Selasa, November 16, 2021

50 Kali / Kali 50 Shalawat

Membaca shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mempunyai ganjaran yang besar lagi banyak. Imam al-Hafiz as-Sakhawi rahimahullah dalam karangan beliau al-Qawlul Badi` menyenaraikan dalam Bab Kedua, 52 ganjaran untuk orang yang bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ganjaran yang ke-52 yang beliau sebut adalah orang yang bershalawat ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallami akan dapat bersalaman dengan baginda. Pada halaman 282 beliau menukilkan sebagai berikut:- Ibnu Basykuwal meriwayatkan daripada Abul Mutharrif `Abdur Rahman bin Isa yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang bershalawat ke atasku pada setiap hari 50 kali, aku akan bersalam dengannya pada Hari Kiamat." Abul Faraj `Abdus menyebut satu riwayat bahawa Abul Mutharrif telah ditanya mengenai kaifiat membaca shalawat tersebut. Beliau menjawab: "Jika diucapkan: Allahumma shalli `ala Muhammad khamsiina marrah (Ya Allah, limpahkan shalawat ke atas Muhammad sebanyak 50 kali), in sya Allah sudah memadai, namun jika diulang (yakni sehingga cukup bilangannya) maka lebih baik."

Faqir kurang periksa mengenai status riwayat Imam Ibnu Basykuwal tersebut, samada shahih atau dhaif atau apa. Imam Ibnu Basykuwal rahimahullah atau nama penuhnya Khalaf bin `Abdul Malik bin Mas`ud bin Basykuwal al-Khazraji al-Anshari al-Qurthubi al-Andalusi. Beliau dilahirkan di Cordova (Qurthubah) pada tahun 494H / 1101M dan wafat pada tahun 578H / 1183. Seorang ulama, qadhi, ahli hadis dan sejarawan Andalus (Sepanyol). Hadis ini beliau riwayatkan dalam kitabnya al-Qurbah ila Rabbil `Aalamiin bish shalaati `ala Muhammad Sayyidin Mursalin, pada halaman 91 beliau meriwayatkan sebagai berikut:- 

Telah mengkhabarkan kepada kami Abul Hasan `Abdur Rahman bin `Abdullah al-`Adl daripada Abu Muhammad Qasim bin Muhammad  yang menyatakan Abul Faraj `Abdus bin Muhammad telah memberitahu bahawa Abul Mutharrif `Abdur Rahman bin `Isa, iaitu Ibnu Midraj berkata: "Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: " Sesiapa yang bershalawat ke atasku pada setiap hari 50 kali, aku akan bersalam dengannya pada Hari Kiamat." Abul Faraj berkata: "Aku bertanya kepadanya, bagaimana kaifiatnya." Lalu beliau berkata: "Jika diucapkan shalawat ke atas baginda sebagai: "Allahumma shalli `ala Muhammad wa azwajihi wa dzurriyyatihi", lalu dibanyakkan mengucapnya, itu adalah baik, in sya Allah. Jika diucap: " Allahumma shalli `ala Muhammad khamsiina marrah" (Ya Allah, limpahkan shalawat ke atas Muhammad sebanyak 50 kali), diberi juga ganjarannya ( yakni memadai untuk mendapat ganjaran tersebut ), in sya Allah."

Begitulah riwayatnya dalam al-Qurbah dan Imam as-Sakhawi telah menukilkannya tanpa sebarang komen. Ini petanda bahawa hadis tersebut bukanlah hadis palsu atau batil tanpa sebarang dasar. Selanjutnya, menarik untuk diberi perhatian akan dua kaifiat membaca shalawat tersebut. Pertama, dibacakan lafaz shalawat selengkapnya menurut ketentuan bilangannya. Kedua, memadai dengan menjadikannya shalawat dengan shighah jaami` (lafaz yang menghimpun) iaitu dengan hanya menyebut jumlah bilangan atau gandaan yang dikehendaki di hujung shalawat yang dibaca sekali. Ulama telah menyebut mengenai zikir jaami` ini dalam karangan mereka dan pada bab tersebut selain hadis shighah tasbih jaami ....(SubhanaAllahi wa bi hamdihi `adada khalqihi wa ridha nafsihi wa zinata `arsyihi wa midada kalimatih)... yang masyhur, kadang - kadang hadis shalawat ini juga ada disentuh sebagai menguatkan hujah harusnya zikir jaami`. Antara berbuat sedemikian adalah Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, Imam Ibnu `Illan ash-Shiddiqi dalam Futuhatur Rabbaniyyah, Syaikh Sulaiman al-Jamal dalam Hasyiahnya dan Mufti Hadhramaut, Habib `Abdur Rahman al-Masyhur mengutipnya dalam Bughyatul Mustarsyidin. Ini menguatkan lagi bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Basykuwal ini mempunyai nilai di sisi para ulama kita. Mengenai zikir atau shalawat dengan lafaz - lafaz jaami` telah masyhur di sisi ulama kita. Contohnya, Imam al-Haddad rahimahullah juga ada mengajar dan mengamalkan berbagai kaifiat bacaan shalawat jaami`, antaranya dengan ungkapan: "Allahumma shalli (wa sallim) `ala Sayyidina Muhammad wa `ala aali Sayyidina Muhammad, `adada kulli dzarrah, alfa marrah", dengan harapan satu shalawat tersebut dinilai ganjarannya mengikut jumlah bilangan segala zarah dan didarab lagi dengan 1000 kali ganda. Allahu ... Allah, namun semuanya bergantung dengan ihsan dan kabul Allah semata. Allah jualah yang berkuasa untuk memberikan apa jua balasan mengikut kehendak dan kemahuanNya hatta tanpa hitungan dan batas pada jumlah dan hitungan waktu.



Selanjutnya, ganjaran nanti di Mahsyar dapat bersalam - salaman dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bagi orang yang banyak bershalawat kerap disebut dan diceritakan oleh para guru kita. Seseorang yang dapat memandang wajah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa salam di Hari Kiamat, apatah lagi dapat bersalaman pula dengan baginda, pasti akan mendapat bahagian daripada syafaat baginda. Sementelahan, atas sifat ihsannya, Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallahi telah memperuntukkan syafaat baginda bagi pelaku dosa besar daripada kalangan umatnya. Oleh itu, wahai para pendosa, janganlah kamu berputus asa untuk memperolehi syafaat daripada Junjungan. Namun, jangan pula kamu kira syafaat baginda itu hanya satu bentuk sahaja iaitu mutlak memasukkan kamu terus ke syurga. Ingat rupa bentuk syafaat Junjungan itu berbagai. Maka jangan pula berani atau memandang enteng berbuat dosa kerana berangan - angan dengan syafaat baginda, nanti mungkin syafaat yang bakal diberi hanya untuk meringankan azab neraka atau memendekkan tempoh di sana, na`udzubillah min `azabil qabri wa minan naar. Apa - apa pun, semuanya dengan izin dan kehendak Allah semata dan Allah Maha Bijaksana, Maha Adil, Maha Membalas, Maha Mengetahui dan Dia berbuat sekehendakNya tanpa soal. Mudah - mudahan kita mendapat syafaat istimewa daripada Baginda Nabi, syafaat memasukkan kita ke syurga tanpa hisab seperti syafaat yang didapatkan oleh Sayyidina Abu Muhsin `Ukasyah bin Mihsan radhiyaAllahu `anhu atau masuk syurga tanpa didahului merasa pedihnya azab. Moga Allah perkenankan. Persiapkan segala bekalan yang baik - baik untuk menghadapi hari - hari sukar di Padang Mahsyar, bershalawatlah, samada dengan cara rajin atau cara malas, selain kuantiti, kualiti pun hendaklah diambilkira. Hidayah dan taufiqNya bagi kita sentiasa.... Allahumma aamiin.

Klip Ceramah Guru Ijai

Tiada ulasan: