Jumaat, Julai 11, 2008

Mudahnya Sifat 20

Membaca entri Fadhilatul Ustaz Mahfuz berhubung komen Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengenai pengajian tauhid berasaskan sifat 20, terpanggil ambo nak tulis sikit mengenai pengajian kaedah sifat 20 ni. Sejak zaman berzaman, umat Islam di Nusantara belajar mengenal Allah melalui kaedah pengajian sifat 20. Ambo ingatlah tok nenek kita zaman dulu-dulu, atau setidak-tidaknya tok nenek ambolah, pun belajar nak kenal Allah melalui pengajian sifat 20 nilah. Maka amatlah malang jika sekarang ini timbul golongan yang mencemoh pengajian sifat 20. Ada yang mengatakan bahawa ianya adalah mengikut cara falsafah Yunani yang berbelit-belit dan menyusahkan. Mungkin pihak yang mencemoh pengajian tersebut tidak memahami kaedah pengajiannya dengan sebenar kerana untuk orang awam dan orang yang baru masuk Islam, pengajian Sifat 20 untuk mengenal Allah amatlah mudah. Memadai bagi mereka untuk mengaji setakat nazam 'Aqidatul 'Awam atau nazam tauhid yang masyhur.

Ini adalah kerana bagi orang awam dia hanya perlu mengetahui 20 sifat yang wajib bagi Allah, 20 sifat yang mustahil dan 1 sifat yang harus bagi Allah. Dan ini sudah tentu tidak bermakna menghadkan sifat-sifat kesempurnaan dan kebesaran Allah kepada hanya 20 sifat sahaja. Seterusnya pengetahuan terhadap sifat-sifat tersebut hanya perlu disokong dengan satu dalil secara ijmal sahaja, sama ada naqli ataupun aqli. Maka di mana susah dan payahnya bagi orang awam untuk belajar mengenal Allah? Apa yang lebih dari itu, seperti mengenal pecahan sifat-sifat tersebut, persoalan ta'alluq dan sebagainya, maka itu semua dihukumkan sebagai "ghawamidhul ilmil kalam" yang tidaklah menjadi keperluan untuk diketahui oleh orang awam. Apa yang perlu bagi orang awam ialah mempertingkatkan keyakinan mereka terhadap sifat- sifat tersebut bagi memperkukuhkan keimanan dan ketaatan mereka kepada Zat yang disifati dengan segala sifat kesempurnaan tersebut yakni Allah s.w.t.

Jika dikatakan bahawa kaedah pembelajaran tersebut gagal menanamkan keimanan yang kukuh dalam diri umat Islam. Maka ini hanyalah sangkaan dan tuduhan yang tidak berasas. Lihat sahaja penyebar-penyebar Islam di rantau kita yang telah mengIslam tok nenek kita. Tiada keraguan bahawa bahawa mereka mempunyai keimanan yang kukuh dan mereka adalah pendokong al-'Asyairah. Merekalah yang memperkenalkan uslub mengenal Allah melalui kaedah pengajian sifat 20. Bandingkanlah dengan mereka-mereka yang mencemoh pengajian sifat 20, setakat mana sumbangan mereka - mereka ini terhadap Islam? Berapa ramai "oghe utei" yang telah mereka Islamkan?

Alhamdulillah, walaupun mendapat cemohan, pengajian sifat 20 masih diajar oleh tuan-tuan guru kita yang mulia. Bahkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pun pernah mengajar tauhid mengikut kaedah pengajian Sifat 20 dan kuliah pengajian Sifat 20 beliau telah dirakam dan disebar kepada masyarakat. Maka sewajarnya janganlah dicemoh kaedah pengajian Sifat 20 ni. Ambo setuju jika dikatakan bahawa yang wajib adalah mengenal Allah dengan sebenar-benar ma'rifat, akan tetapi janganlah kerana kita dah jumpa jalan lain untuk kenal Allah, jika ada, maka kita mencemoh dan memperkecilkan jalan atau uslub atau kaedah yang telah sekian lama membawa ramai orang kepada mengenal Allah s.w.t serta mentaatiNya. Demikianlah juga dengan kaedah pengajian membaca al-Quran, janganlah sebab dah ada Qiraati, dah ada Iqra', maka kita pandang kaedah Baghdadi dengan sebelah mata sahaja. Takut-takut ada bebudak yang tak kenal huruf alif sebab dia hanya kenal bunyinya sahaja. Allahu ... Allah.

************************
عقيدة العوام

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saudara Abu Muhammad
di Bahrus Shofa,

Assalamu'alaikum. Ambo ingin mencadangkan satu website http://www.hakikatkitabevi.com/
yang merupakan website yang sangat bermaklumat dan berasaskan faham Ahl Sunnah Wal Jama'ah untuk ditambah sebagai pautan Website Inggeris (sebenarnya ianya boleh dibuka dengan berbagai bahasa termasuk bahasa Arab, Urdu, Belanda, Perancis, Russia, Parsi dan lain-lain bahasa). Ambo mendapati bahawa website ini amat berkesinambungan dengan Institusi Sheikul Islam Khalifah Othmaniyyah di mana banyak bahan yang menunjukkan perspektif sebenar Institusi berkenaan ketika fitan tercetus di Turki dapat dicapai.

Di masa yang sama mereka juga adalah amat menitik-beratkan tasawwuf sebagai sebahagian dari Agama.

Ambo mohon mencadangkan.

Wassalamu'alaikum,
AL-FAQIR-ILALLAH KORBANDEMOKRASI