Puasa Selepas Nishfu - 2
Rupa-rupanya ada yang tersalah tanggap bahawa dengan dihukumkan haram berpuasa selepas Nishfu Sya'baan bererti kita tidak digalakkan berpuasa dalam bulan Sya'baan. Pengertian tersebut jelas menyalahi yang sebenar kerana apa yang benar ialah kita digalakkan memperbanyakkan berpuasa dalam bulan Sya'baan sebab telah warid beberapa hadits berhubung dengannya. Akan tetapi ianya hendaklah dimulakan sejak nishfu pertama bulan Sya'baan dan berterusan hingga menjelang Ramadhan. Oleh itu, apabila dalam mazhab kita menghukumkan HARAM DAN TIDAK SAH berpuasa sunnat, selain daripada apa yang diberikan pengecualiannya, maka tidaklah bermakna kita tidak menggalakkan orang berpuasa dalam bulan Sya'baan yang mulia. Fahamilah dengan benar.
Sebagai tambahan, kita lihat lagi keterangan mengenai hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan ini dari beberapa karya ulama kita di Nusantara ini. Tok Syaikh Zainal 'Abidin bin Muhammad al-Fathani @ Tuan Minal rahimahUllah dalam karya beliau "Kasyful Litsaam 'an as-ilatil anaam" jilid 1 halaman 106 - 107 menulis, antara lain:-
Haram puasa dua hari raya dan Hari Syak dan segala Hari Tasyriq yang tiga dan nishfu yang kedua daripada bulan Sya'baan bagi yang lain daripada puasa mempunyai sebab, jika tiada dihubung akan dia dengan barang yang dahulunya dan tiada jdi puasa [yakni tidak sah puasa tersebut], intaha.
Tok Syaikh Muhammad bin Ismail Daud Fathani @ Syaikh Nik Mat Kecik rahimahUllah pula menulis dalam "Mathla`ul Badrain wa Majma`ul Bahrain" pada halaman 62 - 63:-
... Dan seperti haram puasa Hari Syak, haram puasa dengan tiada sebab pada nishfu yang kedua daripada Sya'baan, jika tiada dihubungkan dia dengan barang yang dahulunya dan hasil berhubung dengan barang yang dahulunya jikalau dengan hari yang ke 15 sekalipun dan berkekalan puasanya hingga akhirnya. Maka jika dihubungkan dia dengan barang yang dahulunya kemudian berbuka ia padanya, haram atasnya puasa kemudian daripadanya dengan tiada sebab yang telah terdahulu sebutnya.Jika dua ulama tersebut di atas tadi mewakili ulama kita yang awal dan terdahulu, maka ini pula petikan tulisan daripada dua orang ulama kita yang sezaman. Ustaz Muhammad Taha bin Syaikh Muhammad Fadhlullah bin Syaikh Muhammad `Abdullah as-Suhaimi rahimahUllah menulis dalam karya beliau "Puasa & Zakat Harta" pada fasal "Hari-Hari Yang Haram Dikerjakan Puasa Didalamnya Serta Tidak Sah Puasa Itu" di halaman 68 - 69:-
Segala hari yang letaknya di dalam separuh yang kedua bagi bulan Sya'ban, iaitu daripada 16 Sya'ban hingga akhirnya, kerana Nabi s.a.w. telah bersabda:-"Apabila sampailah bulan Sya'ban itu separuhnya maka janganlah kamu berpuasa."Ustaz Segaf bin Hasan Baharun hafizahUllah, ulama muda murid Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith dan Pengasuh Pondok Puteri Pesantren Darul Lughah wad Da'wah, Bangil, Jawa Timur, menulis dalam karangannya "Sudah Sahkah Puasa Anda?" pada fasal "Hari-hari Yang Diharamkan Untuk Berpuasa" di halaman 39-40 menyatakan:-
Tetapi jika seorang itu beradat sentiasa puasa, atau ia puasa tiap-tiap selang hari, atau ia puasa tiap-tiap hari Isnin dan Khamis, maka tiadalah haram ia puasa pada separuh yang kedua bagi bulan Sya'ban itu untuk meneruskan adatnya. Demikian juga sah dan tidak haram di dalam separuh yang kedua bulan Sya'ban jika puasa itu kerana menqada'kan puasa yang telah tertinggal, atau puasa itu kerana nazar atau kerana kafarah. Demikian juga sah dan tidak haram seseorang puasa di dalam separuh yang kedua bagi bulan Sya'ban itu jika ia puasa di dalam separuh yang pertama bagi bulan Sya'ban lalu ia terus puasa hingga masuk pada separuh yang kedua bagi Sya'ban itu, seperti ia puasa pada 15 Sya'ban dan 16 Sya'ban atau ia puasa daripada sebelum 15 Sya'ban dan terus puasa hingga selepas 15 Sya'ban, iaitu tidak boleh ditinggalkan 15 dan 16 Sya'ban itu. Jika ia puasa di dalam separuh yang pertama bagi Sya'ban hingga masuk terus ke dalam separuh yang kedua maka jika ia berhenti puasa sehari pun di dalam separuh yang kedua bagi Sya'ban nescaya haramlah ia sambung lagi puasanya pada bila-bila hari hingga akhir Sya'ban, melainkan kerana qada' atau nazar atau kafarah maka sahlah puasanya sebagaimana telah tersebut tadi.
Diharap ikhwah memahami ketentuan hukum ini dengan jelas. Banyakkanlah berpuasa dalam bulan Sya'baan, asal sahaja tidak melanggar ketentuan yang dinyatakan oleh para ulama kita.Paruh Kedua Dari Bulan Sya'ban
Berpuasa pada paruh kedua dari bulan Sya'ban hukumnya haram berdasarkan sabda Rasul Saw:-Artinya: "Jika sudah masuk paruh kedua dari bulan Sya'ban, maka janganlah kalian berpuasa".
Dan yang dimaksud paruh kedua adalah tanggal 16, 17, 18 sehingga akhir bulan. Akan tetapi jika berpuasa pada hari-hari itu, begitu pula hari syak, untuk mengerjakan puasa wajib, misalnya qodlo' puasa Ramadlan, kaffarah dan lain-lain, atau sudah terbiasa setiap Senin Kamis berpuasa, atau berpuasa Daud, atau juga jika disambung dengan hari sebelumnya, misalnya puasa hari 15, maka boleh puasa hari ke-16 dan seterusnya. Maka puasa-puasa tersebut di atas tidak haram pada hari - hari itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan