Isnin, November 01, 2021

Ratibul Haddad - Tokku Melaka

Alam Melayu tidak pernah kurang daripada tokoh - tokoh ulama, awliya` dan shalihin, namun ramai yang tidak terkenal dan dikenali. Yang tahu, tahu; Yang mencari tahu, akan mendapat tahu; Yang tak mahu tahu, akan terus tak tahu. Kemasyhuran di sisi manusia, bukan matlamat mereka, hanya redha Allah yang menjadi dambaan mereka. Tuan Sayyid Embun atau lebih terkenal dengan gelaran Tokku Melaka rahimahullah merupakan ulama titihan daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Beliau adalah Sayyid Ahmad bin Muhammad @ Tokku Tuan Pahang bin Husain bin Musthafa bin Syaikh bin Musthafa bin `Ali Zainal `Abidin bin `Abdullah bin Syaikh bin `Abdullah al-`Aydrus ( `Aydrus al-Akbar) bin Syaikh Abu Bakar as-Sakran dan Syaikh Abu Bakar as-Sakran adalah wali besar yang tiada asing nasabnya terus bersambung kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayyid `Abdul Rahman al-`Aydrus rahimahullah sudah cukup tersohor, bahkan jika disebut sahaja Terengganu, maka nama ulama yang pertama muncul di kepala kita adalah beliau. Ayah mertua beliau adalah Tokku Melaka ini. Tokku Melaka juga meninggalkan beberapa karya tulis, antaranya:- al-Fawaaid, Hidayatul `Awaam, Targhibul `Ibaad, Targhibur Rijaal fi kasbil halaal dan Ta'riful Khallan fi Tajwidil Quran. Tokku Melaka tutup usia pada 30 Shafar 1315H dan dimakamkan di Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Mudahan - mudahan rahmat Allah terus mengalir kepada beliau sehingga ke Hari Pembalasan..... al-Fatihah.

Tokku Melaka rahimahullah memiliki dua karya yang menyentuh Ratibul Haddad. Karangan khusus beliau mengenai ratib tersebut dinamakan Targhibul `Ibaad fi qiraati Ratib al-Haddad yang masih berbentuk manuskrip tulisan tangan dalam 104 halaman. Isi kandungannya berkisar tentang pengertian, kelebihan dan cara mengamalkan Ratibul Haddad agar para pembaca ratib tersebut tahu sedikit sebanyak mengenai kelebihan dan erti segala zikir yang terkandung dalam ratib tersebut. Kitab ini disempurnakan karangannya pada 7 DzulHijjah, 1301H. Sebelumnya, Tokku Melaka telah memuatkan bacaan Ratibul Haddad dan Wirdul Lathif di akhir kitab beliau, al-Fawaaid tarjamah Kitab ash-Shalah wal `Awaaid yang selesai penulisannya pada 27 Shafar 1260H.

Di dalam karangan beliau yang berjodol al-Fawaid tersebut, beliau mengakhirinya dengan memuatkan bacaan lengkap Ratibul Haddad dan Wirdul Lathif. Pada halaman 55 kitab tersebut, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- 
....Terlintas pula atas hati faqir bahawa hendak disuratkan kemudian daripada ini akan Ratib al-Haddad nafa`anaAllahu bihi serta wiridnya yang kecil kemudian daripadanya kerana faqir mendengar adalah padanya kelebihan yang amat besar lagi amat banyak di dalam dunia dan akhirat, lagi memberi manfaat bagi orang yang mengekalkan atas keduanya itu di dalam dunia dan akhirat. (Seperti barang yang) telah berkata oleh yang empunya ratib ini, iaitu habib yang `alim lagi `allaamah lagi quthub yang besar, iaitu Habib `Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddad nafa`aAllahu bihil muslimin, katanya: "Barangsiapa yang mengekalkan ia atas membaca ratib kami ini, nescaya dikurniakan dia mati atas sebaik - baik mati." Dan lagi dipeliharakan dia daripada pencuri dan terbakar dan tenggelam di laut. Dan adalah membaca akan dia serta berjemaah itu terlebih afdhal daripada seorang. (Maka apa - apa) faedah yang terlebih daripada mati atas iman dan terpelihara daripada pencuri dan terbakar dan karam dan lagi banyaklah segala faedahnya, setengah daripadanya dipeliharakan negeri yang dibawa ratib itu daripada kejahatan seteru, dan setengah, dipelihara akan orang yang membawa ratib daripada sengat oleh ular dan kala dan sebagainya, dan jika disengat akan dia tiada memberi mudarat ia akan dia seperti barang yang mengkhabarkan yang demikian itu oleh segala orang yang mengamalkan dia, daripada segala orang yang musafir di laut dan di darat. Lainnya daripada segala faedahnya, maka tiadalah faqir memanjangkan dia di sini. Maka barangsiapa yang hendak mengetahui akan sekalian yang demikian itu, maka hendaklah dilihanya pada kitab manaqibnya dan pada syarah ratib itu. Maka seyogianya janganlah ditinggalnya orang yang hendak kemenangan di dalam dunia dan akhirat. (Dan adalah ratib ini) dibaca kemudian daripada sembahyang Isya` , tiap - tiap malam dan tiap - tiap bulan melainkan pada bulan puasa, maka iaitu dibaca kemudian daripada sembahyang Maghrib. Dan jika dibaca pula kemudian daripada sembahyang Subuh, iaitu terlebih baik dan terlebih sempurna daripadanya.....
Semoga bermanfaat dan dapat istiqamah dalam beramal.

Tiada ulasan: