Jumaat, Ogos 21, 2009

Surah al-Fath

Surah al-Fath (Kemenangan) diturunkan sekembalinya Junjungan Nabi Muhammad SAW dari Hudaibiyyah dalam bulan Dzul Qaedah tahun yang ke-6 hijrah. Dalam tertib al-Quran, ianya adalah surah yang ke-48 dengan 29 ayat (tanpa dikira basmalah). Surah ini dikategorikan sebagai surah Madaniyyah kerana ianya diturunkan setelah Baginda Nabi SAW berhijrah ke Madinah, walaupun sebenarnya ianya tidak diturunkan di Kota Madinah. Menurut riwayat, ianya diturunkan Allah SWT kepada Junjungan Nabi SAW di sebuah lembah yang dikenali sebagai Kura` al-Hamim yang termasuk dalam daerah Makkah, dan ada juga riwayat yang menyatakan bahawa ianya diturunkan di Dhajnaan, sebuah gunung yang tidak jauh dari Kota Makkah.

Antara kandungan surah yang mulia ini adalah berkenaan keutamaan Junjungan Nabi SAW serta sifat-sifat para sahabat baginda yang diredhai Allah sekaliannya. Diterangkan juga berkenaan kemenangan yang telah dianugerahkan kepada Junjungan SAW dan umat Islam dengan termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah, di samping kemenangan lain yang bakal menyusul seperti Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah) serta kemenangan atas Empayar Romawi dan Empayar Parsi. Mudah-mudahan dapat kita baca, kita amal, kita hayati dan kita petik ajaran-ajaran agung yang terkandung dalam surah yang mulia ini.

Syaikh 'Abdul Rauf bin 'Ali al-Fanshuri al-Jawi rahimahUllah dalam terjemahannya bagi Tafsir al-Baidhawi menulis sebagai berikut:
Ini surah al-Fath turunnya di Madinah iaitu 29 ayat, maka tersebut di dalam Baidhawi hadits: "Barangsiapa mengaji surah al-Fath, maka adalah ia seperti keadaan orang yang hadir serta Rasulullah tatkala mengalahkan Makkah.
**********************************************
سورة الفتح

Tiada ulasan: