yang membaca tasbih "SubhanAllahi wa bihamdih" 100 kali pada hari raya, kemudian berdoa "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku beri pahalanya kepada ahli kubur", maka tidak tinggal seorang pun ahli kubur melainkan akan membalasnya dengan mendoakannya pada hari kiamat dengan doa: "Ya Rahim, rahmatilah hambaMu itu dan jadikanlah pahalanya syurga."

  • Sesiapa yang membaca tasbih "SubhanAllahi wa bi hamdih" 300 kali dan menghadiahkan pahalanya untuk orang Islam yang telah mati, dimasukkan Allah dalam setiap kubur mereka 1000 nur dan Allah akan menjadikan bagi si pembacanya apabila dia mati 1000 nur di kuburnya.
Ikhwah, ramai ulama kita berpesan dengan amalan-amalan ini. Mantan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id, sebut dalam "Tuhfatul Awthan"nya dan mantan Mufti Betawi, Habib Uthman bin Aqil BinYahya sebut dalam "Maslakul Akhyar"nya. Jadi sesiapa yang nak beramal, buatlah. Sesiapa yang tidak berhajat, tak mengapa. Sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diusahakannya.