Jumaat, Jun 14, 2024

Shalawat Nur - Kiyai Shaleh Darat

Shalawat Badawi Shughra atau lebih dikenali sebagai Shalawat Nuril Anwar telah lama menjadi bacaan dan amalan ulama dan awam umat Islam di berbagai belahan dunia Islam. Pengamal yang istiqamah mengamalkannya telah merasai keberkatannya sehingga pengalaman tersebut diceritakan dan tersebar. Maka, tercatatkan kisah - kisah khasiat atau fadhilat atau keberkatannya dalam karangan para alim ulama. Semuanya hasil tajribah dan pengalaman individu, maka terpulang untuk percaya atau tidak, tiada masalah, sebab bukannya firman Allah jalla wa`ala dan sabda Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tak perlu kita habiskan beras untuk bertelagah mengenainya, nak pakai pakai, tak nak pakai sudah. 

Maka di antara ulama yang menulis sedikit tentang keberkatan dan khasiat Shalawat Nuril Anwar ini adalah gurunya para kiyai di Jawa, Kiyai Haji Muhammad Shaleh bin Umar bin Muhammad Tasnim as-Samarani @ Kiyai Shaleh Darat (1235 - 1321H). Beliau rahimahullah menyebut di awal kitabnya Minhajul Atqiya` yang merupakan syarah beliau dalam Bahasa Jawa bagi syair Hidayatul Adzkiya` dinyatakan sebagai berikut (setelah diMelayukan):- "... Orang mukmin sewajarnya juga membaca shalawat yang dinisbahkan kepada Sayyid Ahmad al-Badawi yang shighahnya [ Allahumma shalli `ala Nuril Anwari...]. Ada pun faedah daripada shalawat ini adalah:- Barangsiapa yang memperbanyak membaca shalawat ini, maka semua hajatnya akan terpenuhi, kesusahannya akan hilang, semua perkara sulit akan menjadi mudah, akan muncul cahaya di hatinya, dikurniai ilmu sir dan semua hajatnya akan dimudahkan. Faedah dari shalawat ini sudah teruji. Adapun kaifiatnya adalah membacanya sebanyak 100 kali atau 92 kali setiap hari.

Mudah - mudahan bermanfaat, shallu `alan Nabi Muhammad.


Tiada ulasan: