Rabu, November 23, 2005

Taubat 2

Matan:-
  • " dan meninggalkan ia daripada demikian dosanya dengan ikhtiarnya "
Syarah:-
Rukun seterusnya bagi seorang yang bertaubat ialah hendaklah dia tatkala bertaubat tersebut meninggalkan dosa dan maksiatnya itu dengan ikhtiarnya sendiri, yakni dengan pilihannya sendiri. Di sini terdapat 2 perkara pokok yang perlu difahami, (i) meninggalkan dosa; dan (ii) dengan ikhtiarnya. Bukan dinamakan orang bertaubat yang sewaktu bertaubat masih melakukan dosa yang ditaubatnya. Dan begitu juga orang yang meninggalkan maksiat kerana terpaksa, bukan kerana pilihannya sendiri demi menjunjung perintah Ilahi tidaklah dianggap sebagai sempurna taubatnya.
Sekarang kita lihat, ada segelintir manusia yang masih berselera dengan dosa dan maksiat, bahkan berbangga-bangga dengan dosa dan maksiat, cuma oleh kerana sudah uzur atau sudah tua, maka maksiat tersebut ditinggalkannya. Maka jadilah dia meninggalkan dosa dan maksiat kerana faktor tersebut, bukan kerana menjunjungan perintah Allah, dia meninggalkan dosa bukan kerana keinsafan dan pilihannya sendiri, tetapi meninggalkan dosa kerana tak larat lagi nak buat dosa tersebut sedangkan hatinya masih suka dengan dosa tersebut, maka hal taubat sebegini menurut ulama tidak sempurna dan dikhuatiri tak sah di sisi Allah s.w.t. Inilah sebabnya, Mawlana Syaikh Daud menegaskan syarat ini dengan kalimah "....dengan ikhtiarnya". Demikian juga orang yang dipaksa bertaubat, lalu dia pun bertaubat kerana takut dihukum manusia, maka taubatnya itu hanya sah di mata manusia sedangkan di sisi Allah ta`ala, tidak dinamakan taubat. Ketahuilah dengan sebaiknya, agar kita faham bahawa kesempurnaan taubat itu hendaklah datang dari pilihan dan kesedaran kita sendiri setelah disuluh cahaya hidayah dan taufiq daripada Allah s.w.t. Allahu a'laam

Rabu, November 16, 2005

Taubat 1

Matan:-

(Fasal) Dan wajib taubat itu bagi orang yang mengerjakan dosa itu bersegera atas tiap-tiap orang yang mukallaf.

Syarah:-

Yakni kewajipan bertaubat itu adalah bagi orang yang mengerjakan dosa tersebut dan kewajipan ini hendaklah dilakukan dengan bersegera atas setiap orang mukallaf, yakni yang aqil baligh. Ini adalah kerana orang yang beriman apabila melakukan dosa dan maksiat rasa berdosa dan bersalah akan terus wujud kerana sekurang-kurang nafsu orang beriman ialah nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang mencela dirinya sendiri apabila melakukan dosa dan maksiat. Sepakat ulama tasawwuf dan fuqaha mewajibkan orang yang melakukan dosa bertaubat dari dosanya dan ianya hendaklah dilakukan dengan segera. Menangguh-nangguhkan taubat merupakan satu lagi dosa yang memerlukan kepada taubat yang lain pula. Oleh itu setiap kali kita terjerumus dalam dosa dan maksiat, maka teruslah bertaubat kepada Allah. Dan di sinilah peranan dan pentingnya ilmu yang memberi panduan mengenai dosa dan maksiat, kerana berapa ramai orang yang melakukan dosa dan maksiat tidak bertaubat atau tidak merasa berdosa kerana dia tidak tahu apa yang dilakukannya itu sebagai satu dosa dan maksiat kepada Allah.
Matan:-
  • iaitu menyesal daripada pekerjaan yang ia mengerjakan dia daripada dosanya
Syarah:-
Syarat taubat yang pertama ialah "an-nadam", iaitu menyesal atas keterlanjurannya melakukan dosa tersebut. Sebagaimana dinyatakan tadi, orang beriman sentiasa menyesal setiap kali melakukan dosa dan maksiat. Ini adalah kerana wujudnya iman dalam hatinya. Mungkin kerana imannya walaupun wujud tetapi masih lemah, maka dia masih terjerumus dalam dosa dan maksiat. Tetapi bezanya dengan orang yang tidak punya iman ialah dia walaupun berdosa menyesali akan dosanya tersebut berbanding yang tidak beriman. Penyesalan ini amat penting kerana ianya akan membawa orang tersebut kepada kesempurnaan taubatnya. Dalam riwayat dinyatakan bahawa Junjungan s.a.w. bersabda bahawa "Taubat itu adalah penyesalan", dan dalam riwayat lain dinyatakan bahawa "Setiap anak Adam itu melakukan dosa, dan sebaik-baik pelaku dosa adalah yang bertaubat dari dosanya." Tetapi kerana kurangnya kesedaran ilmu, maka sekarang orang melakukan maksiat tanpa rasa berdosa kerana dia tidak beranggapan ianya dosa. Ada orang yang berzina, tetapi tidak merasa berdosa kerana katanya dia berzina kerana suka sama suka dan kerana masing-masing ikhlas antara satu sama lain. Allahu .... Allah, dunia dah nak terbalik, manusia sudah songsang, bukan berbicara ikhlas dalam sholat, tetapi ikhlas dalam berzina. Begitu juga dalam bab-bab lain, manusia sudah tidak gemar pada ilmu-ilmu agama, mereka lebih tahu kesalahan lalu lintas berbanding kesalahan dalam hukum syarak. Bagaimana Allah nak beri bantuan kepada umat yang sebegini ????? Lihat sahaja para penganas yang mengganas atas nama Islam, membunuh secara membabibuta tak kira siapa mangsanya, hatta yang seagama pun menjadi mangsa, tidakkah mereka merasa perbuatan mereka tersebut MAKSIAT kepada Allah ? Sudah tentu tidak kerana itu mereka berbuat sedemikian. Sedangkan menurut fuqaha muktabar Ahlus Sunnah wal Jamaah, perbuatan membunuh orang tanpa hak adalah dosa besar. Justru ikhwah sekalian, selain kesalahan duniawi kena telaah dan belajar hukum halal haram dalam Islam, mari duduk depan tuan-tuan guru yang mengajar berpandukan kitab ulama terdahulu untuk mengetahui hal ini. Antara kitab yang elok untuk kita telaah dalam bab ini ialah kitab "al-Kabair" karangan Imam az-Zahabi dan kalau nak yang lebih luas bahasannya kitab "az-Zawajir" karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami. Kalau tak silap kitab "al-Kabair" tersebut sudah ada terjemahannya dalam bahasa Melayu. Allahu a'laam.

Selasa, November 15, 2005

Pengajian Kitab: Fasal Taubat

Setiap amalan dalam Islam mempunyai syarat dan rukun. Jika sesuatu syarat atau rukun tidak sempurna maka begitulah ibadah atau amalan tersebut, sama ada menjadi tidak sempurna atau lebih parah lagi menjadi tidak sah atau batal, justru menjadi sia-sia, menjadi 'haba-an mantsura' (debu-debu berterbangan).
Taubat yang merupakan satu ibadah dan amalan yang dihukumkan wajib bagi orang yang berdosa dan sunnat bagi yang tidak berdosa. Jadi tengok le diri, kalau rasa tak berdosa, dihukumkan taubat itu sunnat, tapi kalau banyak dosa, wajiblah bertaubat. Mari kita telaah kitab "Sullamul Mubtadie" di tepi "Kifayatul Muhtadie" mukasurat 370 371 berhubung hal taubat ini.
Matan Kitab:
  • (Fasal) Dan wajib taubat itu bagi orang yang mengerjakan dosa itu bersegera atas tiap-tiap orang yang mukallaf iaitu menyesal daripada pekerjaan yang ia mengerjakan dia daripada dosanya dan meninggalkan ia daripada demikian dosanya dengan ikhtiarnya dan mencita ia atas tiada hendak kembali kepadanya selama-lama, maka ia benci akan yang demikian itu seperti akan racun dan akan api dan serta ia membanyakkan mengucap istighfar dan jika adalah dosanya itu meninggalkan fardhu maka hendaklah segera mengqadhakan dia, maka tiada harus ia mengerjakan amal yang sunnat dan mengerjakan pekerjaan yang lain daripada mengqadhakan dia melainkan kerana menuntut akan kehidupannya dan makan dan minum dan qadha hajat dan tidur apabila sangat mengantuk, maka yang lain daripada itu tiada harus ia mengerjakan melainkan duduk mengqadhakan dia. Atau ada dosanya itu ada sangkutan hak manusia maka hendaklah ia kembali akan empunyanya. Jika ambil harta orang atau ia mengumpat - ngumpat orang maka hendak ia minta halal daripadanya atau membunuh atau meluka, maka hendaklah menyerahkan dirinya baginya atau membayar diatnya atau ia minta halalkan dan minta redhakan dia dan jika tiada ada lagi orang yang ia zalim atau orang yang ia khianat akan dia maka dibuat kebajikan dan disedekahkan dia meniatkan pahalanya bagi empunyanya dan membanyak akan taubat kepada Allah bahawa diredhai ahlinya pada hari Kiamat dan membanyakkan amal dan mendoakan empunyanya mudah-mudahan ia redhakan dia pada hari Kiamat.

Inilah matan kitab tersebut. Untuk makluman, kitab ini merupakan karangan Mawlana al-'Alim al-'Aamil al-'Allamah al-Kaamil asy-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathoni yang masyhur itu. Dan kitab ini juga telah diberi syarah oleh Syaikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni dengan jodol "Kifaayatul Muhtadie pada menerangkan cahaya Sullamul Mubtadie". Syaikh Muhammad Nur adalah anak kepada Syaikh Muhammad al-Fathoni atau gelarannya Syaikh Nik Mat Kecik pengarang "Mathla`ul Badrain" yang masyhur yang merupakan anak saudara dan anak angkat bagi Syaikh Daud al-Fathoni. Harap fahami matan kitab di atas dan insya-Allah, kita syarahkan nanti sekadar mampu dan keizinan Allah yang Esa.

Jumaat, November 11, 2005

Taqlid

Syaikh Yusuf Dajwi, Syaikhul Azhar, menegaskan bahawa:-
  • pendapat yang mengatakan bahwa semua orang wajib mengambil hukum terus dari Al-Qur`an dan Al-Hadits adalah pendapat yang batil dengan ijma' para sahabat Nabi. Sahabat-sahabat Nabi berfatwa kepada umum dan tidak ada mereka menyuruh supaya setiap orang menjadi Imam Mujtahid.

Betulkah orang-orang yang bermazhab itu menjadi mundur, mati semangat, jumud, beku, tidak berkemajuan dan dijajah saja. Fakta sejarah, antara lain yang jutaan jumlahnya, telah berbicara bahwa:-

  • Imam Bukhari, Imam terkemuka dalam hadits itu, bermazhab Syafi'i. Apakah beliau itu beku dan jumud ?
  • Sultan Shalahuddin Al Ayubi, pahlawan perang salib yang terkenal itu juga bermazhab Syafi'i. Apakah beliau itu dijajah ?
  • Pangeran Diponegoro pahlawan Indonesia itu, juga bermazhab Syafi'i apakah beliau itu mundur atau mati semangat ?
  • Syarif Hidayatullah pembebas Sunda Kelapa dan pembangun Kota Jayakarta (Jakarta) juga bermazhab Syafi'i. Apakah beliau termasuk orang-orang yang tidak berkemajuan ?.
  • Sultan Muhammad al-Fatih pembuka Kota Istanbul bermazhab Hanafi, adakah beliau juga jumud dan beku ?

Jawabannya sudah barang tentu tidak. Bermazhab sekali-kali bukan penghalang orang untuk mencapai kemajuan. Bermazhab bukan penyebab orang menjadi mundur, mati semangat, jumud dan dijajah.

Syaikh Abdul Hamid Kudus


Ulama besar yang menjadi imam mazhab Syafi`i di Maqam Ibrahim ini asal-usulnya dari Kudus, Jawa Tengah, kelahiran Mekah. Syeikh Abdul Hamid Kudus lahir di Mekah, dalam "Mukhtashar Nasyrun Naur waz Zahar" dinyatakan lahir 1277 H/1860 M, dan dalam "Siyar wa Tarajim" dinyatakan lahir 1280 H/1863 M. Beliau juga wafat di Mekah tahun 1334 H/1915 M. Nama lengkap ialah Syeikh Abdul Hamid bin Muhammad Ali Qudus / Kudus bin Abdul Qadir al-Khathib bin Abdullah bin Mujir Qudus / Kudus.
Syeikh Abdul Hamid Kudus mendapat pendidikan asas pertama sekali dari lingkungan keluarganya yang ramai menjadi ulama. Sejak kecil menghafaz al-Quran dan terlatih dengan banyak matan pelbagai bidang ilmu. Matan-matan yang dihafalnya sejak kecil ialah Matn al-Ajrumiyah, Matn al-Alfiyah, Matn ar-Rahbiyah, semuanya dalam bidang ilmu nahu. Matn as-Sanusiyah tentang ilmu akidah. Matn as-Sullam dan Matn az-Zubad, kedua-duanya meliputi akidah, fikah dan tasawuf. Para ulama besar yang terkenal dan menjadi guru beliau ialah Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Sayid ``Utsman Syatha dan saudaranya Sayid Abu Bakri Syatha. Dalam bidang khusus mengenai ushul fiqh, hadis, tafsir dan tasawuf Syeikh Abdul Hamid Kudus memperdalamkannya kepada Sayid Husein al-Habsyi. Syeikh Abdul Hamid Kudus pula adalah orang kepercayaan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, mufti Makkah, dalam bidang keilmuan setelah Syeikh Ahmad al-Fathani. Hubungan antara Syeikh Abdul Hamid Kudus dengan Syeikh Ahmad al-Fathani sangat rapat. Syeikh Abdul Hamid Kudus selain dilantik sebagai salah seorang pentashih kitab beliau seringkali diutus oleh Syeikh Ahmad al-Fathani ke Mesir dalam urusan cetak mencetak kitab, terutama hubungan dengan Syeikh Mushthafa al-Halaby, pemilik syarikat cetak kitab yang terbesar di Mesir pada zaman itu.
Daripada ulama-ulama tersebut, Syeikh Abdul Hamid Kudus memperoleh ijazah khusus dan umum, dan mereka pula memberikan keizinan kepada beliau mengajar di Masjidil Haram dan di rumahnya. Manakala Syeikh Ahmad al-Fathani merintis jalan mulai belajar di Masjid Jamik Al-Azhar (tahun 1290 H/1872 M) Syeikh Abdul Hamid Kudus mengikuti langkah Rais thala'ah (Ketua tela'ah atau tutor)nya itu belajar di tempat yang sama (1300 H/1882 M). Syeikh Abdul Hamid Kudus merupakan generasi kedua mahasiswa dunia Melayu yang belajar di al-Azhar sesudah Syeikh Ahmad al-Fathani, sejak itu beliau sentiasa pulang pergi antara Mekah dan Mesir dalam urusan tertentu yang ada kaitannya dengan kerja-kerja Syeikh Ahmad al-Fathani. Sebenarnya Syeikh Abdul Hamid Kudus telah mengarang pelbagai judul dalam banyak disiplin ilmu, semuanya dalam bahasa Arab. Walau bagaimana pun pada judul artikel ini saya sebut bahawa beliau adalah ``pakar ilmu arudh dan qawafi''. Kedua-duanya termasuk dalam bidang ilmu kesusasteraan Arab. Dengan ilmu ini dapat diketahui bagaimana timbangan-timbangan syair dan nazam dalam bahasa Arab. Setakat ini informasi yang ada hanya dua orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menulis dalam kedua-dua ilmu tersebut. Seorang lagi ialah Syeikh Ahmad al-Fathani `Rais Thala'ah' bagi Syeikh Abdul Hamid Kudus.
Antara karangan Syeikh Abdul Hamid Kudus adalah sebagai berikut:
  • "Irsyadul Muhtadi ila Syarh Kifayatil Mubtadi", diselesaikan sesudah Zuhur, hari Khamis, 3 Muharam 1306 H. Kandungannya membicarakan akidah dan ia merupakan syarah daripada karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus. Dicetak oleh Mathba'ah al-Maimuniyah, Mesir, Ramadan 1309 H. Di bahagian tepinya dicetak matan karya ayahnya, Syeikh Muhammad Ali Kudus tersebut. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
  • "Al-Anwarus Saniyah `alad Duraril Bahiyah", diselesaikan pertengahan Rabiulakhir 1311 H. Kandungannya membicarakan akidah, fikah dan tasawuf. Merupakan syarah daripada karya gurunya Sayid Abi Bakar Syatha. Cetakan pertama, Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah Mekah, 1313 H.
  • "Fat-hul Jalilil Kafi bi Mutammimati Matnil Kafi fi `Ilmayil `Arudh wal Qawafi", diselesaikan pada hari Isnin, 19 Rabiulawal 1313 H. Kandungannya membicarakan ilmu arudh dan qawafi atau kesusasteraan Arab. Dicetak oleh Mathba'ah al-Husainiyah al-Mashriyah, milik Muhammad Abdul Lathif Khathib, 1325 H. Kata pujian oleh Sayid Ahmad Bik al-Huseini, Muhammad Musa al-Bujiraimi as-Syafi'ie di al-Azhar, Muhammad al-Halaby as-Syafi'ie di al-Azhar dan Ahmad ad-Dalbasyani al-Hanafi di al-Azhar. Ditashih oleh Muhammad az-Zahari al-Ghamrawi.
  • "Al-Futuhatul Qudsiyah fi Syarhit Tawassulatis Sammaniyah", diselesaikan pada Zuhur, akhir Muharam 1322 H. Kandungan pada muqaddimahnya pengarang menyebut bahawa beliau adalah penganut Mazhab Syafie dalam fikah, Mazhab Abu Hasan al-Asy'ari dalam akidah, dan penganut Thariqat Khalwatiyah. Sebab-sebab beliau menulis kitab ini adalah atas permintaan Qadhi Muslimin Negeri Surakarta ibu kota Jawa, beliau ialah Al-'Allamah al-Hamam asy Syeikh Raden Tabshirul Anam, supaya menulis syarah matan Al-Qashidatur Rajziyah yang bernama Jaliyatul Kurbi wa Manilatu `Arabi. Pada awal perbicaraan pengarang menyebut tentang sanad-sanad thariqat, di antaranya beliau juga mempunyai hubungan dengan Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani. Dicetak oleh Mathba'ah al-Hamidiyah al-Mashriyah, 1323 H. Taqriz dinyatakan ramai ulama tetapi yang dapat disebut pada akhir karangan hanya dua orang ulama saja ialah Syeikh Jami' Al-Azhar, bernama Syeikh Abdur Rahman asy-Syarbaini asy-Syafi'ie dan Syeikh Muhammad Thumum al-Maliki Al-Azhari.
  • "Lathaiful Isyarat ila Syarhi Tashilit Thuruqat li Nazhamil Waraqat fil Ushulil Fiqhiyah", diselesaikan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal 1326 H. Kandungannya membicarakan ilmu ushul fiqh. Terdapat berbagai-bagai edisi cetakan, di antaranya Mathba'ah Dar at-Thiba'ah al-Mashriyah, 54-60 Baserah Street Singapura (tanpa tahun).
  • "Kanzun Najahi was Surur fil Ad'iyatil lati ila Tasyarruhis Shudur", diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar 1328 H. Kandungannya membicarakan berbagai-bagai amalan wirid, doa, zikir dan lain-lain. Cetakan pertama oleh Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah, Mekah, 1330 H. Kata pujian oleh Syeikh Muhammad Sa'id bin Muhammad Ba Bashail, Mekah, Sayid Husein bin Muhammad bin Husein al-Habsyi, Sayid Umar bin Muhammad Syatha, Sayid Muhammad ibnu Sayid Muhammad ibnu al-Faqih Sayid Idris al-Qadiri al-Maghribi al-Hasani, Syeikh Muhammad bin Syamsuddin, Syeikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, dan Syeikh Umar Hamdan.
  • "Risalah fi al-Basmalah min Nahiyah al-Balaghah".
  • "Manzhumah fi al-Adab wa al-Akhlaq li al-Islamiyah".
  • "Thali'us Sa'di ar-Rafi' fi Syarh Ilm al-Badi'".
  • "Fiqh Rubu' `Ibadat".
  • "Nubzah fi at-Tashawwuf".
  • "Ad-Durrah ats-Tsaminah fi al-Mawadhi' allati tusannu fiha ash-Shalah `ala Shahib as-Sakinah."
  • "Tasythir al-Mudharriyah fi ash-Shalah `ala Khairil Bariyah".
  • "Majmu' Bulugh al-Maram fi Maulid an-Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam"
  • "Raja' Nail al-As'ad wa al-Qabul fi Madah Saiyidatina az-Zahra' al-Batul".
  • "Bulughus Sa'di wa al-Amniyah fi Madah Umm al-Mu'minin al-Mabra-ah ash-Shiddiqiyah".
  • "al-Jawahir al-Wadhiyah fi al-Adab wa al-Akhlaq al-Mardhiyah".
  • "az-Zakhair al-Qudsiyah fi Ziyarah Khairil Bariyah".
  • "At-Tuhfah al-Mardhiyah fi Tafsir al-Quran al-'Azhim bi al-'Ajamiyah"
  • "Dhiyausy Syamsi ah-Dhahiyah".
  • "Maulidun Nabiyi Shallalahu `alaihi wa Sallam".
  • "Kanzul `Atha fi Tarjamah al-'Allamah as-Saiyid Bakri Syatha".

Jangan mudah memandang ulama dahulu sebelah mata. Niat mereka ikhlas, biar tak dikenal di dunia, taqwa kepada Allah yang diutamakan. Mudah-mudahan patah tumbuh hilang berganti. Al-Fatihah.

Kisah Kijang & Anaknya

Bait qasidah yang disusun oleh seorang ulama ahlil bait disudahi di mana Junjungan Nabi disebut sebagai "man kallamahul ghazalah" yakni orang yang kijang berkata-kata dengannya. Mukjizat Junjungan s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Abu Nu`aim dalam kitabnya "al-Hilyah", diceritakan bahawa seorang lelaki lalu di hadapan Junjungan s.a.w. dengan membawa seekor kijang yang telah ditangkapnya. Allah yang Maha Berkuasa telah menjadikan kijang tersebut apabila melihat Junjungan s.a.w. terus berkata-kata dengan baginda, katanya: "Wahai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku ada beberapa ekor anak yang masih menyusu, dan sekarang ini aku sudah ditangkap, sedangkan mereka sedang kelaparan. Oleh itu, harap perintahkan orang ini melepaskan aku supaya aku dapat pergi menyusukan anak-anakku itu, dan sesudah itu aku akan balik semula ke mari." Bersabda Junjungan s.a.w.: "Bagaimana halnya kalau engkau tak balik ke mari lagi ?" Jawab si kijang: "Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah ta`ala akan melaknatkan aku sebagaimana Dia melaknat orang yang tidak mengucapkan sholawat kepadamu apabila disebut namamu di sisinya." Lalu Junjungan s.a.w. pun bersabda kepada orang yang menangkap kijang itu: "Lepaskanlah kijang ini buat sementara, dan aku jadi penjamin baginya." Kijang itupun dilepaskan, dan kemudian ia kembali semula ke situ. Melihat mukjizat ini, maka si penangkap kijang tersebut terus membebaskan kijang itu agar ia kembali kepada anak-anaknya. Maka turunlah Jibril a.s. seraya berkata kepada Junjungan s.a.w.: "Wahai Muhammad, Allah mengucapkan salam kepadamu dan Dia berfirman: "Demi kemuliaanKu dan kehormatanKu, sesungguhnya aku lebih kasihankan umat Muhammad daripada kijang itu kasihankan anak-anaknya, dan Aku akan kembalikan mereka kepada mu sebagaimana kembalinya kijang itu."
Inilah antara mukjizat Junjungan s.a.w., binatang liar berbicara dengan menepati janji yang telah diberikan kepada Junjungan s.a.w. Tidakkah kita merasa malu, mengaku umat baginda tetapi engkar terhadap ajaran baginda serta tidak merasa rindu terhadap baginda dan kurang mengingati baginda. Oleh itu, rajin-rajinlah bersholawat, rajin-rajin hadir majlis-majlis di mana nama Junjungan s.a.w. disebut dan dimuliakan, bukan majlis yang nama baginda disebut seumpama menyebut manusia lain. Sesungguhnya setiap majlis di mana Junjungan tidak dimuliakan, maka majlis tersebut adalah terpotong dari keberkatan. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaihi wa 'ala aalih.

Rabu, November 09, 2005

Hukum Membaca al-Quran di Kubur

Menjadi kebiasaan orang kita, apabila menziarahi kubur akan membaca ayat-ayat suci al-Quran, setidak-tidaknya surah al-Fatihah. Dan biasa juga yang duduk seketika di sisi kubur insan tersayang untuk membaca surah Yaasin. Zaman berzaman hal ini dilakukan, dari generasi moyang ke datuk seterusnya ke bapa dan akhirnya ke anak. Tanpa ada tegahan dan larangan atau sindiran daripada mana-mana pihak. Cuma akhir - akhir ini, ada yang membid`ahkan amalan membaca al-Quran di kuburan. Untuk pengetahuan, hal ini memang ada khilaf, bila ada khilaf terpulang untuk pihak mengikut mana pendapat yang hendak dipegang. Kita di rantau sini yang telah sekian lama mengikut mazhab Syafi`i yang berpegang kepada kesunnahan membaca al-Quran di kuburan. Imam an-Nawawi dalam "al-Adzkar" menyatakan:-
  • Imam asy-Syafi`i dan sahabat-sahabatnya (yakni ulama-ulama mazhab Syafi`i) menyukai (dihukumkan mustahab) agar dibacakan sesuatu dari al-Quran di sisinya (di sisi perkuburan), bahkan mereka menyatakan jika sekiranya dikhatamkan sekalian al-Quran itu adalah baik.

Dalam kitab "ad-Dzakhiratuts-Tsaminah" dinyatakan :-

  • Dan sesungguhnya terdapat riwayat mutawatir bahawasanya Imam asy-Syafi`i telah menziarahi kubur Imam Laits bin Sa`ad dan beliau telah memujinya dengan pujian yang baik dan telah membaca di sisi kuburnya al-Quran sekali khatam. Seterusnya beliau berkata: " Aku berharap agar berterusan perbuatan ini", dan begitulah berterusan perkara tersebut seperti demikian.

Dalam kitab yang sama juga dinyatakan:-

  • Imam al-Khallal telah meriwayatkan Imam asy-Sya'bi sebagai berkata:- "Adalah orang-orang Anshar, jika ada yang meninggal dunia di antara mereka, maka mereka secara bergantian datang ke kuburnya untuk membacakan al-Quran.

Akhir kalam, buat kali ini, insya-Allah, Syaikh Abdur Rahman al-Jaziri dalam kitab "al-Fiqh 'ala Madzahibil Arba`ah" menyatakan:-

  • Dan sewajarnya bagi orang yang menziarahi tanah perkuburan untuk menyibukan dirinya dengan doa dan tadharru` (merendah diri) dan mengambil iktibar dengan orang-orang mati serta membacakan al-Quran untuk si mati. Maka yang sedemikian tadi bermanfaat untuk si mati atas qawl yang asah.

Yang tak nak baca, tok sahlah baca, duduk diam-diam, bertafakkur ke, ikut style Samy Velu. Kita yang bermazhab Syafi`i, bacalah al-Quran dan diakhiri dengan doa dan istighfar.