Khamis, Mac 08, 2012

Belasungkawa - Dr. Muhibbuddin Waly

Ese telah dimaklumkan oleh seorang sahabat dari seberang bahawa  guru kami al-Mursyid Prof. Dr. Teungku Muhibbuddin Waly al-Khalidy telah berpulang ke rahmat Allah subhanahu wa ta`ala sekitar jam 10 malam semalam (7 Mac 2012). Buya Muhibbuddin adalah anakanda kepada Syaikh Mudo Waly al-Khalidy rahimahullah, ulama besar Aceh Darus Salam yang merupakan antara sahabat sepengajian Syaikh Yaasin al-Fadani rahimahullah. Beliau adalah graduan al-Azhar dari sarjana muda sehinggalah selesai Phd dalam bidang Syariah dengan thesis berkaitan ijtihad - jodol thesisnya ese dah lupa, tebalnya kalau hempok kat kepala boleh bawak umur kata orang kampung ese. Beliau pernah menjadi ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia dan pernah juga menjadi pensyarah di Kuliyyah Undang-Undang & Syariah Universiti Islam Antarabangsa.

Selain bidang Syariah, beliau juga terkenal dalam ilmu tasawwuf dan thariqat. Dalam ilmu thoriqat, beliau adalah mursyid Thoriqat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah al-Waliyyah. Beliau diangkat menjadi mursyid mulanya oleh guru ayahanda beliau, Syaikh Abdul Ghani al-Kampariy rahimahullah. Di antara karya yang beliau tinggalkan buat umat adalah "Hakikat Hikmah Tauhid Dan Tasawuf (Syarah al-Hikam)", "Tafsir Waly", "Fathul Waly (Syarah kitab Jauharatut Tawhid)" dan "Nahjatun Nadiyah ila Martabatis Shufiyyah". Buya Muhibbuddin hingga akhir hayatnya tidak pernah berhenti berkhidmat kepada agama, nusa, dan bangsa, beliau selalu menyempat diri melayani umat, meskipun terpaksa dipapah. Beliau mudah memberikan hidangan ilmu dari ceramah-ceramahnya. Sebagai ulama beliau telah mendedikasikan hidupnya dalam dunia ilmu dan dakwah. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang sentiasa tenang, bicaranya lembut dan jarang sekali marah. 
Tanggal 7 Mac 2012 menyaksikan pemergian ulama besar ini di Tanah Serambi Makkah, Aceh Darussalam. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Rumah Sakit Fakinah, Banda Aceh sekitar jam 10 malam wib. dalam usia 75 tahun. Mudah-mudahan Allah ta`ala mencucurkan rahmatNya yang tiada berkesudahan kepada Buya Muhibbuddin Waly dan menempatkan beliau bersama para kekasihNya dalam syurga yang penuh kenikmatan. Pemergianmu kuiringkan dengan al-Fatihah .....Selamat Jalan Buya.

Khamis, Mac 01, 2012

Shalawat Nur al-Qiyamah

 

Ya Allah Wahai Tuhan kami
Sholawat ke atas penghulu kami Muhammad dilimpahi
Baginda lautan segala nur yang Engkau miliki
Sumber segala asrarMu diperolehi
Lisan penegak hujjah kebenaran Ilahi
Dalam kerajaanMu baginda disanjung bak mempelai
Imam segala makhluk di hadhrat Ilahi
Hiasan kerajaanMu yang tiada terperi
Gudang rahmatMu yang tiada dibatasi
Jalan syariatMu yang menunjuki
Dalam mentawhidMu kelazatan baginda kecapi
Punca dan sebab wujud segala ciptaan Ilahi
Makhluk paling terpilih antara segala pilihan Ilahi
Ciptaan terawal daripada sinar cemerlang nur milik Ilahi
Shalawat yang kekal abadi dengan berkekalannya Zat Ilahi
Shalawat tiada diketahui kesudahannya selain ilmu Rabbi
Shalawat yang Engkau redhai
Shalawat yang diredhai Junjungan Nabi
Shalawat yang dengannya kami diredhai
Ya Rabbal `Aalamiin, Wahai Tuhan kami.

Shalawat ini terkenal dengan nama "Nurul Qiyamah" dan banyak dinukilkan oleh para ulama kita yang mulia dalam karya-karya mereka. Di antaranya al-`Alim al-`Allaamah Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahullah dalam "Afdhalus Shalawat `ala Sayyidis Saadaat", shalawat ke-27 pada halaman 78. Dinukilkan bahawa Sayyidi Ahmad ash-Shawi rahimahullah dan selain beliau menyatakan bahawa shalawat ini dinamakan dengan "Nur al-Qiyamah" kerana pembacanya akan memperolehi nur yang banyak pada hari kiamat nanti. Menurut sebahagian wali-wali besar shalawat ini diumpamakan dengan 14,000 shalawat.

Dalam shalawat ini juga Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dirujuk sebagai ".. al-mutaqaddim min nuri dhiya-ik".... yakni makhluk yang paling awal diciptakan daripada sinar cemerlang nur yang dimiliki oleh Allah ta`ala, iaitu merujuk kepada awwaliyyah Nur Muhammad yang diterima oleh ramai para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebagai makhluk yang paling awal dijadikan Allah ta`ala mengikut tafsiran yang tidak bercanggah dengan aqidah dan syariah. Dan menarik juga untuk dinukilkan di sini bahawa Ra-isul Muhadditsin al-'Alim al-'Allaamah Maulana Muhammad Zakaria al-Kandahlawi `alaihi rahmatul Bari dalam "Fadhilat Shalawat" karangan beliau yang telah diterjemahkan turut memuatkan shalawat ini. Pada halaman 79 beliau menyatakan bahawa Syaikh Abdul Haq (seorang muhaddith dari Delhi) menulis dalam kitabnya "Targhib Ahli Sadat" menulis bahawa jika seseorang membaca shalawat ini (yakni Shalawat Nurul Qiyamah) 70 kali ketika hendak tidur, dia akan dapat melihat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam mimpinya.

Buku terjemahan "Fadhilat Shalawat" bagi Mawlana Zakaria ini ese nampak udah dicetak dengan cetakan baru yang cantik dan kemas oleh pihak Inteampublishing dengan jodol "Kelebihan Selawat". Eloklah kome dapatkan sebelum habis stok, banyak manfaatnya untuk menambahkan lagi gemar kita bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Isnin, Februari 27, 2012

Lebih Baik Daripada Kerajaan ....

Apabila kita melihat kemewahan duniawi pada sesetengah manusia, akan timbul kekaguman kita kepadanya, dan sering terwujud dalam benak kita bahawa alangkah baiknya jika kita juga memperolehi kemewahan tersebut. Tanpa kita memikirkan bahawa segala-galanya adalah ujian daripada Allah ta`ala dan amanahNya yang akan diminta pertanggungjawabannya kelak di akhirat. Namun nafsu yang tidak pernah mengenal puas tetap sahaja menggoda kita untuk sentiasa gemarkan kemewahan duniawi yang sementara ini, bahkan ada yang tergoda sehingga sanggup menggadaikan akhirat demi mengunggulkan kemewahan yang fana.... Allahu ... Allah.

Janganlah kita jadikan dunia ini sebagai matlamat akhir kita, ingatlah bahawa kita ini umat yang beragama. Dunia ini hanyalah sementara, yang bakal kita tinggalkan nanti apabila sampai masa meneruskan perjalanan kita menuju negeri yang kekal abadi. Junjungan Nabi shallAllahu `alaihi wa sallam berpesan agar kita jadikan keberadaan kita di negeri dunia ini seumpama seorang musafir, yakni hidupnya kita di negeri dunia ini hanyalah singgah sebentar sahaja untuk mencari bekalan buat kehidupan di negeri yang abadi nanti. Sampai masanya nanti, kita akan meneruskan perjalanan ke negeri yang abadi. Bertamu di dunia ini pun tidak lama, sebentar sahaja bak kata Sasterawan Negara A. Samad Said:- "Kita Ini Tetamu Senja", tak lama terbenamlah matahari, kalau bertamu dari pagi sampai petang boleh tahan jugak lamanye...Allahu ... Allah. Makanya, janganlah kita tergiurkan kehidupan duniawi sehingga lupa negeri yang akhirat yang abadi. Dunia yang ada itu jadikanlah untuk akhirat, dunia untuk akhirat bukan dunia untuk dunia kerana dunia itu bakal kita tinggal pergi. Seorang penyair berpesan:-
Jadikan hidupmu seperti musafir berkelana
Setelah kau tiada biarlah yang tinggal kebaikan belaka
Maka tidaklah kita di dunia ini melainkan bertamu sementara
Dan tiadalah atas tetamu melainkan pasti berlalu perginya

Bekal akhirat itu lebih penting daripada dunia seisinya. Kemewahan duniawi itu ada noktah akhirnya, manakala bekal akhirat itulah yang kita harapkan jadi sebab mendapat kebahagiaan yang abadi. Renungilah satu kisah yang diceritakan oleh Imam al-Qalyubi rahimahullah dalam karya beliau "an-Nawaadir" pada kisah yang ke-194 di halaman 174, bahawa satu ketika Nabi Sulaiman bin Daud `alaihimas salam lalu dengan tunggangannya di hadapan seorang penggembala kambing. Maka terluncurlah daripada mulut si penggembala akan kata-kata: "Raja Sulaiman telah dianugerahkan dengan kerajaan yang besar." Kata-kata si penggembala tadi dibawa angin ke telinga Nabi Sulaiman, maka turunlah baginda daripada tunggangannya lalu baginda datang kepada si penggembala. Baginda bersabda kepada si penggembala: "Wahai penggembala, sesungguhnya satu ucapan tasbih dalam lembaran amal seseorang hamba itu lebih afdhal di sisi Allah daripada kerajaannya Sulaiman, kerana kerajaannya itu bakal binasa sedangkan ucapan tasbih tersebut akan kekal bagi si pembacanya dan akan bermanfaat baginya pada hari kiamat nanti."

Moga Allah selamatkan kita dari segala fitnah dunia dan membahagiakan kita di akhirat nanti dalam negeri yang abadi Jannatun Na`im, syurga yang penuh kenikmatan. Allahumma aamiin.

********************************************
Kita Ini Tetamu Senja


Selasa, Januari 31, 2012

Maulid - Pesanan Syaikh Nur

Alhamdulillah, sambutan mawlid semakin meriah walaupun tidak disenangi oleh puak ahli bid`ah membid`ah. Namun perlu diperhatikan juga bahawa tujuan mengadakan majlis mawlid adalah untuk melembutkan hati sanubari kita agar mau mengenali Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, mencintai Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, mengikut segala sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, menurut segala ajaran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, yang akan menghasilkan keredhaan Allah ta`ala dan Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam serta memperolehi ni'mat, rahmat dan syafaat di dunia dan di akhirat nanti. Jadikanlah acara mawlid sebagai permulaan dan tapak latihan bagi kita belajar agar sentiasa ingatkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Moga dengannya kita bisa memperingati Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan menghidupkan sunnah dan ajaran baginda dalam segala aspek kehidupan kita sehingga kita kembali mengadap Ilahi. Bukannya hanya memperingati baginda dalam mawlid, tetapi dalam aspek-aspek lain ingatkan hok lain, ingatkan Soqrat, ingatkan Aflatun, ingatkan Niccolo Michiavelli, ingatkan Darwin, dan dan dan seumpamanya.........., sehingga melupakan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, lupakan baginda dengan melupakan ajaran, pesanan dan tunjuk ajar baginda ... Allahu .. Allah. Marilah kita hidupkan ajaran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam semua aspek kehidupan kita. Walaupun Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah wafat meninggalkan kehidupan duniawi ini dan hidup dengan kehidupan barzakh yang sempurna, namun dalam kehidupan duniawi juga, selain adanya ikatan dan pertautan rohaniah,  Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam juga sentiasa hidup segar dalam ingatan dan jiwa sekalian umat baginda, makanya para ulama tiada seorang pun menganjurkan acara haulnya Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, bahkan sebaliknya yang diraikan adalah mawlid baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam..... Allahu ... Allah, moga ingatan kepada baginda sentiasa hidup subur dalam jiwa kita sehingga bisa mewarnai kehidupan kita agar lebih hijau dan nyaman buat dunia dan akhirat.

****************************
Wejangan Syaikh Nur

Ahad, Januari 29, 2012

Kanjeng Nabi Pastikan Kenal

Imam Muslim rahimahullah dalam Shahihnya meriwayatkan sebuah hadits daripada Sayyidina Jabir bin Samurah radhiyaAllahu `anhu yang Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:  

اني لأعرف حجرا بمكة كان يسلم علي قبل ان ابعث اني لأعرفه الآن

"Sesungguhnya aku kenal benar dengan seketul batu di Makkah yang pernah mengucapkan salam kepadaku sebelum aku diutuskan menjadi rasul; Sesungguhnya sekarang pun aku masih benar-benar mengenalinya." 

Allahu ... Allah, lihatlah wahai ikhwah, Kanjeng Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ingat dan kenal dengan makhluk yang memberikan ucapan salam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, meskipun makhluk tadi hanyalah makhluk jamadat yang berupa seketul batu. Makanya, ambillah iktibar dan pengajaran, jika sahaja seketul batu pun masih mendapat perhatian Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan tidak baginda lupa padanya, maka betapa pula jika yang mengucapkan salam kepada baginda itu umat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tapi mestilah ucapan salam tersebut dilakukan dengan rasa mahabbah cinta kasih asyiq ma`syuq kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Itulah salam yang akan disambut juga dengan seumpamanya oleh Kanjeng Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Oleh itu, perbanyakkanlah shalawat dan salam ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan belajarlah untuk melakukannya dengan rasa penuh mahabbah kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, Sang Penyelamat kita di dunia dan di akhirat, shallaAllahu `alaihi wa sallam. Pasti Kanjeng Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam akan kenal dan ingat pada kalian yang beruluk salam kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, batu sahaja mengucap salam sebelum bi'tsah pun dikenali dan diingati oleh baginda hatta setelah Fathu Makkah... Allahu .. Allah. Moga-moga Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenali kita sebagai umat baginda dan dengan itu kita beroleh kejayaan dengan memperolehi syafaat daripada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam.  

As-Salamu `Alaika Ayyuhan Nabiyu 
Wa Rahmatullahi Wa Barakaatuh,
As-Salamu `Alaika, Ya Najmal Huda
Lisy Syafa`ah, Ya RasulAllah, Lisy Syafa`ah.

*************************************
Ya Ayyuhal Mukhtar - Syaikh Thaha al-Fashni

Selasa, Januari 24, 2012

Salam Mawlidur Rasul

Alhamdulillah, syukur syukur, berkesempatan lagi kita menyambut bulan yang mulia, bulan pilihan Allah SWT untuk menzahirkan Junjungan Nabi SAW ke alam dunia, membawa rahmat bagi sekalian alam. Bulan yang penuh kebajikan yang terbentang luas, hanya tinggal memetiknya bagi sesiapa yang berkehendak, bak kata Shahibul Mawlid al-Habib `Ali bin Muhammad al-Habsyi rahimahullah: 

 موائد الخير مبسوطة لمن بايرد * في شهر فيه النبي المختار ولد
"Jamuan-jamuan kebajikan terbentang luas bagi sesiapa yang mahu; Dalam bulan padanya Nabi Pilihan dilahirkan."
 Telah jadi adat kebiasaan umat Islam di seantero dunia untuk berlebih - lebih lagi dalam mengenang dan memperingati Junjungan Nabi Rahmat Sekalian Alam pada bulan kelahiran baginda ini.  Imam Mulla `Ali al-Qari dalam "al-Mawrid ar-Rawi fi Mawlid an-Nabi SAW" halaman 29 menyatakan bahawa : "Telah menjadi kebiasaan para penduduk Madinah al-Munawwarah (rahimahumullah) untuk mengadakan dan menghadiri majlis-majlis mawlid dengan penuh semangat dan keikhlasan sempena sambutan Mawlid yang mulia."  Sehingga kini, walaupun di bawah penjajahan Wahabi, penduduk kota Madinah tetap mengadakan sambutan Mawlidur Rasul secara tertutup di kediaman - kediaman mereka. Moga Allah memberikan kebebasan kepada mereka untuk menyambutnya secara terbuka sebagaimana sebelumnya. Dan semoga Allah menimpakan kehinaan kepada mereka-mereka yang membenci majlis-majlis di mana Junjungan Nabi SAW disanjung dan dipuji.

Makanya, dengan memperingati baginda dan bersholawat kepadanya, kita memperolehi balasan shalawat daripada Allah SWT, para malaikatNya dan juga jawapan daripada Junjungan Nabi SAW. Allahu ... Allah, apa ada ganjaran yang melebihi sedemikian ? Marilah kita berusaha untuk menghadirkan diri kita dalam majlis-majlis mawlid di mana kisah-kisah keagungan Nabi Junjungan dibaca, puji-pujian kepada Allah dan rasulNya dilantunkan serta dihiasi ucapan zikrullah, sholawat dan salam ke atas baginda. Sungguh majlis-majlis seumpama ini penuh dengan pelbagai hidangan kebajikan berupa pengajaran, tazkirah, zikrullah, sholawat dan salam yang sarat berintikan mahabbah kepada Junjungan Rasulullah SAW. Tak perlulah kita ambil pusing kepada suara-suara sumbang yang mengharamkan sambutan mawlid manusia agung ini. Biarlah mereka dengan alam mereka. Kalau mereka menuding jari membid`ahkan amalan kita, maka mereka juga tidak kurang bid`ahnya kerana mereka juga mengadakan peringatan demi peringatan terhadap idola mereka seperti Bin Wahab dan Ibnu al-Utsaimin. Inilah dikatakan oleh tok nenek kita, mengata dulang paku serpih. Siapakah idola mereka berbandingkan Junjungan Nabi SAW ?????Makanya biarlah si Luncai terjun dengan labu-labunya. Shallu `ala Nabiyyikum ......

******************************************
Wulidal Musyarraf



Rabu, Januari 18, 2012

Hakikat Tawassulnya Baginda 'Umar

Telah masyhur kisah Baginda 'Umar RA beristisqa kepada Allah dengan bertawassul dengan Sayyidina `Abbas RA, paman Junjungan Nabi SAW. Puak salah-pi mendabik dada menggunakan kisah ini sebagai alasan, bukan sahaja untuk mengharamkan, bahkan untuk mensyirikkan saudara-saudara seagama yang bertawassul dengan Junjungan Nabi SAW atau para pewaris baginda yang telah berpulang ke rahmat Allah. Para ulama kita telah menjawab salahfaham puak ini dengan jawapan-jawapan yang mantap dari segi naqli dan aqli. 

Pada entri ini mari kita meneguk ilmunya Syaikh Mutawalli asy-Sya'rawi rahimahullah yang antara lain menyatakan bahawa hadis tersebut bukanlah dalil untuk menyokong pendapat puak salah-pi yang menegah kita bertawassul dengan Rasulullah SAW atau dengan orang - orang yang punya jah yang dinisbahkan kepada Baginda Nabi SAW, baik segi nasab atau amalan perbuatannya, yang hidup atau yang telah wafat. Bahkan ianya adalah sebaliknya. Hadis tersebut adalah dalil bagi mengharuskan bertawassul dengan sesiapa sahaja yang mempunyai jah / kedudukan di sisi Allah atau yang dinisbahkan kepada Junjungan Nabi SAW. Ini adalah kerana pada hakikatnya Baginda `Umar bertawassul dengan al-`Abbas RA bukanlah kerana batang tubuh al-`Abbas RA yang masih hidup bernyawa di muka bumi yang fana, tetapi beliau dijadikan wasilah kerana hubungan kekerabatan yang beliau miliki dengan Junjungan Nabi SAW, iaitu kedudukan beliau sebagai bapa saudara / paman / `amm Junjungan Nabi SAW. Makanya Baginda `Umar tertawassul dengan ungkapan "bi `ammi Nabiyyina" atau "bi `ammi Nabiyyika" dan bukannya "bil `Abbas" sebagaimana diriwayatkan oleh para muhadditsin. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Baginda `Umar RA berdoa dengan ucapan:-
اللهم إنا كنا نتوسل إليك بنبينا فتسقينا وإنا نتوسل إليك بعم نبينا فاسقنا
 "Ya Allah dahulu kami bertawassul kepadaMu dengan Nabi kami lalu Engkau telah menurunkan hujan bagi kami, dan sesungguhnya kini kami bertawassul kepadaMu dengan paman NabiMu, maka turunkanlah hujan bagi kami."
Jelas baginda mengemukakan permohonan kepada Allah SWT dengan berwasilahkan kepada paman Junjungan Nabi SA, yakni dijadikan Sayyidina al-`Abbas RA sebagai wasilah kerana beliau adalah PAMAN JUNJUNGAN NABI SAW. Maka kembalilah wasilah tersebut pada hakikatnya kepada Junjungan Nabi SAW, jadi materi utama dan sandaran bagi dijadikan wasilah tersebut adalah Junjungan Nabi SAW. Antara hikmah bagi paman Junjungan SAW untuk dijadikan wasilah berbandingkan Junjungan Nabi SAW adalah kerana Sayyidina al-`Abbas RA masih hidup pada waktu kemarau tersebut dan air bermanfaat kepada orang yang masih hidup dan dia juga memerlukannya. Manakala Junjungan Nabi SAW yang telah wafat sudah tentu tidak perlu kepada air dan air tiada lagi manfaat bagi baginda. Untuk lebih mantap silalah tuan-tuan hayati cuplikan penjelasan berhubung perkara ini oleh al-Imam asy-Syaikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'raawi `alaihi rahmatul Bari.

**********************************