Rabu, Jun 10, 2020

Syariat & Syiar

Dalam keadaan negara dan dunia sedang menghadapi pandemik Wuhan Virus @ Covid 19, masjid - masjid kita telah ditutup untuk masyarakat umum. Namun, syiar berjemaah tetap dijaga dengan perintah ulil amri agar imam, bilal dan pegawai masjid dalam jumlah tertentu mengerjakan shalat berjemaah dan seumpamanya. Kemudian, dibenarkan didirikan Shalat Jumaat dengan bilangan 12 ke 30 orang yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa masjid tersebut. Dan selepas itu, dibenarkan Shalat Jumaat dengan bilangan mengikut keluasan tempat shalat atau dalam jumlah tertentu dengan mengikut syarat yang ketat. Semua yang dilaksanakan ini adalah dengan mengambil perhitungan atas pemerintah yang wajib menegakkan bukan setakat syariat Islam, bahkan syiarnya sekali. Kita selaku rakyat hendaknya patuh dengan perintah ulil amri tersebut. Ada juga lucunya, apabila di antara syarat yang dikenakan adalah warga emas tidak dianjurkan untuk ke masjid, sedangkan kebanyakan tok - tok imam, bilal, siak, merbot terdiri daripada warga emas. Nampaknya, dalam normal baru, lantikan imam, pegawai masjid dan ahli jawatankuasa kena ambil kira hal ini. Apa - apa pun bagi yang datang ke masjid untuk shalat berjemaah atau Shalat Jumaat, maka pastikan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh ulil amri tersebut. Jangan rasa kebal, ingat kata pepatah al-wiqayah khairun minal 'ilaj (mencegah itu lebih baik dari merawat). Juga jangan diabaikan segala syarat sah mengikut imam (syuruth qudwah) agar ibadah kita tidak rosak. Jangan kita sahaja yang rasa telah berjemaah, sedangkan dari kaca mata hukum, ikutan kita tidak sah atau lebih parah lagi shalat kita yang terbatal. Manakala bagi yang ada kekhuatiran atas jangkitan, maka itu adalah satu keuzuran, maka mudah - mudahan Allah `azza wa jalla yang bersifat dengan ar-Rahman dan as-Rahim  menerima keuzuran tersebut. Ingat beribadah itu bukan untuk mencari kepuasan diri, tapi untuk mencari keredhaan Ilahi.

Tiada ulasan: