Rabu, Mac 11, 2026

Taradhdhi Atas Sahabat 4

Telah menjadi amalan pelbagai daerah Nusantara di mana setiap senggang antara rakaat - rakaat Tarawih akan diisi dengan zikrullah berupa tasbih, doa dan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Selain daripada itu, pada senggang antara setiap 4 rakaat sering pula dibacakan taradhdhi iaitu ucapan mendoakan keredhaan Allah ke atas empat khalifah, Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali radhiyaAllahu `anhum. Segala zikrullah tersebut selain fungsinya sebagai ibadah yang mustaqil, yang tiada kaitannya dengan keesahan dan kesempurnaan Shalat Tarawih, juga sebagai pemisah antara rakaat - rakaat Tarawih tersebut, manakala taradhdhi dijadikan sebagai pengingat bilangan rakaat yang telah disempurnakan dan yang masih berbaki. Taradhdhi juga menjadi pengukuh pegangan Ahlis Sunnah wal Jama`ah al-Asyairah wal Maturidiyyah dan menolak pegangan melampau golongan Syiah dan sesat yang membenci para sahabat yang mulia.

Menurut Habib Abdullah bin Mahfuz al-Haddad (1923 - 1996) rahimahullah, salah seorang ulama terkemuka dan mufti Hadhramut, dalam fatwa beliau yang dipetik oleh Dr. Zain bin Muhammad al-`Aydrus dalam karyanya Ittihaful Anaam bi Ahkamish Shiyam pada halaman 201, amalan taradhdhi di sela - sela Shalat Tarawih ini telah ditradisikan oleh ulama Hadhramaut atas tujuan dan matlamat keagamaan. Lebih lanjut dinyatakan sebagai berikut:- Hukum at-Taradhdhi atas empat khalifah radhiyaAllahu `anhum di antara rakaat - rakaat Shalat Tarawih. Ada pun at-taradhdhi ke atas empat khalifah radhiyaAllahu `anhum ketika perlaksanaan Shalat Tarawih - selepas setiap 4 rakaat - sebagaimana tradisi yang dilakukan di sebahagian negeri, maka telah dinyatakan oleh as-Sayyid al-`Allaamah Abdullah bin Mahfudz al-Haddad bahawa perbuatan tersebut telah diasaskan oleh para ulama Hadhramaut atas tujuan dan matlamat keagamaan. Ianya juga merupakan suatu siasah syar`iyyah kerana Hadhramaut pernah menempuh fasa di mana kekuasaan  berada pada sebahagian golongan sesat yang merendah dan menghina sebahagian sahabat, maka disusunlah taradhdhi di sela - sela rakaat Shalat Tarawih untuk menegaskan kemuliaan dan penghormatan kepada para sahabat. Ini adalah perbuatan yang baik (fi'lun hasanun) dan bukannya bid`ah dhalalah walaupun ianya bukan sunnah. Sesiapa yang melakukannya, maka dia telah melakukan kebaikan, manakala sesiapa yang meninggalkannya tidaklah berdosa. Taradhdhi ke atas para sahabat adalah satu doa yang diberi ganjaran atas melakukannya...

Di Nusantara juga telah pernah didatangi oleh para pendakyah ajaran Syiah yang membenci para sahabat terutama sekali Abu Bakar dan Umar. Oleh itu, kebijaksanaan para ulama dan pendakwah terdahulu, terutama sekali yang berasal dari Hadhramaut, untuk menganjurkan taradhdhi agar masyarakat awam yang masih baharu Islamnya, mengenali dan menyayangi serta memuliakan para sahabat terutama sekali sahabat yang empat tersebut. Maka, ianya bukan semata - mata ibadah mendoakan sahabat dan pengingat bilangan rakaat Tarawih, ianya juga merupakan tameng penangkis ajaran puak pembenci para sahabat.

Syahadah Syiah Rafidhah


Selasa, Mac 03, 2026

Sunnatal Witri Rak`ataini

Melakukan Shalat Witir secara fashal (bercerai / berpisah) adalah afdhal dalam Mazhab Syafie daripada secara washal (bersambung). Telah menjadi amalan kita, Shalat Witir dimulai dengan melaksanakan 2 rakaat dengan satu salam, kemudian dilanjutkan dengan mendatangkan 1 rakaat lagi dengan salam yang lain untuk menyempurnakan 3 rakaat Shalat Witir yang merupakan sekurang - kurang sempurnanya Shalat Witir. Pada kebiasaannya, ketika mendirikan 2 rakaat permulaan tersebut, ianya diniatkan sebagai Sunnatal Witri dengan niat dan lafaznya seumpama: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini Lillahi ta`ala". Begitulah rupa niat dan lafaz yang diajar oleh kebanyakan guru - guru kita dan tercatat dalam berbagai karangan para ulama dan ustaz kita. Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah turut memasyhurkan niat sedemikian dalam Munyatul Mushalli, di mana dengan terang pada halaman 26, beliau menulis sebagai berikut:-......Demikian lafaz niatnya: "Ushalli Sunnatal Witri rak`aataini Lillahi ta'ala.".... Bukan hanya Mawlana Syaikh Daud yang mengajar niat sedemikian, tetapi ramai lagi ulama tanahair, antaranya Datu Surgi Mukti @ Mufti Syaikh Jamaluddin al-Banjari dalam Perukunan Jamaluddin, KH Fathullah Harun dalam Pedoman Ibadah Fardhu `Ain, Tuan Guru Haji Hasyim as-Sa`idi al-Malayuwi dalam Ma'khadzush Shibyan, Tuan Guru Haji Muhammad bin Utsman (Madrasah Faqiyyatud Daaimiyyah, Permatang Pauh) dalam Risalah al-Ma`unah, Syaikh Ali Balidram dalam Perhimpunan Ibadah, Pehin Ustaz Haji Zain bin Serudin dalam Zainuth Thalib dan ramai lagi.
Niat dan lafaz sedemikian pernah dipermasalahkan suatu ketika dahulu kerana dikatakan tiada kesesuaian antara kalimah witir yang ertinya ganjil, sedangkan rakaat yang didirikan genap, 2 rakaat. Sekarang, nampaknya isu ini ditimbulkan lagi, sehingga dinyatakan niat sedemikian tidak betul dan perlu diperbetulkan. Lebih parah lagi dalam zaman viral memviral ini, hal tersebut telah diviralkan dengan tagline yang digunakan adalah: "Betulkan yang biasa, biasakan yang betul". Sedangkan yang nak diperbetulkan itu memang dah betul. Kalaupun dikatakan silap, maka itu mungkin pada terjemahannya sahaja yang kurang memperhatikan kaedah dan uslub ilmu nahwu sharaf Bahasa Arab.

Faqir tidak menafikan adanya qawl mukhtar Imam an-Nawawi dalam persoalan ini sebagaimana tersebut dalam kitab Majmuk, di mana pilihan niat yang afdhal dan awla menurut Imam Nawawi adalah niat "rak`ataini minal Witri.". Pandangan Imam Nawawi dalam Majmuk ini disebut dalam dua tempat dengan istilah ash-shahih, manakala di temoat lain beliau mengatakan ianya sebagai al-mukhtar ( fa huwal mukhtar). Jika berkesempatan, faqir akan nukilkan pernyataan Imam Nawawi nanti dalam posting yang lain, kerana fokus posting ini adalah untuk berkaitan niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini" sahaja. In sya Allah, nanti faqir cuba datangkan rupa bentuk niat yang dipilih oleh Imam Nawawi tersebut.

Tidak dinafikan pandangan Imam Nawawi juga banyak disebut dan dianjurkan dalam kitab - kitab fiqh kita, faqir sendiri pun biasanya menggunakan: "Ushalli rak`ataini minal Witri". Namun, faqir nyatakan bahawa ini tidak bermakna niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini", itu salah atau kurang tepat. Juga faqir nyatakan bahawa pendapat Imam Nawawi itu adalah salah satu daripada dua pendapat yang menjadi pilihan ulama kita. Faqir menyatakan bahawa ash-shahih yang dikatakan oleh Imam Nawawi sebenarnya adalah al-mukhtar sebagaimana penjelasannya sendiri, menjadikan ianya salah satu daripada ikhtiyarat Imam Nawawi. Jadi tidaklah tepat jika ianya dikatakan qawl muktamad dalam mazhab, kerana qawl mukhtar Imam Nawawi tidak semestinya dianggap sebagai qawl muktamad dalam mazhab, melainkan qawl mukhtar yang beliau sebut dalam kitab Raudhatuth Thalibin. Maka, tidak pelik jika ada ulama belakangan yang tidak sependapat dengan Imam Nawawi dalam perkara ini dan memilih niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini" sebagai yang awla.

Sebahagian ulama mempunyai pandangan bahawa niat "Ushalli sunnatal Witri" untuk rakaat - rakaat genap yang dipisahkan dengan rakaat ganjil Shalat Witir, adalah lebih utama (awla). Imam asy-Syarqawi dalam Hasyiah asy-Syarqawi `ala Syarhit Tahrir. Pada halaman 298, juz 1, menyatakan seperti berikut:- Dan jika dipisahkan rakaat - rakaat sebelum diakhiri dengan rakaat ganjil, seumpama dilakukannya dengan satu salam setiap dua rakaat, di mana setiap takbiratul ihramnya memisahkan rakaat - rakaat sebelum rakaat terakhir yang ganjil, maka itulah yang dinamakan perlaksanaan Shalat Witir secara fashal (berpisah - pisah yang afdhal menurut Mazhab Syafie berbandingkan melakukannya secara washal bersambung terus bilangan yang genap dengan yang ganjil seperti dilakukan 3 rakaat sekaligus). Niat yang diucapkan untuk rakaat terakhir yang ganjil (rakaat witir seperti 1 rakaat) adalah niat minal Witri (seperti diucapkan: "Ushalli minal Witri rak`atan" - Aku sembahyang daripada Shalat Witir satu rakaat) kerana rakaat tersebut adalah secara hakikatnya sebahagian daripada rakaat Shalat Witir (kerana bilangannya memang ganjil) atau diniatkan al-Witr (seperti : "Ushalliyal Witra rak`atan" - Aku sembahyang Witir satu rakaat). Dan diberi pilihan untuk memilih niat bagi rakaat - rakaat genap sebelum yang terakhir (yakni sebelum rakaat ganjil) di antara yang berikut: (1) niat shalatul lail (seumpama: "Ushalli Shalatal Lail rak`ataini" - Aku sembahyang malam dua rakaat); (2) niat muqaddimatul witri (seumpama: "Ushalli Muqaddimatal Witri rak`ataini" (Aku sembahyang pembukaan witir dua rakaat); (3) niat sunnatnya (yakni sunnatul witri) (seumpama: "ushalli Sunnatal Witri rak`ataini" - Aku sembahyang sunnat yang disandarkan kepada Witir dua rakaat) atas kaedah al-idhafah al-bayaniyyah dan inilah yang awla; (4) diniatkan dua rakaat daripada witir (seumpama: "Ushalli rak`ataini minal Witri" - Aku sembahyang dua rakaat daripada Witir) (yang menjadi pilihan Imam an-Nawawi). Tidak sah jika dinuatkan dengan al-Witr semata - mata (seumpama: "Ushalliyal Witra rak`ataini" - Aku sembahyang Witir dua rakaat) kerana dua rakaat itu genap manakala al-Witr itu ertinya ganjil....... Maka, yang jadi masalah adalah niat: "aku sembahyang witir dua rakaat" tanpa dimasukkan kalimah sunnat sehingga untuk menjadikan dua kalimah tersebut sebagai mudhaf - mudhaf ilaih. Niat ini yang dihukumkan oleh kebanyakan ulama kita sebagai salah dan membawa kepada tidak sah.

Penjelasan yang serupa dapat kita lihat dalam Hasyiah Tohfah bagi Syaikh Abdul Hamid asy-Syarwani, jilid 2, halaman 11. Maka lafaz niat: "Ushalli Sunnatal Witri rak`ataini Lillahi ta`ala", yang biasa diamal orang kita tidaklah salah atau kurang tepat, ianya betul, benar dan tepat, bahkan di sisi sebahagian ulama adalah niat yang paling awla ( afdhal / utama). Cuma yang tersilap apabila terjemahannya dilakukan secara harfiah (literal),difahami secara harfiah, tanpa mengambilkira kaedah dan uslub nahwu sharaf yang benar. Misalnya, kerap kali ianya diterjemah sebagai: Sahaja aku sembahyang Sunnat Witir dua rakaat yang walaupun tidak salah tetapi membawa kepada kekeliruan sehingga menimbulkan kesalahfahaman seperti yang diviralkan. Sebenarnya untuk lebih jelas, lafaz tersebut boleh dimaknai sebagai berikut: Aku sembahyang sunnat yang disandarkan / dihubungkan/ dikaitkan dengan Shalat Witir, dua rakaatdengan mengambilkira idhafah bayaniyyah, di mana kalimah sunnatan sebagai mudhaf dan kalimah al-Witr sebagai mudhaf ilaih, yang memberikan penjelasan (bayan) bahawa dua rakaat tersebut adalah rakaat genap yang berkait atau berhubung atau bergantung dengan Shalat Witir, yakni sebahagian daripada Shalat Witir yang ganjil dan bukannya dua rakaat itulah Witir atau Shalat Witir.

Jadi kesimpulannya, di sini ada dua pandangan ulama kita mengenai cara niat yang utama dan afdhal. Yang pertama, diniatkan rak`ataini minal Witri yang dipilih oleh Imam Nawawi dan diikuti oleh ramai ulama. Yang kedua, diniatkan Sunnatul Witri yang menjadi pilihan sebahagian ulama lain dan masyhur di rantau kita. Semoga bermanfaat dan faqir akhiri dengan mendatangkan contoh niat Sunnatul Witri yang tersebut dalam karya - karya ulama kita di Nusantara. 

1.    Perukunan Jamaluddin (Mufti Jamaluddin Banjar)


2.    Panduan Ibadah Fardhu `Ain (KH Fathullah Harun)

3.    Ushul `Ibadah ( Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Aziz)

4.    Risalah al-Ma`unah (Ustaz Haji Muhammad)

5.    Perhimpunan `Ibadah (Syaikh Ali Balidram)

6.    Ma'khadzush Shibyan (TG Haji Hasyim as-Sa`idi)

7.    Zainuth Thalib (Pehin Hj Muhammad Zain)

8.    Kifayatul Mubtadi (Haji Ismail bin al-Marhum Mahmud)

9.    Idaman Penuntut (Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya)

10.    Amal Bekalan Ke Negeri Berkekalan 
(Ustaz Haji Daud bin Haji Junaid)

Jumaat, Januari 30, 2026

Shalawat Jalaluddin al-Bukhari

Pada hari Jumaat yang mulia, juga bersempena bulan diturunkan perintah bershalawat, Sya'ban, maka faqir nukilkan serangkaian ucapan shalawat dan salam yang diamalkan oleh tokoh ulama, wali dan daie, yang terkenal di belahan Indo-Pak. Tokoh yang hidup sekitar abad ke-13M bernama Quthbul `Alam, Makhdum al-`Alamin, asy-Sayyid Jalalullah @ Jalaluddin, Husain bin 'Ali bin Ja'far al-Bukhari qaddasaAllahu sirrah, bergaris keturunan Imam Husein radhiyaAllahu anhu daripada jalur Imam Ali al-Hadi radhiyaAllahu `anhu. Beliau dilahirkan sekitar tahun 595H / 1190M di Bukhara. Hidup beliau dihabisi dengan merantau dan berkelana sehingga membawanya ke benua kecil India untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu pengetahuan juga untuk memperdalamkan lagi ilmu yang sudah beliau miliki. Di antara guru beliau, terutamanya dalam bidang tasawwuf dan thariqat adalah asy-Syaikh al-Imam al-`Alim al-Muhaddits Bahauddin Zakaria bin Muhammad bin 'Ali al-Qurasyi al-Asadi al-Multani (566 - 666H / 1170 - 1268M), tokoh Thariqat Suhrawardiyyah, ulama yang disepakati atas ketokohan dan kewaliannya. Setelah sekian lain, menjalani jalan thariqat dan tasawwuf, Syaikh Jalaluddin mendirikan Thariqah Jalaliyyah sebagai cabang daripada Thariqah Suhrawardiyyah. Beliau wafat sekitar tahun 690H atau 695H menurut sebahagian sejarawan dan dimakamkan di Uch, Punjab. Makamnya sehingga kini menjadi tempat para penziarah untuk mengalap berkat dan berdoa kepada Allah `azza wa jalla.

Shalawat ini faqir kutip daripada manuskrip kitab Jawaahirul Khams karya Syaikh Muhammad bin Khathiruddin al-`Atthar. Dalam manuskrip tersebut pada halaman 62 tercatat sebagai berikut:-

...Shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang disebut oleh Quthubul `Alam, Makhdum al-`Alamin, asy-Sayyid Jalalullah al-Bukhari qaddasaAllahu sirrahul `aziz dalam wirid - wiridnya. Beliau berkata tentang shalawat ini sebagai berikut: "Sesiapa yang bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan shalawat ini, maka seumpama dia berhaji ke Baitullah al-Haram, (mudah-mudahan) dituliskan pahala haji dalam buku amalannya. Sesiapa yang menulisnya (yakni sebagai azimat untuk bertabarruk mengambil keberkatan) dan membawanya, (mudah - mudahan) dia diberi keamanan oleh Allah ta`ala daripada segala bala bencana dunia dan akhirat, serta dikurniakan Allah ta`ala dia dapat berdamping dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di akhirat. Inilah shalawatnya:

  1. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, al-`Arabiy;
  2. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, al-Qurasyi;
  3. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, al-Makkiy;
  4. Ash-shalatu was salamu`alaika ya Muhammad, Nabiyullah;
  5. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, Rasulullah;
  6. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, Habibullah;
  7. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Muhammad, Jaddul Hasani wal Husain;
  8. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Aba Faathimataz Zahra`;
  9. Ash-shalatu was salamu `alaika ya Shahibal Mimbari wal Mi'raaj, 
  10. Muhammad, Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Dalam Jawahirul Khamsah,  cetakan Dar Al-Kotob Al-ilmiyah, Beirut (2023), shalawat ini dicatat pada halaman 56 dengan sedikit perbezaan, iaitu tiada lafaz ash-shalatu wa sallamu `alaika, ya Muhammad, Rasulullah dan dengan adanya tambahan ..."ya Muhammad.".. sebelum lafaz Aba Faathimataz Zahra`. Shalawat dan salam yang mudah dan ringan untuk diamalkan. Lakukan dengan ikhlas dan penuh mahabbah agar di akhirat tidak menyesal. Mudah - mudahan bermanfaat dan menambah lagi loba untuk kita bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.