Syaikh al-Buthi
Spekulasi, Pendirian dan Kesyahidan Syeikh al-Buti رحمه الله
(tulisan al-Fadhil Ustaz Khafidz Soroni hafizahullah)
Hingga kini ramai
yang masih bingung tentang pembunuhan al-‘Allamah Syeikh al-Buti.. Saya juga
masih bingung memikirkannya. Tambah dukacita lagi, apabila ada orang Islam yang
bersorak gembira atas kematian beliau.
Mengapa beliau dibunuh? Apakah semata-mata kerana beliau
menyokong Rejim Asad? Jika jelas apakah ada dalil syar’i yang membenarkan darah
seseorang muslim itu halal semata-mata kerana zahirnya ia menyokong pemimpin
yang zalim? Sedang Nabi SAW menyatakan, tidak halal darah seseorang muslim itu
melainkan dengan tiga perkara; iaitu penzina yang sudah berkahwin, membunuh
orang tanpa hak dan orang yang meninggalkan agamanya, yang berpisah daripada
jemaah muslimin (muttafaq ‘alaih).
Dalam pada itu, satu kumpulan jemaah jihad mendakwa
merekalah yang bertanggungjawab atas pembunuhan Syeikh al-Buti dan mengancam
pula untuk membunuh Mufti Syria,
Syeikh Hassun. Meskipun wujud spekulasi lain yang mengatakan, beliau dibunuh
oleh Rejim Asad sendiri kerana beliau mula cenderung dengan perjuangan rakyat Syria.
Di saat ramai umat Islam berduka atas pembunuhannya,
sebahagian umat Islam lain bergembira dan bersyukur atas pembunuhan tersebut..
Disebabkan perbezaan mazhab dan pemikiran, mereka bukan sekadar bergembira dan bersyukur,
bahkan mencaci dan mencerca Syeikh al-Buti yang sudah kembali menemui Allah SWT..
La hawla wala quwwata illa biLlah… Apakah Nabi SAW menganjurkan kita mencaci
dan mencerca orang muslim yang sudah mati?! Lalu timbullah alasan-alasan dan
dalil-dalil rekaan yang cuba
membenarkan perbuatan mereka..
Hanya pada Allah
SWT saja kita serahkan semua urusan..
Jika diamati dan
difikirkan, tidak mungkin seorang alim besar menyokong pemimpin yang zalim
secara membuta tuli tanpa sebarang apa-apa alasan yang munasabah. Tidak
mungkin Syeikh al-Buti rela dan redha dengan pembunuhan dan penyembelihan yang
dilakukan oleh Rejim Asad terhadap rakyatnya sendiri. Pasti ada sebab lain…
Tulisan-tulisan dan kata-kata Syeikh al-Buti tidak pun menggambarkan yang
beliau telah terkeluar daripada usul syarak. Bahkan semuanya masih menunjukkan beliau
seorang yang amat kuat berpegang dengan usul syarak.
Setidak-tidaknya pun dalam isu ini, beliau masih melihat
dirinya berada di dalam lingkungan ijtihad, yang jika benar ia mendapat dua
pahala, dan jika salah ia tetap mendapat satu pahala. Walaupun barangkali orang
lain tidak berfikir begitu.
Sebenarnya bukan baru kini saja muncul pemimpin-pemimpin
yang zalim, bahkan dalam sejarah Islam sendiri sudah menyaksikan kemunculan
ratusan pemimpin-pemimpin yang zalim. Maka, sebagaimana para ulama pada zaman itu bertindak, begitu juga para
ulama pada zaman ini bertindak. Pasti ada antara pro dan kontra. Secara
zahirnya, tidak mungkin seorang muslim biasa yang waras redha dengan kezaliman mana-mana
pemimpin, apatah lagi seorang alim.
Pasti ada
sebab lain atas tindakan Syeikh al-Buti. Yang
pastinya, beliau menyokong Rejim Asad bukan kerana kebenaran rejim tersebut,
tapi kerana tidak mahu berlaku perkara-perkara kemudharatan yang lebih besar
terhadap masyarakat Islam Syria, penduduk Syam, yang disabdakan oleh Nabi SAW:
إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلاَ خَيْرَ
فِيكُمْ.
“Jika
binasa penduduk Syam, maka tiada kebaikan lagi pada kamu sekalian...” (HR
al-Tayalisi, Ahmad dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih).
Memang
Rejim Asad itu suatu mudharat, namun huru-hara, kekacauan, kekejaman dan
pembunuhan yang berlaku adalah suatu mudharat yang lebih besar. Ini menurut pandangan
beliau. Meskipun ia bersesuaian dengan usul syarak, namun ia mungkin dilihat
tidak sesuai dengan konteks dan faktor semasa menurut ramai ulama yang lain.
Bagaimanapun,
setelah menyaksikan pelbagai kekejaman dan kebiadapan Rejim Asad, dikatakan Syeikh
al-Buti di akhir hayatnya mula cenderung dengan perjuangan rakyat dan tidak mahu
lagi menyokong Rejim Asad, sebagaimana menurut Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya’qubi.
Anak
perempuan beliau juga menyatakan, ayahnya sebenarnya dipaksa dan diancam oleh
Rejim Asad yang akan merosakkan maruah keluarga dan anak cucunya jika beliau
tidak menyokongnya.
Beliau juga
ditanya mengapa tidak mahu meninggalkan Syria, tapi beliau menjawab:
"أشعرني الله بانني في هذه المرحله إن تركت هذا البلد فسوف يكون شأني كشأن أب له أهل و أولاد وأطفال يتركهم الى حيث لا يعلم مصيرهم".
“Allah
menjadikan aku merasakan pada tahap sebegini, jika aku meninggalkan negara ini,
maka keadaanku nanti akan menjadi seperti keadaan seorang bapa yang mempunyai
isteri, keluarga dan anak-anak, lalu ia tinggalkan mereka tanpa mengetahui
nasib yang bakal menimpa mereka”.
Dua minggu
sebelum kejadian, al-Habib ‘Ali al-Jufri sempat menelefon Syeikh al-Buti dan
beliau mengatakan;
"إنه لم يبق من العمر إلا
أياما معدودة وإني لأَستروح الجنة من ورائها فلا تنس أخاك من الدعاء"...
“Tidak
tinggal lagi umurku kecuali beberapa hari sahaja. Dan aku dapat mencium bau syurga
di belakang hari-hari tersebut. Maka janganlah kamu lupakan saudaramu ini
daripada doamu..”
Seolah-olah beliau tahu beliau akan dibunuh dengan sebab
perubahan pendiriannya.. Apa lagi yang dinantikan oleh seorang lelaki yang
sudah lanjut usianya?
Tiada yang menafikan kewarakan dan kealiman Syeikh al-Buti.
Ketika beliau berkunjung ke Malaysia,
saya sempat berjabat tangan dengannya dan cuba mencium tangan beliau.. Namun
dengan pantas beliau menyentap tangannya. Rupa-rupanya bukan saja pada saya,
bahkan itu juga berlaku kepada ramai orang dan rakan yang cuba mencium
tangan beliau dek kerana sifat tawadhuk dan rendah diri beliau. Dengan sifat ulama
seperti inilah kita mempelajari adab dan akhlak.
Bukan rahsia lagi, para pembenci beliau bersuka ria atas
kematiannya.. Sebagaimana mereka juga pernah bersuka ria atas kewafatan Syeikh
Muhammad ‘Alawi al-Maliki رحمه الله..
Mereka menggunakan hujah, harus bergembira dan bersujud syukur atas kematian
ahli bidaah…??! Allah… Apakah ukuran dan ciri ahli bidaah di sisi mereka yang malang ini?? Mereka tidak pun
peduli dengan bagaimana kewafatan Syeikh al-Buti yang sedang mengajar agama di
dalam masjid dan pada malam Jumaat pula.. yang sedang berada di dalam satu
taman daripada taman-taman syurga!...رحمه الله
Semoga Allah Taala merahmati roh Syeikh al-Buti dan menempatkan
beliau dalam kalangan para anbiya’ dan para solihin. Di sisi Allah Taala Yang
Maha Adil kelak akan bertemu segala permusuhan…
2 ulasan:
https://www.facebook.com/Sh.AlBouti?ref=stream
Salam...
Semoga Allah mengampunkan segala kesalahan Sheikh al-Buti dan memberi ganjaran yang tidak terhingga kepadanya. Juga kepada semua. Ameen.
Assad memang kejam tapi kenapa pula bila US dan Nato kacau daun dalam 2 tahun ini di Syria barulah terjadi "kebangkitan"? Sebelum tu Assad baik dan bagus ke? Sebelum tu terjadi ke pembunuhan beramai-ramai, pemyembelihan manusia hidup-hidup dan sebagainya? Senang betul umat Islam ditipu.
pelan rahsia hitam putih CIA untuk membunuh Presiden Syria telah dilakar sejak tahun 1957 tetapi gagal dilaksanakan kerana persekutuan arab ketika itu masih kukuh, tiada sokongan daripada negara jiran syria. sekarang apabila terjadi 'arab spring' dan negara arab tidak bersatu, maka mudahlah mereka masuk Syria. Syria hati arab, apa yang berlaku di sana mempengaruhi keseluruhan tanah Arab, sekali Syria ditawan oleh US-Nato ataupun boneka mereka di kalangan orang Islam, bermakna seluruh arab jatuh ke tangan mereka. Ulama samada pro kerajaan atau kontra masih berdebat tentang masalah remeh sedangkan perkara yang besar tidak pula dibincangkan.
ulama penjilat kerajaan memang teruk, tetapi ulama sang pendusta agama lebih teruk lagi.
yang digelar mujahidin tu mendapat bantuan, sokongan logistik dan lain-lain secara besar-besaran daripada Arab Saudi dan Perikatan Kristian (US-Nato). Arab Saudi dan Nato jadi baik ke mahu bantu orang Islam?
jadi apa yang terjadi?
perlagaan antara sunni dan syiah, para ulama disibukkan dengan krisis sunni-syiah, orang awam pula diwar-warkan tentang kezaliman kerajaan supaya mereka bangkit mengangkat senjata menentang kerajaan (model yang sama cuba dilakukan di Malaysia tetapi setakat ini belum berhasil).
the rise of SUFYANI, kill! kill! kill!
tak kira siapa yang menentang pasti dibunuh. bagaimana dengan "quote" ini: "mereka (FSA/mujahidin) membunuh dan menyembelih orang awam yang tidak bersalah lalu mengatakan bahawa tentera Assad yang melakukan demikian". Jika benar, maka mereka jauh lebih kejam dari Assad dan sekali mereka menguasai Syria, mereka akan menuju ke Iraq pula, membunuh 100,000 orang disana (jika mereka Sufyani yang dikhabarkan Nabi).
orang yang masih leka dengan ilmu dan kitab-kitabnya tetapi tidak mahu mempedulikan umat, semoga mereka berubah.
selepas seluruh tanah arab selesai, maka Asia Tenggara adalah pilihan yang paling tinggi. Adakah kita akan mengucapkan "selamat datang" kepada mereka (US-Nato) atau "tiada selamat" ke atas mereka sedangkan sudah terlambat ketika itu?
Armada-armada US telah lama berada di rantau pasifik, sasaran memindahkan 60% daripada kekuatan keseluruhan US ke Pasifik akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Mereka telah berkubu di tanah Pinoy dan Jepun. mereka juga meminta hak penggunaan markas udara di Thailand. Adakah apa yang terjadi di arab akan berlaku di asia tenggara pula. Semoga Allah membuka hati kita semua.
Abdal di syam dan pengiringnya, semoga mereka selamat dan berada didalam naungan rahmat Allah sehinggalah mereka membai'at Imam Zaman seperti yang terdapat dalam riwayat.
Catat Ulasan