Jumaat, Ogos 21, 2009

Ahlan Ya Ramadhan

Alhamdulillah, Ramadhan 1430H bakal menjelang menemui kita. Hadiah daripada Allah SWT buat umat kekasihNya Baginda Muhammad SAW. Cukuplah keistimewaannya pabila satu ibadah fardhu digandakan kepada 70 kali ganda berbanding bulan-bulan lain dan satu ibadah sunnat diberikan ganjaran fardhu. Allahu ... Allah, tok guru kawan dulu kata ganjaran fardhu tu teramatlah besar dan sekali-kali tidak boleh diatasi oleh yang sunnat (generally speakinglah tu, sebab kekadang ada amalan sunnat yang lebih utama berbanding hok wajib, contohnya memberi salam itu lebih utama daripada menjawab salam, tetapi tentang pahlonya lupo plak ese nok tanyo sebak hok beri itu sunnat dan hok jawab tu wajib. Senang cakap, kita serahlah kepada Yang Memberi Pahala tu nanti).

Tahun ni, biarlah kita perkemaskan ibadah-ibadah wajib dan sunnat kita. Jangan terawih sahaja tanpa menunaikan kefardhuan sholat 5 waktu. Bior kite ponteng terawih, jangan ponteng sholat subuh, gitulah kira-kiranya yeop. Ingat akan kata-kata Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahUllah dalam "Fathul Bari" yang menukilkan kalam sebahagian pemuka agama sebagai berikut:-

من شغله الفرض عن النفل فهو معذور
ومن شغله النفل عن الفرض فهو مغرور
Sesiapa yang sibuk mengerjakan sesuatu yang fardhu tanpa melakukan yang sunnat, maka dia adalah orang yang diberikan keuzuran yakni kemaafan yakni excuse kerana tidak melakukan yang sunnat. Sesiapa yang sibuk mengerjakan yang sunnat tanpa mengerjakan yang fardhu, maka itulah dia orang yang tertipu.
Ingat tu, fardhu dijaga, sunnat dikejar, mudah-mudahan matinya nanti husnul khatimah. Jangan mengejar yang sunnat, hak fardhu berciciran. Apa-apa pun, kawan nak kongsi satu faedah yang disebut oleh al-Imam al-'Allaamah asy-Sayyid asy-Syarif al-Muhaddits Muhammad bin 'Ali Khird al-'Alawi al-Husaini at-Tarimi rahimahumUllah dalam karya beliau "al-Wasaailusy Syaafi`ah". Di halaman 474 dinyatakan:-

Daripada Sayyidina Ibnu 'Umar radiyAllahu `anhuma yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: "Telah diturunkan kepadaku semalam akan satu surah yang ianya lebih kukasihi dari segala apa yang terbit matahari atasnya (yakni dunia dan segala isinya), dan disukai agar ianya dibaca pada awal malam bulan Ramadhan, maka kamu bacakanlah ia dan ajarkanlah ia kepada anak-anak kamu, insya-Allah mereka tidak akan menjadi papa.
Almarhum Syaikh Husin Kudri Martapura rahimahUllah pula dalam karya himpunan doa-doanya "Senjata Mukmin" pada halaman 92 menulis:-

Surah al-Fath: (Khasiatnya) barangsiapa membaca akan dia 3 kali pada malam permulaan timbul bulan Ramadhan, insya-Allah terpelihara ia di dalam setahunan itu daripada marabahaya dan diluaskan rezekinya.
Akhirul kalam, selamat beribadah, selamat berpuasa, selamat bertarawih dan moga dirahmati serta diberkati Allah SWT sentiasa. Jangan lupa agar saling doa mendoakan sesama umat dan jangan dilupakan al-faqir dalam doa kalian.

***************************************************

video

Tiada ulasan: