Isnin, November 22, 2021

Dzikrul Jalaalah 2

Habib Abu Bakar Gresik rahimahullah, ulama dan waliyullah yang disebut sebagai salah satu pakunya Tanah Jawa, sering menganjur dan mengijazah dua amalan zikir, pertama Shalawat Qamaril Wujud dan kedua, Dzikrul Jalaalah. Begitulah pula dikhabarkan bahawa Quthubul Habib Abdul Qadir bin Ahmad Bilfaqih dan anakanda beliau Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih, juga kerap mengijazahkan dan menyebar kedua amalan ini. Para Habaib lain juga begitu, bahkan pertama kali bersua dengan almarhum Habib Syaikh al-Jufri, Dzikrul Jalaalah inilah yang pertama-tama beliau ijazahkan. Dzikirul Jalaalah, begitulah antara nama yang diberi kepada rangkaian amalan yang dimulai dengan kalimah tauhid ini, adalah satu amalan yang diharapkan dengannya seseorang dipelihara imannya dan diselamatkan dia daripada godaan syaitan. Faqir belum mempunyai maklumat akan asal usul amalan zikir ini. Sekadar yang faqir tahu, ada satu amalan zikir yang hampir sama dengan Dzikrul Jalaalah disebut oleh ulama bersandarkan kepada kisah mimpi seorang qadhi di Baghdad yang bernama Syaikh Abdullah al-Qadhi rahimahullah.

Di antara ulama yang memuatkan kisah mimpi Syaikh Abdullah al-Qadhi al-Baghdadi adalah Syaikh Abu Abdullah Sayyidi Muhammad al-Munla at-Tunisi al-Hanafi dalam Syarah ash-Shalaah ash-Shughra pada halaman 89 -90. Sidi Muhammad al-Munla menceritakan kisah yang dinukilkan daripada Syaikh Abu Abdullah Muhammad al-'Iyyaasyi yang memperolehinya daripada tulisan Syaikh Abul Hasan Sidi Ali al-Bathari yang memperolehinya dalam beberapa catatan bahawa al-Qadhi Abdullah yang menetap di Baghdad berkata:- Aku telah bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di mana baginda berkeadaan kulitnya kekuningan (yakni mungkin maksudnya pucat atau suram atau tidak ceria kerana bersedih). Lalu aku bertanya kepada baginda: "Kenapa aku melihat tuanku begini?" Baginda menjawab: "Telah mati daripada umatku seratus ribu tujuh ratus (100700) orang dan hanya 2 orang yang matinya atas iman (yakni mudah-mudahan maksudnya iman yang sempurna), manakala bakinya mati atas selain keimanan (yakni mudah-mudahan maksudnya keimanan yang tidak sempurna dan bukannya tanpa keimanan). Maka aku bertanya: "Apakah yang dapat dilakukan para pendosa daripada umatmu sehingga mereka dapat mati atas iman?" Baginda menyatakan: "Ambil daripadaku akan lembaran ini, sesiapa yang membacanya dan menukilkannya dari satu negeri ke satu negeri, dan dari satu rumah ke satu rumah, dia akan mati atas iman. Sesiapa yang mendengarnya, namun tidak mahu menukilkannya, maka aku berlepas diri daripadanya (yakni mungkin yang maksud baginda adalah sebagai satu ancaman bagi orang yang memandang remeh kepada ajaran dan kalimah tawhid, maka sesiapa yang berlepas diri daripada kalimah tawhid, maka Junjungan akan berlepas diri daripadanya, Allahu a`lam). Ketika aku terjaga, aku mendapati ada satu lembaran yang tertulis padanya: ( La ilaha illa Allah, al-Mawjuudu fi kulli zaman. La ilaha illa Allah, al-Ma'buudu fi kulli makaan. La ilaha illa Allah, al-Ma'ruufu bil ihsaan. La ilaha illa Allah, kulla yawmin Huwa fi syaan. La ilaha illah Allah, nas-alukal imaan wal amaan, wa na`udzubika min zawaali ni'matiKa, wa min syarrisy syaithaanir rajiim. Ya Qadiimal Ihsaan, Ya Ghafuur, Ya Ghaffar, Ya Rahmaan, Ya Rahiim, irhamnaa birahmatiKa, Ya Arhamar Raahimiin, Ya Rabbal `Aalamiin. ShallaAllahu `ala Sayyidina Muhammad wa aalihi wa shahbihi wa sallama tasliima.)"

Selanjutnya dinyatakan juga dalam kitab tersebut bahawa Syaikh al-Mallali juga ada menyebutkan kisah mimpi ini dalam salah satu kitab beliau dengan sedikit perbezaan lafaz. Setakat carian faqir yang dhaif, kisah mimpi tersebut ada dicatat oleh Syaikh Abu Abdillah Muhammad bin Ibrahim bin Umar bin Ali al-Mallali at-Tilmisani rahimahullah, murid Imam Muhammad bin Yusuf as-Sanusi rahimahullah, dalam kitab beliau "al-Mawaahibul Qudsiyyah fil Manaaqibi as-Sanuusiyyah". Beliau menceritakan kisah Syaikh Abdullah yang menjadi qadhi di Baghdad yang bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam mimpi tersebut, beliau melihat Junjungan dalam keadaan bersedih, lalu ditanyakanlah baginda mengenai kesedihan baginda tersebut. Junjungan menyatakan bahawa baginda bersedih kerana seratus ribu tujuh puluh (100070) orang dari umatnya yang mati, hanya 2 orang sahaja yang membawa iman sedangkan yang lain tanpa iman (mudah - mudahan sahaja yang dimaksudkan adalah tanpa iman yang sempurna dan bukannya langsung tidak beriman). Dipendekkan cerita, Syaikh Abdullah al-Qadhi memohon baginda memberikan kepadanya satu amalan yang boleh menjadi sebab mati dalam keadaan membawa iman. Maka sebagaimana yang dinyatakan terdahulu, baginda telah memberikan dalam mimpi tersebut akan satu lembaran yang mengandungi zikir yang hampir serupa lafaznya dengan Dzikrul Jalaalah tersebut.

Inilah sekadar yang faqir sempat jumpa dalam karangan ulama. Mudah - mudahan ada manfaatnya. Para ulama kita telah memberi banyak panduan, maka terpulanglah kepada masing - masing untuk berikhtiar dengan sebaiknya agar mati nanti membawa iman yang berkualiti lagi sempurna. Jalan sudah terbentang di hadapan, silalah tuan - tuan mulakan perjalanan. Yang bertangguh biasanya akan ketinggalan. Namun semuanya atas kehendak Dzat yang wajib kita berhusnudz dzan. Ya Allahu biha, Ya Allahu biha, Ya Allahu bi husnil khaatimah wal qabuul.
Klip Dzikrul Jalaalah 

Tiada ulasan: