Sabtu, September 26, 2015

"Qus" Bahasa Melayu

Ulama ini terkenal bukan sahaja dalam ilmu - ilmu agama, tapi juga pakar dalam ilmu bahasa Melayu sehingga diberi gelaran "Qus Bahasa Melayu" yakni pakar atau perbendaharaan bagi Bahasa Melayu. Beliau tidak lain tidak bukan adalah Syaikh al-`Alim al-'Allaamah Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga rahimahullah. Riwayat kehidup n awal ulama ini tidak diketahui secara terperinci, menurut sesetengah pengkaji beliau berasal dari Pulau Lingga, manakala menurut yang lain beliau berasal dari Kelantan - Fathani. Beliau turut mengecap pendidikan awal di Pondok Bendang Daya, Fathani Darus Salam. 

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Makkah al-Mukarramah dan berguru dengan para ulama di sana, antaranya dengan Mufti Syafie Makkah, Sidi Ahmad Zaini bin Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Ahmad an-Nahrawi dan ramai lagi. Di antara ulama yang seangkatan dengan beliau yang menjadi sahabat beliau di sana adalah Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif al-Minangkabawi, Syaikh Uthman bin Syihabuddin al-Funtiani dan Syaikh Abdul Rahman Gudang al-Fathani. Beliau terus bermukim di Kota Makkah al-Mukarramah dan menabur bakti dengan mengajar di rumahnya dan di Masjidil Haram. Maka ramailah murid-murid yang datang menadah kitab dengan beliau. Antara mereka adalah al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak dan anak beliau Syaikh Zainuddin Sarawak, Qadhi Haji Abu Bakar Muar, Tok Kenali, Syaikh Abdullah Fahim dan Hadhratusy Syaikh Hasyim Asy`ari rahimahumullahu ta`ala ajmain.

Syaikh Zainuddin Sarawak dalam manaqib ayahandanya yang berjodol "Nafahaatur Ridhwan" pada halaman 42 - 43, yang diterjemahkan oleh murid-murid beliau, menulis antara guru ayahanda beliau adalah:-
....Dan setengah daripada mereka itu (yakni yang menjadi guru Syaikh Uthman Sarawak), asy-Syaikh yang alim yang sampai kepada kepandaiannya, ialah seperti Qus pada masanya pada tentang Bahasa Melayu, iaitu seorang yang cerdik pada orang - orang Arab, yang memegang tali lagam segala ilmu adab, orang yang adalah ia atas mengkhidmat akan Tuhannya terlampau cermat dan jaga, iaitu asy-Syaikh Ahmad orang Lingga rahimahullah wa radhiya `anhu .... 
Selain dari mengajar, beliau juga giat menjadi pentashih kitab - kitab Melayu/Jawi.Menurut Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, beliau adalah ahli dalam bidang ini. Di samping itu, beliau juga turut menulis dan mengarang banyak kitab, samada kitab terjemahan dan karya asli. Namun setakat ini hanya beberapa karya sahaja yang dapat dikesan dan dicetak. Di antara karya beliau adalah:-
1. Daqaiqul Akhbar;
2. Nashihatu Ahlil Wafa;
3. Tsimarul Ladzidzah;
4. Hadiqatur Raihan.

Mungkin ada berpuluh-puluh lagi karya beliau kerana keempat-empat karya di atas ditulis beliau hanya dalam tempoh satu tahun sahaja, iaitu sekitar tahun 1312 H- 1313H. Semoga Allah merahmati Syaikh al-'Alim al-Washil al-Kamil Ahmad bin Haji Muhammad Yunus Lingga dan menempatkan beliau bersama para shiddiqin..... al-Fatihah.

Selasa, September 08, 2015

Pengarang "Senjata Mukmin"

Di antara kitab yang berisi doa, wirid dan hizib yang masyhur dan telah lama beredar dalam masyarakat kita adalah kitab "Senjata Mukmin". Kitab ini sangat terkenal, bahkan di Haramain pun ada tok-tok guru, terutama sekali yang berketurunan Banjar yang menjadikannya sebagai buah tangan kepada tetamu yang datang bertandang. Walaupun kitab ini telah dicetak berulang-ulang kali, namun ramai yang tidak mengenali tokoh yang telah menyusun kitab yang berkat ini.

Kitab ini dikarang oleh seorang ulama Banjar yang pernah menjadi qadhi di Martapura. Beliau adalah KH Husin Kudri @ Husein Qadri bin Mufti KH Ahmad Zaini bin KH Abdul Rahman al-Banjari. Dilahirkan pada 17 Ramadhan 1327H. Bonda beliau bernama Hajjah Sanah adalah cicit kepada Mufti Jamaluddin. Dari kecil lagi Syaikh Husin Kudri telah diasuh dengan didikan agama dengan sebaiknya. Di antara guru-guru beliau adalah ayah dan datuknya sendiri, KH Kasyful Anwar al-Banjari, KH Zainal Ilmi dan lain - lain, rahimahumullahu ajma`in.

Beliau kemudiannya diangkat menjadi qadhi di Martapura dan selain dari menjadi tenaga pengajar di 15 buah masjid dan surau termasuklah di Masjid Agung al-Karomah, Martapura. Setiap pengajian yang beliau kendalikan akan dihadiri ribuan jemaah. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang warak, khumul, berakhlak, lembut serta ramah dengan sesiapa jua, maka tidak hairan jika masyarakat amat menyenangi dan mengasihi beliau. Tugasnya untuk mendidik dan membimbing umat dilaksanakannya dengan bijaksana dan penuh kasih sayang.

Syaikh Husin Kudri rahimahullah wafat pada hari Jumaat, 27 Jamadil Awwal 1387H dan dimakamkan di Tunggul Irang, Martapura. Selain meninggalkan ribuan murid, maka antara karya tulis yang beliau tinggalkan adalah:-
1. Senjata Mukmin;
2. Manasik Haji dan Umrah;
3. Nurul Hikmah;
4. Kitab Khutbah Jumaat;
5. Sebuah Tafsir al-Quran.

Mudah-mudahan Allah merahmati beliau sentiasa dan memberkati kita sekalian, aamiin .... al-Fatihah.

Foto Syaikh Husin Kudri dalam "Senjata Mukmin"


Khamis, September 03, 2015

Ben Wahab as-Saffah

Allah SWT telah menganugerahkan kepada bangsa kita dengan anugerah yang paling agung. Anugerah berupa jalan keselamatan bagi dunia dan akhirat, iaitu Islam dengan i'tiqad yang sahih, Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Syukur tanahair kita dimerdekakan Allah SWT dengan umatnya berpegang kepada i'tiqad yang benar ini. Oleh itu, jangan kita alpa tentang perkara ini. Jangan ingat tok nenek kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah, maka ianya akan kekal begitu sampai bila-bila. Pelajarilah apa yang berlaku kepada Andalusia, lihat apa yang terjadi kepada Iran yang satu ketika adalah negara Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan jangan lupa kepada penjajahan Wahabi-Nejdi terhadap bumi Hejaz. Jadikan semua ini peringatan tentang peri pentingnya kita menjaga kemerdekaan kita dengan berteraskan kepada Islam yang sebenar, Ahlus Sunnah wal Jama`ah.

Satu lagi nikmat yang Allah kurniakan kepada kita di Malaysia adalah nikmat keamanan dan kedamaian. Maka wajib kita syukuri dan jaga nikmat ini, jangan sampai hilang akibat permusuhan di antara kita kerana berbeza pendapat. Lihat sahaja apa yang berlaku di negara - negara lain, di mana berlakunya pembunuhan sesama umat atas nama agama .... Allahu Allah. Oleh itu, jangan biarkan golongan pemecah belah dan peng"halal" darah umat ini untuk bertapak dan menggugat keamanan dan kedamaian umat beragama di Malaysia. Belajar dari sejarah.

Sempena hari kemerdekaan, di mana biasanya kita akan dibawa untuk mengenang kembali sejarah silam. Maka, ese pun nak bawak kisah sejarah juga, tapi bukan sejarah kemerdekaan. Tapi sejarah hitam yang telah melanda umat, satu fitnah yang masih berleluasa bagai duri dalam daging. Sejarah telah menjadi bukti nyata bahawa firqah Wahabi yang mengaku Salafi dan "konon"nya mengikut mazhab Imam Ahmad bin Hanbal radhiyAllahu `anhu adalah antara puak yang bermudah-mudah menumpahkan darah umat Islam yang tidak sefaham dengan mereka. Inilah terhasil "berkat" ajaran tok-tok guru mereka yang sentiasa mau menang sendiri. Dalam misi mereka menjajah bumi Hejaz, tanah kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ramai jiwa umat Islam yang mereka korbankan. Sejarah telah menyaksikan bagaimana mereka membunuh saudara-saudara seagama atas nama jihad menegakkan tawhid, baik di Taif maupun di al-Haramain. Dalam penaklukan kali kedua puak Wahabi, mereka telah mengorbankan ratusan ribu nyawa umat seagama (menurut sesetengah sumber, tidak kurang 400,000 jiwa telah dibunuh oleh puak ini). Bahkan di Taif, Burayda dan al-Huda, mereka telah melakukan pembunuhan beramai-ramai penduduk kota - kota tersebut.

Puak Wahabi menjadi tega dan kering hati untuk menumpahkan darah saudara seagama kerana menurut keyakinan mereka yang berdasarkan ajaran sesat pegangan mereka bahawa pihak - pihak selain daripada puak mereka adalah ahli bid`ah, musyrik dan penyembah kubur yang halal darah mereka untuk ditumpahkan. Inilah asal muasal bagi ajaran "pengganas" terroris yang melanda dunia sekarang. Tiada bezanya mereka dengan kelompok Syiah dalam menghalalkan darah pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Oleh itu, wahai warga Ahlus Sunnah wal Jama`ah, hendaklah kita berhati - hati dan berwaspada dengan firqah Wahabi dan firqah Syiah ini. Ingat, mereka-mereka ini jika diberikan kekuasaan pasti akan memperlakukan kita dengan sewenang-wenangnya. Di sisi mereka nyawa kita tidak berharga, kita dianggapnya lebih kotor daripada Yahudi dan Nashrani. Lihat sahaja antek-antek mereka di tanahair, gampang sekali menghukum amalan-amalan kita seperti atau tasyabbuh dengan amalan musyrik, kafir, berasal dari amalan Hindu, khurafat dan sebagainya. Ini baru bunganya, maka awas jangan sampai bunga menjadi buah !!!!!! Oleh itu hendaklah kita sentiasa berwaspada dan bersedia untuk menghapuskan ajaran - ajaran mereka sebelum terlambat.

Bukan sahaja umat Islam di kalangan awam, para ulama kita pun tidak lepas daripada kekejaman dan pembunuhan Wahabi. Di antara ulama yang telah menjadi mangsa kekejaman Wahabi adalah al-`Alim al-`Allaamah Mufti Syafi`iyyah bagi Kota Suci Makkah al-Mukarramah, asy-Syaikh asy-Syahid as-Sayyid Abdullah az-Zawawi rahimahullah. Syaikh Ahmad bin Muhammad ash-Shiddiqi al-Ghumaari al-Hafiz rahimahullah  dalam karya beliau "Ju'natul `Aththar" menyatakan, antara lain, sebagai berikut:
Tatkala puak al-Qaraniyyun (iaitu gelaran yang diberikan kepada pengikut Wahabi yang bererti "para pengikut tanduk syaithan" kerana berdasarkan kepada hadis yang shahih yang menyatakan bahawa Nejd tempat asal puak Wahabi adalah tempat munculnya tanduk syaithan) menawan Hejaz, maka mereka telah membunuh orang - orang Islam atas dakwaan bahawa mereka adalah kaum musyrikin. Perbuatan mereka ini adalah sebagaimana dikhabarkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa alihi wa sallam: "Mereka membunuh orang - orang beriman dan membiarkan penyembah-penyembah berhala" [petikan daripada hadis yang antaranya diriwayatkan Imam Muslim dengan lafaz "... mereka membunuh orang - orang Islam dan membiarkan penyembah-penyembah berhala."] Mereka turut membunuh orang-orang alim, bahkan mereka telah menyembelih Syaikh `Abdullah az-Zawawi rahimahullah, syaikhnya pengikut mazhab Syafi`i (yakni mufti bagi mazhab Syafi`i) sebagaimana menyembelih kambing sedangkan usia beliau sudah lanjut, melebihi 90 tahun. Mereka turut menyembelih mertua beliau yang juga telah tua melebihi 90 tahun umurnya........
Allahu .... Allah, sungguh perbuatan keji mereka ini adalah perbuatan syaithan yang sentiasa memusuhi para kekasih Allah. Lihat sahaja "jihad" atau lebih tepat "jahat" yang dilancarkan oleh puak Wahabi-Saudi, siapa yang mereka perangi, Inggeris ? Perancis? Belanda? Buuuukaaaannnnn, darah yang mereka tumpahkan dalam "misi jahat" mereka itu adalah darah umat Islam, yang mereka perangi adalah Khilafah Islamiyyah, Daulah Uthmaniyyah, bukannya British !!!!!! Apa jahat sangatkah Turki Daulah Uthmaniyyah berbanding penjajah Britania Agung? Akai ada !!!!! Mudah-mudahan Allah membalas mereka atas segala kekejaman yang telah mereka lakukan ke atas umat ini. Dan semoga kita dan sekalian umat, bahkan sekalian alam dipelihara Allah ta`ala daripada segala fitnah dan mehnah.

Ben Wahhab Si Penumpah Darah - Syaikh Nuruddin hafizahullah


Selasa, Ogos 18, 2015

Dr. Wahbah & Shalawat Syifa


Kita sudah tahu bahawa puak salahpi telah menghukumkan bahawa Shalawat Syifa` yang masyhur itu sebagai mempunyai unsur-unsur syirik maka ianya bercanggah dengan aqidah Islam. Malah di Indera Kayangan, mereka telah mengeluarkan fatwa tentang perkara ini. Allahu ... Allah ...., tidakkah mereka sedar entah berapa ramai umat Islam yang telah mereka sesatkan semata-mata kerana beramal dan membaca shalawat yang berkat ini? Pasti jumlahnya ramai, melebihi jumlah 2.6 billion ...... Allahu .. Allah, persiapkanlah diri kamu wahai salahpi untuk ditanya di sana nanti. Ingat yang hidup pasti mati !!!!!!!!

Syaikh Wahbah az-Zuhayli rahimahullah baru sahaja meninggalkan kita. Mudah-mudahan Allah merahmati beliau sentiasa dan membalas beliau dengan sebaik-baik balasan atas segala khidmatnya untuk ilmu dan umat. "al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu" adalah antara karya besar beliau dalam bidang fiqh yang sudah tersebar di serata alam.  Dalam ketinggian ilmu beliau, almarhum juga tidak terkecuali untuk beramal dan membaca Shalawat Syifa`. Bahkan beliau rahimahullah turut menyebarkan amalan tersebut dan menganjurkannya sebagai sarana untuk memohon kesembuhan daripada Allah `azza wa jalla. Allahu .... Allah, apakah Dr. Wahbah tidak memiliki keupayaan untuk menilai samada Shalawat Syifa` itu mengandungi unsur-unsur yang bercanggah dengan aqidah Islam atau tidak ? Atau adakah Fadlan atau Maza dan kuncu-kuncunya itu terlebih alim daripada Dr Wahbah ? Jawablah dengan jujur ye.

Bagi aku, selaku orang awam, mudah je, pergi m***** dengan puak - puak salahpi tu, aku tetap akan amal Shalawat Syifa` sebagaimana amalannya kebanyakan ulama dan umat ini. Daripada buang masa layan manusia-manusia berlagak bijak tu, elok korang tengok sendiri klip di bawah dan silalah ambil faedahnya. Tok sah dilayan sangat si Luncai, biarlah dia tenggelam dengan labu-labunya.




Selasa, Julai 07, 2015

Habib Abdullah bin Hasan asy-Syaathiri

Kutaib yang berjodol "al-Irsyad fi Asrar wa Fawaaid Ratib al-Habib `Abdillah bin `Alawi al-Haddad". Kitab kecil yang memuatkan Ratibusy Syahir dengan sedikit penjelasan mengenai ratib dan fadhilah beberapa zikir yang terkandung dalamnya. Inilah kitab yang dijadikan teks pembacaan ratib di majlis rohah Dr. Muhammad bin Abdullah al-Habsyi hafizahullah suatu ketika dahulu. Oleh itu, secara pribadi ia punya sentimental value bagi faqir. Ianya merupakan hasil karangan seorang guru yang khumul yang benar-benar menjalani jalan para salafnya, al-Habib Abdullah bin Hasan bin Husain asy-Syaathiri rahimahullah. Seorang ulama, pendakwah dan pendidik, yang sekian lama menabur baktinya untuk mencelikkan umat terhadap ilmu-ilmu agama. Hasilnya ramai anak-anak didik beliau menjadi ulama dan mufti yang kemudiannya menyambung jariah ilmu beliau yang disebarkan kepada umat.


Habib Abdullah bin Hasan bin Husain asy-Syaathiri rahimahullah dilahirkan di Dammun, Hadhramaut pada tahun 1910 (1328). Beliau merupakan lulusan Rubat Tarim dan merupakan murid kepada ramai ulama Hadhramaut ketika itu. Antara guru beliau adalah Habib Abdullah bin Umar asy-Syaathiri, Habib `Abdullah Idrus al-Idrus, Habib Ali bin Abdul Rahman al-Masyhur, Habib Alwi bin Abdullah Bin Shahab, Syaikh Abdullah bin Said Hasan, Syaikh Salam bin Said Bakir, Syaikh Umar ad-Dawilah dan ramai lagi rahimahumullahu ta`ala.

Pada tahun 1932, ketika berusia 22 tahun, beliau pergi menunai haji ke Mekah dan tinggal di sana selama 3 tahun. Ketika itu, beliau berkesempatan meneguk kemanisan ilmu daripada ulama al-Haram,  antaranya Habib Idrus bin Salim al-Bar, Habib Abu Bakar bin Ahmad al-Habsyi, Habib Alwi bin Abbas al-Maliki, Sidi Muhammad Amin Kutbi, Syaikh Umar Bajunaid, Syaikh Umar Hamdan dan lain-lain lagi rahimahumullahu ta`ala.

Dalam tahun 1936 pula, atas nasihat ayahandanya, beliau telah berhijrah ke Asia Tenggara. Di sini pun beliau tidak melepaskan peluang untuk belajar daripada ulama yang ada di Nusantara seperti Habib Alwi bin Tahir al-Haddad, Johor dan Habib Muhammad bin Hasan Bin Shahab.

Habib Abdullah menggunakan seluruh hidup beliau untuk mengajar dan berdakwah. Beliau menjadi tenaga pengajar di berbagai institusi agama dan madrasah di Singapura, antaranya di Madrasah al-Saggoff al-Arabiah dan Madrasah al-Khairiah al-Islamiah. Pada tahun 1967, beliau dijemput untuk menjadi tenaga pengajar di Madrasah Hasanal Bolkiah, Brunei. Kemudian beliau ditugaskan juga menjadi penyelidik dan penterjemah di Pusat Sejarah Brunei sehingga bersara pada tahun 1989. Setelah bersara, beliau pulang ke Singapura dan menghabiskan sisa usianya di sana sehingga menemui Penciptanya pada 2 November 1999 (23 Rejab 1420). Beliau meninggalkan ramai anak murid antaranya Dato Ahmad Awang (mantan Mufti Johor), Dato Ahmad Alwi bin Adnan (Mufti Sabah), Syed Isa BenSemait (mantan Mufti Singapura), Pehin Dato Muhammad Zain (Menteri Agama Brunei) dan Ustaz Haji Awang Pon bin Awang Sebon (mantan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Sarawak). 

Selain, "al-Irsyad al-Irsyad fi Asrar wa Fawaaid Ratib al-Habib `Abdillah bin `Alawi al-Haddad" Beliau juga meninggalkan beberapa karangan lain, antaranya:-
1. Ringkasan Sejarah Islam;
2. Huraian Pada Masalah Perselisihan 4 Mazhab;
3. Risalah Addin Nasihah;
4. Kisah al-Isra` dan al-Mi'raj;
5. Hukum Haidh dan Istihadah;
6. Ad-Durus Fardiah fil Mirats;
7. Manzumah Tashil Istifadah bima lil Ibadah;
8. Jadwal fi I'rab "la"an-nafiah al-mukarrarah;
9. Rahsia-rahsia Ratib al-Haddad.

Mudah-mudahan Allah memberikan ganjaran yang berganda buat almarhum Habib Abdullah bin Hasan asy-Syaathiri rahimahullah dengan penuh rahmat kasih sayangNya yang berterusan serta memberkati kita sekalian sepanjang hayat kita di dunia sehinggalah ke akhirat sana... Allahumma aamiin bi hurmatil Fatihah.

Selasa, Jun 23, 2015

Ramadhaana atau Ramadhaani ???

Perkongsian kali ini adalah berkaitan dengan kalimah "Ramadhan" yang umumnya diketahui bahawa ianya adalah satu kalimah ghair munsharif dalam kaedah ilmu nahwu. Oleh itu, biasa kita lihat dalam buku-buku agama berbahasa Melayu hatta dalam "Perukunan Melayu" dalam lafaz niat puasa yang masyhur, kalimah "Ramadhaan" dibaca dengan baris fathah (atas) tanpa kalimah syahr (bulan) atau syahr dibaca tanpa alif lam, seumpama:- "Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhaana hadzihis sanati lillahi ta`ala," atau "Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi syahri Ramadhaana hadzihis sanati lillahi ta`ala." Dari segi hukum fiqh, lafaz niat seperti ini, yakni dengan menggunakan kalimah "Ramadhaana hadzihis sanah", bukanlah sesuatu yang dianggap boleh mencederakan ibadah puasa. Apatah lagi ketentuan hukum mensyaratkan bahawa tempat niat itu adalah di hati dan bukannya di lidah, hanya sunat sahaja dilafazkan di lidah. Walau bagaimana pun, dari segi ilmu nahwu kalimah "Ramadhaan" dalam niat tersebut yang diberi baris atas adalah kurang tepat, kerana kalimah "Ramadhaan" walaupun ghair munsharif tetapi tatkala disandarkan (diidhafahkan) kepada kalimah selepasnya iaitu "hadzihis sanah" maka ianya menjadi majrur dengan menerima baris bawah (kasrah). Namun, rupa bentuk lafaz tersebut juga boleh dibenarkan dari sudut ilmu nahwu, jika dalam niat yang lazim dibaca orang kita di mana kalimah syahr dibaca dengan alif lam iaitu asy-syahr. Jika sedemikian, maka tidaklah menjadi kesalahan dari segi nahwunya jika kalimah Ramadhan dibaca dengan fathah Ramadhana seperti: "Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhisy-syahri Ramadhaana hadzihis sanati lillahi ta`ala." dengan perkiraan adanya fi`il a'ni yang membawa maksud bulan Ramadhan tahun ini.

Perkara ini walaupun kurang signifikan dari segi ketentuan fiqh, namun para ulama fiqh telah mengambil berat untuk memjelaskannya dalam kitab - kitab mereka. Maka atas dasar itu juga, kita berkongsi di sini agar kaedah atau kaifiat niat yang tepat dapat diketahui dan diamal. Syaikh Nawawi al-Bantani rahimahullah dalam "Qutul Habib al-Gharib" pada halaman 111 menulis:-


"....( Dan niat puasanya yang paling sempurna adalah seseorang itu berkata: "Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhaani hadzihis sanati lillahi ta`ala,") dengan penuh keimanan dan keikhlasan dan lafaz "Ramadhaan" dalam kaifiat ini dengan baris bawah (majrur) sebab idhafah. Dan memadai untuk dia mengucapkan : "Nawaitu shauma Ramadhana".

Juga dinyatakan dalam "Fathul Mu`in" karya Syaikh Zainuddin al-Ma'bari @ al-Malibari `alaihi rahmatul Bari sebagai berikut:-


 " (Dan yang paling sempurna baginya) iaitu bagi niat : ("Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhaani") dengan jar (baris bawah) kerana diidhafahkan (disandar) kepada kalimah yang setelahnya ("hadzihis sanati lillahi ta`ala)......( nak penjelasan tambahan sila lihat kat atas pada Hasyiah I`anah halaman 253, jilid 2).

Maka cukup rasanya pelajaran nahwu kita, nak lebih lagi hendaklah duduk mengaji matan nahwu dengan tok - tok alim. Formula ringkasnya kalimah ghair munsharif boleh menerima jar dalam dua keadaan, pertama ketika diidhafahkan kepada kalimah selepasnya atau ketika kemasukan "alif lam". Maka lafaz niat yang paling tepat adalah sebagai berikut (Ramadhan diberi baris bawah):-


Selamat menjalani ibadah puasa, sempurna semua hendaknya, daripada niat sampailah kepada perlaksanaannya.


Rabu, Jun 17, 2015

Niat Puasa Sebulan Ramadhan

Sebagaimana yang kita sedia maklum, menurut Mazhab Syafie yang jadi amalan kita, wajib berniat untuk berpuasa Ramadhan pada setiap malam, yakni pada bila-bila masa mulai dari terbenam matahari sehingga terbit fajar. Tanpa berniat pada malamnya, maka tidaklah sah puasa seseorang. Berbeda dengan Mazhab Maliki yang membenarkan seseorang untuk hanya berniat sekali sahaja pada malam pertama Ramadhan dengan niat berpuasa untuk keseluruhan bulan yang mulia tersebut.

Sungguhpun demikian, para ulama kita tetap mensunnatkan (yakni jika dibuat dapat pahala) untuk kita memasang niat berpuasa keseluruhan bulan pada malam yang pertama bulan Ramadhan sebagai langkah ihtiyath sekiranya ada malam - malam yang kita terlupa berniat. Jika berlaku sedemikian, maka bolehlah kita meneruskan puasa kita tersebut walaupun terlupa niat dengan bertaklid kepada Mazhab Maliki. Satu lagi rahsia kenapa kita dianjurkan berniat puasa sebulan penuh Ramadhan itu adalah agar kita mendapat pahala niat untuk berpuasa sebulan penuh Ramadhan tersebut walaupun di pertengahan Ramadhan nanti kita kedatangan uzur syar`ie untuk menyempurnakan puasa kita ataupun kematian datang menjemput kita. Jika hal sedemikian terjadi, maka inSyaAllah dapatlah juga kita pahala Ramadhan walaupun sekadar pahala niat sebagaimana yang telah kita pasang pada malam pertama tadi. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur kita sekaliannya dengan penuh sihat wal `afiat sehingga dapat kita jalani ibadah puasa kita dengan sebaiknya.

Mari kita ambil satu faedah dari satu kitab yang dinisbahkan kepada Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah dengan jodol "Kaifiat Khatam al-Quran" di mana pada halaman 116 - 117 dinyatakan, antara lain sebagai berikut:-
 "Maka melafazkan niat puasa dengan katanya: " Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhana kullihi hadzihis sanati lillahi ta`ala", artinya: "Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu bulan Ramadhan sekaliannya pada tahun ini kerana Allah ta`ala." Maka inilah lafaz niat puasa Ramadhan yang sunnat dibawakan dia pada malam yang pertamanya. Dan adapun pada malam yang keduanya hingga akhir bulan, maka janganlah dibawa lafaz "kullihi" itu tetapi dikatanya: "Nawaitu shauma ghadin `an adaa-i fardhi Ramadhana (Ramadhani) hadzihis sanah lillahi ta`ala", "Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu bulan Ramadhan yang pada tahun ini kerana Allah ta`ala."
Maka WAJIB kita yang bermazhab Syafie untuk mengqasadkan niat dalam hati sanubari pada setiap malam bulan Ramadhan untuk berpuasa pada keesokan harinya dan SUNNAT melafazkan niat tersebut di lidah. Dan SUNNAT bagi kita yang bermazhab Syafie untuk mengqasadkan niat berpuasa sebulan penuh bulan Ramadhan dan SUNNAT untuk kita melafazkan niat tersebut di lidah. Semoga amalan kita diterima Allah dengan sempurna.