Isnin, Februari 28, 2022

Allah Tidak Bertempat


Malam ini kita dan ramai umat Islam di seluruh dunia akan memperingati satu mukjizat besar yang pernah berlaku ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Lebih 1400 tahun yang lalu, pada malam 27 Rejab, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah diperjalankan pada satu malam tersebut dari Kota Mekah ke Kota Baitul Maqdis, lalu dilanjutkan perjalanan baginda menerobos 7 petala langit sehingga ke Mustawa. Junjungan diperlihatkan kepada beberapa rahsia dan keajaiban termasuklah syurga dan neraka. Namun, jangan pula kita beranggapan bahawa neraka itu bertempat di mana - mana satu langit tersebut. Melihatnya Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam akan neraka ketika dalam perjalanan agung tersebut, bukanlah bererti neraka itu terletak atau bertempat di laluan yang dilalui oleh Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Allah Maha Kuasa untuk memperlihatkan apa jua, di mana jua, kepada siapa jua yang Dia kehendaki. Maka begitulah juga jika dikatakan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam telah melihat Allah `azza wa jalla dengan mata kepala baginda dalam peristiwa tersebut, maka jangan pula dikatakan Allah `azza wa jalla itu bertempat. Ketika Junjungan melihat Allah, maka itu tempat Junjungan melihat dan bukanlah tempat bagi Zat Allah yang Maha Agung. Kita berpegang dengan akidah Ahlis Sunnah wal Jama`ah bahawa Zat Allah tidak bertempat, Dialah yang menjadikan segala tempat maka Maha Suci dan Terkayalah Dia daripada mengambil faedah daripada makhluk ciptaanNya. Oleh itu, hindarilah ajaran - ajaran songsang yang menyalahi Ahlis Sunnah wal Jama`ah yang menyatakan Allah itu bertempat, bahkan mereka sanggup membuat bid`ah dengan mengada-adakan tempat bagi Allah yang  dinamakan sebagai makanul `adami, yang imbas - imbas alam karut hasil khayalan manusia yang dinamakan The Null Realm atau World of Void yang termaktub dalam kitab komik Dragon Ball. Jauhi puak - puak ini walaupun lidah mereka petah berhujjah dan mengaku salafi.

Tiada ulasan: