Oleh SYEIKH MUHAMMAD FUAD KAMALUDIN AL-MALIKI
 
SESIAPAPUN akan merasa sedih dan terguris hati jika keburukan kedua  ibu bapanya disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan  bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada  di antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya. 
 
Keburukan apakah yang lebih besar daripada kekufuran dan kekufuran  siapakah yang lebih jelas daripada Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT  terhadapnya terakam jelas di dalam al-Quran. Tetapi apabila sampai ke  telinga Nabi SAW bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran  dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, Nabi  SAW telah melarang dan menegur perbuatan itu dengan sabdanya, "Jangan  engkau mencerca mereka yang mati, lalu engkau menyakiti mereka yang  hidup." (Riwayat al-Tirmizi). 
 
Jika itulah sikap Nabi SAW dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula  jika ibu dan ayah Nabi SAW sendiri yang disebut dan diungkit sebagai  kufur dan berada dalam neraka? Adakah Nabi SAW tidak terguris hati atau  merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk  lagi keadaannya jika diinsafi bahawa pandangan yang ibu dan ayah Nabi  itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur  ulama umat ini. Maka kenyataan tersebut turut merupakan suatu pendustaan  dalam isu yang begitu dekat dengan kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya  yang paling mulia.
 
Malangnya, akhir-akhir ini, telah beberapa kali dakwaan bahawa ibu  dan bapa Nabi SAW itu kufur dan berada dalam neraka di ketengahkan dalam  masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh para pendakwah  yang popular dan dikenali ramai. Dalam keadaan begitu, tidak mustahil  akan ramai ahli masyarakat yang tidak berkeahlian akan mudah  terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti  Nabi SAW itu. Mahukah kita jika umat Islam di Malaysia sampai terhitung  sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti Nabi SAW? Bukankah ini  boleh mengundang kemurkaan Allah dan Rasul-Nya?
 
Isu Yang Tak Patut Ditimbulkan
 
Jika diteliti secara insaf, sebenarnya tidak terdapat satu sebab pun  yang munasabah untuk isu status ibu dan bapa Nabi SAW kita ungkit dan  ditimbulkan di tengah-tengah masyarakat kita. Jika tidak ditimbulkan isu  ini, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia  terhadap ibu dan bapa Nabi SAW. Sikap ini adalah sikap yang lebih tepat  dan berasas, seperti yang akan kita huraikan. Kalau pun ada yang  bertanggapan bahawa ini adalah suatu sikap yang bercanggah dengan hadis,  apakah isu ini menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak  sehingga perlu ditimbulkan. Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan  bapa Nabi SAW telah begitu merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya  di Malaysia? 
 
Selain kerana tiada keperluan jelas untuk ditimbulkan, isu ini juga  tidak patut ditimbulkan secara terbuka kerana untuk benar-benar  menganggapnya secara adil menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus.  Kenapalah kita perlu menyibukkan masyarakat awam dengan  persoalan-persoalan yang tidak mudah atau tidak mampu untuk mereka  sikapi dengan adil? 
 
Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu-isu agama yang  sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh  segelintir penceramah akhir-akhir ini. Walaupun kita sangat keberatan  membahaskannya, tetapi apabila sudah ada yang menimbulkannya secara  terbuka maka wajiblah pula penjelasan dibuat agar masyarakat tidak  keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu  kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan dibetulkan.
 
Fahaman Yang Lebih Sejahtera
 
Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi SAW adalah kufur dan berada  dalam neraka sebenarnya berpunca daripada dua hadis sahih yang  diriwayatkan oleh Imam Muslim. Dalam salah satunya, Nabi SAW bersabda  bahawa Baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu  Baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya. Dalam hadis kedua, Nabi  SAW diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib  bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah Baginda  sendiri berada dalam neraka. Walaupun sahih dari segi sanadnya tetapi  jumhur ulama berpendapat bahawa teks hadis-hadis ini tidak boleh  difahami secara zahir semata-mata. Ia adalah suatu yang biasa berlaku  dalam kita berinteraksi dengan hadis. Bukan hanya kesahihan sanad  menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga  kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu  dipatuhi.
 
Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di  atas sebenarnya tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi SAW  kufur dan diazab. Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh  dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis  lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi SAW  adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti  ayat 219, surah al-Syu'ara' yang bermaksud, "dan (Allah melihat)  pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud". Ibnu 'Abbas r.a,  seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta  dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi, berpendapat bahawa ayat  ini bermaksud bahawa Nabi SAW telah berpindah dari satu sulbi ke satu  sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman. Hal ini disokong  oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi SAW pernah memuji atau  berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya, sedangkan adalah tidak wajar  Nabi SAW melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.
 
Maksud zahir hadis-hadis ini juga bertentangan dengan nas-nas  al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu  kaum sebelum dikirimkan para rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang  benar (al-Israa':15, al-An'aam:131, al-Syu'araa', al-Nisaa':165).  Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang  dikirim kepada kaum Nabi Muhammad SAW sebelum kebangkitan Baginda  (Saba':44, al-Qasas:46). Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah  kedua-dua ibu dan bapa Nabi SAW sama ada beriman dengan peninggalan  risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan  Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul,  menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.
 
Ada juga pandangan ulama yang mentakwilkan makna 'abi' dalam hadis  kedua yang zahirnya bermaksud 'ayah' kepada Abu Talib atau Abu Lahab,  bapa-bapa saudara Nabi SAW dan bukannya Abdullah, bapa Baginda SAW.
 
Penggunaan panggilan sebegini memang berlaku dalam bahasa Arab dan  dalam al-Quran sendiri dalam kes Nabi Ibrahim AS (al-An'aam : 74). Ada  juga pandangan ulama bahawa kedua-dua hadis Riwayat Muslim itu memang  perlu ditakwilkan kerana makna zahirnya bercanggah. Jika ibu Nabi SAW  benar-benar kafir, Nabi SAW tidak akan diizinkan Allah SWT untuk  menziarahi kuburnya.
 
Kita juga telah menyentuh bagaimana mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW  berada di dalam neraka akan menyakiti Nabi SAW. Menyakiti Nabi dengan  apa cara sekalipun adalah jelas diancam di dalam al-Quran dengan laknat  Allah SWT di dunia dan akhirat serta dijanjikan dengan siksa yang pedih  dan hina (al-Tawbah:61 dan al-Ahzab:57). Melihat betapa besarnya  kesalahan ini, tidak hairanlah Saidina Umar bin Abdul Aziz dilaporkan  telah mengancam seorang pegawainya yang mengatakan ibu dan bapa Nabi SAW  musyrik dengan hukuman dipotong lidahnya, dipotong tangan dan kakinya  dan dipancung kepalanya. Lalu pegawai itu dilarang memegang apa-apa  jawatan sepanjang khilafahnya.(Tarikh Ibn 'Asakir). Imam al-Alusi  (m.1127H) pula dalam Tafsir Ruh al-Maaninya ada memberi amaran keras,  "Aku bimbangkan kekufuran terhadap seseorang yang menuduh ibu dan ayah  Nabi SAW (kufur) (Jilid 11, ms.207). 
 
Perincian dan huraian lanjut tentang pandangan para ulama yang  membela ibu dan bapa Nabi SAW boleh didapati dalam beberapa kitab  termasuk kitab-kitab khusus karangan Imam al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti,  Masalik al-Hunafa dan al-Ta'dzim wal Minnah, kitab al-Hujaj  al-Wadhihaat karya ulama' Makkah, Al-'Allamah Sayyid Ishaq Azzuz, kitab  Sadad al-Din oleh Imam al-Barzanji, kitab Hadyu al-Nairain karya  al-Allamah Prof.Dr.Judah al-Mahdi dari Universiti al-Azhar Mesir dan  fatwa Mufti Mesir, Al-Syeikh Dr.Ali Jum'ah dalam koleksi fatwanya,  al-Bayan. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan  terjemahan dan sedutan daripada kitab-kitab ini dalam bahasa Melayu.
 
Jelas daripada perbahasan ringkas kita ini bahawa, jika kita mahu,  ruang untuk kita mempertahankan keimanan dan terselamatnya ibu dan bapa  Nabi SAW yang mulia adalah luas terbentang. Kalaulah bersangka baik itu  terpuji, maka apakah lagi situasi yang lebih utama untuk kita bersangka  baik selain dalam isu ini yang membabitkan hak kekasih dan makhluk yang  paling dimuliakan oleh Allah SWT. Ia juga sebenarnya adalah sangka baik  kita terhadap Allah SWT sendiri yang Maha Kaya lagi Berkuasa untuk  meletakkan zuriat kekasih-Nya dalam rantaian keturunan hamba-hamba-Nya  yang terpilih.
 
Di sebalik episod yang sangat mengguris hati ini, mungkin ada  beberapa hikmah dan pengajaran yang perlu diambil. Para penceramah yang  giat mengisi ruang dakwah di tengah masyarakat mestilah sangat  berhati-hati dalam memilih kandungan dan mesej dakwah mereka. Ini  kerana, bersama populariti dan kemasyhuran itu datangnya amanah yang  dipertanggungjawabkan. Bagi masyarakat pula, di zaman ledakan informasi  ini yang turut menyaksikan informasi agama turut tersebar tanpa kawalan,  mereka perlulah lebih berhati-hati dalam mempercayai apa yang mereka  baca dan dengar. Maklumat agama yang keluar di akhbar, terdengar di  radio, tersiar di TV dan popular di internet tidaklah semestinya dijamin  betul dan benar. Dalam bab agama, janganlah kita malas mengkaji dan  mempastikan kerana akhirat kitalah yang jadi pertaruhannya. Isu ini juga  adalah satu contoh jelas bagaimana sikap terlalu merujuk kepada Sunnah  tanpa berpandukan kaedah dan panduan para ulama muktabar adalah sikap  yang silap dan merbahaya. Janganlah kita mudah terbawa-bawa dengan  sesetengah aliran yang mendakwa sebagai menjuarai Sunnah sedangkan  hakikatnya mereka sering menzalimi Sunnah dan yang empunya Sunnah SAW.  Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang sentiasa  menggembirakan dan mempertahankan kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.
 
Penulis ialah Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat  Yayasan Sofa Negeri Sembilan