Sabtu, Mac 17, 2007

Marilah Bersholawat


Banyakkanlah selawat ke atas Nabi
Memberi fadhilat yang besar sekali
Allah dan malaikat turut berselawat
Kepada Junjungan Nabi yang dikasihi

Berselawat itu menjadi sinar
Di hari akhirat mendapat syafaat
Penawar hati dari kegelisahan
Terlepas diri dari kemunafikan

Pahala selawat banyak sekali
Dimurahkan rezeki bagi yang meyakini
Pabila berdoa jangan dilupai
Semoga Allah akan memberkati

Amalan selawat elok dibiasakan
Tandalah ingatan kasih padanya
Moga keimanan kuat dirasa
Untuk mengamalkan segala sunnatnya


Isal-e-tsawab

Isal-e-tsawab adalah istilah yang digunakan oleh seorang sahabat dari benua Keling merujuk kepada majlis-majlis tahlil atau kenduri arwah. Kalimah tersebut membawa erti "menyampaikan pahala", yakni upacara di mana kita mendoakan agar umpama pahala apa yang kita telah kerja atau baca disampaikan Allah kepada orang lain terutama sekali arwah yang telah kembali ke rahmatUllah. Inilah istilahnya yang masyhur digunakan oleh saudara-saudara kita dari kawasan sana. Jadi tidaklah amalan bertahlil dan menghadiahkan pahala kepada arwah yang telah pergi hanya diamalkan oleh orang kita sahaja. Mungkin rupa dan caranya berbeza tetapi prinsipnya serupa - menghadiahkan pahala amalan terutamanya kepada mereka-mereka yang telah kembali ke hadhrat Ilahi. Amalan ini sudah tentu mempunyai sandaran yang kuat di sisi para ulama kita, walau bagaimanapun ianya tidak terlepas dari berlakunya khilaf. Walau pun ada khilaf, kita nyatakan bahawa jumhur ulama menerimanya dan membolehkannya, jika segelintir yang "membid`ahsesatkan"nya maka biaq pi lah. Di sini aku tidak ingin membahaskan persoalan ini menurut mazhab-mazhab fiqh, tetapi hanya ingin menukilkan tulisan ulama hadits besar yang karangannya menjadi teks penting bagi satu jama`ah yang bertebaran atas muka bumi ini. Bukan apa, sebab aku lihat ada dari kalangan ahli-ahli jama`ah ini yang terpengaruh dengan dakyah golongan anti-tahlilan sehingga turut terlibat dalam usaha membid`ahsesatkan orang lain. Jika pun mereka tidak bersetuju dengan pihak yang melakukan tahlilan dan sebagainya, maka tiadalah hak bagi mereka untuk menghukum pihak yang melakukannya, kerana orang yang melakukan amalan tahlil atau isal-e-tsawab ini mempunyai sandaran mereka, kuat atau tidak sandaran tersebut maka itu persoalan ijtihadiyyah, cuma jika difikirkan dengan logika akal jika tidak kuat sandarannya maka tidaklah jumhur membolehkannya.

Syaikhul Hadits Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi rahmatUllah 'alaih, seorang ulama Hanafi dan muhaddits besar yang diberi gelaran Ra-isul Muhadditsin (Ketua Muhaddits) menulis dalam karangannya (yang diterjemah lah, yang asli bahso Urdu, idak le aku faham) berjodol "Fadhilat Sedekah" jilid 1 halaman 188 - 190 menulis:-

Hadrat Ali ibnu Musa Haddad rahmatUllah 'alaih berkata: "Aku telah mengambil bahagian dalam satu jenazah dengan Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih, Muhammad ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih pun turut serta. Selepas mayat dikebumikan salah seorang buta telah datang dekat kubur dan mulai membaca al-Quran. Hadrat Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih telah berkata: "Bacaan al-Quran dekat kubur adalah bid`ah." Apabila kami mula kembali dari tempat perkuburan tersebut, dalam perjalanan itu Muhammad ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih telah bertanya kepada Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih : "Apakah pendapat anda mengenai pribadi Mubasyer Ibnu Ismail Habali rahmatUllah 'alaih ? Imam Ahmad Hanbal rahmatUllah 'alaih menjawab: "Yang boleh dipercayai." Ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih pun telah bertanya: "Adakah anda juga mempelajari ilmu daripada beliau?" Imam menjawab: "Ya, saya telah belajar hadith daripada beliau." Ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih berkata: "Mubasyer ibnu Ismail Habali rahmatUllah 'alaih telah menceritakan kepada saya bahawa Abdur Rahman ibnu 'Ala ibnu Lajlaj rahmatUllah 'alaih telah meriwayatkan daripada bapanya bahawa apabila beliau hampir meninggal dunia, beliau telah berwasiat agar di bahagian kepala kuburnya dibacakan ayat-ayat permulaan dan terakhir dari surah al-Baqarah dan beliau berkata juga bahawa beliau telah dengar Hadrat 'Abdullah ibnu 'Umar radiyaAllahu 'anhuma berwasiat begitu." Setelah mendengar peristiwa ini, Hadrat Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih berkata kepada Muhammad ibnu Qudamah rahmatUllah 'alaih : "Patah baliklah anda ke tanah perkuburan itu dan suruhlah si buta tadi agar dia membaca al-Quran dekat kubur."

Hadrat Muhammad ibnu Ahmad Maruji (Mirwazi) rahmatUllah 'alaih berkata: "Aku telah dengar Imam Ahmad ibnu Hanbal rahmatUllah 'alaih menasihati kepada manusia: "Apabila kamu menziarahi kubur hendaklah kamu membaca surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Naas. Selepas itu sampaikan pahalanya kepada penghuni-penghuni kubur; pahalanya akan sampai kepada mereka." [Ihya]

Mughni adalah sebuah kitab mengenai hukum fekah Mazhab Hanbali yang amat dipercayai. Pengarangnya telah menyalinkan peristiwa ini dan juga riwayat-riwayat mengenainya. Telah diriwayatkan di dalam Bazlul Majhud serta sanad dari kitab Bahar bahawa selepas solat, puasa dan sedekah jikalau pahalanya disampaikan kepada sesiapa maka pahala itu akan sampai kepadanya baik dia masih hidup ataupun sudah mati.

Telah diriwayatkan di dalam kitab Abu Dawood daripada Hadrat Abu Hurairah radiyaAllahu 'anhu: "Adakah sesiapa yang akan mengambil tanggungjawab untuk mengerjakan dua atau empat rakaat solat (yakni sholat nafil) di Masjid Asyar (dekat Basrah) lalu akan berkata: "Pahalanya ini adalah bagi Abu Hurairah (yakni dihadiahkan pahala solatnya tadi kepada Sayyidina Abu Hurairah." [Abu Dawood]

Patutlah diambil perhatian mengenai penyampaian pahala kepada arwah kaum kerabat. Sebab, di samping hak-hak mereka, selepas mati kita akan berjumpa mereka. Betapa besarnya malu akan dirasai semasa itu, kiranya tidak memberi apa-apa kepada mereka walaupun telah diambil banyak faedah daripada mereka dengan keihsanan dan harta peninggalan mereka.
Lihat ikhwah bagaimana Maulana telah berpesan agar perhatian sewajarnya diberikan untuk amalan isal-e-tsawab (dalam tradisi kita disebut "amalan bertahlil @ kenduri arwah"). Oleh itu sekali lagi aku nyatakan bahawa amatlah menghairankan jika sesetengah ahli Jama`ah Tabligh ada yang menjadi penentang kepada amalan-amalan seperti ini kerana terikut-ikut fahaman ahli bid`ah-membid`ah yang anti tahlilan. Sedarlah wahai saudara Ahli Jama`ah Tabligh, Maulana Zakaria al-Kandahlawi yang kitab-kitab fadhailnya kamu baca sehari-hari tidak pernah membid`ahsesatkan amalan isal-e-tsawab, bahkan telah menyeru agar ianya diberi perhatian. Maka sama-samalah kita jaga amalan, warisan dan tradisi yang telah dipandang baik oleh orang-orang Islam. Janganlah diqiaskan atau disamakan amalan, warisan dan tradisi tersebut dengan amalan, warisan dan tradisi orang-orang kafir, kerana qias tersebut adalah qias baathil atau qias ma`al faariq kerana tidaklah agama Islam itu sama dengan agama kafir.


Selasa, Mac 13, 2007

Qariin 2 - Ustaz Ismail Kamus

Sebagaimana yang aku katakan dalam posting terdahulu, di tanah air yang tercinta ini selain Prof. Dr. Haron Din, Dato` Hj. Ismail Kamus juga mempunyai karangan yang sedikit sebanyak memperkatakan mengenai kewujudan makhluk qariin ini. Setidak-tidaknya Dato` Ismail Kamus memberi penerangan berhubung makhluk ini dalam bukunya "Jin : Rasukan & Pengubatannya" dan juga karangan terbarunya "Jin : Hakikat & Pengubatan". Dalam "Jin : Hakikat & Pengubatan", Dato` Ismail Kamus pada halaman 9 menulis:-
Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai "kembar" manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w. sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utus malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Qarin akan berpisah dengan "kembar"nya hanya apabila manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.
Aku harap ikhwah sudah dapat mengambil faedah berhubung kewujudan makhluk qariin ini. Jika ada yang ingin mengetahui lebih lanjut berhubung makhluk qariin dan segala kaum kerabatnya daripada kalangan jin dan syaitan, maka bolehlah mencari ahli-ahlinya serta mentelaah kitab-kitab yang membicarakan hal ini seperti kitab "Luqthul Marjaan fi Ahkamil Jaan" karangan Imamuna as-Sayuthi rhm. Ku akhiri posting ini dengan nukilan satu kisah yang disebut oleh Dato` Hj. Ismail Kamus dalam "Jin: Rasukan & Pengubatannya" halaman 41.

Ibnu Muflih menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah, dia berzikir, makan dia ingatkan Allah, apabila minum pun begitu. Sebaliknya syaitan yang mengikut orang kafir itu pula berkata aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.
Oleh itu, lagi sekali aku ingatkan diriku dan kalian semua ikhwah yang budiman agar jangan lalai dari berzikir mengingati Allah dan mentaati segala titah perintahNya. Janganlah kita lupa akan firman Allah s.w.t.:-


Kenduri Arwah - Syaikh Nuruddin

Isnin, Mac 12, 2007

Qariin 1

Qariin dari segi bahasa membawa erti 'rakan' atau 'teman', manakala segi istilah ianya merujuk kepada makhluk halus yang tak nampak dek mata yang merupakan ciptaan Allah daripada kalangan jin. Orang kampung aku panggil qariin ni "gembaran" atau "kembar", bukan kerana makhluk ni dilahirkan kembar bersama seseorang manusia tetapi kerana makhluk ini sentiasa mendampingi seseorang sejak dilahirkan sehingga mati. Oleh itu senang cakap, qariin ini adalah jin yang menjadi pendamping manusia semenjak dia lahir sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Umumnya makhluk qariin ini adalah syaitan yang kerjanya untuk menghasut dan menggoda manusia supaya derhaka kepada Allah s.w.t. Berhasil atau tidaknya hasutan dan godaannya itu bergantung kepada anak Adam itu sendiri, sama ada untuk terpengaruh dan menerimanya atau menolaknya. Allah s.w.t. telah memberi peralatan yang cukup untuk kita menolak godaan-godaan tersebut, berupa akal fikiran yang waras serta disuluh dengan sinaran taufiq dan hidayah Allah yang diturunkanNya melalui Junjungan Nabi s.a.w. Oleh itu, jika sekiranya pilihan kita adalah untuk mengikut hasutan dan godaan si qariin itu, sedangkan dia mengetahui yang godaan tersebut adalah satu kederhakaan kepada Allah s.w.t., maka tidaklah boleh mempersalahkan yang lain selain diri kita sendiri. Inilah yang dinyatakan Allah dalam surah al-Qaaf ayat 27-28:-

"(Semasa ia [yakni manusia] dihumbankan ke dalam neraka Jahannam, ia mendakwa bahawa syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) [yakni yang menjadi qariinnya] berkata: "Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong." Allah berfirman: "Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (yang Aku akan menyeksa orang-orang yang bersalah)."
Oleh itu jika seseorang itu sentiasa menjadikan hidupnya berpandukan hukum-hakam Allah sebagaimana diturunkanNya, sentiasa mengingati Allah dan menjunjung titah perintahNya, nescaya dia akan dipelihara Allah dari terjebak dalam godaan-godaan si qariin, sebaliknya mereka- mereka yang lalai akan terperangkap dalam godaan-godaan tersebut, sebagaimana difirmankan Allah dalam surah az-Zukhruf ayat 36:-

"Dan sesiapa yang berpaling tidak mengendahkan pengajaran (al-Qur`an yang diturunkan oleh Allah) ar-Rahman, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya (qariinnya) yang tidak renggang daripadanya (yakni sentiasa menyertainya)."
Setelah seseorang itu, mati maka qariinnya tadi yang seperti bangsa jin yang lain biasanya berumur panjang. Dia akan terus hidup dan jika ianya adalah syaitan maka dia akan terus melakukan kejahatan dan menggoda serta menyesatkan manusia. Antara kesesatan yang lumrah dilakukannya ialah dia akan menyerupakan dirinya dengan rupa manusia yang telah mati itu untuk tujuan-tujuan tertentu. Oleh itu, jika seseorang ketemu dengan "roh" seseorang yang telah mati, maka janganlah terus percaya bahawa yang ditemuinya itu adalah "roh" si mati, apatah lagi jika si mati itu orang kafir atau tholeh, kemungkinan besar yang ditemuinya itu adalah jin atau qariin yang menyerupai si mati tadi. Oleh kerana si qariin ini sentiasa mendampingi seseorang, maka dia mengetahui perkara-perkara sulit orang yang didampingnya itu.

Kat tanah air tercinta, antara yang telah memperkatakan mengenai makhluk qariin ini adalah Prof. Dr. Haron Din dalam siri ceramah beliau. YB Dr. Amran Kasimin juga menulis mengenai makhluk ini dalam beberapa tulisannya, Begitulah juga dengan Dato` Haji Ismail Kamus dalam buku terbarunya "Jin: Hakikat & Pengubatan". Tapi buat posting ini aku cuma nukilkan di sini Fatwa Mufti Kerajaan - 2000 yang difatwakan oleh Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam. Di mana dalam fatwanya berhubung "Ajaran Saihoni bin Tasipan" yang antara lain mendakwa boleh memanggil roh, turut memperkatakan mengenai makhluk qariin ini. Pada halaman 48 - 51 Fatwa tersebut, dinyatakan:-

**************************************************************
Manusia Mempunyai Qariin.

Telah sah dan sabit dalam hadis, bahawa setiap manusia itu ada qariin atau teman yang sentiasa bersamanya semenjak dia dilahirkan lagi sampailah dia meninggal dunia. Imam Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:-

Maksudnya: "Tiada seorang kanak-kanak pun yang dilahirkan melainkan tidak sunyi daripada tusukan (gangguan) syaitan, maka kanak-kanak itu pun menangis akibat gangguan syaitan itu, kecuali anak Maryam (Nabi 'Isa a.s.) dan ibunya (Maryam sendiri).
Untuk lebih jelas lagi dipetik pula riwayat Imam Muslim selanjutnya bahawa Nabi s.a.w. bersabda:-

Maksudnya: "Tiada seorang pun daripada kamu melainkan diwakilkan dengannya qariin daripada kalangan jin." Sahabat bertanya: "Apakah Tuan juga, wahai Rasulullah?" Nabi menjawab: "Ya, aku pun begitu juga, akan tetapi Allah telah menolongku menguasainya, maka dia pun Islam dan tidak menyuruh aku melainkan dengan kebajikan sahaja." (Erti fa aslama : qariin itu masuk Islam, atau aku (Rasulullah) terselamat daripada gangguan qariin itu, kerana Allah menolongku menguasainya)."
Dari maksud hadis-hadis ini menunjukkan qariin-qariin manusia itu kecuali qariin Nabi Muhammad s.a.w. adalah bersifat mengganggu dan merosak serta menyesatkan.

Walaupun manusia itu tidak berupaya menguasai jin, kecuali bagi orang yang diberikan izin oleh Allah seperti Nabi Sulaiman a.s., namun tidaklah terhalang daripada berlakunya kerjasama dan perhubungan di antara manusia dan jin pada mencapai sesetengah maksud manusia itu. Hubungan dan kerjasama ini boleh tercapai dengan berbagai cara dan keadaan. Perkara ini berlaku kepada sebahagian orang di zaman lampau mahupun zaman sekarang .

Menurut fatwa Syeikh al-Azhar, asy-Syeikh Jad al-Haq 'Ali Jad al-Haq, perkara bekerjasama dengan jin ini biasanya berlaku kepada dukun-dukun, tukang-tukang ramal dan tukang-tukang sihir, dan ada pun hubungan atau kerjasama itu pada masa sekarang disebut sebagai menghadirkan atau memanggil roh. (Bayaan li an-Naas 2 / 332 - 338).

Qariin daripada kalangan jin mempunyai kemampuan untuk berbohong dan mengada-adakan karut-marut, hatta meniru tuannya dalam berbagai keadaan seperti suara dan kadang-kadang juga rupa tuannya itu sendiri.

Qariin mempunyai pengetahuan tentang tuannya, sama ada yang zahir mahupun yang sulit-sulit.

Qariin-qariin boleh berhubung sesama mereka sendiri. Qariin juga ada kalanya menjadi pembantu kepada tuannya dalam kerja-kerja tertentu, sehingga kerja-kerja itu menjadi senang, ataupun sebaliknya kerja-kerja itu menjadi susah kerana qariin meletakkan halangan-halangan dan gangguan-gangguan. Selain daripada itu, boleh juga terjadi perkara-perkara yang lain lagi, berdasarkan alam jin itu mempunyai keanehan-keanehan yang tersendiri.

Maka apabila seseorang manusia itu berusaha dengan cara tertentu atau dengan berbagai jalan untuk menghadirkan atau mendatangkan roh, qariin orang itu akan berupaya menerima suara-suara, dan kemudian akan memberitahu berbagai hal dan berbagai perkara ghaib yang telah disepakati oleh para qariin melalui pertukaran maklumat sesama mereka. Selepas itu orang akan menyangka bahawa yang bercakap itu ialah roh orang mati yang telah dipanggil itu. Padahal yang bercakap itu ialah qariin-qariin sendiri yang membawa berita dan cerita yang bercampur-campur, yang direka-reka dan dusta ............

*********************************************
Oleh itu janganlah kita merasa hairan dengan amalan-amalan memanggil roh atau "tahdhirul arwah" atau omputeh kata "seance" yang kononnya telah berjaya mendatangkan roh orang mati yang dipanggil itu, sungguh yang dikatakan "roh" si kafir yang datang itu adalah qariinnya, oleh itu tidaklah pelik jika dia mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan si mati dahulu, bahkan si qariin boleh meniru suara dan signature si mati tadi. Begitu juga jangan mudah percaya dengan "kewalian" atau "kekasyafan" tok bomoh yang boleh beritahu mana hilangnya kunci kereta kita atau apa yang kita makan petang kelmarin, sebab mungkin tok bomoh tu diberitahu mengenai perkara itu oleh qariin kita. Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara kita dari godaan, tipuan dan permainan qariin dan segala jenis syaitan termasuklah yang berupa dengan rupa manusia.

Khamis, Mac 08, 2007

100 Hajat

Aku sekadar ingin mengingatkan diri dan sesiapa yang sudi agar sentiasa bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. Sholawat yang diucapkan dengan penuh kerinduan kepada sebaik-baik ciptaan Tuhan dan kekasihNya. Sholawat yang diharap menarik keredhaan Ilahi dan syafaat Nabi s.a.w. Sholawat yang kelebihannya buat diri kita tak dapat diperi-peri. Antaranya sebagaimana dinyatakan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang bersholawat ke atasku pada setiap hari 100 kali, nescaya ditunaikan Allah baginya 100 hajat, 70 daripada hajat akhiratnya dan 30 hajat dunianya."
Aku hanya berkesempatan melihat komentar Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam "ad-Durrul Mandhud" berhubung hadits ini, di mana beliau rahimahUllah menyatakan bahawa hadits tersebut dikeluarkan oleh Ibnu Mundah dan Abu Musa al-Madini menyatakan bahawa ianya adalah hadits ghorib hasan.

Oleh itu ikhwah sekalian
Baik lelaki maupun perempuan
Setiap waktu dan ketika berilah perhatian
Dengan tulus ikhlas dan penuh kerinduan
Lidah kalian basahkan dengan sholawat Junjungan
Dengarlah madah ulama budiman

إذا كنت في ضيق و هم و فاقة
و أمسيت مكروبا و اصبحت في حرج
فصل على المختار من آل هاشم
كثيرا فإن الله يأتيك بالفرج

idza kunta fi dhiiqin wa hammin wa faaqati
wa amsaita makruuban wa ashbahta fi haraji
fa sholli 'alal Mukhtaari min aali Haasyimi
katsiran fa innAllaha ya`tiika bil faraji

Jika engkau dalam kesempitan, kedukaan dan kesusahan
Petang menderita kesedihan
Pagi menanggung kesengsaraan
Bersholawatlah atas nabi keturunan Hasyim rasul pilihan
Dengan sebanyak-banyak bilangan
Nescaya Allah kan mendatangkan bagimu segala kelapangan

اللهم صل على النبي الهاشمي
سيدنا محمد و على آله و صحبه و سلم تسليما

Rabu, Mac 07, 2007

Kesempurnaan Menggapai Ketinggian

Balaghal 'ulaa bi kamaalihi
Kasyafad dujaa bi jamaalihi
Hasunat jamii`u khishoolihi
Sholluu 'alaihi wa aalihi

اللهم صل و سلم و بارك عليه و آله و اصحابه

Atas kesibukan yang memanjang, sibuk silih berganti yang tak dapat ku elakkan, kesempatan yang ada kali ini hanya kuisikan dengan nukilan rangkapan puisi pujian bagi Rasul Junjungan s.a.w. yang lumrah disenandungkan oleh saudara-saudara kita di Indo-Pakistan. Karangan penyajak sufi abad ke-13, Syaikh Musyarifuddin Sa'di asy-Syirazi, pengarang "Bustan" dan "Gulistan". Rangkapan tersebut yang terkandung dalam "Gulistan" membawa erti:-

Puncak ketinggian tercapai dengan kesempurnaan baginda
Segala kegelapan tersingkap dengan keindahan baginda
Baik luhur segala budi pekerti dan kepribadian baginda
Bersholawatlah ke atas Junjungan dan keluarga baginda

Dikatakan orang, bahawa dunia barat turut mengkagumi puisi Syaikh Sa'di, bahkan tertulis pada pintu masuk "Hall of Nations" di New York rangkapan puisinya yang diterjemah dalam Bahasa Inggeris:-

Of one Essence is the human race
Thusly has Creation put the Base
One Limb impacted is sufficient
For all Others to feel the Mace

Betul ke tidak, idaklah aku tahu, sebab aku belum lagi menjejak kaki kat negeri si Bush tu. Sedara-sedari yang udah pernah pergi buleh le confirmkan. Apa-apa pun, jangan lupa basahkan lidah untuk bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w.

اللهم صل و سلم و بارك عليه و آله و اصحابه