Habib Kuncung
Beliau adalah al-Habib Ahmad bin Alwi al-Haddad, dilahirkan di Kota Ghurfah, Tarim, Hadhramaut tanggal 26 Sya'baan 1254H. Selain ayahandanya, guru-guru beliau, antaranya, adalah Habib `Ali bin Husain al-Hadar, Habib `Abdur Rahman bin `Abdullah al-Habsyi dan Habib `Abdullah bin Muhsin al-`Athtas (Habib Keramat Empang, Bogor). Oleh gurunya, Habib `Abdullah bin Muhsin al-`Aththas, beliau dipanggil dengan panggilan "Habib Kuncung" kerana kopiah kuncung yang selalu dipakainya. Maka terkenallah beliau dengan gelaran tersebut.
Habib Kuncung amat mencintai para guru beliau. Dengan Habib `Abdullah Keramat Empang, beliau memiliki hubungan yang cukup akrab bak anak dengan ayah. Bahkan di mana pun ada Habib `Abdullah, pasti di situ ada Habib Kuncung. Hubungan ini berterusan sehinggalah gurunya ini wafat. Habib Kuncung pada asalnya menjalankan perniagaan dan berjaya menjadi seorang pedagang yang berjaya sehingga memiliki harta di Singapura. Kemudiannya, beliau lebih suka menjalani hidup dengan berkelana di bumi Allah. Beliau terkenal sebagai seorang wali ahlud darkah yang dianugerahkan dengan berbagai karamah yang khawariqul adah. Di antara perkara yang ganjil yang sering berlaku adalah beliau sering muncul dengan tak semena-menanya dalam majlis-majlis di mana nama beliau disebut. Dalam majlis-majlis ulama, beliau sering diminta untuk menjadi pembaca kitab-kitab salaf kerana beliau memiliki suara yang lantang, menguasai bahasa Arab dan berilmu tinggi. Sungguhpun demikian, Habib Kuncung sentiasa bersikap tawadhu` dan khumul. Sebagaimana beliau muncul dalam sesuatu majlis, maka begitulah juga beliau menghilangkan dirinya dengan tiba-tiba dari majlis tersebut tanpa disedari orang. Itulah antara sikap beliau yang sentiasa menghindarkan diri dari kemasyhuran.
Habib Kuncung rahimahUllah meninggalkan dunia yang fana ini pada 29 Sya'baan 1345H dan dimakamkan di pemakaman keluarga al-Haddad, Kalibata, Jakarta Selatan. Makam beliau sehingga kini masih tetap diziarahi ramai... al-Fatihah.
****************************
Makam Habib Kuncung
Tiada ulasan:
Catat Ulasan