Rabu, Disember 28, 2016

Tarikhul Islam - Syaikh Fadhlullah

Syaikh Muhammad Fadhlullah rahimahullah telah mengarang satu kitab yang memperkatakan, secara ringkas namun padat, sirah perjalanan hidup Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kitab itu diberi jodol "Tarikhul Islam Pada Menyatakan Perjalanan Sayyidil Anaam" atau "Tarikh Islam Pada Menceritakan Perjalanan Sayyidil Anaam". Syaikh Muhammad Fadhlullah telah menyiap karya ini sewaktu beliau bermukim di Kota Bondowoso, Residensi Basuki, Jawa, pada petang hari Rabu 23 haribulan DzulHijjah tahun 1335H bersamaan dengan 10 Oktober tahun 1917. Cetakan yang pertama karya ini juga dilakukan di Betawi / Batavia / Jakarta, iaitu sekitar tahun 1918, di mana cetakan pertama menggunakan huruf rumi. Selepas itu, karya ini telah berulangkali dicetak dengan turut menggunakan huruf Jawi. Menurut kajian Ustazah Ni'mah binti Haji Ismail Umar, cucu Syaikh Muhammad Fadhlullah, kitab ini pernah dipakai sebagai buku teks di sekolah-sekolah negeri Johor dan Brunei Darus Salam.

Untuk menyusun kitab ini, Syaikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi telah merujuk kepada beberapa kitab karangan ulama terkemuka, antaranya:-
  1. Nurul Yaqin fi Sirati Sayyidil Mursalin karya Syaikh Khudair;
  2. Siratun Nabawiyyah wal Aatsaarul Muhammadiyyah karya Sidi Ahmad Zaini Dahlan;
  3. Durus at-Tarikh al-Islamiy karangan Syaikh Muhyiddin al-Khayyath;
  4. Tuhfatul Anam mukhtashar Tarikh al-Islam karya Syaikh Abdul Basith Fakhuri;
  5. Tafsir al-Munir karangan Syaikh Nawawi Banten;
  6. Tafsir Baidhawi yang diterjemah oleh Syaikh Abdul Rauf al-Fanshuri; dan
  7. Hasyiah I`anathuth Thalibin karya Sidi Bakri Syata.
Sekelumit dari apa yang ditulis oleh Syaikh Muhammad Fadhlullah dalam kitab tersebut mengenai kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah sebagai berikut, pada halaman 13 dan 14:-
"Apabila telah sempurna 9 bulan Siti Aminah itu mengandung, maka zahirlah Nabi Muhammad s.a.w. pada subuh hari Isnin, 12 Rabi`ul Awwal Tahun Fil bersamaan dengan 20 April 571 masihi. Maka dinamakan dia Muhammad oleh datuknya 'Abdul Muththalib. Adapun nama Muhammad itu belum pernah didengar pada mereka itu.
Maka jadilah masa di antara diperanakkan Nabi Muhammad s.a.w. dan diperanakkan Nabi Isa a.s. itu 571 tahun, dan di antara Isa dan mengikut Nabi Musa a.s. iaitu 1716 tahun, dan antara Musa dan Ibrahim a.s. 545 tahun, dan antara Ibrahim dan taufan pada masa Nabi Nuh a.s. iaitu 1081 tahun, dan di antara taufan dan Nabi Adam a.s. iaitu 2242 tahun. Jumlah masa di antara diperanakkan Nabi Muhammad dan Nabi Adam iaitu 6155 tahun. Demikianlah kata ulama tarikh yang masyhur. Adapun hakikatnya Allah ta`ala yang terlebih mengetahui."
Di penghujung kitab tersebut, Syaikh Muhammad Fadhlullah juga tidak lupa menulis serba sedikit antara mukjizat Junjungan Nabi s.a.w. samada yang biasa kita dengar dan ada juga yang mungkin jarang kita dengar, antaranya adalah:-
Dan lagi mukjizatnya s.a.w. iaitu tiada berbayang. Adalah tubuh Rasulullah s.a.w. itu tiada berbayang jika terkena cahaya matahari atau pelita sebagaimana bayang-bayang manusia.
Dan lagi mukjizatnya s.a.w. iatu baunya harum, tiada berjalan Rasulullah s.a.w. di mana-mana jalan atau masuk ke suatu rumah melainkan tertinggal harumnya itu di situ. Demikian jua melekat harumnya itu pada tangan orang - orang yang bersalam dengan dia s.a.w.
Dan lagi mukjizatnya s.a.w. iaitu menghidupkan yang telah mati. Pada suatu masa Rasulullah s.a.w. mengajak seseorang kepada Islam. Disahut oleh orang itu: "Aku tidak mahu percayakan engkau hingga engkau boleh menghidupkan anakku perempuan yang telah mati itu." Sabda Rasulullah s.a.w.: "Tunjukkanlah aku di mana kuburnya?" Maka ditunjukkan kubur itu kepadanya s.a.w. Maka bersabda Rasulullah s.a.w.: "Hai fulanah", maka menyahut si mati itu: "Saya". Maka menanya pula Rasulullah s.a.w.: "Adakah engkau suka kembali lagi ke dunia?" Sahutnya: "Tidak berkehendak ayyuhai RasulAllah s.a.w. kerana kami bertemu kepada Allah itu terlebih baik bagi kami daripada dua ibubapa kami. Dan kami mendapatkan akhirat itu terlebih baik daripada dunia."
Inilah antara yang dicatat oleh Syaikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi al-Azhari dalam karya beliau tersebut. Mudah-mudahan Allah merahmati senantiasa tuan guru kami, Syaikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi al-Azhari 'alaihi rahmatul Bari dan memberikan balasan yang sebaik-baiknya dan sebanyak-banyaknya atas segala jasanya kepada umat.

Ahad, Disember 25, 2016

'Uyuunul Atsar & Nurul 'Uyuun

Kitab "`Uyuunul Atsar fi funuunil Maghazi wasy Syamaail was Siyar" adalah antara karya Sirah Nabawiyyah yang masyhur. Karya ini diterima baik oleh kalangan umat, baik ulama maupun awam, di mana mereka membacanya, mentelaahnya, membahasnya dan menjadikannya sebagai rujukan. Menurut Prof. Dr. Faruq Hamadah, kitab ini mungkin kitab sirah pertama yang cuba mengumpul bahan-bahan yang berserakan untuk dijadikan sebuah kitab sirah yang sempurna dari segala segi dan benar-benar sahih menurut pandangan pengarangnya. Selanjutnya, Prof. Dr. Faruq menyatakan bahawa antara kelebihan kitab ini adalah ia turut memuatkan nas-nas yang berasal dari kitab-kitab yang telah hilang, di mana di dalamnya mengandungi banyak faedah ilmiah dan analisis yang penting. Oleh itu, kitab ini sangat perlu dibaca dan ianya adalah kitab yang dapat dipegang dalam bidang sirah oleh generasi umat Islam, baik mereka yang ahli dalam bidang ini maupun yang tidak, yakni sesiapa sahaja yang ingin mempelajari dan mengetahui sirahnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun, karya ini bukanlah kitab kecil, ianya terdiri daripada 2 jilid besar yang mungkin sukar untuk ditelaah oleh orang awam. Maka si pengarang telah meringkaskan fakta-fakta yang penting dari kitab ini menjadi satu kitab kecil yang diberinya jodol " Nurul 'Uyuun fi talkhish Siratil Amiinil Ma`muun shallaAllahu `alaihi wa sallam".

"Nurul 'Uyuun fi talkhish Siratil Amiinil Ma`muun" adalah kitab sirah yang ringkas dengan bahasa yang mudah namun tidak kurang keindahannya dan padat dengan fakta berkaitan dengan sirah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam karya ini, hanya fakta-fakta ringkas mengenai berbagai aspek sirah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dicatat. Bermula daripada menyebut nasab baginda yang mulia, senda gurau baginda, para isteri baginda, mereka-mereka di sekeliling baginda sehinggalah detik kewafatan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kitab kecil ini telah diterjemah dalam beberapa  bahasa, antaranya Bahasa Inggeris oleh Bilal Patel dan Mariam Madge Conlan dengan jodol "The Light of the Eyes, A concise biography of the Trustworthy and Reliable Prophet (PBUH)" dan diterbitkan oleh Turath Publishing tahun 2016. Dalam nota mengenainya, dinyatakan:- 
" ... While other biographical literature varies in regards of authorship, authenticity, length, breadth of detail and historical, cultural and religious perspective, this work attempts to assimilate the most beneficial aspects of all these features. Both concise and comprehensive, it relies heavily on rigorously authenticated (sahih) and fully referenced sources, and is brimming with knowledge that 'delights the souls and adorns the pages'.
Kedua-dua kitab ini, merupakan karangan seorang ulama besar, asy-Syaikh al-Imam al-'Allaamah al-Muhaqqiq al-Mutqin al-Hafiz al-Faqih al-Adib an-Nahwi, Fathuddin Abul Fathi Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ya'muri ar-Rab`i al-Andalusi al-Mishri rahimahumullah yang lebih dikenali sebagai Ibnu Sayyidin Naas

Sebenarnya ada dua orang ulama yang dikenali sebagai Ibnu Sayyidin Naas. Ini adalah kerana mereka sama-sama dinisbahkan kepada moyang mereka yang bernama Sayyidin Naas bin Abil Walid. Ibnu Sayyidin Naas yang pertama merujuk kepada al-Imam al-Allaamah al-Khatib al-Hafiz Abu Bakar Muhammad bin Ahmad bin Abdullah bin Muhammad bin Yahya al-Ya'muri al-Andalusi al-Isybili yang dilahirkan pada tahun 557H dan wafat tahun 659H. Manakala Ibnu Sayyidin Naas yang kedua adalah pengarang "Nurul 'Uyuun" iaitu Fathuddin Abul Fathi Syamsuddin Abu Abdullah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ya'muri ar-Rab`i al-Andalusi al-Mishri. Oleh itu, Abul Fath Fathuddin Ibnu Sayyidin Naas adalah cucu kepada Abu Bakar Ibnu Sayyidin Naas. Menurut para ulama jika diithlaqkan sebutan Ibnu Sayyidin Naas, maka ianya merujuk kepada sang cucu, iaitu Abul Fath Fathuddin Ibnu Sayyidin Naas, pengarang kitab sirah yang sedang kita bicarakan.

Abul Fath Fathuddin Ibnu Sayyidin Naas dilahirkan pada bulan DzulQa`idah tahun 671H di Kaherah dan dibesarkan dalam keluarga ulama. Beliau mendapat didikan awal daripada ayahnya sendiri yang merupakan seorang ulama besar dan muhaddits yang berdarjat al-hafiz. Diceritakan bahawa ayah beliau kerana kasihnya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka semua anak lelaki beliau yang berjumlah 4 orang diberinya nama Muhammad. Maka hanya kunyah sahaja yang membezakan antara nama mereka, iaitu Abu Sa'd Muhammad, Abu Sa`id Muhammad, Abul Qasim Muhammad dan pengarang "'Uyunul Atsar", Abul Fath Muhammad. Sejak kecil lagi, Abul Fath Ibnu Sayyidin Naas telah dibawa oleh ayahnya menghadiri majlis-majlis ilmu dan zikir. Sikap mencintai ilmu yang disemai sejak kecil ini menyebabkan beliau amat bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Beliau telah berpergian ke berbagai tempat demi mencari ilmu, sehingga jumlah guru-gurunya hampir 1,000 orang. Di antara guru-guru beliau adalah Imam Ibnu Daqiqil Eid, Imam Fakhruddin Abul Hassan al-Maqdisi dan ramai lagi. 

Abul Fath Fathuddin Ibnu Sayyidin Naas merupakan seorang ulama yang menguasai berbagai bidang ilmu pengetahuan. Beliau wafat pada pagi Sabtu 11 Sya'baan 734H. Telah melayati jenazah beliau oleh ramai manusia dan beliau dikebumikan di al-Qurafah di sebelah al-Hafiz Ibnu Abi Jamrah. Selain meninggalkan anak-anak murid yang ramai, Imam Ibnu Sayyidin Naas, turut meninggalkan berbagai karya, antaranya:-
  1. `Uyuun al-Atsar fi funuun al-maghaazi wasy-syamaail was-siyar;
  2. Nurul 'Uyuun fi Talkhish Siratil Amiinil Ma`muun SAW;
  3. Tahshilul Ishaabah fi Tafdhiil ash-Shahaabah;
  4. Busyral Labiib bi dzikril Habiib;
  5. Minahul Midah
  6. al-Maqaamaatul 'Aliyyah fil Karaamaatil Jaliyyah;
  7. an-Nafhusy Syadzi fi Syarhi Jaami`it Tirmidzi.
Di antara kisah yang mungkin jarang kita dengar adalah kisah mengenai takziah Nabi Khidhir 'alaihis salam ketika kewafatan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Di dalam " 'Uyuun al-Atsar" pada halaman 449, juzuk ke-2, dinyatakan bahawa ketika wafatnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, para sahabat telah mendengar ucapan takziah tanpa mereka melihat siapa yang mengucapkannya. Dan dikatakan bahawa yang menyampaikan ucapan takziah tersebut adalah Nabi Khidhir alaihis salam. Dalam "Nurul 'Uyuun fi Talkhish Siratil Amiinil Ma`muun SAW", kisah ini dimuatkan pada halaman 133 sebagai berikut:-
.... Kemudian para sahabat mendengar satu suara dari arah pintu rumah Junjungan SAW berkata: "Jangan kamu mandikan dia, sesungguhnya dia suci dan disucikan. Kemudian mendengar pula mereka satu suara lain yang menyatakan: "Kamu mandikanlah baginda, sesungguhnya suara tadi adalah Iblis dan aku adalah al-Khidhir," dan dia memberikan ucapan takziah kepada mereka dengan katanya:- "Sesungguhnya pada Allahlah ketenangan atas setiap musibah (yakni carilah ketenangan / kesabaran tatkala menghadapi musibah dengan kembali kepada Allah), penggantian segala apa yang punah, pemerolehan segala apa yang luput, maka berpeganglah kamu dengan Allah dan hendaklah kamu berharap kepadaNya. Sesungguhnya yang mendapat musibah yang sebenar adalah orang yang ditegah daripada memperolehi pahala (yakni dia tidak mendapat pahala daripada musibahnya kerana dia tidak sabar atau redha tatkala mendapat musibah).
Mudah-mudahan pengetahuan kita tentang Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sentiasa bertambah dan berkembang, memekar dalam taman hati sehingga tumbuh kecintaan dan kerinduan yang sejati kepada baginda. 

Selasa, Disember 20, 2016

Muswaddah Syaikh Daud

Pada entri kali ini, faqir ingin memperkatakan sesuatu mengenai satu risalah karya Mawlana Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani rahimahullah. Sesetengah ilmuwan menamakan risalah ini sebagai " Muswaddah " atau "al-Muswaddah" atau "Risalah al-Musawwadah" atau dengan jodol penuhnya "Risalah al-Musawwadah / al-Muswaddah Pada Menyatakan Puji-Pujian Zahir Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam." Menurut pandangan faqir yang singkat ini, kalimah muswaddah atau musawwadah yang disebut oleh Mawlana Syaikh Daud tatkala menulis khitam pada risalah tersebut sebenarnya bukanlah nama bagi risalah itu, tetapi merujuk kepada keadaan risalah tersebut yang sebenarnya masih berbentuk draf atau catatan awal atau nota awal yang memerlukan kepada penyempurnaan akhir. Jadi faqir cenderung untuk berpendapat bahawa apa yang beredar atas nama "Risalah al-Muswaddah" atau "Risalah al-Musawwadah" ini sebenarnya adalah draf bagi risalah kisah maulud Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang mungkin jodolnya:- "Risalah Pada Menyatakan Puji-Pujian Zahir Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam". Tambahan pula, keterangan daripada Allahyarham Ustaz Wan Muhammad Shaghir menyatakan bahawa kitab atau risalah ini belum pernah dicetak sebelum ini, jadi apa yang beredar sekarang hanyalah berbentuk musawwadah atau draf bagi risalah tersebut. Ini hanya sekadar pandangan singkat faqir dan hanya Allah yang Maha Mengetahui hakikat sebenarnya.

Berbalik kepada draf risalah yang ditulis pada Bulan Maulud ini, isi kandungannya adalah kisah-kisah yang berhubung kait dengan kelebihan, keagungan dan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam Bahasa Melayu yang indah dan diselang-seli dengan syair puji-pujian dan shalawat ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam Bahasa Arab. Menurut Allahyarham Ustaz Wan Muhammad Shaghir risalah ini berkemungkinan kitab tentang maulud yang pertama ditulis dalam Bahasa Melayu Klasik yang indah susunan katanya lagi tinggi nilai sasteranya.. Mengenai tarikh permulaan dan penyiapan risalah ini, Mawlana Syaikh Daud menerangkan sebagai berikut:-
" Telah khatamlah daripada menyurat akan musawwadah ini pada hari Rabu, 9 haribulan Maulud, maka ibtida`nya daripada 2 haribulan Maulud daripada hijrah 1234 'ala Shahibiha afdhalush shalaati wa azkat taslimi, ala yad afqarul 'ibaad Daud ibn Abdillah Fathani 'afaAllahu 'anhu."
Walaupun risalah ini masih berbentuk draf, namun tidak ada keraguan bahawa ianya adalah karya asli Mawlana Syaikh Daud al-Fathani. Menurut Allahyarham Ustaz Wan Muhammad Shaghir, risalah ini ditemukan asli tulisan pengarangnya sendiri dan tersimpan di Pusat Islam Malaysia, Kuala Lumpur dengan nombor M.I. 329. Di sini faqir ingin berkongsi pandangan Mawlana Syaikh Daud rahimahullah mengenai adat berdiri ketika sampai kepada kisah kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Pada halaman 71 musawwadah risalah tersebut, Syaikh Daud menyatakan sebagai berikut:-
" Telah berlakulah adat dengan bahawasanya apabila mehalukan oleh wa`idz yakni mengajar dan memberi nasihat dan oleh maddaah membaca maulud akan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan menyebut mereka itu waktu memperanak akan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan adalah berdiri kebanyakan manusia tatkala demikian itu kerana membesarkan baginya shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan adalah berdiri itu bid`ah tiada asal baginya tetapi tiada mengapa dengan dia kerana hendak membesar, tetapi adalah perbuatan yang hasan bagi mereka yang ghalab atasnya kasih akan dia dan membesarkan dia bagi demikian Nabi yang amat mulia 'alaihi afdhalush shalaati wa asyrafut taslim. "
Oleh itu, walaupun berdiri ketika mahalul qiyam itu dianggap sebagai bid`ah, namun ianya adalah bid`ah yang hasanah kerana tujuan berbuat sedemikian adalah kerana membesarkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Seperkara lagi yang faqir ingin beri komentar adalah berhubung dengan penggunaan kalimah "maulud" yang digunakan oleh Mawlana Syaikh Daud dalam draf risalah tersebut. Sebenarnya kalimah "maulud" itulah yang lazim digunakan pada zaman orang - orang tua kita ketika merujuk kepada upacara atau sambutan peringatan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mereka menggelarnya "Maulud Nabi" atau "Zikir Maulud" atau "Peringatan Maulud Nabi" atau "Bulan Maulud" dan seumpamanya. Dulu kalimah "mawlid" jarang digunakan untuk tujuan tersebut. Hanya semenjak dua menjak ini barulah dimasyhurkan penggunaan kalimah "mawlid" menggantikan kalimah "maulud". Perlu kita ketahui bahawa kedua-dua kalimah tersebut adalah betul dan boleh digunakan untuk merujuk kepada sambutan atau peringatan yang berhubung kait dengan kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Kalimah "mawlid" merujuk kepada isim/zaraf makan (tempat) atau isim/zaraf zaman (waktu) yang ertinya tempat kelahiran atau waktu kelahiran. Manakala kalimah "maulud" pula adalah isim maf`ul yang merujuk kepada "bayi yang dilahirkan" dan dalam konteks ini yang dimaksudkan adalah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka jika dikatakan " Sambutan Mawlid Nabi", maka maksudnya kita menyambut masa atau hari kelahirannya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan jika kita menggunakan "Sambutan Maulud Nabi", maka ia merujuk kepada menyambut bayi yang dilahirkan yang bernama Nabi Agung Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Oleh itu, tidak menjadi kesalahan kalimah "Maulud" untuk diteruskan penggunaannya, bahkan ada kalanya mungkin penggunaannya adalah lebih tepat, kerana topik sambutan sebenarnya tidaklah terikat kepada tarikh atau hari kelahiran tersebut tetapi lebih tertumpu kepada bayi yang telah dilahirkan sebagai rahmat bagi sekalian alam, Nabi Agung Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Sabtu, Disember 17, 2016

Rahmat Allah Atas al-Buthi

Mudah-mudahan apa yang berlaku di negara-negara Timur Tengah sekarang dapat dijadikan iktibar. Bertindak jangan terburu-buru dan berpandukan emosi. Jangan mudah melatah sehingga hilang pertimbangan akal yang waras, lalu terkija-kija menari ikut emosi diiringi gempita muzik revolusi yang dimainkan puak musuh bertopengkan kawan.  Semoga entri di bawah sedikit sebanyak menyingkap kebijaksanaan asy-Syahid Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi rahimahullah.

Daughter of Syria's slain cleric speaks out


It has become common for Syria's opposition to blame the government of President Bashar al-Assad for explosions that hit residential areas in Damascus. The latest blast - in a mosque that killed the country's top cleric, Sheikh Mohammad al-Bouti, his grandson, and 40 others - was no different.
Dissidents, including the head of the Syrian National Coalition, Mouaz al-Khatib, have alleged al-Bouti, a vocal supporter of Assad, was assassinated this week by regime insiders. Many believe he had been on the verge of announcing his defection.
Al-Bouti's daughter, Sumayya, however, said that her father could not have changed his position. She said those who killed him were "unjust" and "criminal" - but refused to say who she thought might have been responsible for his death. 

"My father's position is clear. It was based on conviction and religious texts. He believed one should not disobey [the ruler]. Disobeying may lead to strife and strife would lead to a cycle of more disorder," she said, speaking from Saudi Arabia.
Since the early days of the uprising, which started in March 2011, al-Bouti had dismissed anti-government protesters as a bunch of mercenaries and saluted the Syrian Army in its fight against Assad's enemies.
Sumayya said her father believed that changing reality required patience.
"He preached for patience and advocacy, rather than violence and bloodshed," said the 52-year-old.
"In his writings, he spoke of many examples where change took place after a lot of patience, like in India."
The cleric had influence over the affluent Sunni Muslims in Damascus and is credited for keeping them away from the violence of the protest movement.
'Hypocrisy'
Al-Bouti was considered one of the most influential Muslim scholars in the world. He wrote more than sixty books on various Islamic issues, and was considered an important scholar of Sufism.
Following the rise of a Muslim Brotherhood insurgency in the 1970s and the brutal crackdown upon armed fighters and thousands of civilians by President Hafez al-Assad in the early 1980s, the regime encouraged a more moderate interpretation of Islam based on Sufism, which focuses on rites and rituals rather than political governance.
In the early 1990s, al-Bouti became a highly reputable figure among Syrians. He appeared on state television twice a week and his mosque lectures were attended by thousands.
But in 2011, many Syrians, including some of al-Bouti's students, found Assad's crackdown on protests too brutal to justify and accused the cleric of legitimising the regime's military campaign against rebellious towns.
His daughter said al-Bouti was aware that some people saw his support for Assad as "hypocrisy" and "power hungry".
"He disregarded them. He lived by the saying of Prophet Mohammad: 'Whoever seeks Allah's pleasure at the expense of men's displeasure, will win Allah's pleasure and Allah will cause men to be pleased with him.'"
"My father used to say to us: 'If I really was after power and wealth then I would have pursued them when I was young. Not now, when I am 84.'"
Al-Bouti wanted reform. He believed it was his duty to advise both officials and the public at large.
"He attended meetings with officials to advise them, not to be photographed with them," Sumayya said.
'Scent of heaven'
When asked what he had advised Assad, she said: "He never told us. He is not the kind of person who would tell people about discussions that take place in private gatherings."
Sumayya is al-Bouti's only daughter. He has six sons. Several rumours have emerged on social media regarding possible defections within the al-Bouti family. Sumayya said there was no defection - "thank Allah", she said - but there have been "discussions" within the family.
"My father used to be bothered by some of the discussions that took place. He had expected that doubt be raised by strangers but not by those close to him. He expected his children would have more knowledge than others," she said.
What united the siblings, however, was a shared fear for the life of their father. Sumayya recalled her father saying that security guards would not make a difference, because everything happened "with Allah's will and permission".
"Whenever we felt scared, we felt the need to be around him and talk to him because he made us feel safe. He had so much tranquility in his heart."
Al-Bouti told his children that what was happening in the country was a crisis that would eventually end, but he felt that the day of his death would come first.
"He told us to take care of each other," said Sumayya. "He said that could smell the scent of heaven."
- By Basma Atassi.

Jumaat, Disember 16, 2016

Syaikh Abdul Ghani Kampar

Ini foto Syaikh Abdul Ghani bin Abdus Salam qaddasaAllahu sirrah yang lebih dikenali sebagai Syaikh Abdul Ghani Kampar @ Syaikh Abdul Ghani Batu Basurek. Mursyid Thariqah Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah yang telah mengangkat almarhum Buya Muhibbuddin Waly sebagai mursyid dalam Thariqah Naqsyabandiyah. Beliau dikatakan lahir sekitar tahun 1811 dan kembali ke rahmatullah pada 1961, menjadikan usia beliau sekitar 150 tahun.

Beliau telah melanjutkan pengajian agama di Mekah dan berguru dengan para ulamanya. Di antara guru beliau di sana adalah Syaikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi rahimahullah dan khusus dalam perjalanan kesufian Thariqah Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah, beliau menerima didikan dan tarbiyah daripada Syaikh Sulaiman Zuhdi qaddasaAllahu sirrah. Setelah bermukim di sana sekitar 20 tahun, barulah Syaikh Abdul Ghani kembali semuka ke tanahair.

Sekembalinya beliau ke tanahair, beliau mendirikan surau dan rumah suluk di Batu Bersurat @ Batu Basurek, Kampar. Di situlah beliau mendidik dan mentarbiyyah para santrinya sehingga ramai murid-murid beliau yang menjadi ulama dan awliya`. Di antara murid-murid beliau yang masyhur adalah Syaikh Muda Muhammad Waly al-Khalidy dan anak beliau Prof. Dr. Muhibbuddin Waly al-Khalidy. Semoga Allah merahmati beliau dan segala para ulama dan awliya` yang banyak jasanya kepada umat.... al-Fatihah.

Rabu, Disember 14, 2016

Atsar Sayyidah 'Aisyah

Satu masa dahulu sempat dikecohkan yang kononnya di atas Kubah Hijau yang menaungi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam terdapat "kubur" yang kononnya milik seseorang yang cuba untuk memusnahkan kubah tersebut. Ternyata kisah tersebut adalah tidak benar dan struktur yang berada atas Kubah Hijau tersebut adalah penutup lubang jendela yang dibuat atas kubah tersebut.

Perbuatan membuat lubang atas atap atau kubah yang menaungi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah perkara baru. Bahkan, telah menjadi "sunnah" orang - orang Madinah al-Munawwarah untuk membuat lubang atas atap atau naungan yang menaungi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai sarana bertawassul dengan baginda dan beristisqa kepada Allah ta`ala. Perkara ini dilakukan atas anjuran Ummul Mukminin, Sayyidatina 'Aisyah radhiyaAllahu `anha sebagaimana diriwayatkan atsarnya oleh gurunya Imam al-Bukhari rahimahullah, iaitu Imam ad-Darimi rahimahullah dalam musnad atau sunannya yang masyhur. Imam ad-Darimi rahimahullah meriwayatkan atsar tersebut dalam "bab : ma akrama Allahu ta`ala nabiyahu shallaAllahu `alaihi wa sallam ba'da mawtihi" (perkara-perkara yang Allah ta`ala muliakan nabiNya shallaAllahu 'alaihi wa sallam setelah kewafatan baginda".  Pada halaman 227, juz 1, "Musnad ad-Darimi" atau lebih dikenali dengan "Sunan ad-Darimi" dinyatakan atsar yang dinisbahkan kepada Sayyidatina 'Aisyah radhiyaAllahu `anha, hadis mauquf yang menurut pentahqiq kitab "Musnad ad-Darimi" tersebut, iaitu Syaikh Husain Salim Asad ad-Darani, segala perawinya adalah orang - orang yang tsiqah. Dinyatakan dalam atsar tersebut sebagai berikut:-
Abul Jawza' Aws bin 'Abdillah berkata: "Penduduk Madinah al-Munawwarah telah menghadapi musim kemarau yang teruk, lalu mereka mengadu kepada Sayyidatina 'Aisyah radhiyaAllahu `anha. Sayyidah 'Aisyah berkata kepada mereka: "(Pergilah) kamu melihat kubur Nabi  dan buatkan satu lubang atasnya (yakni atas atap yang menaungi makam yang mulia) yang tembus ke langit sehingga tidak ada atap di antara kubur tersebut dengan langit." Maka mereka pun melakukannya, lalu turunlah hujan lebat sehingga tumbuh-tumbuhan hidup dengan subur dan unta-unta menjadi gemuk sehingga kulitnya seakan-akan pecah, maka dinamakan tahun tersebut "aamul fatqi" (yakni tahun pecah-pecah, melambangkan kesuburan kerana kulit - kulit unta peliharaan mereka seolah-olah pecah akibat kegemukan).
Atsar ini menunjukkan keharusan bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas kewafatan baginda. Ianya juga menunjukkan bahawa keberadaan makam Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam itu sentiasa berada di bawah naungan sesuatu. Inilah yang dijelaskan oleh para ulama kita antaranya oleh Imam as-Samhudi rahimahullah. Bahkan dalam kitabnya yang masyhur, "Khulashaatul Wafa bi Akhbari Daaril Musthafa shallaAllahu `alaihi wa sallam", al-Imam 'Ali bin Abdullah bin Ahmad al-Hasani as-Samhudi (844 - 922H), pada halaman 289 - 290, menyatakan tiada syak lagi bahawa makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah dalam keadaan beratap sejak awal permulaannya lagi ( fi shadril awwal). Maka dari kerana itulah Imam ad-Darimi telah meriwayatkan atsar Sayyidatina 'Aisyah radhiyaAllahu `anha yang menyuruh membuka satu lubang atas naungan tersebut sebagaimana dinyatakan di atas tadi. Selanjutanya, Imam as-Samhudi menukilkan perkataan az-Zain al-Maraghi yang menyatakan:-
Perbuatan membuka lubang ini ketika kemarau adalah sunnah (tradisi) penduduk Kota Madinah sehinggalah sekarang (yakni sehingga ke zaman beliau tersebut). Mereka membuka lubang pada kubah yang menaungi hujrah (bilik makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ) .......  (ini adalah kerana) di antara makam Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam dengan langit ianya dihalang oleh atap (oleh kerana itulah mereka perlu membuat lubang tersebut).
Setelah membawa pernyataan daripada az-Zain al-Maraghi tersebut, Imam as-Samhudi menyatakan bahawa pada zaman beliau, tradisi membuka lubang tersebut telah ditukar kepada membuka pintu pada dinding yang berbetulan menghadap wajah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Manakala lubang yang dibuat pada atap atau kubah tersebut dijadikan jendela berpenutup yang juga dapat dibuka untuk beristisqa ketika kemarau.

Atsar Sayyidah 'Aisyah ini turut dinukilkan dalam berbagai karya para ulama kita. Ianya turut dimuatkan dalam kitab himpunan hadis yang masyhur seperti "Misyakatul Mashabih", manakala dalam syarahnya, "Mirqaatul Mafaatiih", pada juz 11, halaman 95 -96, hadis yang ke 5950, Mulla 'Ali al-Qari telah memberikan komentar yang menarik. Mulla 'Ali al-Qari turut menjelaskan bahawa Abul Jawza` adalah Aws bin 'Abdillah al-Azdi seorang tabi`in yang masyhur daripada kalangan penduduk Bashrah dan beliau telah mendengar dan meriwayatkan hadis daripada Sayyidatina 'Aisyah, Sayyidina Ibnu 'Abbas dan Sayyidina Ibnu 'Umar radhiyaAllahu `anhum ajma'in. Mulla 'Ali al-Qari turut menyatakan bahawa ada ulama yang berpendapat perbuatan membuat lubang atas atap tersebut dan membiarkan makam Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam terdedah terus menghadap langit adalah sebagai menyatakan kesungguhan untuk meminta syafaat baginda (mubaalaghah fil istisyfaa' bi hi). Ada juga ulama yang menyatakan bahawa ketika langit melihat makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka mengalirlah air di segenap wadi akibat tangisannya (yakni tangisan langit yang berupa air hujan) (anna as-sama` lamma ra-at qabr an-Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam saala al-wadi min buka-iha). Di antara ulama kita di Nusantara yang menukilkan atsar ini adalah Hadhratusy Syaikh Kiyai Hasyim al-Asy`ari dalam kitabnya "an-Nurul Mubin fi Mahabbati Sayyidil Mursalin" pada halaman 73 sebagai dalil untuk mengharuskan bertawassul dan beristighatsah dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Oleh itu, diharap kita dapat memahami kedudukan sebenar perkara yang berhubung kait dengan Kubah Hijau yang menaungi makhluk yang paling mulia Junjungan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sesungguhnya kemuliaan makam baginda telah terpelihara sejak baginda bersemayam di sana sehinggalah ke hari ini, walaupun terdapat suara-suara sumbang yang tidak suka dengan keberadaan kubah tersebut akibat salah memahami akan hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Fahamilah wahai saudara sekalian, atap atau kubah yang menaungi makam yang mulia ini telah wujud sejak zaman awal lagi dan telah berkesinambungan sejak lebih dari 1000 tahun. Yang berubah hanyalah, bilangan naungan tersebut, rupa bentuk, saiz dan warnanya sahaja. Apakah para ulama yang jutaan, jika tidak billionan, jumlahnya sejak zaman dahulu lagi, tidak tahu kedudukan hukum membuat naungan atau atap atau kubah atas makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam? Jika ianya adalah mutlak haram, maka kenapa mereka hanya berdiam diri ?



Isnin, Disember 12, 2016