Ustaz H Abubakar Ya'qub
Tokoh ini kurang mendapat perhatian, sedangkan jasa beliau terhadap perkembangan dakwah dan ilmu, boleh dikatakan banyak. Beberapa buku karangan beliau telah sekian lama dijadikan panduan masyarakat kita dalam beramal dan beragama. Walaupun, sesetengah karangan beliau tersebut perlu ditinjau kembali, terutama dalam bab hukum - hakam, untuk menilai dan memperincikan kedudukan segala aqwal yang beliau utarakan di dalamnya, kerana beliau tidak memperincikan, hanya menyatakan qawl yang beliau pegangi sahaja, tanpa mengira samada ianya muktamad atau ashah atau muqabil atau sekadar qil dalam mazhab. Ini mungkin kerana sasaran buku - buku tersebut adalah masyarakat awam yang ketika itu dahagakan ilmu - ilmu praktis untuk diamalkan, juga agar mereka yang baru belajar tidak dibosankan dengan huraian yang berjela - jela. Tokoh ini adalah almarhum Ustaz Haji Abu Bakar Ya'qub @ H. Abubakar Ja'cub. Buku - buku beliau sering kita temui di toko - toko buku, namun kita tidak pun tahu sedikit mengenai latarbelakang pengarangnya. Bahkan, bukan sahaja kita di Malaysia, di negara asal beliau juga begitu, sehingga pada 2019 diadakan Seminar Dekonstruksi Sastra: Haji Abu Bakar Ja'cub Ulama Penyair Terlupakan Dari Medan di Museum Sejarah Alquran, Sumatera Utara. Beliau dilahirkan pada 22 Julai 1915 di Medan, Sumatera. Mulai menggarap pendidikan formal di sekolah Belanda dan di Maktab Islamiyah Tapanuli. Di Maktab Islamiyah Tapanuli beliau berguru dengan ramai guru, antaranya Haji Usman Imam dan Haji Badaruddin. Selain pengajian formal tersebut, beliau ketika itu turut belajar kitab jawi secara khusus dengan Haji Usman Imam.
Pada tahun 1936, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji. Beliau menetap setahun di sana dan sempat meneguk ilmu ulama di sana. Beliau belajar khat, nahu, fiqh dan lain - lain dengan Syaikh Mahmud Syihabuddin, belajar tajwid dan qiraat dengan Syaikh Ahmad al-Hijazi dan berjaya menguasai qiraah 3 imam iaitu Hafs, Warasy dan Qalun. Di samping itu, beliau juga belajar dengan beberapa ulama lagi seperti Syaikh Ali al-Maliki dan Syaikh Mahmud Bukhari. Beliau bukan sahaja menghadiri pengajian formal halaqah para ulama di Masjidil Haram, bahkan beliau sanggup pergi ke rumah tuan guru demi mencari ilmu.
Ustaz H Abubakar terkenal sebagai seorang yang rajin, cerdas dan pintar, sebelum berangkat ke Mekah pun beliau sudah mula diberi tanggungjawab untuk mengajar. Antara tahun 1927 - 1930, beliau sudah menjadi guru pembantu untuk mengajar di Langgar Syaikh Moehammad Yacoeb, Sungai Rengas, Medan dan antara tahun 1931 - 1936, beliau sudah mula mengajar di Maktab Islamiyah Tapanuli pada sebelah petang. Sekembalinya beliau dari Mekah, beliau terus mengisi program - program ilmu di berbagai majlis pengajian. Pada 6 April, 1946, beliau dilantik oleh Madjlis Sjar`ijah NRI (baca: Majlis Syar`iyyah Negara Republik Indonesia) menjadi khatib dan imam di Masjid Raya Medan. Pada 29 Januari, 1947, Ustaz Haji Abubakar bertugas di Jabatan Agama NRI Daerah Kota Medan. Selain mengajar, beliau juga aktif menulis dan beroganisasi. Karya - karya tulis beliau terlalu banyak untuk disenaraikan di sini termasuklah karya - karya beliau yang berbentuk syair. Beliau mula menulis sekitar tahun 1950 dengan karya sulongnya berjodol Kursus Kilat Beladjar Sembahjang dan buku ini telah mendapat sambutan masyarakat sehingga diulangcetak sebanyak 18 kali.
Di antara buku beliau yang turut masyhur dan sampai sekarang masih senang dicari dan beredar di pasaran adalah buku yang berjodol Jenis - Jenis Sembahyang Sunat. Buku ini amat membantu faqir di permulaan perjalanan dahulu, dan faqir sesungguhnya percaya ianya juga banyak membantu mereka - mereka yang hendak mempelajari amaliyah shalat, samada shalat fardhu, sunnat, khauf, qashar - jamak dan jenazah. Dan sebagaimana yang dinyatakan tadi, beberapa aspek berkaitan hukum - hakam yang terkandung di dalam buku ini perlu kepada perincian kerana terdapat pendapat yang dinyatakan tidak mencerminkan qawl yang muktamad atau kuat dalam mazhab kita. Buku ini turut memuatkan beberapa shalat sunnat khusus untuk masa - masa tertentu, yang menurut pendapat jumhur dan kuat dalam mazhab tidak ada, seperti Sembahyang Nisfu Syaban dan Sembahyang Asyura. Ini sekadar contoh beberapa aspek yang perlu diperincikan ketentuan hukumnya, bukan untuk diubah - ubah apa yang telah ditulis atau disalah - salahkan, kerana masih wujud ikhtilaf padanya walaupun lemah dan ada perbahasan ulama mengenainya, hanya untuk diperjelaskan, agar tahap keilmuan dapat dipertingkatkan dengan kita mengetahui status atau kedudukan satu - satu pendapat atau qawl tersebut. Sesungguhnya orang yang bermazhab itu seharusnya memiliki pandangan yang luas dan hati yang lapang ketika melihat berbagai pendapat dan aqwal para ulama muktabar. Orang yang bermazhab itu tidak mudah untuk memenangkan pendapat sendiri dengan menyalahkan pendapat yang lain. Orang yang bermazhab seharusnya jangan sekali - kali fanatik seperti orang yang anti mazhab yang merasakan bahawa kebenaran yang pasti, mutlak dan satu - satunya adalah pendapat yang dipegangnya sahaja. Inilah ketentuan dan panduan, bila kita berinteraksi dengan perkara - perkara ikhtilaf yang dimuktabarkan dalam bab fiqh, dihadapi dengan toleransi dan tasamuh bukan dengan kejian dan caci maki. Namun, tetap tegas atas amanah ilmu, memuktamadkan yang muktamad dan mendhaifkan yang dhaif, sesuai dengan manhaj dan kaedah yang digunapakai dalam mazhab.
Ustaz Haji Abubakar rahimahullah meninggal dunia pada 14 Oktober, 1982 dan dimakamkan di Tanah Wakaf Perkuburan Mandailing, Medan. Mudah -mudahan Allah mengampuni segala dosa kesilapan beliau dan menempatkan beliau bersama dengan shalihin dan mukminin di Jannatu `Adnin ....Allahumma aamiin.... al-Fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan